Tuesday, August 13, 2013

PUASA ENAM


Soalan:

Ada pendapat mengatakan adalah sebaik-baiknya mengqhada dahulu puasa sebelum melakukan puasa sunat Syawal. Ada pula yang mengatakan apabila kita mengqhada puasa pada bulan Syawal secara automatik kita ada mendapat pahala puasa enam. Yang manakah lebih afdal? Minta ustazah perjelaskan.

Jawapan:

Sedia maklum bahawa puasa enam hari di bulan Syawal adalah sunat dan besar fadilatnya. Namun persoalan sering timbul mengenai cara melaksanakannya.
Di sini saya akan cuba huraikan beberapa persoalan yang berkaitan dengannya.

1.     Hukum

Terdapat beberapa Hadis yang sahih berkaitan dengan puasa di bulan Syawal. Antaranya:
a.     Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang puasa Ramadan dan diikuti dengan enam hari daripada Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.” Riwayat Muslim daripada Abu Ayyub r.a.
b.     “Sesiapa yang puasa Ramadan, satu bulan ganjarannya sepuluh bulan. Dan dia berpuasa enam hari daripada bulan berbuka (Syawal), dengan itu genaplah (pahala) satu tahun.” Riwayat Sa’eid bin Mansur daripada Thauban.

Berdasarkan Hadis-hadis di atas, jumhur ulama berpendapat puasa enam hari daripada bulan Syawal adalah sunat dan digalakkan.

Imam an-Nawawi berkata: “Ashab kita (fuqahak mazhab kita, asy-Syafi’ei) berpendapat bahawa disunatkan puasa enam hari daripada Syawal berdasarkan Hadis-hadis di atas. Tidak ada perselisihan di kalangan kami. Begitu juga pendapat Ahmad dan Daud.”

2.     Cara melaksanakan puasa sunat Syawal.

Ulama yang berpendapat sunat puasa enam hari daripada Syawal berbeza pendapat dari segi cara pelaksanaan yang paling baik dan afdal.
a.     Asy-Syafi’ei dan mereka yang  sealiran dengannya berpendapat digalakkan puasa pada awal bulan, selepas Hari Raya dan dilakukan dengan cara berturut-turut.
b.     Tidak ada perbezaan sama ada dilakukan dengan berturut-turut atau tidak di sepanjang bulan itu. Ini merupakan pendapat Waki’ (guru Imam asy-Syafi’ei) dan Ahmad.
c.     Tidak digalakkan puasa terus selepas hari raya, kerana ia merupakan hari makan dan minum. Sebaliknya hendaklah berpuasa beberapa hari selepas itu. Ini adalah pendapat ‘Ato’
Walau bagaimanapun tiada dalil sahih yang menyokong salah satu pendapat di atas. Maka dapat disimpulkan bahawa ia terbuka kepada setiap individu menunaikannya mengikut kelapangan masing-masing sepanjang bulan Syawal, sama ada hendak dilakukan di awal bulan atau di akhirnya, secara berturut-turut atau berselang-selang. Namun roh amal yang baik, jika disegerakan tentulah lebih afdal jika dibandingkan dengan melewat-lewatkannya tanpa keuzuran.
Imam an-Nawawi berkata: “Digalakkan puasa sunat ini secara berturut-turut pada awal bulan Syawal. Jika diselang-selikan, atau dilewatkan hingga akhir bulan harus juga dan dikira melaksanakan apa yang disunatkan kerana Hadis menyebut secara umum tanpa mengaitkan dengan awal atau akhir, berturut-turut atau tidak.”

3.     Antara qada puasa Ramadan dan sunat Syawal.

Banyak timbul persoalan, orang yang meninggalkan puasa Ramadan adakah harus dia berpuasa sunat Syawal atau wajib diqada terlebih dahulu atau boleh diniatkan qada dengan sunat sekali?
Syaikh Daud Fatani menjelaskan persoalan ini di dalam kitabnya ‘Buhgyah at-Tullab li Muridi Ma’rifatil Ahkami Bis-Sawab’, juzuk 2, halaman 128 seperti berikut:

1.     Orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sebab uzur, sunat juga berpuasa enam hari daripada Syawal (sebelum qada)
2.     Orang yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa uzur, wajib menyegerakan qada puasa Ramadan. Dia wajib qada puasa Ramadan terlebih dahulu. Jika terlepas sunat Syawal kerana menunaikan qada puasa Ramadan, dia boleh qada sunat Syawal pada bulan Zul Qaedah. Ini sekiranya dia tidak niat sunat Syawal serta qada Ramadan. Jika dia telah berniat sunat Syawal beserta dengan puasa qadanya, maka dia memperoleh pahala sunat dan tidak perlu diqada sunat Syawal di dalam bulan Zul Qaedah.
3.     Seseorang yang mempunyai tanggungan puasa wajib, sama ada puasa qada, nazar atau lain-lain, jika dia berniat untuk puasa sunat Syawal selepas menyelesaikan puasa wajib, dia tidak mendapat pahala sunat Syawal ketika puasa wajib itu. Tetapi jika dia berniat puasa wajib serta sunat Syawal, atau tidak berniat sunat Syawal, hanya niat wajib sahaja, dia akan mendapat pahala sunat Syawal dan tidak lagi dituntut mengerjakannya selepas dia menyempurnakan puasa wajib itu.

