Sunday, November 29, 2009

HUBUNGAN KELAMIN

Soalan:

Salam Ustazah,

Saya hendak bertanya apa hukum dan padangan Islamvterhadap isteri yang mengulum zakar suami atas perimntaannya?

Jawapan:

Salam,

perbuatan itu adalah haram kerana:

1. Allah telah berfirman maksudnya:
"Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak). Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman." (al-Baqarah;223)
Dalam ayat ini Allah ibaratkan isteri sebagai kebun tanaman, itu adalah kiasan kepada hubungan kelamin yg dilakukan adalah sebenarnya bertujuan utk mendapat zuriat. oleh itu satu tempat sahaja benih boleh tumbuh, iaitu faraj. dengan itu zakar tidak boleh di tanam di tempat lain daripada itu.
Manakala maksud ayat "datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai" bermaksud sama ada dimasukkan dari arah depan, tepi atau belakang tidak dilarang asalkan ia dimasukkan ke dalam faraj. Selain itu tidak boleh seperti dubur atau lain-lain.

2. Di samping itu bukankah pada zakar itu terdapat benda najis seperti air mazi dan wadi? hukum memakan benda najis adalah haram. dengan mengulumnya tidakkah nanti akan tertelan benda-benda najis tu?

Harap dengan penjelasan ini, perbuatan itu tidak diulang lagi. Isteri tidak wajib taat sekiranya suami suruh buat perkara yang haram.

Allahu A'lam.

Thursday, November 12, 2009

Orang Kafir Tak Boleh Masuk Masjid?

Soalan:

Salam Ustazah,

Mohon jelaskan hukum non muslim memasuki masjid dengan lebih mendalam.
Syukran jazila.

Jawapan:

Salam.

Persoalan ini telah dibahaskan oleh ulamak ketika mentafsirkan ayat 28 surah at-Taubah.
Allah s.w.t. telah berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡمُشۡرِكُونَ نَجَسٌ۬ فَلَا يَقۡرَبُواْ ٱلۡمَسۡجِدَ ٱلۡحَرَامَ بَعۡدَ عَامِهِمۡ هَـٰذَا‌ۚ وَإِنۡ خِفۡتُمۡ عَيۡلَةً۬ فَسَوۡفَ يُغۡنِيكُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۤ إِن شَآءَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ حَڪِيمٌ۬

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidilharam sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah:28)

Ayat ini mengandungi beberapa persoalan.

Pertama : Orang-orang musyrik itu najis. Apakah yang dimaksudkan dengan najis di sini adalah tubuh badan mereka?

Di dalam tafsirnya Ibn Kathir berkata bahawa menurut jumhur (majority) ulamak tubuh badan mereka tidak najis. Dalilnya ialah Allah s.w.t. menghalalkan orang Islam makan makanan Ahli Kitab. Sebahagian ulamak dari kalangan mazhab az-Zohiri berpendapat tubuh badan mereka adalah najis. Asy’ath melaporkan al-Hasan al-Basri berkata sesiapa yang berjabat tangan dengan musyrikin,hendaklah dia mengambil wuduk selepas itu.

Al-Qurtubi, di dalam tafsirnya al-Jami’ li-Ahkam al-Quran melaporkan bahawa Ibn ‘Abbas r.a. berkata yang najis itu kesyirikan yang menjadi pegangannya, bukan tubuh badannya.

Kedua: Larangan keatas mereka menghampiri Masjid al-Haram. Sehubungan dengan larangan ini, al-Qurtubi telah membincangkan beberapa isu:

i. Maksud Masjid al-Haram. Yang dimaksudkan dengan Masjid al-Haram adalah seluruh tanah haram. Belaiu telah menyebutkan pendapat ‘Ato’ bahawa orang musyrik diharamkan memasuki tanah haram seluruhnya. Apabila mereka datang sebagai utusan, mereka hendaklah menunggu di luar dan pemimpin Islam (sekiranya bertapak di dalam kawasan tanah haram) mesti keluar menemui mereka dan mendengar apa yang mereka bawa. Sekiranya mereka menyusup masuk, kemudian mati, hendaklah digali kurburnya dan dikeluarkan tulang-tulangnya. Tidak halal bagi mereka sama ada bermastautin atau lalu larang di dalam kawasan tanah haram Mekah.
adapun Semenanjung Arab yang tidak termasuk kawasan tanah haram, maka Imam Malik dan asy-Syafi’e berkata mereka tidak boleh tinggal di dalamnya tetapi tidak dilarang dari memasukinya sebagai musafir.

ii. Hukum orang kafir memasuki masjid, sama ada Masjid al-Haram atau lain-lain. Imam al-Qurtubi telah mengemukakan lima pandangan ulamak mengenainya:

