Sunday, April 27, 2008

Basuh Baju

Soalan

Assalamualaikum ustazah,

Saya ingin bertanya tentang perihal membasuh baju.
Saya pernah diberitahu bahawa apabila kita membasuh baju, kita perlu membilas pakaian tersebut
sebanyak 3 kali. Bilasan yang terakhir ialah dengan melalukan air sahaja.

Soalah saya,
1. Bagaimana keadaannya dengan pakaian yang dipakai tapi untuk jangka masa yang pendek dan pakaian yang dipakai untuk kerja yang tidak banyak peluh keluar. Perlukah di basuh dengan cara begitu juga.
2. Bagaimana pula keadaannya pakaian yang dihantar untuk cucian kering (dry cleaning)?
3. Bagaimana dengan keadaan sekiranya kekurangan air untuk kegunaan harian (dicatu contohnya)?

Terima Kasih.

Jawapan

Salam,

Perlu difahami bahawa yang wajib dibasuh adalah pakaian yang terkena najis seperti tahi, air kencing, darah, bangkai dan sebagainya.
Yang tidak terkena najis tidak wajib dibasuh.
Kita basuh pakaian yang dipakai setiap hari walaupun tak kena najis, adalah untuk kebersihan dan menghilangkan bau peluh, bukan sebab ia najis. Jadi tak perlu dilakukan sebagaimana yang saudari sebut itu.
Kalau betul-betul pakaian itu terkena najis, bukan agak-agak, wajib dibasuh sehingga hilang najis.
Allahu A'lam

Potong Kuku

Soalan

ASSALAMUALAIKUM USTAZAH,
Disini saya ada sertakan petikan artikel yg saya sudah terima sebyak 2 x...
ada kemusykilan dlm diri saya, apakah benar apa yg diperkatakan dlm artikel tersebut?
harap ustazah dpt membantu...

Rahsia potong kuku
RASULULLAH S.A.W BERSABDA YANG ERTINYA:
Barang siapa yang mengerat kukunya pada ;
* Hari Sabtu : Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit
* Hari Ahad : Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan
* Hari Isnin : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat
* Hari Selasa : Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit
* Hari Rabu : Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan
* Hari Khamis : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit
* Hari Jumaat : Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.
Jadi, kerat kuku bukan sebarang kerat tapi ada kaedahnya. Walaupun ia hanya kuku tapi ia adalah sebahagian dari badan kita yang perlu kita hormati.Misalnya, kerat kuku ada adabnya selain ikut hari, kita juga perlu buang kuku tu pada tempat yang tidak kotor sebagaimana yang diajar, eloklah buang ke tanah kerana kita juga adalah unsur tanah, Bukannya tong sampah sekalipun tong sampah tu bersih.
Lagi satu, mulakan kerat kuku tu mulai dengan Bismillah dan selawat Nabi dan kerat start jari telunjuk sebelah kanan sampai habis tangan kanan, kemudian jari kelingking sebelah kiri sampai ibu jari tangan kiri dan last sekali ibu jari tangan kanan. Kalau kaki pula, start dengan jari kelingking kaki kanan sampai kelingking kaki kiri. Itulah sunnah yang
paling kuat dipegang selama ini walaupun ada banyak khilafnya. Wallahu'alam.
Begitu indahnya Islam, sampai kerat kuku pun diajarnya. Apatah lagi perkara yang lebih besar dari itu.
terima kasih.

Jawapan

Salam,
Hadis yang terdapat dalam artikel itu tidak terdapat di dalam kitab-kitab Hadis yang sahih.
Mengenai cara mengerat kuku mula dengan jari telunjuk kanan ada disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya'nya. Beliau mendakwa ada mendengar Rasulullah SAW berbuat demikian. Namun ahli-ahli Hadis mengatakan bahawa tidak ada riwayat sahih mengatakan baginda SAW berbuat begitu. Yang sahih daripada baginda ialah memulakan sesuatu dari kanan.
Suka saya mengingatkan kita semua, jangan mudah menyebarkan sesuatu yang kita tidak pasti kebenarannya, apa lagi sekiranya melibatkan hukum-hakam, firman Allah dan sabda Nabi SAW.

