Monday, June 16, 2014

HUKUM BERCUMBU KETIKA BERPUASA

Soalan:

Salam ustazah. Ana ada soalan yg ingin ana bertanya berkaitan dgn bulan ramadhan dan hubunngan suami isteri. Adakah boleh suami dan isteri bermesra semasa di bulan Ramadhan pada siang hari spt bercium dan menyentuh antara satu sama lain tanpa berjimak namun sehingga mengeluarkan air mani? mohon ustazah berikan hukumnya dan amat2 ana hargai dgn sokongan dalil. Jazakillahkhair.

Jawapan:

Salam. Jimak atau bersetubuh dengan sengaja walaupun tanpa keluar air mani membatalkan puasa berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 187.
Begitu juga mengeluarkan air mani (istimna’) dengan bercumbu, dengan menggunakan tangan dan sebagainya. Sekiranya orang yang berpuasa sengaja melakukan perkara itu, batal puasanya. Tetapi sekiranya ia berlaku di luar kawalannya, tidak batal.

Maka hukum bercumbu dan bercium  pada waktu siang bulan Ramadhan bagi mereka yang cepat naik syahwahnya sama ada lelaki atau perempuan adalah makruh tahrim, iaitu makruh yang hampir-hampir kepada haram kerana ia mendedahkannya kepada merosakkan puasa.

Bagi mereka yang tidak cepat naik syahwahnya, yang utama baginya (yang afdhal) ialah meninggalkannya demi menutup pintu ke arah merosakkan puasanya.
Aisyah r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. telah menciumku sewaktu baginda s.a.w. berpuasa. Siapakah di kalangan kamu yang dapat menguasainya nafsunya sebagaimana Rasulullah s.a.w. menguasai nafsunya?” Riwayat Muslim

Ulamak berkata: maksud kata-kata Aisyah r.a. ialah sepatutnya kamu menjauhi daripada bercium dan jangan menyangka bahawa diri kamu seperti Nabi s.a.w. yang boleh melakukannya. Ini kerana baginda s.a.w. mampu menguasai dirinya dan dapat menjamin perbuatan mencium itu tidak akan menjadi menyebab keluar air mani, sedangkan kamu tidak dapat menjaminnya.”


Di dalam “Sunan” daripada Abu Hurairah r.a., seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w. tentang hukum bersentuhan kulit bagi orang yang berpuasa, maka Nabi s.a.w. memberikan kelonggaran kepadanya. Kemudian datang pula lelaki lain bertanyakan soalan yang sama, maka Nabi s.a.w. melarangnya. Selepas itu diketahui bahawa yang baginda berikan kelonggaran itu adalah lelaki tua dan yang baginda adalah lelaki muda.

Tuesday, June 10, 2014

Siapa mandikan jenazah Rasulullah s.a.w.?

Soalan:

Salam ustzh ,,nk tnya,,siapa shbt2 yg uruskn jnzah nbi muhd smsa mmndikn dn mengkfankn,brapa lma msa diambil untuk mnnamkn jnzah bginda dri hri kmtian bginda dn siapa shbt2 yg trut serta dlm pengebumian bginda nbi..?

Jawapan:

Salam. Menurut kitab-kitab sirah, Nabi Muhammad s.a.w. telah menghembuskan nafas terakhirnya pada hari isnin 12 Rabiul Awwal tahun ke 11 hijriah pada waktu dhuha.
Maka berlaku perbincangan yang hangat di kalangan para sahabat radhiallahu’anhum tentang pengganti baginda untuk memimpin umat. Perbincangan dan perbahasan yang hangat di antara muhajirin dan Ansar berlaku di Saqifah Bani Sa’eidah. Akhirnya mereka mencapai persepakatan melantik Abu Bakar radhiallahu’anhu. Perbincangan itu berlarutan sehingga ke tengah malam membawa ke subuh pagi selasa.
Pada hari selasa, jenazah baginda yang mulia dimandikan oleh ahli keluarganya tanpa membuka pakaiannya. Mereka yang memandikan terdiri dari Abbas, Ali, Fudhail bin Abbas, Qatham bin Abbas, Syaqran maula Rasulullah, Usmah bin Zaid dan Aus bin Khauli. Setelah dikafan dengan tiga helai kain putih, mereka khilaf pula tentang tempat disemadikan jenazah. Namun akhirnya terlerai apabila Abu Bakar r.a. berkata, “Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak dicabut nyawa seorang nabi melainkan dia ditanam ditempat nyawanya dicabut itu. Lantas Abu Talhah mengangkat tilam tempat baginda wafat, dan digali kubur di bawahnya.
Orang ramai mula berduyun menunaikan solat jenazah bergilir-gilir 10 orang, 10 orang pada satu masa bermula dengan ahli keluarganya, diikuti oleh muhajirun, ansar, wanita dan kanak-kanak.
Akhirnya jenazah baginda disemadikan pada tengah malam itu (selasa malam rabu)

Sumber: Raheeq Makhtum, Sofiur-Rahman al-Mubarakfuri.

Wednesday, June 4, 2014

Doa Lailatul-Qadar

Soalan:

Salam Ustzh, sy nak tanya ttg doa yg Nabi s.a.w. ajar kpd Aisyah r.a. spy dia bc mlm lailatulqadar. Apa maksud sebenar doa tu? Trm kasih atas penjelasan.

Jawapan:

Wassalam. Aisyah r.a. telah bertanya Rasulullah s.a.w. sekiranya dia bertemu Lailatul-Qadar, apa yang patut dia lakukan? Baginda menjawab: "Berdoalah dengan doa ini:
(اللهمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ، تُحبُّ العفوَ فاعفُ عني)
Riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi.

Doa ini mengandungi erti yang sangat besar, merangkumi kebaikan dunia dan akhirat.
Pertama, ia dimulakan dengan tawassul menyebut nama dan sifat Allah yang sesuai dengan apa hendak diminta, iaitu sifat 'Afuww (Pemaaf).
Kedua, memujiNya dengan menyebut Tuhibbul'afwa (sukakan kemaafan). Memuji sebelum berdoa adalah satu daripada adab berdoa.
Ketiga, memohon al-'afwa (Fa'fu 'anni).
Al-'Afwa sebenarnya merangkumi kebaikan dunia dan akhirat. Ia termasuk kesejahteraan tubuh badan daripada penyakit dan kesakitan. Kesejahteraan agama daripada bidah dan khurafat. Itu di dunia.

Di akhirat pula dimaafkan daripada hisab (perhitungan) dan  azab. Orang yang selamat daripada hisab dan azab, maka dia sesungguhnya berjaya mencapai kebahagiaan dan keberuntungan yang hakiki. AllahuA'lam.