a. Pendapat Ahli Madinah: Larangan yang disebut di dalam ayat ini merangkumi semua golongan musyrik dan semua masjid. Dalil mereka adalah:
- Surat yang ditulis oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada gabenornya. Di dalam surat itu turut dimasukkan ayat ini (At-Taubah:28)
- Firman Allah yang bermaksud “(Nur hidayat petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” (An-Nur:36). Masuknya orang kafir ke dalam masjid adalah bertentangan dengan suruhan memuliakannya.
- Hadis yang terdapat di dalam Sahih Muslim dan lainnya bermaksud: “Sesungguhnya masjid ini tidak selayaknya ada kencing dan sebarang kekotoran” , sedangkan orang kafir tidak terlepas daripadanya.
- Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak dihalalkan masjid untuk orang haid dan junub”, sedangkan orang kafir berjunub.
- Firman Allah di dalam ayat di atas yang bermaksud: (Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis). Allah telah menyatakan mereka adalah najis. Najis di sini sama ada diri mereka atau mereka tidak mengamalkan hukum bersuci. Walau apapun maknanya, menghalang mereka dari memasuki masjid adalah wajib kerana illah najis itu ada pada mereka dan kehormatan masjid tidak boleh diabaikan.
b. Imam asy-Syafi’ei berkata: orang musyrik yang disebut di dalam ayat ini merangkumi semua golongan kafir, manakala masjid pula adalah khusus kepada Masjid al-Haram. Oleh itu mereka tidak dilarang memasuki masjid-masjid yang lain daripadanya.
c. Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya berkata orang Yahudi dan Nasrani tidak dilarang dari memasuki Masjid al-Haram dan lain-lain. Yang dilarang dari memasuki Masjid al-Haram hanyalah musyrik penyembah berhala sahaja.
d. Al-Kiya at-Tobariy berkata menurut Imam Abu Hanifah, orang zimmi harus memasuki semua masjid tanpa keperluan (hajat), sedangkan Imam asy-Syafi’ei berkata keharusan adalah mengikut keperluan. Sungguhpun begitu Masjid al-Haram tetap tidak harus bagi mereka memasukinya walaupun ada hajat.
e. Pendapat ‘Ato’ bin Rabah: Seluruh tanah haram adalah qiblat dan masjid, maka tidak harus bagi mereka memasuki seluruh tanah haram berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Isra’:1). Di dalam ayat ini Allah menyatakan Nabi di bawa dari Masjid al-Haram, sedangkan baginda diangkat dari rumah Ummu Hani. Ini menunjukkan seluruh tanah haram adalah masjid.

Monday, October 26, 2009

Aurat Wanita Ketika Solat

Soalan:

benarkah seorang wanita yang hanya memakai tudung tanpa kekek(bahagian yang menutupi dagu seperti di telekong) tidak sempurna auratnya ditutup?

adakah kita harus pakai kekek kalau kita nak tutup aurat secara sempurna dan apa hukumnya kalau tak pakai.

Jawapan

Sempadan aurat bagi wanita ketika solat ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan (atas dan bawah). Di dalam bab aurat, fuqahak tidak menyebut sempadan muka. tetapi di dalam bab wuduk, mereka menyatakan sempadan muka dari segi memanjang bermula daripada tempat tumbuh rambut (bahagian atas) hingga bahagian paling bawah dagu dan dari segi lebarnya bermula daripada telinga hingga ke telinga. (Kitab Fikah Mazhab Syafie, jid 1, hal 70)
Jadi, kita boleh faham dari penerangan sempadan muka tersebut, dagu juga termasuk muka. Maka dagu tidak wajib ditutup. Allahu A'lam.

Sunday, October 11, 2009

Solat Tasbih

Soalan:

Saya banyak mendengar mengenai solat tasbih, tetapi kurang pasti apakah hukumnya serta bagaimana cara melakukannya?

Jawapan:

Menurut sebahagian ulamak, solat tasbih adalah sunat dilakukan oleh setiap muslim sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Mereka berpegang kepada hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab hadis.

Antaranya hadis riwayat Abu Dawud daripada Ibn ‘Abbas dan Ibn ‘Umar r.a. dan hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abi Rafi’ r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada al-‘Abbas bin Abdul Muttalib r.a. maksudnya: “Hai ‘Abbas! Hai Bapa saudaraku! Mahukah aku berikan kamu? Mahukah aku hadiahkan kamu? Mahukah aku hulurkan kepadamu? Mahukah aku lakukan bersamamu 10 kemuliaan, apabila kamu lakukan yang demikian itu Allah ampunkan dosamu: yang awal dan yang akhir, yang lama dan yang baru, yang salah dan yang sengaja, yang kecil dan yang besar, yang rahsia dan yang terbuka. 10 kemuliaan itu ialah engkau solat empat rakaat, engkau baca pada setiap rakaat al-Fatihah dan surah. Apabila telah selesai membacanya pada rakaat pertama, engkau berkata dalam keadaan engkau berdiri:
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
(Suhanallah wal-hamdulillah wa la ilaha illa Allah) 15 kali, kemudian engkau ruku’ dan membacanya dalam keadaan ruku’ 10 kali, kemudian engkau mengangkat kepala daripada ruku’ dan membacanya 10 kali, kemudian engkau tunduk sujud dan membacanya dalam keadaan sujud 10 kali, kemudian engkau angkat kepala daripada sujud dan membacanya 10 kali, kemudian engkau sujud dan membacanya 10 kali, kemudian engkau angkat kepala dan membacanya 10 kali. Maka semua itu 75 kali pada setiap rakaat. Engkau lakukan yang serupa itu pada keempat-empat rakaat.
Sekiranya engkau mampu untuk melakukannya setiap hari, maka lakukanlah, jika tidak, maka lakukanlah setiap jumaat satu kali, jika tidak, maka lakukanlah setiap tahun satu kali, jika tidak, maka lakukanlah sepanjang umurmu satu kali.”

Perlu disebutkan juga bahawa sebahagian ulamak menolak kewujudan solat tasbih kerana hadis-hadis mengenainya tidak kuat. Antara yang menolak ialah al-‘Uqaily dengan katanya: tidak ada satu hadispun mengenai solat tasbih. Abu al-Farj bin al-Juziy menyebut beberapa hadis mengenai solat tasbih beserta sanadnya kemudian dia berkata bahawa semua hadis itu adalah dha’if. Dia juga menerangkan sebab-sebab kedha’ifannya.

Dipetik daripada kitab:
Yasalunaka 'anid-din wal-hayah, Prof Dr Ahmad asy-Syarbasiy, Universiti al-Azhar, jld 2, hal 64-65

Thursday, October 8, 2009

Puasa Enam dan Puasa Qada

Soalan:

Saya meninggalkan puasa Ramadhan selama enam hari kerana uzur syar’ei (haid), kemudian saya berpuasa enam hari dalam bulan Syawwal. Adakah puasa enam hari itu memadai untuk menggantikan puasa Ramadhan yang telah saya tinggalkan?
Huda, Uman.

