Sunday, June 10, 2012

Umur 40 tahun tak boleh berubah?

Soalan:

Assalamualaikum Ustazah,sy nak tny,ada hadis Rasulullah S.A.W yg mengatakan hidup manusia klu tak berubah bila umur 40thn,dia takkan berubah sampai bila2 kan?blh ustazah bg hadis penuh tu pd sy?sbb sy tgk berdiskusi dgn sahabat2 ttg umur dan kehidupan belia.terima kasih ya

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Umur 40 tahun disebut di dalam al-Quran di dalam ayat yang bermaksud:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu). Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli Syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.” (Al-Ahqaf: 15-16)

Ketika mentafsirkan ayat ini, Ibn Kathir berkata, 40 tahun merupakan peringkat umur kuat, cergas dan matang. Pada usia ini, akalnya sampai ke syilingnya, kefahaman dan kematangannya cukup sempurna. Dan dikatakan bahawa ghalibnya seseorang itu tidak akan berubah daripada kebiasaannya atau perangainya apabila telah mencapai usia 40 tahun.
Daripada kata-kata Ibn Kathir di atas, kita faham bahawa manusia tidak berubah selepas mencapai usia 40 tahun itu merupakan pendapat sebahagian manusia. Beliau tidak mengatakan itu adalah sabda Nabi s.a.w.
Mungkin ada Hadis tetapi tidak sahih, atau ada Hadis tetapi tidak sampai ke pengetahuan beliau, AllahuA’lam.

Namun beliau ada membawakan Hadis mengenai usia 40 tahun, tetapi maksudnya tidak ada kena mengena dengan perubahan cara hidup. Hadis itu bermaksud:
“Seseorang hamba yang muslim itu, apabila sampai 40 tahun Allah ringankan hisabnya, apabila sampai 60 tahun Allah anugerahkan kepadanya rezeki suka kembali kepadaNya (banyak bertaubat), apabila sampai 70 tahun Allah jadikan dia dikasihi oleh ahli langit, apabila sampai 80 tahun Allah teguhkan hasanahnya dan Allah hapuskan sayyi’ahnya (kejahatannya), dan apabila sampai 90 tahun Allah ampunkan apa yang terdahulu dan yang terkemudian daripada dosa-dosanya, Allah izinkan dia memberi syafa’at kepada ahli rumahnya dan dituliskan namanya di langit sebagai tawanan Allah yang berada di bumi”. Riwayat al-Hafidz al-Musili

Al-Alusi, pengarang kitab tafsir Ruh al-Ma’ani berkata, telah disebut oleh bukan seorang bahawa manusia itu apabila telah mencapai umur ini, akhlaknya telah begitu kuat bertapak pada dirinya, hampir-hampir tidak akan dapat dihilangkan lagi selepas itu. Beliau membawakan sepotong hadis tanpa menyebut perawinya. Hadis itu bermaksud: “Sesungguhnya syaitan mengheretkan tangannya di atas muka orang yang mencapai umur 40 tahun dan tidak bertaubat sambil berkata, “demi bapaku, wajah yang tidak akan berjaya.”

Selain itu beliau membawakan satu Hadis yang dikeluarkan oleh Abu al-Fath al-Azadi daripada Ibn Abbas r.a. bermaksud: “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”

Tuesday, June 5, 2012

Kenapa orang mati dipanggil arwah?

Soalan:

Salam Ustazah, saya nak tanya kenapa bila org yg sudah mati sering disebut arwah? Apa makna arwah tu?
Trm kasih, ustazah.

Jawapan:

Salam. Arwah adalah jamak atau plural bagi perkataan roh. Jadi arwah bermakna roh-roh. Mereka yang memanggil orang yang dah meninggal itu arwah, mungkin disebabkan kefahaman bahawa orang yang mati itu sudah tidak ada di dunia ini, tidak hidup di alam yang zahir. Sebaliknya mereka hidup di alam ghaib atau alam roh.

Pada pendapat saya memanggil mereka dengan panggilan arwah tidak memberi apa-apa makna, malah tidak betul kalau orang yang meninggal itu seorang sahaja kerana arwah itu untuk ramai, sekurang-kurangnya tiga orang.
Lebih bermanfaat kalau disebut al-marhum bagi si mati lelaki dan al-marhumah bagi si mati perempuan yang bermaksud orang yang dirahmati. Jadi secara tidak langsung kita telah mendoakan untuk si mati tersebut.

Atau boleh juga disebut Allah Yarhamuhu ( الله يرحمه )untuk lelaki dan Allah Yarhamuha ) الله برحمها ) untuk perempuan.

Ataupun rahimahullah ( رحمه الله ) bagi lelaki dan rahimahallah ( رحمها الله ) bagi perempuan.