Sentuh Mushaf

Soalan

Assalamualaikum Ustazah,
Saya dari Melaka. Mohon ustazah dapat memberikan penjelasan tentang 2 persoalan yang menjadi kekeliruan bagi saya berkaitan menyentuh mushaf al-quran. seperti di bawah:
Persoalan 1 : Setahu saya bagi setiap muslim yang nak memegang al-quran, mestilah berwudu' dahulu. Tetapi sekiranya tidak berwuduk, bolehkah kita memegang al-quran itu dengan cara memegang kulit mushaf (sekiranya jenis kulit al-quran yang berzip) atau dengan mengalaskan dengan kain atau plastik untuk memegang al-quran itu dengan tujuan untuk mengalihkannya dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Persoalan 2 : Sekiranya kita ingin membeli mushaf al-quran dari kedai yang jauh dari rumah, dan biasanya kita tidak dalam keadaan berwuduk ketika itu. Bolehkah kita menyentuh mushaf tersebut? Adakah itu dikatakan dalam keadaan darurat.
Persoalan 3 : Saya pernah belajar berkaitan larangan wanita yang berhaid. Dalam rancangan pagi tadi, ustazah telah menyenaraikan sebanyak 9 larangan wanita berhaid. Tetapi tak termasuk apa yang saya pernah belajar dulu, iaitu TIDAK BOLEH MENANGGUNG AL-QURAN. Maksud menanggung menurut pengetahuan saya ialah walaupun al-quran itu berada di dalam laci contohnya, wanita berhaid tidak boleh menyentuh atau membuka laci tersebut. Kes lain, tidak boleh membawa al-quran walaupun mushaf tersebut berada dalam beg. Minta penjelasan ustazah.
Sekian, terima kasih.

Jawapan

Assalamualaikum wr.wb.

Terima kasih atas soalan yang begitu teliti.
Persoalan 1 : Menurut al-Syarbiniy di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, menyentuh kulit yang bersambung dengannya adalah haram kerana ia sebahagian daripadanya. Difahami dari kata-katanya itu, kiranya pembalut yang tidak bersambung dan tidak dijadikan pada asalnya untuk dijadikan kulit mushaf, maka tidak haram menyentuhnya. Oleh itu mengalas dengan kain atau sebagainya untuk mengalihkannya adalah harus.

Persoalan 2 : Di dalam mesyuarat ahli jawatankusa ibadah haji TH/JAKIM ada membincangkan isu jemaah yang pulang selepas menunaikan haji, biasanya di lapangan terbang Jedah, pihak berkuasa Aras Saudi menghadiahkan/menghulurkan senaskhah al-Quran kepada setiap orang. Pada ketika itu, tidak semua jemaah berada dalam keadaaan suci daripada hadas. Mereka memutuskan harus bagi jemaah memegangnya kerana sukar untuk menjaga diri supaya tidak berhadas. Namun untuk langkah berjaga-jaga, dinasihatkan jemaah menyediakan beg yang telah sedia terbuka. Jika mereka hulur al-Quran, tadahkan saja beg itu. Dengan itu jemaah terselamat daripada menyentuhnya. Jadi kes ini mungkin boleh dijadikan rujukan untuk saudara membeli al-Quran. Keluarlah dengan berwudhu', tapi kalau terbatal, boleh lah meminta penjual memasukkannya terus di dalam beg.

Persoalan 3 : Betul ada hukum tidak boleh menanggung atau membawa al-Quran. Saya tak sentuh pagi itu sebab ia termasuk dalam bab sentuh al-Quran dan yang bersambung dengannya. Mungkin yang saudara sebut laci itu ialah apa yang disebut di dalam kitab fiqh sunduq atau peti, yang tidak boleh disentuh ialah peti yang memang dibuat khusus untuk letak al-Quran. Tapi kalau laci meja, yang biasanya dibuat untuk letak macam-macam, termasuk al-Quran pun ada dalam tu, tidak haram menyentuhnya. Begitu juga harus membawa beg yang di dalamnya ada al-Quran bersama buku-buku atau barang-barang lain.