Jawapan telah diberi oleh Prof Dr Muhammad Sayyid Ahmad al-Maseer, Universiti al-Azahar (29/10/2006):

Qada puasa Ramadhan wajib disempurnakan sebelum masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya. Qada juga tidak wajib berturut-turut. Apa yang penting adalah seseorang itu menentukan niatnya pada hari dia hendak qada puasa yang ditinggalkannya kerana niat adalah satu rukun daripada rukun-rukun ibadah berdasarkan sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Sesungguhnya segala amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan”. Niat membezakan antara sesuatu ibadah dengan yang lain. Niatlah yang menentukan sama ada apa yang dilakukan itu sunat atau fardu.
Walau bagaimanapun, harus menyatukan niat sekiranya amalan itu sama, iaitu seseorang melakukan satu perbuatan dengan dua niat. Maka sesiapa yang mandi junub pada hari Jumaat, harus baginya niat mengangkat hadas besar dan mandi sunat Jumaat, sesiapa yang masuk masjid, harus baginya solat sunat qabliyyah dua rakaat dan diniatkan sekali sunat tahiyyatul-masjid. Begitulah juga sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan selama enam, harus baginya puasa qada dan diniatkan serta sunat Syawwal dengan syarat dia hendaklah niat qada terlebih didahulu.
Jadi sekiranya penanya ini berpuasa enam hari dengan niat puasa Syawwal tanpa niat qada, maka dia hanya dapat pahala sunat sahaja. Dia wajib qada puasa Ramadhannya pada hari-hari yang lain.
Allahu A’lam.

Dipetik daripada:
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1161242208551

Sunday, August 30, 2009

Keharusan Berbuka Bagi Musafir

Soalan:

Salam Ustazah,

Mohon penjelasan hukum berbuka puasa di bulan Ramadhan bagi musafir. Jazakillah.

Jawapan:

Salam.

Musafir diharuskan berbuka puasa di bulan Ramadhan kemudian diganti pada hari-hari yang lain berdasakan firman Allah yang bermaksud: ”.... maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;....” (Al-Baqarah:184)
Keharusan ini adalah bagi mereka yang musafir kerana melakukan ibadah seperti menunaikan haji dan berjihad, dan menjalankan urusan kehidupan yang dituntut oleh Syara’ seperti berniaga, menziarahi keluarga dan seumpamanya. Adapun musafir kerana melakukan maksiat, maka menurut pendapat yang lebih rajih tidak harus berbuka.

Ulamak bersepakat bahawa orang yang musafir di bulan Ramadhan tidak harus berniat untuk berbuka semata-mata kerana niat untuk musafir. Contohnya seseorang bercadang untuk keluar musafir esok hari, maka tidak harus pada malam sebelumnya dia berniat tidak akan puasa esok kerana dengan niat untuk musafir dia belum dikira musafir. Mereka juga bersepakat bahawa tidak harus berbuka bagi mereka yang baru bercadang untuk musafir pada hari itu.
Sekiranya dia telah benar-benar bersedia untuk keluar, haruskah dia berbuka sebelum keluar dari rumahnya? Imam al-Qurtubiy mengemukakan beberapa pandangan ulamak mengenainya:
I. Perkara itu harus sekiranya dia telah benar-benar bersedia untuk berangkat.
Beliau merujuk satu peristiwa yang diriwayatkan oleh al-Daru Qutniy daripada Muhammad bin Ka’ab. Muhammad berkata: Saya datang ke rumah Anas bin Malik r.a. pada bulan Ramadhan. Ketika itu hari sudah hampir maghrib. Dia sedang bersiap-siap untuk musafir. Kenderaannya telah tersedia dan dia telah menyarungkan baju safarnya. Maka dia meminta supaya dibawakan makanan untuknya. Dia makan, kemudian terus menunggang kenderaannya. Aku bertanya: ”Adakah ini sunnah?”, dia menjawab: ”Ya!”.
Al-Hasan al-Basri berkata: dia boleh berbuka di rumahnya kalau dia mahu pada hari dia hendak musafir
II. Menurut Ishaq, dia harus berbuka apabila meletakkan kaki di atas kenderaannya.
III. Imam Ahmad berpendapat dia hanya bolah berbuka setelah meninggalkan rumahnya. Kata Ibn al-Munzir, pendapat Ahmad inilah yang sahih kerana seseorang yang pada awalnya sihat, tiba-tiba jatuh sakit, dia harus berbuka pada hari itu. Begitu juga seseorang yang paginya bermukim kemudia musafir tengaharinya, maka harus baginya berbuka.
IV. Segolongan fuqahak, iaitu al-Zuhriy, Makhul, Yahya al-Ansariy, Malik, al-Auza’eiy, al-Syafi’e, Abu Thur dan lain-lain berpendapat tidak harus berbuka bagi orang yang memulakan perjalanan waktu siang, iaitu setelah dia berpuasa sebahagiannya.

Tuesday, August 18, 2009

Waktu Isyak

Soalan

Salam Ustazah, saya inginkan penjelasan mengenai waktu untuk kita menunaikan solat Isyak. Saya dengar ada orang berkata Waktu Isyak bermula daripada mega merah sehingga pertengahan malam yang pertama, iaitu berada pada jarak masa pukul 1.00 pagi hingga ke pukul 2.00 pagi. Jika kita solat Isyak pada pukul 3.00 atau 4.00 pagi, ia diibaratkan seperti solat Subuh pada pukul 9.00 pagi.
Mohon penjelasan.
Terima kasih.

