Monday, September 17, 2012

Rumah Kediaman Keluarga Hindu

Soalan:

salam
ustazah, saya bakal mendiami rumah yang sebelum ini dihuni oleh keluarga Hindu. saya juga pernah nampak mereka mempunyai bilik yang diletakkan patung berhala mereka. kini mereka akan berpindah ke tempat lain dan keluarga saya yang akan mendiami rumah tersebut.apakah cara untuk membersihkan rumah tersebut?

Jawapan:

Salam.

Di dalam sepotong ayat, Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidilharam sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:28)

Di dalam ayat di atas, Allah menyatakan bahawa orang-orang musyrik itu najis. Menurut jumhur (majority) ulama, selari dengan pendapat Ibn ‘Abbas r.a. bukan tubuh badan mereka yang najis. Sebaliknya yang najis itu adalah aqidah mereka, kesyirikan yang mereka anuti itulah yang kotor dan najis. Dalil bahawa tubuh badan mereka tidak najis, Allah Ta’ala menghalalkan umat Islam makan sembelihan ahli kitab, lelaki Islam halal berkahwin dengan wanita Ahli kitab, Ummu Habibah, salah seorang isteri Nabi s.a.w. menerima kunjungan ayahnya, Abu Sufyan yang masih kafir. Dan banyak lagi dalil-dalil yang boleh diambil daripada cara Rasulullah s.a.w. bergaul dan berinteraksi dengan kaum musyrikin di zamannya.

Begitu juga berhala-berhala yang mereka sembah itu tidak najis. Ketika Nabi s.a.w. Berjaya menawan kota Makkah yang sebelumnya dikuasai kaum musyrikin Quraisy, baginda memasuki Baitillah dan menghancurkan berhala-berhala yang terletak di sekitar Kaabah; di atas, di dalam dan di sekelilingnya yang berjumlah kira-kira 360 berhala. Setelah berhala-berhala tersebut dimusnahkan, tidak ada pula operasi membasuh rumah Allah yang mulia itu. Jika berhala-hala itu najis, sudah tentu Baginda akan membasuh Kaabah selepas berhala-berhala itu dimusnahkan.

Maka rumah yang puan akan duduki itu, jika terdapat berhala atau patung di dalamnya, hendaklah dibuang patung tersebut. Jika terdapat sebarang najis, sucikanlah najis tersebut dengan cara-cara penyucian yang sepatutnya sama ada najis mukhaffafah, mutawassitah atau mughallazhah. Jika tidak terdapat sebarang najis, tidak wajiblah disucikan. Allahu A’lam.

Wednesday, September 5, 2012

WANG UNTUK MENGERJAKAN HAJI

Soalan:

Assalammualaikum ustazah.

Disini saya ingin bertanyakan soalan berkenaan wang yang digunakan untuk mengerjakan haji.

Ibu saya teringin untuk menunaikan haji. Saya telah membuat potongan gaji di Tabung haji. Memandangkan ibu saya telah berusia 67 tahun, saya kuathir beliau tidak akan merasa untuk ke Mekah, bolehkan saya membuat pinjaman peribadi untuk menghantar beliau mengerjakan haji.

Saya harap ustazah dapat mengulas soalan saya.

Sekian, terima kasih.


Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Haji hanya wajib ke atas orang yang mampu sebagaimana firman Allah Ta’ala bermaksud: “… dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Aali ’Imran:97).

Orang yang tidak mampu hingga ke akhir hayatnya, tidak wajib ke atasnya dan tidak berdosa jika dia tidak menunaikan haji.

Walaupun harus dan tidak berdosa berhutang jika kita mampu bayar (rujuk: http://zaadut-taqwa.blogspot.com/2007/05/menunaikan-haji-dengan-pembiayaan.html), tetapi Islam tidak menuntut kita berbuat demikian kerana itu membebankan diri melakukan sesuatu yang tidak diwajibkan ke atas kita.

Puasa Hari Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum Ustazah...

Saya ingin bertanya, jika saya berpuasa qadha pada hari khamis (last day qadha puasa) dan ingin memulakan puasa 6 pada hari jumaat, adakah saya perlu berpuasa pada hari sabtu?( kerana niat puasa yg berbeza, qadha dan sunat)

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.


Terdapat beberapa Hadis yang membawa maksud larangan berpuasa pada hari Jumaat secara sendirian, iaitu tanpa berpuasa pada hari sebelum atau selepasnya.

Daripada 'Ubbad bin Jaafar, dia berkata: Saya telah bertanya Jabir bin Abdullah r.a. ketika dia sedang bertawaf di Baitillah, "Adakah Rasulullah s.a.w. melarang berpuasa pada hari Jumaat?" Jabir menjawab: "Ya, Demi Tuhan Rumah ini!"
Di dalam riwayat Abu Hurairah r.a., beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Janganlah salah seorang kamu puasa pada hari Jumaat melainkan dia hendaklah berpuasa sebelumnya atau selepasnya." Di dalam riwayat lain, Baginda bersabda maksudnya: "Jangan kamu khususkan qiam pada malam Jumaat tanpa malam-malam lain dan jangan kamu khususkan puasa pada hari Jumaat tanpa hari-hari lain." (Muslim)

Daripada Juwairiah binti al-Harith r.a., isteri Rasulullah s.a.w. Beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. masuk ke rumahnya pada hari Jumaat dan beliau berpuasa pada hari tersebut. Baginda bertanya: "Adakah kamu berpuasa semalam?" Juwairiah menjawab: "Tidak." Baginda bertanya lagi: "Adakah kamu hendak berpuasa esok?" Juwairiah menjawab: "Tidak." Baginda bersabda: "Maka berukalah!" (Al-Bukhari)

Hadis-hadis di atas dengan jelas menunjukkan larangan (makruh tanzih) mengkhususkan puasa pada hari Jumaat tanpa digandingkan dengan hari yang lain.

Namun tidak makruh sekiranya seseorang itu:
i. berpuasa pada hari sebelum atau selepasnya,
ii. berbetulan dengan hari yang dia biasa berpuasa, umpamanya dia bernazar hendak berpuasa pada hari dia sembuh daripada sakit sepanjang hayatnya. Kebetulan dia sembuh pada hari Jumaat. Maka dia berpuasa setiap hari Jumaat sepanjang hayatnya sebagai memenuhi nazarnya. Atau menjadi kebiasaannya berpuasa sunat selanga sehari, maka kebetulan hari Jumaat merupakan hari puasa baginya. Hari Khamis dan Sabtu dia berbuka. Kemudian hari Ahad, hari Selasa dia berpuasa. Begitulah seterusnya.
iii. berpuasa qadha. Mungkin pada hari selain Jumaat dia bekerja dan tidak mampu untuk berpuasa. Hanya pada hari Jumaat sahaja dia boleh menunaikan puasa qadhanya.

Begitu juga, tidak makruh sekiranya hari Jumaat berbetulan dengan hari disunatkan berpuasa seperti Hari Arafah dan Hari 'Asyura.

Berbalik kepada soalan di atas, jawapannya tidak mesti puasa pada hari Sabtu kerana anda telah berpuasa pada hari Khamis. Di samping itu dalam kes ini tidak bermakna anda mengkhususkan puasa pada hari Jumaat secara sendirian, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada puasa enam yang akan anda tunaikan. Jadi ia tidak termasuk di dalam puasa yang dilarang.