Allahu A'lam.

Saturday, April 26, 2008

Mandi Wajib

Soalan
Salam ustazah..
boleh ustazah terangkan kepada saya cara-cara Mandi Wajib?

terima kasih...
salam...

Jawapan

Salam,
Mandi wajib mempunyai 2 rukun sahaja, iaitu niat mengangkat hadas besar dan ratakan air (jirus dengan air mutlak) ke seluruh tubuh.
Cara terbaik dilakukan ialah dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
Hilangkan najis atau kekotoran di badan (jika ada)
Ambil wudhu'
Ratakan air dan gosok di bahagian-bahagian yang berlipat seperti pusat, telinga dan sebagainya
Jirus air di atas kepala dengan menggosok-gosok supaya rata semua rambut dan kulit kepala
Jirus sebelah kanan, kemudian kira, setiap satu, 3 kali.
Selesai.
Jangan guna air berlebihan, membazir.
Itu saja, semoga saudara termasuk dalam golongan orang yang dikasihi Allah, iaitu orang yang bertaubat dan bersuci.

Tangguh Kahwin Kerana Keluarga

Soalan

assalamuaalikum ustazah...

maaf mengganggu masa ustazah. saya ada persoalan untuk brtanya.apa yg sy tau islam hanya mengiktirafkan perhubungn antara muslim dgn muslimat hnya melalui perkahwinan. sekirnya saya utamakan tanggungjawab saya untuk membantu keluarga dan memikirkan soal perkahwinan dikemudian hari apa pandangan ustazah? sekarg saya sebenarnya takut untuk fikirkan pasal baitul muslim tapi sebagai sorg hambaNYa, saya tak terlepas dari fitrah utuk brkasih sayang....'la kullihal, boleh ustazah jelaskan hal ni????syukran ya ustazah....

Jawapan

Salam,
Mendirikan rumah tangga tidak bererti mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
Jika ada keinginan dan kemampuan untuk berkahwin, maka Rasulullah SAW menggalakkan umatnya agar segera berkahwin. Itulah jalan paling selamat untuk memelihara maruah dan kesucian diri.
Pilih pasangan berdasarkan pegangan agama, insya Allah dia boleh membantu dan memudahkan kita dalam semua urusan, termasuk berbakti kepada keluarga.

Wudhu' Ketika Haid

Soalan

Saya mengenali puan melalui sebuah rancangan dalam IKIM.Saya ada mendengar satu slot berkenaan haid wanita baru2 ni,jadi di sini saya ingin bertanyakan beberapa soalan.

1 ) puan ada mengatakan semasa seseorang wanita kedatangan haid salah satu perkara yang tidak boleh dilakukan adalah mengambil wuduk.
oleh itu,adakah menjadi satu dosa dan kesalahan bagi saya sekiranya saya mengamalkan pengambilan wuduk juga semasa haid kerana untuk pengetahuan puan saya sudah biasa mengamalkan pengambilan wuduk tidak kira sama ada ketika waktu biasa mahupun semasa kedatangan haid seperti sebelum tidur,sebelum belajar dan biasanya setiap kali selepas saya ke tandas walaupun saya mengetahui ia tidak sah kerana saya dalam keadaan berhadas besar.
2 ) saya juga ada mendengar mengenai mandi sunat dalam keadaan haid tetapi saya ada persoalan di sini.adakah boleh wanita haid mandi sunat hari jumaat,sunat hari raya atau yang sewaktu denganya lar..

