Tuesday, October 23, 2012

Solat Wanita Istihadhah

Soalan:

Salam Ustazah,

Saya ingin bertanya, kalau semasa temph istihadhoh, boleh jamak solat tak kalau ade kesusahan untuk tukar pad/tuala wanita pada waktu itu? contoh belajar di europe country dan ade klas..air sgt terhad untuk cuci tuala wanita..jadi boleh ke nak jamak solat?

Jawapan:

Salam.

Solat wanita istihadhah

Istihadhah ialah darah yang keluar dari kemaluan wanita melebihi maksimum tempoh haid atau nifas.

Wanita yang istihadhah wajib solat tidak seperti wanita haid.

Setiap kali masuk waktu solat, atau apabila dia hendak mendirikan solat fardhu, dia hendaklah membersihkan darah di kemaluan dan memakai tuala wanita yang bersih. Selepas itu, ambil wudhuk dan terus solat. Wudhuk yang diambil itu sah untuk menunaikan satu solat fardhu sahaja, di samping boleh melakukan solat-solat sunat. Inilah pendapat jumhur.

Terdapat pandangan setengah ulamak bahawa wanita istihadhah harus menjamakkan solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isya’. Pendapat ini dikemukan oleh Ibn Taimiah di dalam kitabnya, “Majmu’ Fatawa”. Katanya:
“Dan harus jamak bagi orang sakit dan wanita istihadhah.” (24/14)
Beliau juga menyebut: “Dan harus jamak mereka yang tidak dapat menyempurnakan taharah dalam dua waktu kecuali dengan susah payah seperti wanita istihadhah dan orang yang seumpama dengannya.” (24/48)
Pendapat ini didasarkan kepada rukhsah yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana terkandung di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi.

Pendapat ini disokong oleh Syaikh Ibn ‘Uthaimin. Beliau berkata: “Harus bagi wanita istihadhah menjamakkan solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isya’ kerana sukar ke atasnya berwudhuk setiap kali solat.”

Allahu A’lam.