Wednesday, March 24, 2010

BERKAHWIN DENGAN PEREMPUAN YANG BERZINA

Soalan:

Salam Ustazah,

Hari ini banyaK berlaku apabila seseorang didapati mengandung, dan pihak keluarga dapat tahu anaknya pregnant luar nikah, cepat cepat dikahwinkan untuk menutup malu.

Apa hukumnya perkahwinan itu? Sah atau tidak?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:

Salam'alaik.

Fuqahak berbeza pendapat mengenai persoalan ini berdasarkan perbezaan kefahaman dan pentafsiran firman Allah yang bermaksud: “Lelaki yang berzina tidak berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula tidak berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. (An-Nur:3)

Apakah ‘tidak berkahwin’ di dalam ayat di atas bermaksud aqad nikah atau maksudnya bersetubuh? Menurut Ibn Abbas r.a. sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Kathir bahawa maksud berkahwin atau bernikah di dalam ayat tersebut ialah bersetubuh. Ertinya seorang lelaki tidak melakukan persetubuhan diluar nikah atau berzina kecuali dengan wanita yang rela melakukannya. Jadi kedua-duanya berzina, atau dengan perempuan musyrik yang memang tidak mengganggap zina itu haram! (Mukhtasor Tafsir Ibn Kathir, jld 2, m.s. 582)

Pandangan-pandangan yang diberi oleh fuqahak mengenai hukum berkahwin dengan perempuan hamil hasil zina adalah seperti berikut:

Mazhab Hanafi:

Imamnya Abu Hanifah dan muridnya Muhammad berkata wanita hamil hasil zina harus dinikahi kerana kandungan itu tidak sabit nasab kepada sesiapa. Tetapi tidak boleh disetubuhi sehinggalah dia melahirkan kandungannya berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, janganlah dia menyiram airnya ke atas tanaman orang lain!”

Selain itu, haram bersetubuh adalah kerana sebab mendatang seperti haram bersetubuh masa haid dan nifas. Maka ia tidak menghalang sahnya aqad.

Menurut Abu Yusuf, seorang murid Imam Abu Hanifah juga, mengahwini wanita yang hamil hasil zina tidak sah kerana satu daripada tujuan perkahwinan ialah jimak. Jika jimak tidak harus, maka tiada guna pernikahan.

Walaubagaimanapun, tiada perselisihan di kalangan ulamak Mazhab Hanafi tentang keharusan wanita hamil dikahwini oleh lelaki yang berzina dengannya, yang menyebabkan kehamilan itu dan harus baginya melakukan jimak sebelum bersalin dan dia (perempuan itu) berhak mendapat nafkah. (Al-Fatawa al-Hindiyyah, jld 1, m.s.280)

Mazhab Maliki

Bila seorang wanita berzina, tidak halal bagi orang yang mengetahui menikahinya kecuali setelah tamat idahnya; iaitu jika dia hamil, idahnya ialah melahirkan kandungannya. Jika tidak hamil, idahnya adalah tiga kali suci. (Al-Mughni, jil 6, m.s.601 dan al-Muhalla jil 10, m.s.28)

Mazhab Syafi’ei

Apabila seorang wanita berzina, tidak wajib ke atasnya beridah sama ada ia hamil atau tidak. Sekiranya dia tidak hamil, harus bagi lelaki yang berzina dengannya atau lelaki lain bernikah dengannya. Sekiranya dia hamil, maka makruh menikahinya sebelum dia bersalin. (Al-Majmuk, jil 15, m.s.398)

Mazhab Hanbali

Menurut fuqahak Mazhab Hanbali, tidak harus menikahi wanita yang telah berzina kecuali dengan dua syarat, iaitu dia telah bertaubat dan telah habis idahnya. Jika mengandung. Maka idahnya ialah bersalin. Jika tidak mengandung, maka idahnya tiga kali suci sama ada orang yang ingin menikahinya itu lelaki yang telah berzina dengannya atau lelaki lain.

Antara dalil yang menjadi sandaran pendapat mereka ialah:
1. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, jangan dia menyiram airnya ke atas tanaman orang lain!”. Maksud Hadis ini menyetubuhi wanita yang sedang hamil.
2. Diriwayatkan daripada Sa’eid bin al-Musayyab, seorang lelaki telah menikahi seorang perempuan. Apabila dia menyetubuhinya didapati perempuan itu sedang hamil. Dia mengadu kepada Nabi s.a.w. Maka baginda memisahkan mereka berdua. Perempuan itu diberikan maskahwinnya dan dikenakan hukuman sebata 100 kali. ((Al-Mughni, jil 6, m.s.601)

Mengenai syarat taubat, ia merupakan pandangan Mazhab Hanbali sahaja. Mazhab-mazhab lain tidak mensyaratkan taubat.

Fuqahak yang tidak mensyaratkan taubat berpegang kepada apa yang berlaku pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab di mana seorang lelaki dan seorang perempuan sama-sama dikenakan hukuman hudud, 100 kali sebatan. Umar berusaha untuk menyatukan keduanya tetapi lelaki itu enggan. Dan diriwayatkan juga bahawa seorang lelaki bertanya Ibn Abbas r.a. tentang hukum menikahi perempuan yang berzina. Beliau menjawab: “Harus. Bandingkan sekiranya dia mencuri buah kurma, kemudian dia membelinya. Tidakkah itu harus?”

Antara dalil Mazhab Hanbali ialah:
1. Firman Allah di dalam ayat 3 surah an-Nur yang telah disebut di atas. Dengan jelas dinyatakan bahawa pernikahan itu dilarang ke atas orang yang beriman. Jadi sebelum bertaubat, dia adalah seorang pezina. Tetapi jika telah bertaubat, hilanglah sifat itu sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Orang yang bertaubat dari dosa seperti orang yang tiada dosa”.
2. Abu Daud meriwayatkan bahawa Mirthad bin Abi Mirthad al-Ghanawi meminta izin dengan Nabi s.a.w. untuk menikahi seorang pelacur di Mekah bernama ‘Unaq. Nabi s.a.w. membacakan kepada Mirthad ayat ini (An-Nur:3) kemudian bersabda: “Jangan nikahinya!”

Saya secara peribadi cenderung kepada pendapat Mazhab Hanbali. Namun pihak yang lebih berkuasa seperti para mufti dan qadhi perlu berbincang dengan serius dan mengeluarkan fatwa yang benar-benar mantap bagi menangani gejala zina yang amat parah sekarang ini.

ALLAHU A'LAM.