terima kasih..harap puan dapat membalasnya

Jawapan

Assalamu'alaikum wr.wb.
1. Haram dan tidak sah bagi wanita haid dan nifas bersuci daripada hadas kecil atau besar. Mengambil wuduk tujuannya sama ada mengangkat hadas kecil, ia tidak terangkat kerana adanya hadas besar, iaitu haid/mifas, atau tujuannya mengharuskan solat, ia juga tidak harus.
Apa yang saudari biasa lakukan itu mungkin kerana tidak tahu, jadi bila sudah tahu, janganlah diulang lagi.
2. Mandi sunat tujuannya adalah untuk kebersihan, menghilangkan kekotoran dan mengelak bau yang mungkin mengganggu pada jemaah, khususnya bila hadir ke masjid. Dengan kata lain, ia tidak bertujuan mengangkat hadas, Maka hukumnya harus. Allahu A'lam.

Tuesday, April 22, 2008

Bukan Mahram Ternampak Aurat

Soalan

Assalammualaikum wr.wb

Saya ingin bertanya tentang aurat wanita yang soalannya sebagai berikut:
~ Aurat wanita adalah seluruh tubuhnya kecuali wajah (muka) dan kedua telapak tangannya, saya pernah terserempak beberapa kali dengan lelaki yang bukan muhrim dengan tidak memakai tudung dan rambut yg terkulai panjang dan itu terjadi dengan tidak sengaja, bagaimanakah hukumnya ? dan apakah saya juga mendapat dosa karena kecuaian saya.

Jawapan

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Bagaimana keadaan berlakunya terserempak itu?
Adakah lelaki itu masuk ke rumah atau bilik anda tanpa meminta izin?
Atau anda sengaja keluar rumah (mungkin dengan sangkaan tidak ada orang nampak) tanpa memakai tudung?
Jika keadaan pertama atau yang seumpama dengannya, anda tidak berdosa kerana tidak sengaja mendedahkan aurat kepada bukan mahram.
Tapi jika keadaan yang kedua, tentulah berdosa.
Jadi berhati-hatilah selalu.

Sunday, April 20, 2008

Was-Was

Soalan

Assalamualaikum ustazah,
Saya ingin bertanya bagaimana untuk mengatasi masalah was-was pada diri saya terutamanya untuk solat.
Saya menghadapi masalah untuk mengangkat takbir. Saya terpaksa mengambil masa yang lama untuk angkat takbir dan niat untuk solat. Apa yang terjadi adalah bila saya angkat takbir dan sebut Allahuakbar, saya rasa kosong dalam hati saya. Jadi saya terpaksa ulang banyak kali supaya saya benar2 puas ada lintasan niat dalam hati saya. Selalu juga terjadi saya susah nak angkat tangan untuk bertakbir seolah2 tak sedia lagi.
Jadi saya berharap sangat ustazah dapat menunjukkan jalan kepada saya bagaimana untuk menghadapi masalah saya ini. Saya benar2 sedih dgn keadaan diri saya yang sukar untuk mengangkat takbir.

Sekian. Wassalam

Jawapan

Assalamualaikum,

1. memang kerja syaitan menimbulkan perasaan ragu dan was-was di dalam diri manusia. banyakkan membaca surah al-nas dan ayat 97-98 surah al-mu'minun.
2. dalam masalah niat, ada pendapat mengatakan, niat tidak mesti hadir ketika takbir. perbuatan mengambil wuduk selepas kita tahu masuk waktu, pakai telekung, bentang sejadah dan berdiri mengadap qiblat, semua itu cukup menggambarkan bahawa kita memang ada niat nak solat. jadi walaupun lafaz niat tidak hadir dalam hati ketika takbir, kita dikira sudah berniat. oleh itu mungkin mendapat ini boleh dipegang bagi membantu mengatasi masalah yang saudari hadapi. Allahu A'lam.

Patung

Soalan

Asalamualaikum Uztazah,

Saya menghiasi meja di rumah saya dengan satu patong
kuda, harimau dan beberapa ekor patong itek. Ia
semata-mata untuk hiasan. Anak saya juga mempunyai
ular diperbuat dari getah, ular diperbuat dari kain,
pelampong ikan lumba-lumba, beberbagai mainan getah
dan kayu berupa binatang-binatang.

