Sunday, December 19, 2010

Memanjangkan Hujung Baju

Soalan

Salam Ustzh,
Maaf menganggu. Sy ada masalah inginkan penjelasan ustzh. Insya-Allah sy akan melangsungkan perkahwinan dlm bln jun thn dpn. Kini sebuk buat mcm2 persediaan, tentulah antarnya bju pengantin. Keluarga sy nak sy pakai bju yg hujungnya pnjg meleret tu, tp ada org bgtau bju mcm tu haram, Nabi s.a.w. larang umatnya pakai bju melebihi buku lali. Betul ke? Harap ustzh sudi jelaskan. Time kasih bebanyak.

Jawapan

Salam,
Pertama tahniah dari saya kerana akan bertemu jodoh. Mudah-mudahan perkahwinan anda diberkati. Untuk menjawab soalan yang saudari kemukakan, saya perturunkan di bawah ini ringkasan tulisan Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya, ‘al-mufassol fi ahkamil-mar’ah’, juzuk 3, halaman 326 – 329:
Ibn Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasululllah s.a.w. bersabda maksudnya, “Allah tidak melihat kepada orang yang mengheret hujung bajunya kerana sombong.” Riwayat al-Bukhari.
Mengheret hujung baju atau kain boleh berlaku dalam beberapa keadaan.
Pertama kerana baju itu longgar dan sering terlondeh secara tidak sengaja jika tidak diperkemaskan oleh pemakainya. Keadaan ini tidak haram.
Kedua sengaja melabuhkan baju atau kain melebihi buku lali menyebabkan setiap kali berjalan, maka baju itu terheret menyapu lantai. Keadaan ini dilarang. Al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya, “Apa yang di bawah dua buku lali daripada kain sarung yang dipakai, maka ia di dalam neraka.”
Kadar yang dibenarkan dan tidak dibenarkan.
Daripada Abi Sa’eid al-Khudri r.a. Nabi s.a.w. bersabda makasudnya, “Kain sarung seorang muslim adalah sekadar pertengahan betisnya. Tidak mengapa dan tidak berdosa jika dilabuhkan antara pertengahan betis hingga ke buku lali. Apa yang ke bawah daripada buku lali, maka ia di dalam neraka. Sesiapa yang mengheret kainnya dengan sombong, Allah tidak akan memandangnya.” Riwayat Abu Daud.
Pengecualian untuk wanita
Hadis di atas pada zahirnya merangkumi lelaki dan wanita. Inilah yang difahami oleh Ummu Salamah r.a. Beliau bertanya Nabi s.a.w. hukum wanita melabuhkan baju mereka kerana menutup aurat. Nabi menjawab bahawa wanita boleh melabuhkan baju mereka sekadar sejengkal (daripada pertengahan betis). Ummu Salamah bertanya lagi, “sekiranya tapak kaki mereka terbuka?’ Maka baginda bersabda maksudnya, “Labuhkan sekadar satu hasta dan jangan dilebihkan lagi!” Riwayat at-Tirmizi.
Berdasarkan Hadis di atas dan Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud yang membawa maksud yang sama, maka dapat disimpulkan bahawa kadar labuh yang dibenarkan bagi wanita ialah sehasta diukur dari pertengahan betis.
Kesimpulan
Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, bagi lelaki terdapat dua keadaan, iaitu kadar sunat dan kadar harus. Kadar sunat ialah pertengahan betis dan kadar harus ialah sehingga buku lali. Manakala bagi perempuan juga terdapat dua kadar, iaitu kadar sunat ialah sama dengan kadar harus bagi lelaki. Dan kadar harus bagi perempuan ialah sehasta dari pertengahan betis. Perincian Ibn Hajar ini diperkuatkan dengan Hadis at-Tabrani bahawa Nabi s.a.w. mengukur dengan jengkalnya dari buku lali Fatimah sejengkal. Dan baginda bersabda (maksudnya), “Inilah ekor baju perempuan.” Abu Ya’li mengeluarkan sebuah Hadis berkaitan dengannya dengan lafaz, “Rasulullah s.a.w. mengukur dengan jengkalnya satu atau dua jengkal sambil bersabda (maksudnya), “Jangan kamu lebihkan daripada had ini.”
Oleh itu maksimum kadar labuh yang dibenarkan adalah anggaran sejengkal dari buku lali bagi mempasti aurat (tapak kaki) tertutup. Adapun sengaja melabuhkan untuk tujuan kecantikan semata-mata, ia tidak dibenarkan, mungkin termasuk dalam kategori pakaian syuhrah (pakaian untuk menunjuk atau mencari kemasyhuran) yang sememangnya haram.
Allahu A’lam.