Sunday, November 17, 2013

Perkahwinan Nabi s.a.w. dengan 'Aisyah r.a.



Soalan:

Assalamualaikum Ustazah,

Saya ada kemusykilan, minta ustzh tlg jelaskan, iaitu mengenai umur Aisyah semasa berakhwin dgn Rasulullah s.a.w. Saya dengar ada pihak mendakwa umurnya 18 tahun, bukan spt yg kita ketahui selama ini, iaitu 9 tahun. Mana satu yg betul? Trm kasih ustzh.

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Sebelum menjawab soalan yang dikemukakan, perlu ditegaskan bahawa saya tidak mempunyai kepakaran dalam bab hadis dan sirah juga lain-lain. Yang dipaparkan dalam tulisan ini hanyalah petikan daripada tulisan beberapa orang ilmuan yang saya baca dan saya dengar.

Telah sekian lama kita mempelajari sirah Nabi kita s.a.w. daripada kitab-kitab sirah dan kitab-kitab hadis, termasuk Sahih Bukhari dan Muslim yang telah disepakati ulamak sejak dahulu tentang kesahihan kedua-duanya. Kitab-kitab tersebut sepakat mengatakan bahawa umur 'Aisyah r.a. ketika dikahwini sebaik-baik makhluk di muka bumi ini ialah 6 tahun dan telah bersama sebagai suami isteri ketika usianya 9 tahun.

Hal ini tidak pernah dibantah dan dipersoalkan sejak dahulu hinggalah beberapa tahun kebelakangan ini timbul suara-suara sumbang mempersoalkannya. Kita bimbang, tujuan di sebalik persoalan itu ditimbulkan adalah untuk menimbulkan keraguan terhadap sumber Syari'ah yang telah disepakati zaman berzaman. Shaikh Sofiyyur-Rahman al-Mubarakfuri, di dalam kitabnya ar-Rahiq al-Makhtum yang memenangi tempat pertama peraduan menulis sirah secara ilmiah dan kajian yang kritis, yang dianjurkan oleh Rabitah al-'Alam al-Islami (diisytiharkan pada bulan Syaaban 1398 hijriah) menyatakan bahawa Nabi s.a.w. mengahwini Aisyah yang berusia enam tahun pada bulan Syawal tahun ke 11 bi'thah (diutus menjadi Nabi), dan membina kehidupan sebagai suami isteri di Madinah pada bulan Syawal tahun pertama selepas hijrah. Ketika itu Aisyah berusia sembilan tahun. Poinnya ialah sebuah penulisan yang ditulis berdasarkan kajian ilmiah yang diiktiraf oleh pakar-pakar peringkat antarabangsa, tidak mempersoalkannya menunjukkan riwayat itu telah diterima sebagai sahih dan tidak perlu dipersoalkan. Dan satu daripada rujukan beliau ialah kitab "Zadul-Mi'ad" karangan Ibn al-Qayyim yang juga terkenal dengan pandangan kritisnya.

Kitab-kitab hadis melaporkan 'Aisyah r.a. sendiri mengisahkan perkahwinannya dengan Nabi s.a.w. dengan katanya: "Ibuku Ummu Rumman datang kepadaku, ketika itu aku sedang bermain buai dengan kawan-kawanku. Dia memanggilku. Akupun datang kepadanya sedangkan aku tidak mengetahui apa yang hendak dilakukannya terhadapku. Dia memimpinku hingga ke pintu rumah. Aku menarik nafas dalam-dalam sehingga jiwaku berasa tenang. Kemudian dia mengambil sedikit air, disapukannya pada muka dan kepalaku. Kemudian dia membawaku masuk ke dalam rumah. Terdapat beberapa orang wanita Ansar di dalam rumah. Mereka berkata: "Alal-khairi wal-barakah wa ala khairi to'iri"
(على الخير والبركة وعلى خير طائر). Ibuku menyerahkanku kepada wanita-wanita itu. Maka mereka mengelokkan keadaanku. Maka tidak ada yang memeranjatkanku kecuali kehadiran Rasulullah s.a.w. di waktu dhuha. Lalu mereka menyerahkanku kepada Baginda. Dan aku pada waktu itu berusia 9 tahun." Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Kalau Aisyah r.a. sendiri menceritakan tentang dirinya, adakah dia tersilap menghitung usianya?

