Tuesday, June 11, 2013

Membaca al-Quran sebagai Mas Kahwin II



SOALAN:

salam wbt ustazah, mudah2an ustazah dalam cinta Allah..

ana perlukan pencerahan dari ustazah berkenaan mahar hafalan surah (post ustazah tadi)
selain dari ada hadith yg menceritakan rasulullah membenarkan, (ana yakin ustazah tahu hadith tu) ana juga pernah baca yang ianya dibolehkan, dengan syarat si suami perlu ajar surah tu pada isteri. bacaannya, hafalannya, tafsirnya, dan lain2 lah ilmu tentangnya..
bila baca artikel ustazah, ana pun dah ragu-rgau pula, boleh atau tidak, sebab dia tak ada nilai yang boleh kita letak pada dia kan..
jadi apa pendapat ustazah kalau gunakan dua2 sebagai mahar? cthnya, sebentuk cincin emas dan hafalan surah al hadid (misalnya)?

JAWAPAN:

Salam.  Ana  ada sebut dalam post  itu, ajar al-Quran boleh kerana itu manfaat yg diberikan kepada  isteri. Yang  tidak boleh ialah suami baca atau suami hafal. Itu bukan pemberian, betul tak?

Hadis yang anti maksudkan, teks penuhnya ialah:
Daripada Abi Hazim bin Dinar, daripada Sahal bin Sa’ad as-Sa’eidi r.a. bahawa Nabi s.a.w.  didatangi seorang perempuan, lantas berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menghibahkan diriku kepadamu.” Maka perempuan itu berdiri lama (menanti jawapan). Maka seorang lelaki bangun seraya berkata: “Ya Rasulullah, nikahkan saya dengannya sekiranya engkau tidak berhajat kepadanya.” Rasulullah s.a.w. bertanya lelaki itu: “Adakah engkau memiliki sesuatu  untuk dijadikan  mas kahwin yang diberikan kepadanya?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak mempunyai sesuatu apapun kecuali kain yang aku pakai ini.” Baginda bersabda: “Sekiranya engkau berikan dia kain itu, engkau duduk dalam keadaan tidak ada kain. Maka carilah sesuatu!” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak mempunyai sesuatu.” Nabi s.a.w. bersabda lagi: “Carilah,  walaupun sebentuk cincin besi.” Lelaki itupun mencari, namun dia tidak menemui sesuatu. Maka Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: “Adakah di sisimu sesuatu (menghafaz) daripada al-Quran?” Lelaki itu menjawab: “Ya, surah sekian dan sekian.” (Dia menyebut surah-surah yang dihafaznya). Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku nikahkan engkau dengannya dengan (mas kahwinnya) apa yang kamu ada daripada al-Quran.” Riwayat al-Bukhari. Ketika mensyarahkan Hadis ini, Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: Hadis ini menjadi dalil harus menjadikan manfaat sebagai mahar sekalipun dalam bentuk mengajar al-Quran.

Kalau kita perhatikan jalan cerita yang terkandung di dalam Hadis di atas, kenapa  akhirnya Nabi s.a.w. menjadikan ajar al-Quran sebagai mas kahwin, sebab lelaki itu memang tidak ada apa-apa harta. Jadi ia menunjukkan harus, dan tidak menunjukkannya sebagai pilihan pertama sebab Nabi s.a.w. berkata sebelum itu, carilah sesuatu walaupun sebentuk cincin besi! 

Orang sekarang ada macam-macam, jauh lebih mahal daripada cincin besi. Apalagi kalau perempuan yang hendak dikahwini itu sudah pandai baca al-Quran. Perlukah lagi ajar al-Quran sebagai mas kahwin? Malah, kalau tidak dijadikan mas kahwinpun suami bertanggungjawab ajar isteri, kalau isteri itu jahil atau tidak tahu baca al-Quran.

Monday, June 10, 2013

Membaca al-Quran sebagai Mas Kahwin?



SOALAN:

assalamualaikum ustazah..