Selain itu, terdapat sebahagian ulamak yang berpendapat tidak harus bagi sesiapa yang mempunyai tanggungan qada puasa Ramadan menunaikan sunat Syawal. Dia wajib menyegerakan qada terlebih dahulu kerana itu merupakan hutangnya dengan Allah. Jika dia meninggal dunia, dia akan ditanya tentang puasa qadanya dan tidak ditanya tentang sunat Syawal. Bahkan pahla sunat Syawal itu sendiri bergantung kepada kesempurnaan puasa Ramadan.

Jadi, dalam melaksanakan ibadah sebaiknya lakukan yang paling selamat dan selari dengan pendapat semua pihak. Sempurnakan yang wajib terlebih dahulu, kemudian barulah diikuti dengan sunat. Allahu A’lam

Monday, August 5, 2013

Adakah kaki aurat?


Soalan:

salaam

ustzah, nak tanya boleh?

bagaimana aurat kaki kita semasa tetamu lelaki datang ke rumah kita, atau kita bermalam di rumah orang, yang ahli rumahnya bukan muhrim kita?

 Jawapan:

Salam.

Berkenaan dengan kaki, sama ada aurat atau tidak; ulamak berbeza pendapat.

Mazhab Hanafi, menurut riwayat al-Hasan daripada Abu Hanifah, tapak kaki (dalam bahasa Arab, perkataan al-qadam bermaksud tapak kaki merangkumi bahagian atas, iaitu kura-kura kaki dan bawah) bukan aurat. Maka harus mendedahkannya serta harus bagi lelaki ajnabi melihatnya. Hujjahnya ialah apa yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa beliau mentafsirkan ayat (dan janganlah wanita mukminah mendedahkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya), maksud “apa yang zahir” yang disebut di dalam ayat itu ialah “al-qulbu wal-fatakhah”, iaitu cincin yang dipakai dijari kaki. Maka ini menunjukkan bahawa harus mendedahkannya kerana Allah Ta’ala melarang wanita mendedahkan perhiasan, dan Dia mengecualikan apa yang zahir. Dari segi lojiknya kita lihat, tapak kaki memang terdedah ketika berjalan. Maka ia termasuk dalam anggota yang dikecualikan daripada kewajipan menutupnya.

Terdapat juga riwayat di dalam Mazhab Hanafi yang mengatakan tapak kaki adalah aurat. Riwayat ini berpegang kepada apa yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa beliau mentafsirkan ayat di atas, yang dimaksudnya dengan “apa yang zahir” ialah celak dan cincin di jari. Maka selain daripada itu tidak harus didedahkan. Di samping itu, boleh dikatakan keharusan membuka muka dan tangan adalah satu keperluan ketika memberi dan menerima sesuatu. Sebaliknya, tapak kaki tidak ada keperluan untuk membukanya. Maka ia wajib ditutup.

Pendapat muktamad dalam Mazhab Hanafi adalah tapak kaki bukan aurat. (Ad-Durru al-Mukhtar waraddil-Muhtar)

Begitu juga pendapat yang rajih dalam Mazhan Maliki, tapak kaki bukan aurat.

Menurut Mazhab Syafi’ei dan Hanbali, tapak kaki adalah aurat, wajib ditutup dan tidak harus bagi ajnabi (lelaki bukan mahram) melihatnya.

Antara dalil yang dipegang oleh pihak yang mengatakan tapak kaki adalah aurat, Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Allah tidak melihat kepada orang yang mengheret bajunya (yang labuh) dalam keadaan bangga,” maka Ummu Salamah bertanya, “maka apa yang harus dilakukan oleh wanita dengan hujung bajunya?” Baginda menjawab: “Mereka hendaklah melabuhkan sekadar sejengkal sahaja (daripada pertengahan betis)” Ummu Salamah bertanya lagi, “Kalau begitu, akan terdedahlah tapak kaki mereka?” Baginda menjawab: “Panjangkan sekadar sehasta sahaja. Jangan lebih daripada itu.”

Pendapat Dr Abdul Karim Zaidan, setelah mengemukakan pandangan mazhab-mazhab, beliau cenderung kepada pendapat yang mengatakan tapak kaki adalah aurat dan tidak harus didedahkan. Namun terdapat kelonggaran bagi wanita yang berjalan tanpa kasut dan bekerja di sawah-sawah di kampong atau wanita miskin yang tidak mempunyai sarung kaki untuk dipakai. Hadis Ummu Salamah di atas menggambarkan wanita berjalan tanpa memakai sarung kaki. Kadar yang dibenarkan hujung baju dilabuhkan menunjukkan tidak menutup keseluruhan kaki. Kalau menutup seluruh kaki, pastinya akan menimbulkan kesukaran untuk berjalan. Di dalam riwayat at-Tirmizi, seorang wanita bertanya Ummu Salamah r.a. “Hujung baju saya labuh, dan saya selalu berjalan di tempat kotor.” Ummu Salamah berkata kepada wanita itu bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya: “Hujung baju yang terkena kekotoran dibersihkan oleh tempat selepasnya (maksudnya apabila hujung baju itu melepasi tempat kotor, ia akan jadi bersih apabila terheret di tempat yang tidak kotor).” Kisah ini menggambarkan wanita tidak menutup seluruh kaki dengan bajunya. Allahu A’lam.