Wednesday, April 23, 2014

Kirim Salam Kepada Rasulullah s.a.w.

Soalan:

Slm ustazah, semoga ustzh & family dlm rahmat Allah. Kwn sy baru balik umrah, dia telah menyampaikan kiriman kami iaitu utk berkirim salam pd nabi saw. Masalahnya, dia sgt keliru sbb seorg yg di kenalinya yg tinggal di Madinah melarangnya menyampaikan slm pd nabi saw atas alasan tiada nas dlm Alquran & hadith tentang berkirim slm pd nabi. Minta pendapat ustazah, jzkk.

Jawapan:

Wassalam.

Memang betul, mengirim salam kepada Rasulullah s.a.w. melalui orang yang pergi ke Madinah tidak disyari’atkan dan tidak dilakukan oleh orang-orang terdahulu dari kalangan salaf as-soleh.
Seseorang yang menziarahi kubur Nabi s.a.w disunatkan mengucapkan salam kepada baginda s.a.w dengan ucapan:
السلام عليك أيها النبي ورحمة الله وبركاته ، وصلى الله عليك وعلى آلك وأصحابك
 “Ucapan salam keatas kamu, Ya Nabi dengan Rahmat dan Berkat Allah, dan moga Allah merahmati kamu , keluarga kamu dan sahabat kamu”

Dan seterusnya memberi salam kepada Abu Bakar dan Umar. Begitulah juga kita diajar mengucapkan salam apabila melawat mana-mana perkuburan orang-orang Islam yang lain. Amalan-amalan ini hanya disunatkan kepada mereka yang menziarahi kubur sahaja. Amalan mengirim salam kepada baginda s.a.w atau pun kepada kubur sesiapa tidak terdapat dalilnya di dalam mana-mana ayat Al-Quran atau Hadith Nabi s.a.w. Sheikh Saleh Al-Munajjid mengatakan :
 “Ada di kalangan mereka yang tidak dapat pergi ke Madinah mengirim salam kepada Nabi s.a.w melalui mereka yang melakukan ziarah, sebahagian mereka berdiri sambil menyampaikan salam tersebut. Ini adalah amalan bid’ah, dan perkara yang telah direka-reka. Mereka yang mengirimkan salam dan mereka yang menyampaikannya hendaklah berhenti melakukan perkara tersebut kerana tidak ada keperluan melakukannya. Nabi s.a.w bersabda maksudnya: ‘Selawatlah ke atasku kerana sesungguhnya salam kamu sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada’-[hadith riwayat Abu Daud #2042]“

Apa yang dianjurkan di dalam Islam kepada sesiapa yang ingin memberi salam kepada Nabi ialah memperbanyakkan selawat kepada baginda dan tidak perlu mengirimkan melalui orang lain. Nabi saw bersabda :
إن لله في الأرض ملائكة سياحين يبلِّغوني من أمتي السلام
“Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat di atas bumi yang mengembara keliling dunia meyampaikan kepadaku salam dari umatku” – [Hadith riwayat Ahmad 1/144, Al-Nasaa'i #1282, dikelaskan sahih oleh Al-Albani]

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jangan jadikan rumah kamu itu kubur. Dan jangan jadikan kuburku tempat perayaan. Berselawatlah ke atasku kerana sesungguhnya selawat kamu sampai kepadaku di mana jua kamu berada.” Riwayat Abu Daud (2042) dan dikategorikan sahih oleh al-Albani.

Allah s.w.t. telah memudahkan kita umat Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyampaikan salam kepada baginda di mana jua kita berada. Malah kita wajib memberi salam kepadanya setiap kali solat pada rakaat terkhir. Dan salam itu sampai kepadanya dengan izin Allah. Maka tidak perlu kita mengirim salam kepadanya melalui orang yang pergi ke sana.

Hanya kepada mereka yang berada di kubur Nabi s.a.w, sahaja digalakkan memberi salam kepadanya. Wallahu A’lam.




Sunday, April 13, 2014

Berkongsi Bekas Makanan Dengan Non Muslim


Soalan:

Assalamualaikum Ustazah.


Selawat salam ke atas Nabi junjungan.


Besar harapan sy kalau ustazah boleh luangkan masa untuk jawab persoalan sy ni.

Konteks :
Sekarang sy belajar di luar negara, Perancis. Tak lama lagi sy akan sewa rumah, serumah dgn non muslim w/negara French non muslim.

Persoalannya, macam mana ye ustazah cara terbaik untuk uruskan soal barang2 dapur since kita makan makanan berbeza status halal haramnya.

Macammana nak urus pinggan mangkuk tu ya ? Kita boleh guna ke pinggan mangkuk sama yg diorang masak pork ? Peti ais bercampur is it a okay ?

Dan tanggal alas selipar masuk rumah itu sunat ke ustazah ?

K tq ustazah. Kalau ustzah ada pesanan or nasihat, sy trima tgn terbuka. May Allah bless

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

1.    Berkaitan dengan penggunaan bekas-bekas milik orang bukan Islam atau bekas-bekas yang digunakan oleh mereka, hukumnya saya petik daripada “Kitab Fikah Mazhab Syafie” terbitan Pustaka Salam 1998, jilid 1, halaman 43:
“Harus menggunakan bekas-bekas kepunyaan orang kair sebagaimana Hadis al-Bukhari (516) daripada Abi Tha’alabah, Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Maka basuhlah dan makanlah dengannya”.
Perintah membasuhkannya adalah dengan makna sunat kerana bekas tersebut mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk minum arak, makan babi dan seumpamanya.”
Apa yang dinyatakan sunat basuh itu, jika pinggan atau bekas dalam keadaan bersih, tidak nampak kesan-kesan makanan atau minuman mereka yang haram. Jika terdapat dengan jelas kesannya maka wajiblah dibasuh terlebih dahulu dan harus digunakan.

2.    Makanan yang disimpan di dalam peti sejuk hendaklah dibungkus dengan pelastik atau bekas yang tertutup rapat agar tidak terkena makanan mereka yang tidak halal. Seeloknya bincang supaya dapat ditentukan ruangan simpanan makanan yang khas untuk kita dan untuk mereka supaya tidak bercampur.

3.    Pada asalnya, membuka kasut atau alas kaki ketika masuk rumah tidak wajib kecuali jelas ada najis yang melekat pada kasut itu. Hal ini difahami daripada apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abi Sa’eid al-Khudri r.a. Dia berkata: Ketika Rasulullah s.a.w. sedang solat bersama para sahabat r.a., tiba-tiba Baginda membuka kasutnya, lalu diletakkan di sebelah kirinya. Manakala makmum melihatnya, mereka semuanya membuka kasut masing-masing. Apabila selesai solat, Rasulullah s.a.w bertanya: “Apa yang menyebabkan kamu semua membuka kasut kamu?” Mereka menjawab: “Kami nampa Rasulullah membuka kasut, maka kamipun ikut membukanya.” Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Sesungguhnya Jibril datang memberitahuku bahawa pada kedua-dua belah kasutku terdapat najis.” Dan Baginda bersabda lagi (maksudnya): “Apabila kamu datang ke masjid, maka hendaklah kamu melihat kasut kamu terdapat kekotoran atau tidak. Jika terdapat kekotoran, bersihkan kekeotoran itu dan bersolatlah dengan memakainya.”
Hadis di atas adalah berkaitan dengan solat di dalam masjid dengan memakai kasut. Pengajaran yang dapat diambil daripadanya ialah Islam mementingkan kebersihan dan elakkan daripada perkara kotor dan najis sama ada di dalam masjid ataupun di tempat kediamana.