Jika tidak keberatan dapat kiranya Ustazah menerangkan
dari segi hukum menghiasi rumah dengan hiasan tersebut
dan menyimpan permainan-permainan tersebut.

Sekian, terima kasih.


Jawapan

Asalamualaikum wr.wb.

Menurut Ibn Hajar al-'Asqalaniy di dalam kitab Fath al-Bari, bi Syarh Sahih al-Bukhariy, katanya: "Sesungguhnya gambar yang ada bayang (iaitu patung) adalah haram. Ini merupakan ijma' atau sepakat kata semua ulamak. Namun ijma' ini tidak termasuk permainan kanak-kanak. (Maksudnya, permainan kanak-kanak adalah dikecualikan).
Terdapat Hadis-hadis sahih menunjukkan Rasulullah SAW membenarkan kanak-kanak bermain dengan patung. Antaranya Hadis Riwayat Abu Daud dari 'Aisyah RA katanya: "Saya bermain dengan anak patung bersama kanak-kanak perempuan saya. Apabila Rasulullah pulang, mereka beredar. Apabila baginda keluar, mereka datang..."

Friday, April 18, 2008

Imam Kanak-kanak

Soalan

Assalamualaikum ustazah,

saya berusia 42 tahun. saya ingin bertanyakan beberapa soalan berkaitan hukum yang menjadi kemusykilan :

1. Bab haid - setelah mandi wajib pada hari terakhir haid dan 'bersama' dengan suami di sebelah malamnya, keesokan harinya saya dapati keluar sedikit 'saki baki' darah dalam bentuk seperti keputihan dan kadangkala sedikit saringan2 halus yang berwarna coklat kemerahan. Adakah itu masih dikira darah haid? Jika ya,
i. bagaimana pula hukum saya 'bersama' dengan suami ketika itu
ii. bagaimana pula dengan solat yang saya lakukan setelah mandi wajib
iii. perlukah saya mandi dengan niat mengangkat hadas besar untuk kedua2 haid n junub serentak


2. Solat - apakah boleh sekiranya saya n anak perempuan berusia 15 tahun menjadi makmum kepada anak lelaki yang belum baligh, berusia 13 tahun memandangkan suami dan anak sulung lelaki tiada di rumah kerana bekerja dan tinggal di asrama?
Bagaimana dengan bacaannya sekiranya ada kesilapan ketika membaca fatihah dan surah lazim?

3. Bagaimana untuk mengelakkan dari gangguan dan lintasan dalaman yang menyesatkan seperti lintasan yang sentiasa mempersoalkan rukun iman dan sebagainya.
Saya hanya mampu banyakkan berzikir, membaca Quran selain solat dan diberi kekuatan menghadapinya. Saya berasa amat takut bila lintasan ini terjadi dan merasakan
apakah kerana saya melakukan dosa yang tidak saya sedari kerana sememangnya kita tak terlepas dari dosa. Apakah ayat2 yang boleh saya amalkan selain dari almathurat, ayat seribu dinar.

Terima kasih atas bantuan dari ustazah.
wassalam

Jawapan

Assalamualaikum.
1. warna kuning dan coklat yang keluar selepas hari haid, tidak dikira haid. jadi puan wajib mandi junub sahaja.
2. mengikut Mazhab Syafi'iy, sah berimam dengan kanak-kanak belum baligh. kesilapan bacaan yang tidak disengajakan tidak batal solat. seeloknya, usaha betulkan bacaannya.
3. bisikan syaitan memang sukar dielak kerana memang kerja dia nak sesatkan manusia. yang penting puan tahu itu gangguan syaitan. teruskan doa yang puan amalkan, boleh ditambah dengan doa drpd surah al-mu'minun ayat 97 dan 98.
Allahu A'lam.

Qadha' Puasa

Soalan

Askum ustazah,saya ada soalan mengenai puasa,saya telah tertinggal banyak puasa semasa waktu sekolah menengah,dan saya xpasti brapa banyak,sekarang dh umur 24tahun,jd apa yg perlu saya lakukan,dan adakah saya perlu bayar fidyah,dan bagaimana kiraanya?

