Tuesday, February 23, 2010

Masuk Masjid Ketika Haid

Soalan:

Asssalamualaikum Ustazah,

Adakah dibolehkankan syarak untuk wanita dalam haid duduk di mesjid bagi tujuan mendengar kuliah maghrib atau ceramah jika tidak ditakuti berlaku kebocoran/darah menitik.

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wr.wb

Boleh masuk dan lalu jika perlu seperti mengambil barang atau masjid merupakan laluan baginya tetapi tidak boleh duduk.
Ini merupakan pandangan majoriti ulamak. Antara dalil yang menjadi sandaran ialah:
1. Rasulullah s.a.w. berkata kepada Aisyah r.a. (maksudnya): "Tolong ambil kain saya di dalam masjid!" Aisyah menjawab: "Saya sedang haid". Baginda bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya haidmu bukan di tanganmu". Riwayat Muslim, Ibn Majah, Baihaqiy.
2. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Tidak dihalalkan masjid untuk orang haid dan junub". Riwayat Abu Daud.
3. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya masjid tidak dihalalkan untuk orang haid dan junub". Riwayat Ibn Majah.
Berdasarkan Hadis-hadis di atas, jelas bahawa 'illah atau sebab larangan adalah hadas, bukan sebab takut bocor atau menitik kerana kalau sebabnya takut bocor atau menitik, orang yang berjunub tidak dilarang.

Monday, February 8, 2010

Masalah Mandi Wajib

Soalan

Assalamualaikum.

Ustazah,

Semoga ustazah di dalam keadaan sihat sejahtera.

Saya ada persoalan tentang mandi junub. Baru-baru ini seorang sahabat memberitahu dia ada menonton siaran di TV 9, Tanyalah Ustaz. Ustaz yang bersiaran mengatakan sudah perlu mandi wajib sekiranya kemaluan suami bertemu kemaluan isteri tanpa terjadinya "penetration". Saya keliru kerana sebelum ini apa yang saya faham mandi junub wajib apabila berlaku persetubuhan.

Sekian, terima kasih.

Jawapan

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Imam Muslim meriwayatkan satu Hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Dan apabila khitan menyentuh khitan, maka wajib mandi"
Syaikh Ibn Hajar di dalam kitab Fath al-Bari berkata sentuh di sini adalah sindiran kepada persetubuhan kerana sentuh sahaja tanpa memasukkan zakar ke dalam kemaluan ijmak ulamak mengatakan tidak wajib mandi berdasarkan beberapa Hadis sahih yang lain. Bila dimasukkan, wajib mandi walaupun tidak keluar mani.

Allahu A'lam.