Jawapan

Salam

Waktu Isyak bermula apabila berakhirnya waktu maghrib. Ia berterusan sehingga terbit fajar sadiq. Tetapi waktu ikhtiar bagi solat isyak ialah anda tidak melewatkannya lebih daripada 1/3 pertama daripada malam.
Yang dimaksudkan dengan fajar sadiq ialah cahaya yang berselerak memanjang dan
mendatar di sebelah timur. Ia merupakan pantulan cahaya matahari yang diterima dari jarak yang jauh. Kemudian cahaya ini meninggi ke arah langit sedikit demi sedikit sehinggalah terbit matahari.
Dalil yang menunjukkan permulaan, penghujung dan waktu ikhtiar bagi waktu isyak ialah hadis yang membicarakan waktu-waktu solat yang diriwayatkan oleh Muslim (681) dan lainnya daripada Abi Qatadah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya tidur itu bukanlah satu kecuaian. Tetapi kecuaian ialah orang yang tidak mendirikan solat sehinggalah datang waktu solat yang lain".
Hadis ini menunjukkan bahawa waktu solat tidak akan berakhir kecuali setelah masuk waktu solat yang lain kecuali waktu subuh. Ia tidak termasuk dalam kaedah yang umum ini.
(Kitab Fekah Mazhab Syafie, jil 1, hal 142, Pustaka Salam 2005)

Wednesday, August 5, 2009

TAWASSUL

Soalan:

assalamualaikum,ustazah

sebenarnya boleh ke kita bertawasul apabila kita berdoa?saya ada terbaca satu artikel yang ada mengatakan bahawa salah satu cara agar doa kita dimakbulkan adalah dengan cara bertawasul dengan seseorang yang dikasihiNya iaitu Rasulullah s.a.w...boleh ustazah huraikan?

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Tawassul bermaksud berdoa kepada Allah dengan perantaraan makhluk. Contohnya: “Ya Allah dengan kemuliaan si fulan itu di sisiMu, sembuhkanlah penyakitku ini” atau seumpamanya. Berbagai-bagai pendapat dikemukakan mengenainya. Menurut Imam Hasan al-Banna di dalam risalah Ta’limnya, Doa yang dikaitkan dengan tawasul kepada Allah menggunakan perantaraan salah satu makhlukNya adalah perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang bersifat cabang. Masalah ini lebih kepada masalah dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah.
Di dalam kitab ‘At-Tawassul: Anwa’uhu wa Ahkamuhu’, al-Albani menyatakan bahawa hanya tiga jenis tawassul yang harus:
1. Bertawassul dengan Nama Allah Yang Maha Indah (Asama’ al-Husna) atau SifatNya Yang Maha Tinggi. Contohnya: Ya Allah, tiada tuhan melainkan Engkau, aku memohon kepadaMu dengan NamaMu Yang Indah, SifatMu Yang Tinggi, sampaikanlah hajatku ini....
2. Bertawassul dengan amal soleh yang pernah dilakukan oleh orang yang berdoa itu. Contohnya: Ya Allah, dengan sebab aku beriman kepadaMu, aku mengikut sunnah Nabimu, aku berbakti kepada kedua ibu bapaku, ampunkanlah dosa-dosaku.
3. Bertawassul dengan meminta seseorang yang soleh berdoa untuk kita. Contohnya: kita berada dalam keadaan yang amat tertekan dan kita sedar diri kita banyak kelemahan, banyak dosa dan sering cuai dalam melaksanakan perintahNya. Maka kita meminta seseorang yang diketahui alim dan wara’ supaya berdoa kepada Allah agar meringankan masalah yang kita hadapi.

Wednesday, June 17, 2009

Suami Beri Zakat Kepada Isteri

Soalan

Assalamualaikum ustazah,
Bolehkah seorang suami yang ingin membayar zakat pendapatan tahunannya memberikannya kepada isterinya yang masih menuntut Phd (tiada penaja) dan tiada sumber2 kewangan lain?
Jazakallah khairan kathira.

Wassalam

Jawapan

Wa'alaikumus-Salam wr.wb.
Antara syarat penerima zakat ialah: Tidak berada di bawah tanggungan pengeluar zakat. Oleh sebab itu, zakat tidak boleh diberikan kepada ibu bapa dan anak-anak. Tidak harus juga diberi kepada isteri.
Perlu diberi perhatian di sini, tidak harus diberi zakat kepada orang yang di bawah tanggungan jika mereka berada di bawah kategori fakir atau miskin. Tetapi sekiranya mereka termasuk di dalam kategori lain seperti berhutang atau fi sabilillah, maka orang yang menanggung dibolehkan memberi zakat harta kepada mereka (orang yang di bawah tanggungannya).
(Rujuk: Kitab Fikah Mazhab Syafie, jld 2, hal 410-411)

Thursday, June 4, 2009

Suami Menyamakan Isteri Dengan Binatang

soalan

Assalamualaikum,

Saya berusia 32 tahun sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai 2 orang anak. Apa yang menjadi kemuskilan saya disini ialah apa hukum nya suami menyamakan isteri dengan binatang seperti " BADAN MACAM BABI " untuk pengetahuan puan semasa suami saya meluahkan perkataan ini tiada apa-apa pertengkaran diantara kami.. Saya betul-betul terperanjat apa bila mendengar suami saya berkata demikian. Untuk pengetahuan puan size badan saya tidak boleh di kategori kan sebagai gemok cuma nampak berisi saya. Saya berharap puan dapat memberi jawapan pada soalan saya ini.


Sekian Terima Kasih
Wasallam ....

Jawapan

Salam.
Suami adalah pemimpin dalam rumahtangga. Sebagai pemimpin seorang suami wajiblah memiliki akhlak yang mulia dan menjadi contoh yang baik kepada ahli keluarga, terutama isteri dan anak-anak.
Allah perintahkan suami agar menggauli isteri dengan cara yang baik. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (An-Nisaa’:19)
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Orang yang paling baik dari kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku” (Riwayat at-Tirmizi)
Perkataan menyamakan isteri dengan binatang seperti yang dinyatakan di dalam soalan di atas adalah amat dikesali. Kata-kata seperti itu tidak wajar sama sekali dikeluarkan oleh suami yang diamanahkan oleh Allah agar menggauli isteri dengan cara yang makruf. Ia juga amat jauh dari apa yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis di atas.
Namun begitu dari segi hukum (hubungan suami isteri) tidak ada apa-apa kesan.

