Friday, March 21, 2014

HUKUM MENGHADIRI JEMPUTAN WALIMATUL URUS



Soalan:

Apakah hukumnya apabila kita menerima jemputan menghadiri majlis perkahwinan? Wajibkah kita penuhi undangan tersebut? Bagaimana kalau dalam satu masa ada dua tiga kenduri yang dijalankan serentak pada hari yang sama? Bagaimana pula dengan jemputan kenduri majlis tunang atau majlis tahlil, wajibkah kita hadir?

Jawapan:

Di dalam sepotong Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., dia mendengar Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Hak muslim ke atas muslim lima perkara, menjawab salam, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazah, menyahut panggilan (memenuhi jemputan), mendoakan ketika bersin.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Hadis ini menyatakan bahawa antara hak muslim yang mesti ditunaikan oleh muslim yang lain ialah memenuhi undangan. Undangan boleh dibahagikan kepada dua kategori:
1.    Undangan ke majlis atau kenduri perkahwinan yang dikenali sebagai walimatul urus
2.    Undangan ke majlis atau kenduri yang lain daripada walimatul urus
Undangan ke majlis perkahwinan
Majoriti ulamak berpendapat wajib dipenuhi kecuali dengan uzur yang dibenarkan oleh Syarak. Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Seburuk-buruk makanan ialah walimah yang dihalang daripada orang yang  mengunjunginya (maksudnya orang miskin) dan diajak orang yang enggan mendatanginya (maksudnya orang kaya). Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah dan RasulNya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu dijemput menghadiri walimah, maka hendaklah dia datang.” Riwayat Malik.
Walau bagaimanapun dalam keadaan-keadaan tertentu jemputan ke walimatul urus tidak wajib dipenuhi. Antaranya apa yang  disebut oleh Imam an-Nawawi dan lain-lain adalah seperti berikut:
1.    Jika makanan yang dihidangkan tidak halal atau mengandungi syubhah
2.    Jemputan dikhususkan kepada orang-orang kaya sahaja
3.    Jemputan itu kerana takut kepada kejahatan orang yang dijemput atau kerana mengharap sesuatu daripadanya disebabkan kedudukannya. Maksudnya tuan rumah menjemput seseorang yang berkedudukan di mana jika tidak dijemput ditakuti dia akan marah atau dijemput dengan harapan orang itu akan menolongnya mendapatkan sesuatu yang dihajati. Dengan kata lain, jemputan yang tidak ikhlas, sebaliknya didorong oleh tujuan lain di sebaliknya.
4.    Terdapat  kemungkaran di dalam majlis tersebut seperti jamuan arak, tarian bogel dan sebagainya. Dalam keadaan ini jika orang yang dijemput itu mampu mengubahnya, maka dia wajib hadir kerana dua sebab, iaitu memenuhi jemputan dan mengubah kemungkaran. Jika dia tidak mampu mengubahnya, maka haram ke atasnya hadir
5.    Kehadirannya ke majlis walimah boleh mendatangkan mudarat kepadanya seperti terpaksa musafir jauh meninggalkan keluarga yang memerlukan kewujudannya di sisi, seperti meninggalkan ibu atau ayah yang sedang sakit.
6.    Jemputan tidak ditujukan kepada diri seseorang secara peribadi. Sebaliknya  jemputan itu secara umum, umapamanya diwarwarkan dalam satu majlis dan ditujukan kepada para hadirin secara umum.  
7.    Telah menyatakan keuzuran terlebih dahulu kepada yang menjemput.
8.    Isteri yang tidak mendapat keizinan suami, juga tidak wajib menghadiri walimatul urus.
Undangan ke majlis lain daripada walimatul urus
Telah dinyatakan di atas, ulamak bersepakat bahawa menghadiri walimatul urus adalah wajib. Adapun kenduri yang lain-lain, seperti majlis tunang, majlis tahlil dan sebagainya, ulamak berbeza pendapat. Menurut jumhur atau majoriti, hukumnya tidak wajib dipenuhi. Jika tidak ada keuzuran, maka sunat hukumnya.
Banyak jemputan dalam satu masa
Andai berlaku banyak jemputan kenduri pada hari yang sama, maka lihatlah pada jenis kenduri yang dijemput. Sekiranya jemputan itu ada yang wajib dan ada yang sunat, utamakan yang wajib. Jika semuanya walimatul urus yang wajib dipenuhi, maka beri keutamaan kepada yang paling hampir. Antara saudara dekat dengan suadara jauh, utamakan saudara yang dekat. Begitu juga antara jiran yang dekat dengan jiran yang jauh, utamakan jiran yang dekat. Begitulah seterusnya. 

