Wednesday, June 17, 2009

Suami Beri Zakat Kepada Isteri

Soalan

Assalamualaikum ustazah,
Bolehkah seorang suami yang ingin membayar zakat pendapatan tahunannya memberikannya kepada isterinya yang masih menuntut Phd (tiada penaja) dan tiada sumber2 kewangan lain?
Jazakallah khairan kathira.

Wassalam

Jawapan

Wa'alaikumus-Salam wr.wb.
Antara syarat penerima zakat ialah: Tidak berada di bawah tanggungan pengeluar zakat. Oleh sebab itu, zakat tidak boleh diberikan kepada ibu bapa dan anak-anak. Tidak harus juga diberi kepada isteri.
Perlu diberi perhatian di sini, tidak harus diberi zakat kepada orang yang di bawah tanggungan jika mereka berada di bawah kategori fakir atau miskin. Tetapi sekiranya mereka termasuk di dalam kategori lain seperti berhutang atau fi sabilillah, maka orang yang menanggung dibolehkan memberi zakat harta kepada mereka (orang yang di bawah tanggungannya).
(Rujuk: Kitab Fikah Mazhab Syafie, jld 2, hal 410-411)

Thursday, June 4, 2009

Suami Menyamakan Isteri Dengan Binatang

soalan

Assalamualaikum,

Saya berusia 32 tahun sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai 2 orang anak. Apa yang menjadi kemuskilan saya disini ialah apa hukum nya suami menyamakan isteri dengan binatang seperti " BADAN MACAM BABI " untuk pengetahuan puan semasa suami saya meluahkan perkataan ini tiada apa-apa pertengkaran diantara kami.. Saya betul-betul terperanjat apa bila mendengar suami saya berkata demikian. Untuk pengetahuan puan size badan saya tidak boleh di kategori kan sebagai gemok cuma nampak berisi saya. Saya berharap puan dapat memberi jawapan pada soalan saya ini.


Sekian Terima Kasih
Wasallam ....

Jawapan

Salam.
Suami adalah pemimpin dalam rumahtangga. Sebagai pemimpin seorang suami wajiblah memiliki akhlak yang mulia dan menjadi contoh yang baik kepada ahli keluarga, terutama isteri dan anak-anak.
Allah perintahkan suami agar menggauli isteri dengan cara yang baik. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (An-Nisaa’:19)
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Orang yang paling baik dari kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku” (Riwayat at-Tirmizi)
Perkataan menyamakan isteri dengan binatang seperti yang dinyatakan di dalam soalan di atas adalah amat dikesali. Kata-kata seperti itu tidak wajar sama sekali dikeluarkan oleh suami yang diamanahkan oleh Allah agar menggauli isteri dengan cara yang makruf. Ia juga amat jauh dari apa yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis di atas.
Namun begitu dari segi hukum (hubungan suami isteri) tidak ada apa-apa kesan.