Sunday, May 31, 2009

Qurban Dan Aqiqah

Soalan:

Assalammaualaikum wr.wb

Kaifa haluki ya ustazah?Afwan ya ustazah ana ada sedikit soalan yg ingin ditanya seputar aqiqah dan ibadah qurban.
Ok langsung saja sebagai seorang anak ana ingin sekali berbakti pd orang tua dan ana pernah berhajat untuk membuatkan qurban untuk ayah dan ibu,Alhamdulillah qurban untuk ibu sudah terlaksana raya haji tahun lepas,insya Allah untuk ayah di tahun ini. Persoalannya ada yg bertanya pd ana,memangnya yani da aqiqah untuk yani,dan da qurban belum tuk yani sendiri,ya dari semua pertanyaan tersebut jawabannya belum,jujur bahkan orang tua sendiri belum di aqiqah,maklumla orang tua hidup di kampung pengetahuan tentang agma pun kurang termasukla ibadah aqiqah tuk anak2nya,dengan kurangnya pengetahua dan tak adanya biaya semua anak2nya yg lahir tidak di aqiqah termasuk saya sendiri.
Jadi apa yg perlu ana lakukan sekarang,di raya haji akan datang niat qurban untuk ayah haruskah berubah? dan mohon pada ustazah memberikan solusi yg terbaik dan termudah. Syukron.

Wassalammualaikum wr.wb

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wr.wb.
Aqiqah dan Qurban adalah 2 ibadah yang berlainan. saya cuba jelaskan satu demi satu supaya anda faham, insya Allah.
Pertama: Qurban.
Qurban adalah binatang ternakan yang disembelih untuk taqarrub kepada Allah pada hari raya haji (10 zulhijjah) dan 3 hari tasyriq selepasanya (11, 12, 13 zulhijjah).
Hukumnya sunat muakkad (yang sangat dituntut) ke atas orang yang mampu berdasarkan Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim daripada Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Tidak ada amalan yang paling disukai Allah dilakukan oleh anak Adam pada Hari Nahar (raya haji) selain menyembelih binatang ternakan. Sesungguhnya binatang yang disembelih itu akan datang (sebagai saksi) pada Hari Qiamat nanti dengan tanduk dan kuku-kukunya. Dan darah itu sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi (menunjukkan kepantasan Allah menerima dan memberi pahala terhadap sembelihan itu). Maka senangkanlah jiwamu dalam melakukan qurban itu".
Qurban juga merupakan sunat kifayah, iaitu jika dilakukan oleh salah seorang ahli keluarga, telah mencukupi untuk yang lain.
Kesimpulannya Qurban adalah sunat, bukan wajib. Al-Baihaqiy meriwayatkan bahawa Abu Bakar dan Umar r.a. tidak melakukan Qurban kerana takut orang akan faham ianya wajib pada hal ia sunat. Ia sunat dilakukan oleh muslim yang berkemampuan, tidak sah dilakukan untuk orang lain sama ada yang masih hidup atau telah mati. Tetapi jika si mati berwasiat agar dilakukan qurban untuknya, maka sah dilakukan. (Mughni al-Muhtaj j.4, hal 282-292).

Kedua: Aqiqah
Maksud Aqiqah adalah binatang yang disembelih ketika mencukur rambut bayi yang baru lahir.
Hukumnya juga sunat muakkad kerana terdapat beberapa Hadis yang menggalakkannya. Ia disunatkan ke atas orang yang bertanggungjawab memberi nafkah kepada bayi itu. Kalau bayi di bawah tanggungan ayah, sunat ke atas ayah. Jika bayi di bawah tanggungan ibu (contoh ayah sudah meninggal atau anak zina) sunat ke atas ibu jika berkemampuan dengan hartanya sendiri. Tidak boleh dibuat aqiqah dengan harta bayi (jika bayi ada harta peninggalan ayah atau ibunya mungkin).
Waktu Aqiqah: bermula waktu diharuskan Aqiqah ialah keluar semua tubuh bayi dari perut ibunya. Jika dilakukan sebelum itu tidak dikira aqiqah. Afdhal dilakukan pada hari ke 7. Pada hari itu sunat dicukur rambut dan diberi nama.
Jika tidak mampu pada hari ke 7 maka sunat dilakukan pada bila-bila masa apabila ada kemampuan sehingga anak itu baligh. Sekiranya tidak mampu sampai anak itu baligh, maka luputlah waktunya.
Menurut pendapat ulamak Mazhab Syafi'e, sunat dibuat Aqiqah untuk diri sendiri sebagai melengkapi apa yang telah luput. (ibid. hal 293-296)
Allahu A'lam. Diharap menerangan itu dapat merungkai kekeliruan anda.
Wassalam.

