Saturday, June 28, 2008

Mengatasi Bisikan Jahat

Soalan

salam ustazah....

saya ingin berkongsi sedikit masalah yang saya hadapi dengan ustazah....

sebenarnya saya ingin berubah menjadi lebih baik dari sekarang...apa yang saya hadapi ialah saya apabila melihat orang berbuat baik dan dipertontonkan dikhalayak orang, saya rasa mereka seperti menunjuk-nunjuk kebaikan yang dibuat walhal keikhlasan mereka bukan saya dapat menilai melainkan hanya ALLAH sahaja yang dapat menilainya... jadi kadang2 saya tak berani tengok kisah2 yang menunjukkan kebaikan orang lain sebab saya tidak mahu berburuk sangka dengan orang lain.. jadi bagaimana nak mengubah persepsi ini?

apabila saya berbuat kebaikan saya rasa seperti saya orang yang apabila di depan orang, saya nak tunjuk kata baik tapi sebenarnya ketika saya mahu berbuat benda baik tersebut saya dah niatkan untuk buat kerana nak capai redha ALLAH tapi ketika sedang buat seperti hati saya kata saya sedang buat kerana naktunjuk baik..macam mana nak buang perasaan yang sebegini?

bagaimana nak buang sikap sombong sekiranya saya rasa ada rasa kesombongan dalam diri saya ini??

Jawapan

Assalamu'alaikum.

Mohon maaf kerana agak lambat membalas email anda.
Lintasan hati tidak semua berada di bawah kawalan kita. Para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum pernah mendatangi Rasulullah SAW meluahkan kegusaran mereka apabila Allah menurunkan sepotong ayat di dalam surah al-Baqarah yang menyebut Dia akan menghisab semua yang terlintas di hati sama ada kita nyatakan atau sembunyikan. Ayat tersebut bermaksud:
"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (al-Baqarah:284)
Maka Rasulullah SAW mengajar mereka agar sentiasa berdoa dan memohon ampun sehingga turun ayat berikutnya selari dengan doa yang selalu mereka ungkapkan: " Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (al-Baqarah:286)
Yang penting saudara harus rasa syukur kerana diberi petunjuk mengetahui mana lintasan yang betul dan mana yang salah. Jika kita sedari lintasan itu tidak betul, segera tangkis dan beristighfar. Antara sifat orang bertaqwa ialah apabila mereka melakukan kesilapan mereka segera ingat Allah dan memohon ampun. Firman Allah bermaksud:
"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." (Aali 'Imran:135)

Teruskan usaha anda mendaki tangga kebaikan menuju kejayaan dan keredhaan Allah 'Azza wa Jalla, sesungguhnya Dia sentiasa merahmati dan memberi hidayah kepada hambaNya yang berusaha ke arah kebaikan. Firman Allah bermaksud: "Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (al-'Ankabut:69)

Sapu Atas Kasut

Soalan

hai ustazah...saya ade pertanyaan nak tanya...

1.kalau hari hujan,matahari tak keluar..cuaca gelap la time tu,adakah waktu syuruk menjadi panjang,sehingga matahari terbit?

2.jika saya berada didalam hutan,dan berbekalkan air untuk berwuduk yang sedikit,bagaimanakah penyelesaian masalah saya ini, saya ada terdengar mengenai berwuduk dengan tidak membuka kasut,boleh ustazah terangkan dengan lebih jelas.

terima kasih diatas jawapan ustazah,saya berharap ia dapat membantu menyelesaikan kemusykilan saya.

Jawapan

Salam,

1. Matahari tidak kelihatan kerana mendung, bukan kerana tidak terbit. Jadi waktu syuruk tetap seperti biasa.
2. Kelonggaran untuk sapu di atas kasut bagi musafir ialah 3 hari 3 malam dan bagi yang bermukim 1 hari 1 malam. Syaratnya anda mestilah memakai kasut tersebut dalam keadaan suci daripada hadas atau dalam keadaan berwuduk. Apabila wuduk batal, kasut tersebut tidak perlu ditanggalkan untuk mengambil wuduk yang baru. Basuh semua anggota wuduk yang lain, kemudian sapu saja di atas kasut (bahagian atas sahaja).
Allahu A'lam.

