Friday, November 16, 2012

Permasalahan keluar angin dari faraj

Soalan:

salam..saye mohon maaf sekirenye mengganggu ustazah...saye nak tanye ttg masalah fiqh wanita..ustzh, batal tak solat kite sekirenye ade angin keluar melalui lubang faraj ?..angin tu bukan kentut dan ia tak dpat dikawal..mohon jawapannya segera..terima kasih

Jawapan:

Salam.

Menurut seorang doktor pakar sakit puan, angin dalam faraj adalah udara disekeliling yang masuk ke dalam faraj. Keadaan ini lazimnya berlaku semasa atau sejurus selepas melakukan hubungan kelamin atau apabila seseorang wanita sudah menopos. Lazimnya kedua bibir pada permukaan faraj bertemu rapat di antara satu sama lain menyebabkan permukaan faraj tertutup dan menghalang udara masuk ke dalamnya. Selepas melahirkan anak, faraj akan mengembang dan akan menjadi lebih teruk apabila menopos.
Apabila wanita memasuki alam menopos, kekenduran tisu pada faraj dan bibir di permukaan faraj berlaku kerana hormone kewanitaan (estrogen dan progesterone) sudah tidak lagi dikeluarkan oleh kedua kilang ovari. Ini akan menyebabkan bibir di permukaan faraj rengang dan udara dapat memasukki ke dalam faraj terutama dalam posisi sujud. Keadaan ini boleh diatasi dengan melakukan senaman bagi menguatkan otot-otot yang terdapat pada pelvis (senaman kemutan).
Oleh kerana angin itu adalah udara di sekeliling, maka ia tidak mempunyai bau, walaupun kadang-kadang berbunyi macam “kentut”.
Kentut adalah gas yang terhasil daripada proses pencernaan makanan di dalam usus manusia. Lazimnya kentut berbau busuk disebabkan oleh gas seperti sulphur. Untuk mengurangkan masalah kentut yang terlalu kerap, elakkan makanan yang mengandungi protin yang tinggi seperti kekacang, makanan hasil daripada tenusu, daging serta minuman bergas (carbonated drinks).
Jika angin yang keluar daripada faraj itu berbau busuk, masalah ini perlu dirujuk kepada doktor kerana ini menunjukan terdapat saluran (fistula) yang menyambung antara usus dan faraj. Terdapat juga kemungkinan jangkitan kuman pada faraj yang memerlukan kepada rawatan antibiotic.

Adakah angin yang keluar daripada faraj membatalkan wuduk?
Di dalam sepotong Hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendapati sesuatu di dalam perutnya, maka dia berasa ragu adakah telah keluar sesuatu daripadanya atau tidak? Janganlah dia keluar (iaitu keluar untuk mengambil wuduk) sehingga dia mendengar suara atau terhidu bau.” Riwayat Muslim.
Berdasarkan Hadis ini, fuqahak Mazhab Syafi’ei dan Hanbali berpendapat angin yang keluar daripada salah satu daripada dua jalan, iaitu qubul dan dubur membatalkan wuduk. Manakala fuqahak Mazhab Hanafi dan Maliki berpendapat tidak batal kerana keluar angin daripada qubul bukanlah perkara yang biasa dan tidak ada dalil yang jelas menunjukkan ia membatalkan wuduk. Oleh kerana tiada dalil yang jelas maka mereka berpegang kepada kaedah fiqhiyyah “asal sesuatu perkara itu kekal kecuali ada yang merubahnya”.

Kalau kita teliti huraian yang diberikan oleh doktor perubatan mengenai angin daripada faraj dan angin daripada dubur, jelas kedua-duanya ada perbezaan. Angin daripada faraj adalah udara yang berligar di sekitarnya, sedangkan angin daripada dubur adalah yang keluar daripada dalam usus. Dan Hadis di atas adalah merujuk kepada angin yang keluar daripada dalam usus di mana Nabi s.a.w. menyebut “Apabila seseorang kamu mendapati sesuatu di dalam perutnya,...”
Justeru, penulis secara peribadi lebih cenderung kepada pendapat fuqahak Mazhab Hanafi dan Maliki. AllahuA’lam.