Ringkasnya,

1.     Hadis-hadis di dalam Sahih al-Bukhari, Muslim dan lain-lain sepakat mengatakan bahawa Nabi s.a.w. membina kehidupan sebagai suami isteri dengan 'Aisyah r.a. ketika dia berusia 9 tahun.
2.     'Aisyah r.a. sendiri, tuan punya badan menceritakan tentang peristiwa pernikahannya seperti yang dinyatakan di dalam Sahih Muslim bahawa dia bersama Rasulullah s.a.w. ketika berusia 9 tahun, dan permainannya berada di tangannya. Beliau juga menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. wafat meninggalkannya ketika dia berusia 18 tahun.
3.     Dakwaan bahawa 'Aisyah r.a. dilahirkan 4 tahun sebelum Rasulullah s.a.w. diangkat menjadi Rasul bercanggah dengan apa yang dinyatakan oleh az-Zahabi di dalam kita "Siyar al-A'lam" (dan 'Aisyah adalah di antara mereka yang dilahirkan di dalam Islam). Begitu juga dinyatakan oleh al-Hafidz Ibn Hajar di dalam kitabnya, "al-Isobah" ('Aisyah dilahirkan selepas kebangkitan Nabi s.a.w. 4 atau 5 tahun.
4.     Kitab-kitab sirah meriwayatkan bahawa 'Aisyah r.a. wafat ketika berusia 63 tahun, pada tahun 57 hijriah mengikut riwayat paling masyhur. Maka umurnya sebelum hijrah adalah 6 tahun (63-57=6). Apabila ditampung tahun yang pecah (tidak lengkap satu tahun) sebagaimana adat orang Arab dalam mengira tahun, iaitu mereka melengkapkan tahun pertama dan terakhir, maka ditambah dua tahun, 6+2=8. Dan tambah lagi satu tahun kerana Nabi s.a.w. bersama 'Aisyah r.a. selepas hijrah 18 bulan. Maka umur beliau ketika itu adalah 9 tahun. Selaras dengan riwayat-riwayat sebelumnya.
5.     Dakwaan mengatakan Asma' lebih tua daripada 'Aisyah 10 tahun, tidak ada dalil mengenainya. Az-Zahabi, di dalam kitab "Siyar al-A'lam" berkata: "Asma' lebih tua daripada 'Aisyah beberapa tahun lebih daripada 10 (bidh'a 'asyar)." Iaitu bukan 10 tahun, tetapi lebih beberapa tahun. Menurut Dr  Muhammad 'Imarah, Professor dalam bidang fiqh, fakulti pengajian Islam, Universiti al-Azhar, perkataan (bidh'a) berkisar di antara 3 hingga 9 tahun. Jika dikatakan umur 'Aisyah 9 tahun ketika hijrah, maka dia lahir pada tahun ke 4 selepas kenabian (13-9=4). Kalau dicampurkan kata-kata Abu Nu'aym dalam "Ma'rifah as-Sahabah", Asma' dilahirkan 10 tahun sebelum kenabian. Maka umur Asma' ketika kelahiran 'Aisyah adalah 14 tahun. Ini selaras dengan kata-kata az-Zahabi bahawa Asma' lebih tua daripada 'Aisyah beberapa tahun lebih daripada 10.
6.     Perbezaan antara umur 'Aisyah dengan umur Fatimah binti Rasulillah s.a.w. Ibn Hajar mentarjihkan bahawa Fatimah r.a. dilahirkan tidak lama sebelum bi'thah sama seperti riwayat az-Zahabi. Az-Zahabi juga menyatakan bahawa 'Aisyah dilahirkan di dalam Islam dan dia lebih muda daripada Fatimah lapan tahun. Menurut Ibn al-Athir di dalam kitab "Usudul-Ghabah", Nabi s.a.w. mengahwinkan Ali r.a. dengan Fatimah r.a. selepas Baginda bersama dengan 'Aisyah empat bulan setengah. Umur Fatimah ketika itu ialah 15 tahun 5 bulan. Jadi bagaimana mungkin umur 'Aisyah 18 tahun sedangkan dia lebih muda daripada Fatimah?