Terima Kasih


Jawapan

salam.
tahniah kerana anda sedar sebelum usia lebih lanjut.
anda kena kira berapa tahun telah berlalu.
contohnya baligh umur 14.
dari usia 14 hingga sekarang 10 tahun @ 30 hari x 10 tahun = 300.
katakan setiap tahun anda tak puasa 15 hari x 10 = 150 hari. maka saudari kena qadha' 150 hari.
fidyah bagi orang yang mampu. untuk setiap 1 hari = 1 cupak dan digandakan 1 tahun satu cupak.
misalnya ramadhan 1427 saudari tinggal 10 hari. sepatutnya diqadha' sebelum ramadhan 1428. jika tidak diqadha' sebelum tiba ramadhan 1428, saudari kena bayar fidyah 10 cupak beras. jika tidak diqadha' juga sehingga tiba ramadhan 1429, maka fidyah diganda menjadi 20, begitulah seterusnya. namun puasa yang wajib diqadha' tetap 10 hari, tidak diganda.
walaubagaimanapun, jika tak mampu nak bayar fidyah, cubalah qadha' sedaya mungkin.
banyakkan istighfar supaya Allah ampunkan dosa-dosa yang lalu dan diterima segala amalan, insya Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun.

Kaki Adalah Aurat

Soalan

hello assalamualaikum ustazah(:
saya dari singapura.

saya mempunyai kemusykilan agama dan saya mempunyai seorang rakan lelaki yang pernah menegur saya mengenai cara menutup aurat.
he insisted on me wearing socks as it is part of covering the aurat. tetapi, saya tidak pernah ditegur bapa mahupun ibu.

sudikah ustazah berikan penjelasan sebenar(:?

terima kasih
assalamualaikum(:

Jawapan

Salam, memang betul apa yang dikatakan oleh rakan saudari itu. kaki juga termasuk aurat yang perlu ditutup.
Saudari boleh baca penjelasan mengenai aurat di dalam blog saya:

http://zaadut-taqwa.blogspot.com

Cukur Bulu Ketiak

Soalan
Assalamualaikum warahmatullah wabarahkatuh Ustazah,

Saya telah mendengar cermah ustazah berkenaan sunah fitrah melalu radio IKIM. Salah satu iaitu mencabut bulu ketiak. Boleh kah saya mencukurnya sebab mencabutnya saya tidak tahan sakit ?

Jawapan

Wa'alamualaikumus-salam warahmatullah wabarahkatuh

1. bulu ari-ari ialah yang tumbuh di sekitar kemaluan lelaki dan perempuan.
2. harus mencukur bulu ketiak kerana tujuannya ialah membersihkan kawasan itu. ia boleh dilakukan dengan mencabut atau cukur.

Ria'

Soalan

Ana merupakan salah seorng pendengar setia radio ikim.fm..jd ana nak tanya ustazah tntang sifat riak...adakah sifat riak ni dlm keadaan kita sedar atau org lain yg sedar...misalnya,ana x pernah berniat utk menunjuk2 tetapi shbt ana cakap ana memang riak.Nauzubillahi min zalik...ana sedih sngt...
Jdi,apakah langkah terbaik utk jauhkan drpd sifat yg keji ni...
syukran jazilan ya ustazah...

Jawapan

salam,
ria' adalah lawan kepada ikhlas. keduanya bertapak di dalam hati, tiada siapa yang tahu melainkan Allah.
untuk mengelaknya, pertama banyakkan doa spt yg diajar Nabi SAW bermaksud (wahai Tuhanku aku berlindung denganMu drpd mensekutukanMu dengan sesuatu yg aku tidak ketahui dan aku memohon ampun sekiranya aku mensekutukanMu dengan sesuatu yg aku ketahui) boleh cari doa ini dlm Ma'thurat.
kedua sembunyikan kebaikan kita sebagaimana kita sembunyikan kejahatan.