Baca al-Quran Ketika Haid 2

Soalan

terima kasih atas mel yang ustazah kirimkan.tetapi saya ada sedikit pertanyaan.saya sudahpun membaca maklumat dalam http//:zaadut-taqwa,tetapi saya tak faham tentang bahagian membaca al-Quran ketika haid.sebenarnya bolehkah kita membaca Al-Quran ketika haid.ada yang mengatakan kalau kita berniat untuk belajar ianya dibolehkan.

Jawapan

Bila kita sebut belajar, maknanya ada murid dan ada guru. Itu yang dikatakan harus baca untuk belajar dan mengajar. Guru harus baca untuk mengajar muridnya dan murid harus baca untuk didengar dan dibetulkan oleh gurunya. Orang yang hafal al-Quran juga boleh boleh baca untuk mengulang kerana bimbang akan lupa jika tidak diulang.
Allahu A'lam.

Solat Istikharah

Soalan

salam ustazah.
saya ingin kepastian dari ustazah dalam mengerjakan solat istikharah kerana saya berasa ragu-ragu dengan apa yang saya tahu tentang mengerjakan solat istikharah.saya ada beberapa soalan mengenai solat istikharah.solat istikharah di tunai sebanyak 2 rakaat:-

1) apakah surah yang di baca untuk rakaat pertama dan kedua?
2) ada tak bacaan selain daripada bacaan solat biasa seperti ketika sujud
akhir?
3) apakah doa yang di baca selepas solat istikharah?
4) selepas habis solat istikharah, apa yang patut dilakukan?
5) pukul berapakah 2/3 malam?

sekian, wassalam.

Jawapan

Salam,

1. Rakaat pertama, selepas al-Fatihah baca surah al-Kafirun dan rakaat ke 2 surah al-Ikhlas. Walaubagaimanapun kedua surah tersebut tidak wajib, boleh baca surah-surah lain kalau mahu, atau baca al-Fatihah sajapun solat sudah sah.
2. Ketika sujud disunatkan banyak berdoa kerana ketika itulah kita dikatakan paling hampir dengan Allah. Panjatkan permohonan kita kepadaNya waktu kita sujud tidak kira sujud awal atau sujud akhir. Kalau tidak tahu bahasa arab, sekadar bermunajat dalam hati dengan bahasa kita (Melayu). Bacaan khusus tidak ada.
3. Istikharah bermakna kita mohon Allah tetapkan hati di atas sesuatu pilihan yang kita buat, atau beri petunjuk atau bimbingan kepada kita untuk membuat sesuatu keputusan. Ada doa yang diajar oleh Rasulullah SAW yang terdapat di dalam buku-buku doa. Namun kalau tak jumpa buku doa tu berdoa saja dalam bahasa kita, curahkan kepada Allah apa yang kita hajatkan secara tulus, ikhlas, menghina diri dan mengharap dengan sepenuh hati. Sebaik-baik doa ialah yang lahir dari hati sanubari kita sendiri.
4. Selepas solat dan berdoa, elok berbincang dan bermusyawarah dengan orang yang boleh dipercayai. Nabi bersabda maksudnya: "Tidak menyesal orang yang beristikharah dan tidak rugi orang yang bermusyawarah/mesyuarat". Kalau belum tetap hati dengan sesuatu keputusan teruskanlah istikharah walau seberapa banyak. Adab kita dengan Allah, tidak boleh gesa, supaya setiap doa segera terqabul.
5. Tidak boleh dipastikan dengan tepat pukul berapa. Pada anggapan saya selepas pukul 2. Tapi waktu bukan satu syarat, ertinya saudari boleh lakukan bila-bila masa asalkan bukan pada waktu haram.

Allahu A'lam.