Seperkara lagi, pihak yang mencetuskan isu ini mungkin berniat baik, iaitu ingin mempertahankan Rasulullah s.a.w. daripada serangan musuh yang mendakwa Baginda gila seks, mendera kanak-kanak dan seumpamanya. Semoga Allah balas niat yang baik itu dengan kebaikan. Namun, kita kena ingat, pihak yang menuduh Nabi s.a.w. sebagai buas, gila seks dan sebagainya itu tidak melihat masa dan di mana peristiwa itu berlaku. Mereka menilai berdasarkan apa yang berlaku masa kini di mana sering terjadi pelbagai jenis menindasan terhadap wanita dan kanak-kanak atas nama agama dan budaya.

Pada zaman itu, perkahwinan wanita pada usia muda dengan lelaki yang tua bukan sesuatu yang mengaibkan. Ia diterima sebagai sesuatu yang biasa dan tidak menjadi satu isu yang dipersoalkan. Sebagai contoh, Hafsah binti Umar al-Khattab menjadi janda ketika berusia 20 tahun. Umar menawarkannya kepada Uthman, kemudian Abu Bakar supaya berkahwin dengan puterinya itu, pada hal Uthman dan Abu Bakar lebih tua daripada Umar radhiallahu'anhum ajma'ein. Umar sendiri berkahwin dengan Ummu Kulthum puteri Ali bin Talib, walhal Ali lebih muda daripada Umar. Namun tiada siapa yang membantah perkahwinan seperti ini.

Sedia maklum, mereka yang memusuhi Rasulullah s.a.w. sentiasa mengintai peluang untuk menjatuhkan Baginda dan menyekat kemaraan dakwah. Pelbagai usaha dilakukan termasuk mereka-reka cerita dan tuduhan-tuduhan yang mereka sendiri tidak boleh menerimanya seperti menuduhnya gila, tukang sihir, penyair dan bermacam-macam lagi. Anehnya tidak pernah pula mereka gunakan isu perkahwinan Nabi dengan Aisyah untuk menuduhnya sebagai lelaki buas, ganas dan mengambil kesempatan terhadap wanita. Ini menunjukkan bahawa perkahwinan seorang lelaki yang telah berusia dengan wanita muda adalah sesuatu yang lumrah di kalangan masyarakat ketika itu. Kalau tidak, pastinya mereka akan gunakan peluang itu habis-habisan untuk mengenakan Nabi dan Islam yang dibawanya.

Dan kalau benarlah perkahwinan itu merupakan satu penderaan kepada kanak-kanak, kita lihat apa yang tertulis di dalam kitab sirah dan diceritakan sendiri oleh 'Aisyah r.a. Kalau seseorang perempuan itu didera dan dipaksa kahwin, sudah tentu dia akan membenci suaminya dan mencari peluang untuk melepaskan diri dari lelaki yang dipaksa kahwin dengannya. Namun apa yang tercatat di dalam sejarah, 'Aisyah dan Rasulullah s.a.w. merupakan pasangan yang sangat intim dan saling cinta mencintai antara satu sama lain.  Ini menunjukkan bahawa, 'Aisyah r.a. meskipun usianya masih muda, namun beliau merupakan wanita yang pintar dan matang.

Justeru, bagi saya tidak perlu kita mempersoalkan sesuatu yang telah disepakati dan termaktub di dalam kitab yang diperakui oleh kawan dan lawan cara periwayatan yang sukar ditandingi ketelitiannya. Allahu A'lam.

Ya Allah, ampuni daku dan saudaraku-saudaraku yang membaca tulisan ini sekiranya kami tersalah dan tersilap dalam menceritakan perihal RasulMu dan kekasihMu.