Tuesday, March 4, 2014

HUKUM MENJAWAB SALAM KETIKA SOLAT



Soalan:

Assalamu'alaikumu Ustazah, saya nak tanya, apakah hukum memberi salam kepada orang yang sedang solat? Dan jika orang bagi salam ketika kita sedang solat, wajibkah kita menjawabnya?

Syukran Ustazah.

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

kebanyakan  ulamak berpendapat,  harus memberi salam kepada orang yang sedang solat jika diyakini tidak mendatangkan kekeliruan kepadanya atau menyebabkan solatnya batal. Umpamanya memberi salam kepada orang yang tidak tahu hukum. Dia menyangka, bila orang beri salam, dia wajib jawab. Maka diapun jawab dengan perkataan. Batallah solatnya. Dalam keadaan ini, tidak harus memberi salam kepadanya.
Imam an-Nawawi berkata: "Daripada perbahasan ashab kita (fuqahak Mazhab Syafi'ei), memberi salam kepada orang yang sedang solat, tidak makruh." Demikian juga pendapat fuqafak Mazhab Maliki.
Berbeza dengan fuqahak Mazhab Hanafi, mereka berkata: Makruh memberi salam kepada orang yang sedang solat, sedang membaca al-Quran, sedang duduk di dalam majlis penghakiman, sedang membuat kajian tentang fiqh, sedang berada di bilik sunyi (tandas). Jika diberi salam, tidak wajib mereka menjawabnya kerana salam itu bukan pada tempatnya. (Tabyin al-Haqaeq)

Jika orang bagi salam ketika kita sedang solat, kita wajib menjawabnya berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” (An-Nisaa’:86)

Namun begitu, ulamak berbeza pendapat dari segi cara menjawab salam ketika solat. Ada yang berkata, jawab selepas solat. Yang lain pula berkata, jawab di dalam hati. Dan ada yang berkata, jawab dengan isyarat.

Terdapat beberapa cara menjawab salam dengan isyarat ketika solat.
a.     Isyarat dengan kepala
b.     Isyarat dengan jari
c.      Isyarat dengan tangan, iaitu mengangkat tangan sehingga orang yang memberi salam itu mengetahui salamnya telah dijawab. Caranya ialah buka tapak tangan dengan bahagian belakangnya ke atas dan bahagian perutnya ke bawah.
    Asy-Syaukani berkata: himpunan riwayat-riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. melakukan kadang-kadang begini dan kadang-kadang begitu. Jadi semuanya harus.

Setelah selesai solat, sekiranya orang yang memberi salam itu masih ada, hendaklah dijawab salam tadi dengan lafaz. Sekiranya dia sudah tiada, tidak wajib lagi dijawab. Cukup dengan isyarat ketika solat.

Dalil yang menunjukkan harus memberi salam kepada orang yang solat dan cara menjawabnya:
1.     Daripada Ibn Umar r.a., dia berkata: "Saya berkata kepada Bilal, "Bagaimana kamu melihat Rasulullah s.a.w. menjawab salam mereka (orang Ansar) ketika mereka memberi salam kepada Rasulullah yang sedang solat?" Bilal berkata: "Begini. Dia membuka tapak tangannya." Dikeluarkan oleh Abu Daud dan at-Tirmizi.
2.     Daripada Suhaib r.a. dia berkata: "Aku lalu berhampiran dengan Rasulullah s.a.w. yang sedang solat. Lalu aku memberi salam kepadanya. Maka dia menjawab salamku dengan isyarat." Periwayat Hadis berkata: "Isyarat dengan jarinya." Musnad Ahmad

Jelasnya menjawab salam adalah wajib. Namun oleh kerana tidak boleh menjawab dengan lafaz kerana boleh membatalkan solat, maka wajib dijawab dengan isyarat.