Monday, July 16, 2012

Wanita hamil tidak wajib puasa?

Soalan:

Assalamualaikum Ustazah,

Saya sedang mengandung 5 bulan dan ini adalah kandungan ke tiga saya. Kandungan pertama dan kedua telah gugur kerna jantung bayi terhenti dan bayi meninggal dunia dalam kandungan. Doktor mengatakan bahawa keadaan janin dan kromosom yang lemah atau bayi tidak dapat bekalan darah secukupnya.

Untuk kali ketiga ini, saya perlu mengambil beberapa ubat-ubatan salah satu daripadanya ubat mencairkan darah supaya bayi dapat bekalan darah secukupnya.

Persoalan saya adalah , adakah keadaan saya ini boleh dikategorikan dalam pengecualian berpuasa. Saya ada membaca beberapa artikel yanga mengatakan ibu yang risau akan janin dan bayi boleh dikecualikan berpuasa.
Saya inginkan kepastian sebelum saya meninggalkan puasa memandangkan ini adalah puasa wajib dan sangat berat hukumya jika diambil ringan.

Tolong usatazah , saya harap ustazah dapat menjawab soalan ini sebelum tibanya bulan puasa. Terima kasih . Assalamualaikum.

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Tahniah kerana diberi peluang mengandung, semoga kandungan puan lahir dengan selamat dan bila besar menjadi anak yang soleh/solehah.

Wanita menganadung dan menyusukan anak diharuskan berbuka (tidak berpuasa pada bulan Ramadhan) dalam dua keadaan:

1. Dia tidak mampu untuk berpuasa. Keadaan kesihatannya tidak mengizinkan seperti tidak berupaya menahan lapar, dahaga, tidak bertenaga dan sebagainya.
2. Kesihatan dirinya tidak terjejas. Dia mampu untuk berpuasa tanpa rasa susah menahan lapar, dahaga dan seumpamanya. Tetapi dibimbangi anak dalam kandungan akan terjejas, perkembangannya akan terbantut disebabkan kekurangan zat makanan atau sebagainya. Bagi ibu yang menyusukan pula, dengan sebab puasa air susunya akan kering dan bayinya akan kelaparan kerana tidak cukup susu.

Dalil keharusan berbuka ialah qias kepada orang sakit dan sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla melepaskan dari orang musafir kewajipan puasa dan separuh daripada solat (harus solat qasar) dan dari wanita hamil dan menusukan bayi kewajipan puasa.” (Rujuk Nail al-Autor 4/230).

Walau bagaimanapun, puasa yang ditinggalkannya wajiblah diqadha pada hari-hari lain. Bagi keadaan pertama wanita berkenaan wajib qadha sahaja sebanyak hari yang ditinggalkan. Manakala keadaan kedua dia wajib qadha serta membayar fidyah anggaran satu cupak beras (lebih kurang satu kilogram) untuk satu hari. Jika tidak berpuasa selama 30 hari, dia wajib qadha 30 hari beserta fidyah sebanyak 30 cupak (30 kg) beras. Fidyah hendaklah dibayar kepada faqir dan miskin.

Perlu diingat, walaupun dia dibenarkan tidak berpuasa, janganlah sia-siakan peluang beramal soleh sepanjang Ramadhan yang berkat ini. Gunakan masa untuk solat tarawih, tilawah serta tadarus al-Quran, menginfaq atau menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa, membanyakkan sedekah, berzikir, beristighfar, berselawat ke atas Nabi, berbuat baik kepada ibu bapa, jiran tetangga, saudara mara, berdakwah, menghadiri majlis ilmu dan bermacam-macam lagi. Mudah-mudahan limpahan cahaya Ramadhan akan menerangi perjalanan hidup kita selama-lamanya insya Allah.