Wednesday, May 20, 2009

Menonton Wayang

Soalan:

Salam Ustazah,
saya nak tanya soaln pada ustazah,harap ustazah xkeberatan nak menjawabnya..
dulu semase di malaysia,saya dan kwn2 perempuan saya ade pergi ke panggung wayang utk menonton citer2 komedi atau cartoon..
pada 1 ari ade sorg sahabat saya ckp,pergi panggung wlpn dgn kwn2 perempuan,itu samala seperti kte membiarkan diri kte bergaul bebas..pergi ke kawasan2 tertutup yg mengundang dosa..dan ada jugak yg cakap,samala mcm kte pergi disco wlpn kte hanya pergi masuk dan tidak minum bir n sbgnya..
dan kalo kte mati pada ketika itu, mati kite sia2..

disbbkan itu saya dah xpergi ke panggung wayang dgn kwn2 perempuan saya..tapi,ape hukum die sbnarnye ustazah?
saya pergi ngan kwn2 perempaun sahaje,juz tgk movie n slpas hbs movie kami pulang dgn xpk pape.
kalo kite lihat,dlm panggung tu memg bermacam ragam manusia,mereka dtg dgn tujuan masing2 yg kte sdr xtau..tapi bagaimana dengan tindakan kte yg pergi tgk movie bersama2 ngan kwn2 utk tgk movie sahaja..
wlpn movie tu bole ditonton dirumah,tapi kdg2 ada jugak terase nak keluar bersama2 kwn2..

wasalam..=)

Jawapan:

Salam,

Menurut Islam, perkara haram terbahagi kepada 2:
1. Haram lizatihi
2. Haram lighairihi
Yang pertama bermaksud pengharaman sesuatu perkara itu kerana keburukan atau kemudaratan perkara tersebut. contohnya haram minum arak, makan bangkai, mencuri, berzina, mengumpat dan sebagainya. semua itu haram kerana keburukan dan kemudaratannya kepada manusia.
Yang kedua bermaksud, sesuatu perkara yang diharamkan kerana ia boleh membawa kepada perkara yang haram atau untuk mengelak daripada berlakunya sesuatu yang haram. dengan kata lain, ia haram bukan kerana sifatnya yang buruk atau memudaratkan, tetapi kerana sesuatu sebab yang mendatang, atau ia menjadi punca/penyebab kepada sesuatu yang haram. contohnya sebiji epal yang dicuri, haram dimakan bukan kerana epal itu memudaratkan tetapi kerana ia hasil curi. Lelaki dan perempuan bukan mahram duduk berduaan di tempat sunyi, tidak bahaya tetapi perbuatan itu boleh membawa kepada zina, maka ia diharamkan.
Jadi berbalik kepada soalan anti, nak tentukan harus atau tidak perbuatan itu, perlu dilihat beberapa aspek:
1. movie yang ditonton
2. niat menonton
3. tempat menonton dan suasananya
4. implikasi semasa dan selepas menonton (contoh: tinggal solat dll).
semua faktor ini mempengaruhi keputusan yang perlu dibuat; harus atau tidak, halal atau haram.
saya harap, apa yang saya bentangkan anti boleh faham serta dapat menjadikannya sebagai landasan dalam membuat sesuatu tindakan.
wassalm

Thursday, May 14, 2009

Download al-Quran

Soalan

Salam ustazah,

saya ada 1 soaln nk tujukan pada ustazah...
apa hukum mendownload al-quran secare pirate,sepatutnya al-quran itu perlu dibeli tapi kami hack...kalo secara zahir,perbuatan itu sama dengan mencuri hak org..kalo kami gune sofware itu,n bace al quran ngan mengunakan sofware yg kami dowload tapa kebenaran tu..adakah amalan kte xditerima?

harap ustazah dapat membantu..
wasalam.

Jawapan

Salam

Membaca gaya soalan, saya dapat mengagak bahawa saudari sendiri menyedari perbuatan itu tidak baik. bayangkan kalau kita sendiri berpenat menghasilkan sesuatu, kemudian orang lain guna dengan senang hati tanpa minta izin dengan kita, apa perasaan kita?

Masalah sama ada amalan kita diterima atau tidak, Allah jua yang Maha Mengetahui. Kalau kita rujuk hukum fiqh, ulamak ada bincang tentang orang pergi haji dengan duit haram (hasil curi, judi atau sebagainya) solat dengan memakai pakaian yang dicuri dan seumpamanya, mereka berkata perbuatan mencuri itu adalah berdosa namun ibadah yang dilakukan adalah sah jika sempurna rukun serta syaratnya.

Jadi kalau kita ambil atau guna hak orang tanpa izin, sepatutnya kita mohon maaf dan minta halal dengan tuannya. ibadah atau amal kebaikan yang kita lakukan, mohonlah kepada Allah agar Dia menerimanya.

Sujud Sajadah

Soalan

salam ustzh...
saya nak tanya..tentang :
1.bolehkah sujud sajadah dilakukan selain daripada waktu solat subuh hari jumaat?contohnya pada solat zohor hari sabtu atau sebagainya.
2.jika hendak melakukan sujud syukur dan sujud tilawah perlukan, mengambil wuduk terlebih dahulu?
3.apakah kelebihan melakukan sujud tilawah,sykur dan sajadah.
terima kasih ustazah kerana menjawad soalan saya ini.

Jawapan

Salam.
1. Sujud sajadah adalah sunat apabila kita membaca al-Quran dan sampai pada ayat-ayat tertentu yang disunatkan sujud, tidak kira sama ada di dalam solat atau di luar solat, solat subuh hari jumaat atau solat-solat lain. Sunat bagi orang yang membaca dan yang mendengar bacaan. Bila tiba saja pada ayat-ayat yang disunatkan sujud, sunatlah kita sujud tilawah atau sujud sajadah. Ayat-ayat itu adalah: Al-A'raf:206, ar-Ra'd:15, an-Nahl:50, al-Isra':109, Maryam:58, al-Hajj:18 dan 77, al-Furqan:60, as-Sajadah:15 (selalu dibaca waktu solat subuh hari jumaat), Sod:24, Fussilat:38, an-Najm:62, al-Insyiqaq:21, al-'Alaq:19. (semuanya 14 tempat. walau bagaimanapun, pada surah sod ayat 24 hanya sunat sujud kalau baca di luar solat sahaja. Kalau baca di dalam solat tidak harus sujud).

2. Menurut Mazhab Syafi'e, syarat sujud sajadah sama dengan syarat solat, iaitu suci dari hadas kecil dan besar, tutup aurat, mengadap qiblat dan lain-lain.

