Sunday, August 30, 2009

Keharusan Berbuka Bagi Musafir

Soalan:

Salam Ustazah,

Mohon penjelasan hukum berbuka puasa di bulan Ramadhan bagi musafir. Jazakillah.

Jawapan:

Salam.

Musafir diharuskan berbuka puasa di bulan Ramadhan kemudian diganti pada hari-hari yang lain berdasakan firman Allah yang bermaksud: ”.... maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;....” (Al-Baqarah:184)
Keharusan ini adalah bagi mereka yang musafir kerana melakukan ibadah seperti menunaikan haji dan berjihad, dan menjalankan urusan kehidupan yang dituntut oleh Syara’ seperti berniaga, menziarahi keluarga dan seumpamanya. Adapun musafir kerana melakukan maksiat, maka menurut pendapat yang lebih rajih tidak harus berbuka.

Ulamak bersepakat bahawa orang yang musafir di bulan Ramadhan tidak harus berniat untuk berbuka semata-mata kerana niat untuk musafir. Contohnya seseorang bercadang untuk keluar musafir esok hari, maka tidak harus pada malam sebelumnya dia berniat tidak akan puasa esok kerana dengan niat untuk musafir dia belum dikira musafir. Mereka juga bersepakat bahawa tidak harus berbuka bagi mereka yang baru bercadang untuk musafir pada hari itu.
Sekiranya dia telah benar-benar bersedia untuk keluar, haruskah dia berbuka sebelum keluar dari rumahnya? Imam al-Qurtubiy mengemukakan beberapa pandangan ulamak mengenainya:
I. Perkara itu harus sekiranya dia telah benar-benar bersedia untuk berangkat.
Beliau merujuk satu peristiwa yang diriwayatkan oleh al-Daru Qutniy daripada Muhammad bin Ka’ab. Muhammad berkata: Saya datang ke rumah Anas bin Malik r.a. pada bulan Ramadhan. Ketika itu hari sudah hampir maghrib. Dia sedang bersiap-siap untuk musafir. Kenderaannya telah tersedia dan dia telah menyarungkan baju safarnya. Maka dia meminta supaya dibawakan makanan untuknya. Dia makan, kemudian terus menunggang kenderaannya. Aku bertanya: ”Adakah ini sunnah?”, dia menjawab: ”Ya!”.
Al-Hasan al-Basri berkata: dia boleh berbuka di rumahnya kalau dia mahu pada hari dia hendak musafir
II. Menurut Ishaq, dia harus berbuka apabila meletakkan kaki di atas kenderaannya.
III. Imam Ahmad berpendapat dia hanya bolah berbuka setelah meninggalkan rumahnya. Kata Ibn al-Munzir, pendapat Ahmad inilah yang sahih kerana seseorang yang pada awalnya sihat, tiba-tiba jatuh sakit, dia harus berbuka pada hari itu. Begitu juga seseorang yang paginya bermukim kemudia musafir tengaharinya, maka harus baginya berbuka.
IV. Segolongan fuqahak, iaitu al-Zuhriy, Makhul, Yahya al-Ansariy, Malik, al-Auza’eiy, al-Syafi’e, Abu Thur dan lain-lain berpendapat tidak harus berbuka bagi orang yang memulakan perjalanan waktu siang, iaitu setelah dia berpuasa sebahagiannya.

Tuesday, August 18, 2009

Waktu Isyak

Soalan

Salam Ustazah, saya inginkan penjelasan mengenai waktu untuk kita menunaikan solat Isyak. Saya dengar ada orang berkata Waktu Isyak bermula daripada mega merah sehingga pertengahan malam yang pertama, iaitu berada pada jarak masa pukul 1.00 pagi hingga ke pukul 2.00 pagi. Jika kita solat Isyak pada pukul 3.00 atau 4.00 pagi, ia diibaratkan seperti solat Subuh pada pukul 9.00 pagi.
Mohon penjelasan.
Terima kasih.

Jawapan

Salam

Waktu Isyak bermula apabila berakhirnya waktu maghrib. Ia berterusan sehingga terbit fajar sadiq. Tetapi waktu ikhtiar bagi solat isyak ialah anda tidak melewatkannya lebih daripada 1/3 pertama daripada malam.
Yang dimaksudkan dengan fajar sadiq ialah cahaya yang berselerak memanjang dan
mendatar di sebelah timur. Ia merupakan pantulan cahaya matahari yang diterima dari jarak yang jauh. Kemudian cahaya ini meninggi ke arah langit sedikit demi sedikit sehinggalah terbit matahari.
Dalil yang menunjukkan permulaan, penghujung dan waktu ikhtiar bagi waktu isyak ialah hadis yang membicarakan waktu-waktu solat yang diriwayatkan oleh Muslim (681) dan lainnya daripada Abi Qatadah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya tidur itu bukanlah satu kecuaian. Tetapi kecuaian ialah orang yang tidak mendirikan solat sehinggalah datang waktu solat yang lain".
Hadis ini menunjukkan bahawa waktu solat tidak akan berakhir kecuali setelah masuk waktu solat yang lain kecuali waktu subuh. Ia tidak termasuk dalam kaedah yang umum ini.
(Kitab Fekah Mazhab Syafie, jil 1, hal 142, Pustaka Salam 2005)

Wednesday, August 5, 2009

TAWASSUL

Soalan:

assalamualaikum,ustazah

sebenarnya boleh ke kita bertawasul apabila kita berdoa?saya ada terbaca satu artikel yang ada mengatakan bahawa salah satu cara agar doa kita dimakbulkan adalah dengan cara bertawasul dengan seseorang yang dikasihiNya iaitu Rasulullah s.a.w...boleh ustazah huraikan?

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Tawassul bermaksud berdoa kepada Allah dengan perantaraan makhluk. Contohnya: “Ya Allah dengan kemuliaan si fulan itu di sisiMu, sembuhkanlah penyakitku ini” atau seumpamanya. Berbagai-bagai pendapat dikemukakan mengenainya. Menurut Imam Hasan al-Banna di dalam risalah Ta’limnya, Doa yang dikaitkan dengan tawasul kepada Allah menggunakan perantaraan salah satu makhlukNya adalah perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang bersifat cabang. Masalah ini lebih kepada masalah dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah.
Di dalam kitab ‘At-Tawassul: Anwa’uhu wa Ahkamuhu’, al-Albani menyatakan bahawa hanya tiga jenis tawassul yang harus:
1. Bertawassul dengan Nama Allah Yang Maha Indah (Asama’ al-Husna) atau SifatNya Yang Maha Tinggi. Contohnya: Ya Allah, tiada tuhan melainkan Engkau, aku memohon kepadaMu dengan NamaMu Yang Indah, SifatMu Yang Tinggi, sampaikanlah hajatku ini....
2. Bertawassul dengan amal soleh yang pernah dilakukan oleh orang yang berdoa itu. Contohnya: Ya Allah, dengan sebab aku beriman kepadaMu, aku mengikut sunnah Nabimu, aku berbakti kepada kedua ibu bapaku, ampunkanlah dosa-dosaku.
3. Bertawassul dengan meminta seseorang yang soleh berdoa untuk kita. Contohnya: kita berada dalam keadaan yang amat tertekan dan kita sedar diri kita banyak kelemahan, banyak dosa dan sering cuai dalam melaksanakan perintahNya. Maka kita meminta seseorang yang diketahui alim dan wara’ supaya berdoa kepada Allah agar meringankan masalah yang kita hadapi.