Bolehkah sesuatu yang bukan harta/benda dijadikan mas kahwin, seperti membaca surah2 tertentu drpd al-Quran? Mohon penjelasan. Syukran ya ustazah.


JAWAPAN:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Mas kahwin atau di dalam Bahasa Arab disebut mahar ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya disebabkan berlakunya akad nikah”. (Kitab Fikah Manhaj Syafie, jilid 3 & 4, hal.809 Pustaka Salam 2005)

Dr Abdul Karim Zaidan juga mentakrifkan mas kahwin dengan maksud yang hampir sama seperti di atas. (Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 7, hal.49, Mu’assah ar-Risalah 1997)

Mas kahwin adalah wajib. Dalilnya adalah ayat al-Quran, Hadis Nabi dan Ijmak Ulamak.
Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.” (An-Nisaa’:4)

Mas kahwin wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab berlakunya akad nikah. Tetapi menyebut mas kahwin di dalam akad tidak menjadi syarat sah akad tersebut.

Perkara-perkara yang boleh dijadikan mas kahwin ialah apa saja yang dianggap sebagai harta yang bernilai di sisi muslim menurut hukum Syara’. Dan harta itu mestilah diketahui kadarnya dan boleh dibahagikan separuh, separuh.
Selain itu, manfaat atau perkhidmatan yang boleh dinilai atau diletakkan harga, boleh juga dijadikan mas kahwin. Contohnya, suami memberikan isterinya hak menggunakan rumah kedainya tanpa sewa selama sekian tahun, suami mengajar isterinya kemahiran tertentu sehingga isteri boleh menguasainya seperti kemahiran membaca al-Quran, menjahit, atau lain-lain.

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, iaitu suami membaca surah tertentu, itu tidak dikira sebagai pemberian yang boleh dimanfaatkan oleh isteri. Bacaan itu juga tidak boleh diberi nilai, RM10, seketul emas, atau sebagainya? Maka ia tidak sah dijadikan mas kawin.

Namun, oleh kerana menyebut mas kahwin tidak menjadi syarat sah akad, maka apapun yang disebut atau tidak sebut langsung, akad tetap sah (jika menepati rukun dan syaratnya). Contohnya jika disebut di dalam akad mas kahwinnya 10 botol arak, akad sah tetapi mas kahwin yang disebut itu batal kerana arak adalah haram bagi umat Islam dan bukan harta bernilai. Begitu juga jika disebut mas kahwinnya ialah membaca surah al-Ikhlas (atau apa-apa surah), akad sah tetapi mas kahwin terbatal kerana tidak ada apa-apa yang diberikan kepada isteri. Dalam hal ini, suami wajib memberikan mas kahwin yang disebut mahar mithil, iaitu nialai yang sama dengan mas kahwin saudara perempuan isterinya atau kaum kerabatnya.

Adakah bahu dagu termasuk aurat?



SOALAN:

assalamualaikum ustazah..

nak tanya.. adakah masih aurat di bawah dagu?


JAWAPAN:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Aurat wanita yang disepakati ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.

Maksud tapak tangan ialah dari hujung jari hingga ke pergelangan tangan, termasuk tapak tangan dan belakangnya.

Manakala yang dimaksudkan muka, menurut apa yang dijelaskan di dalam bab wuduk,  ialah lebarnya antara dua anak telinga, panjangnya dari gigi rambut atau permulaan tempat tumbuh rambut di kepala hingga ke bawah dagu atau tempat akhir tumbuh janggut.

Ana tidak jumpa sebarang penjelasan mengenai batas muka di dalam bab aurat. Jadi ana ambil kira batas yang sama.

Di fahami dari takrif di atas,  bawah dagu adalah termasuk dalam lingkungan muka. Maka tidak wajib ditutup. Justeru,  pada pendapat ana, sah solat wanita yang memakai tudung tanpa ditutup di bawah dagu. Namun, lebih afdhal menutupnya sebagai ihtiat, iaitu langkah berjaga-jaga agar tidak terbuka leher semasa bergerak, ditiup angin dan seumpamanya.

Allahu A'lam