3. Semua sujud itu hukumnya sunat. Jika dilakukan dapat pahala. Jika tidak, rugilah. Tak dapat pahala.

Sunday, April 12, 2009

Non Muslim Baca Ayat al-Quran

Soalan:

Salam,
Apa pendapat ulama' JIM atau bukan JIM dalam isu-isu begini :
1. Non-muslim baca ayat Quran dan terjemahan.
2. Non-muslim baca ayat Quran untuk kempen pilihanraya.
3. Non-muslim beri salam baik yang ringkas atau yang panjang.
4. Non-muslim mengakhir i ucapan dengan Wabilla hi taufik wal hidayah ...dsb.
5. Non-muslim menjawab salam pula dari orang Islam baik secara ringkas atau panjang.

Nota : Dalam isu nama Allah ada bantahan, tapi isu salam - "As-Salam" adalah salah satu nama Allah juga. Ayat al-Quran walaupun boleh dibaca oleh non-muslim tetapi bukankah lebih 'bijak' membaca terjemahan sahaja ? Tafsir quran pun tidak boleh guna akal tetapi kena rujuk pada yang ahli. Ada orang terang dekat non-muslim ke bab-bab ni ? Klau tak ada garis pandu yang jelas, mungkinkah satu hari nanti ayat-ayat Quran akan dipermainkan ?

Tujuan soalan dilontarkan untuk tahu sahaja supaya ana jelas.

Jawapan:

Salam,
Ana bukanlah ulamak yang layak menjawab dan memberi kata putus dalam hal ini. Hanya sekadar ingin berkongsi pandangan berdasarkan kefahaman yang cetek mengenai Islam dan kitab suci yang Allah turunkan.
Kebanyakan orang Islam masih di belenggu pemikiran yang sempit dan terbatas. Dengan pemikiran yang sempit itu mereka mengurung Islam dan segala yang berkaitan dengannya di dalam penjara yang khusus dan ekslusif. Tidak boleh diusik dan disentuh oleh orang yang mereka namakan bukan Islam. Seolah-olah nama bukan Islam itu suatu nama yang kotor, yang dipatrikan dan akan kekal dengan nama itu buat selama-lamanya. Maka idea untuk memperkenal dan mengajak mereka kepada Islam tidak timbul sama sekali. Apabila berlaku sedikit kebocoran daripada khazanah Islam yang dipasung itu, apabila orang bukan Islam dapat mengutip satu dua ayat dan membacanya, maka heboh dan kecohlah satu kampong tak ubah suasana mengejar anak ayam yang terlepas dari reban.
Kita balik kepada al-Quran dan sirah Rasulullah SAW.
Al-Quran sendiri menceritakan bahawa Nabi Sulaiman AS memulakan suratnya yang ditujukan kepada Ratu Saba' yang menyembah matahari dengan basmalah.
Nabi Muhammad SAW di dalam surat-surat yang diutus kepada raja-raja Habasyah, Mesir, Parsi, Rom, Uman dan sebagainya, semuanya dimulakan dengan basmalah dan dimasukkan pula di dalam surat itu petikan ayat suci al-Quran surah Ali'Imran 3:64. Apakah tujuan baginda menyelitkan ayat al-Quran di dalam suratnya? Tidakkah baginda bimbang mereka akan menghina dengan mengoyak atau memijak-mijaknya? Atau adakah baginda telah mengenal pasti bahawa penerima surat itu akan membaca dengan betul makhraj dan tajwidnya?
Berbalik kepada orang bukan Islam yang memetik ayat al-Quran dan membacanya untuk tujuan kempen, memberi salam dan menjawab salam, kita perlu lihat beberapa perkara:
1. Adakah terdapat tanda-tanda mereka membaca itu dalam nada mengejek, nampak tanda-tanda ada niat untuk mempersenda dan mempermain-mainkann ya?
2. Atau ayat itu dibaca untuk menarik perhatian orang Islam terhadap tanggungjawab mereka sebagaimana yang dituntut oleh kitab suci mereka sendiri? Hal ini bukankah sama dengan kalau orang Islam mengajak orang bukan Islam (Kristian misalnya) menghayati sesuatu kebaikan dengan memetik beberapa potong ayat daripada bible?
3. Andaikata mereka membacakan ayat-ayat kitab agama mereka di hadapan kita penganut Islam, apa pula reaksi kita? Adakah kita akan melenting dan berkata mereka cuba meracuni fikiran kita dengan mendakyah agama mereka?
4. Tentang orang bukan Islam memberi ucapan salam, al-Hafiz Ibn Kathir menyebut di dalam kitab tafsirnya, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Apabila seseorang ahli kitab (orang bukan Islam) memberi salam kepada kamu, maka jawablah: 'alaika" Maksud 'alaika ialah atas kamu. Kata Ibn Kathir, ertinya atas kamu apa yang kamu ucapkan. Maknanya kalau mereka berniat baik, mereka akan dapat kebaikan. Kalau sebaliknya, mereka juga akan menerima padahnya. Kita lihat adakah Nabi SAW larang mereka bagi salam? Adakah Nabi buat undang-undang dan akta orang bukan Islam tak boleh guna ucapan salam yang orang Islam guna? Tidak. Malah Nabi dengan penuh bijaksana mengajar umatnya agar menjawab salam mereka secara bijaksana.
AllahuA'lam,

Thursday, April 9, 2009

Kelebihan Surah al-Waqi'ah

Soalan:

Apa kelebihan baca surah al-Waqiah?
kenapa kalau diamalkn takkan papa di dunia?

Jawapan:

Salam.
Ada beberapa riwayat mengenai surah al-Waqi'ah.
1. Abu Zhibyah berkata: Abdullah bin Mas'ud RA telah jatuh sakit, sakit yang membawa kepada berakhir hayatnya di dunia. Usman bin 'Affan datang menziarahinya. Usman bertanya: Apa yang membuat kamu mengaduh? Abdullah menjawab: Dosa-dosaku. Usman berkata: Apakah yang kamu teringin? Abdullah menjawab: Rahmat Tuhanku. Usman berkata lagi: Mahukah aku perintahkan seorang doktor datang merawatmu? Abdullah menjawab: Sudah ada doktor yang merawatku. Usman berkata lagi: Mahukah aku perintahkan agar dibawa hadiah (berupa harta) untukmu? Abdullah menjawab: Aku tidak perlu lagi kepada harta. Usman berkata: Ia untuk kegunaan puteri-puterimu selepas ketiadaanmu. Abdullah menjawab: Adakah engkau bimbang puteri-puteriku akan ditimpa kefakiran? Sesungguhnya aku telah menyuruh mereka membaca surah al-Waqi'ah setiap malam. Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang membaca surah al-Waqi'ah setiap malam dia tidak akan ditimpa kefakiran selama-lamanya". Riwayat Ibn 'Asakir dan Abu Ya'la.
2. Jabir bin Samurah RA berkata: Rasulullah SAW solat lima waktu seperti kamu (tabi'in) solat hari ini, tetapi baginda meringankan solatnya. Solat baginda lebih ringan daripada solat kamu. Baginda membaca surah al-Waqi'ah di dalam solat subuh dan surah-surah (yang pendek) sepertinya. Riwayat Imam Ahmad.

Sunday, April 5, 2009

Berkahwin Dengan Pengikut Syi'ah

Soalan:
Assalamualaikum.........
Ustazah saya ada beberapa persoalan. Di harap dapat membantu....

1)Saya ingin mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan fahaman syiah sebagaimana yg diikuti oleh ramai orang2 islam di timur tengah.Adakah ia bertentangan dgn ajaran Islam sebenar.Adakah sbg seorang pengikut Imam Syafie kita boleh mengahwini seorang yang berfahaman Syiah?

2)Mengikut apa yang saya fahami penerangan Ustazah di radio. Jika kita ingin melakukan puasa qhada' dan sunat (Syawal contohnya) bersekali. Kita hanya perlu meniatkan puasa qadha' itu sahaja.Tetapi, apa yang pernah saya dan ibu lakukan sebelum ini kami meniatkan kedua2 dan kadangkala dalam niat tersebut puasa sunat trlebih dahulu disebut barulah puasa qadha.Adakah puasa itu boleh dikira sah.Dan adakah ia dikira sbg puasa sunat atau qadha'.Perlukah kami mengkada' kembali puasa kami yang lalu.

3)Apakah batas aurat perempuan dengan adik ipar lelaki atau abg ipar dan juga dengan suami ibu saudara.

Jawapan:
wa'alaikumus-salam wr.wb.

1. kumpulan syi'ah berasal drpd orang yang menyokong Sayyidina Ali dan mendakwa beliaulah yang berhak dilantik menjadi khalifah selepas kewafatan Nabi SAW atas wasiat baginda. mereka mendakwa para sahabat telah menyelewengkan wasiat itu dan menghukum para sahabat sebagai kafir atau fasiq. banyak masalah pokok dan cabang bercanggah antara syiah dan ahli sunnah. meskipun ahli sunnah tidak pernah menganggap mereka kafir, namun sebolehnya elakkan berkahwin dengan mereka.

2. mensekalikan puasa qada' dan sunat, harus. niatnya (dalam hati) perlu disebut qada' terlebih dahulu atau sebut qada' sahaja. kalau sebut sunat dulu hanya sah untuk sunat sahaja. ertinya yang sunat boleh menumpang pada yang wajib tapi yang wajib tidak boleh menumpang pada yang sunat.

3. aurat wanita dengan adik/abg ipar dan suami emak saudara sama dengan lelaki ajnabi (bukan mahram)

Onani

Soalan:
Assalamu'alaikum...

Ustazah, ada beberapa soalan ingin saya tanyakan iaitu:

1) Apakah hukumnya dalam Islam seseorang lelaki atau perempuan yang melakukan onani

2) Apakah yang dimaksudkan dengan onani secara terperinci

Syukran Jazilan ya ustazah

Jawapan:
Wa'alaikumus-salam wr.wb.

untuk mengetahui maksud onani, saudari boleh merujuk website:
http://www.megasutra.com/modules.php?name=AvantGo&op=ReadStory&sid=2302
atau lain-lain.

Menurut Dr. Abd Karim Zaidan di dalam kitabnya (al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ah), perbuatan itu adalah haram berdasarkan ayat 5-7 surah al-Mu'minun yang maksudnya:
"Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas".
Di dalam ayat di atas Allah hanya menyebut satu cara saja yang halal, iaitu hubungan dengan isteri dan hamba. selain itu adalah dicela dan melampaui batas.
Namun terdapat pengecualian bagi seseorang yang tidak dapat mengawal nafsu, di mana jika tidak melancap, dia akan berzina. Maka harus baginya sekadar mengelakkan diri dari zina asalkan ia tidak menjadikannya sebagai kebiasaan.
Sebaik-baik penyelesaian untuk mengelakkan zina ialah kahwin atau puasa.

(jld 5 m.s. 52-53)

PAKAI INAI SELEPAS IHRAM

Soalan:
Apakah hukumnya jemaah haji wanita memakai inai ketika berada di dalam ihram?

Jawapan:

Antara sunat-sunat ihram bagi wanita (yang bukan di dalam iddah kematian suami) menginaikan tapak tangan (depan dan belakang) hingga ke pergelangan dan menyapu sedikit di muka untuk melindungi kulit wajahnya kerana pada asalnya wanita disuruh menutupnya. Namun makruh ke atas mereka mengukir, menghitam dan memakai di hujung-hujung jari sahaja (kecuali bagi isteri yang mendapat keizinan suami). Makruh juga bagi wanita memakai inai selepas berihram.

Kitab al-Idah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, ms: 129 – 130