Sunday, March 29, 2015

Motivasi Menghafal al-Quran

Soalan:

Salam ustazah, ana nak minta nasihat atau tips bagaimana nak memberi motivasi dan dorongan kepada anak usrah untuk menghafal al-Quran sebab dalam syllabus usrah kita kena hafal ayat-ayat tertentu. Tapi di kalangan anak-anak usrah, termasuk diri ana sendiri, rasa macam susah sangat nak hafal. Jzkl

Jawapan:

Wassalam. Bagi diri ana secara peribadi, tiga perkara yang menjadi dorongan untuk menghafal al-Quran sedaya mampu.

Pertama: Dengan mentadabur dan memerhatikan firman Allah yang bermaksud: Dan sesungguhnya Al-Quran adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. (192) Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. (193) Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (194) (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata. (195) – Surah 26 Asy-Syu’araa’
Perhatikan ayat di atas “Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu”! jadi al-Quran tempatnya di dalam hati. Bukan hanya tersimpan di dalam mushaf. Jibril tidak bawa al-Quran dalam bentuk lembaran-lembaran kertas, tetapi dibawa turun ke dalam hati Nabi s.a.w. Maka wajarlah kita berusaha untuk memasukkannya ke dalam hati kita.
Bagaimana caranya? Tak lain kecuali dengan berusaha menghafal.

Kedua: Ingat ketika masuk kubur nanti. Saat kita mati, siapa yang menghantar kita dan memasukkan kita ke dalam kubur? Tak lain dan tak bukan, mereka adalah orang-orang yang paling kita sayang dan paling menyayangi kita. Namun selepas mereka letakkan kita di dalam lubang yang sempit itu, adakah mereka masuk bersama menemani kita? Tidak. Jadi siapakah yang akan menemi kita di tempat yang sempit dan sepi itu? Al-Quran. Kalau al-Quran tidak ada di dalam hati kita? Siapa lagi yang hendak kita harapkan?

Ketiga: Pahala membaca al-Quran sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu hasanah (kebaikan). Dan setiap satu hasanah itu 10 kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” Riwayat at-Tirmizi dan al-Baihaqi.
Bayangkan kalau kita al-Quran satu muka surat, satu juzuk atau seberapa banyak yang kita mampu dalam sehari, berapa banyak pahala yang Allah sediakan? Kemudian apabila kita mendorong anak usrah kita hafal, untuk hafal tentulah kena abaca berulang-ulang, kita mendapat pahala setiap huruf yang dia baca. Kemudian bila dia pula ada bawa usrah dia dorongkan anak usrah baca dan hafal al-Quran, kita akan dapat pahala lagi seperti yang dia dapat, tidak kurang walau sedikitpun. Ma Syaa Allah
Dan apabila pada saat ini kita mula beniat dan berazam dengan sungguh-sungguh untuk hafal al-Quran, lalu kita memulakan langkah menghafal satu ayat sehari atau sebagainya, kemudian ditakdirkan kita mati sebelum sempat menghabiskan hafalan, Allah catat kita telah menghafalnya.


Wednesday, March 11, 2015

Solat Sunat Selepas Aqad Nikah

Soalan:

Assalamualaikum, Ustazah.

Saya nak tanya, adakah terdapat solat sunat selepas aqad nikah? Kalau ada, itu dikira sunat apa dan nak niat macamana?

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wrwb.

Merujuk kepada kitab "Al-Fiqh Al-Islami WaAdillatuh" tulisan Dr Wahbah Az-Zuhaili, juzuk 7, disebut perkara-perkara yang disunatkan ketika aqad nikah serta dalil-dalilnya:
1.     Khutbah sebelum aqad dengan memuji Allah, melafazkan syahadah, berselawat ke atas Nabi s.a.w., mengingatkan supaya bertaqwa dan peringatan-peringatan lain yang berkaitan dengan pembinaan keluarga yang sejahtera dan diredhai Allah 'Azza wa Jalla.
2.     Berdoa untuk kedua-dua pengantin dengan doa yang diajar oleh Nabi s.a.w. seperti yang diriwayatkanoleh Abu Daud dan at-Tirmizi
"بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما فى خير"
3.     Aqad dilakukan pada petang jumaat. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi bersabda maksudnya: "Hendaklah kamu menikahkan pada waktu petang kerana ia lebih besar keberkatannya." Riwayat Abu Hafs. Maka disunatkan pada semulia-mulia hari demi mencari keberkatannya. Di samping itu pada akhir waktu siang hari jumaat merupakan waktu mustajab.
4.     Mengisytiharkan pernikahan dengan paluan kompang. Harus juga diiringi dengan nyanyian yang mengandungi maksud yang baik-baik
5.     Menyebut mas kahwin ketika aqad. Ini untuk mengelakkan perselisihan di kemudian hari serta menenangkan hati kedua-dua belah pihak
6.     Mengadakan walimah atau kenduri, menjamu kaum keluarga, sahabat handai serta kenalan-kenalan.
Kita dapati, tidak disebut tentang disunatkan solat selepas aqad.

Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya "Al-Mufassol fi Ahkam Al-Mar'ah wal-Baitil-Muslim fi Asy-Syari'ah Al-Islamiyyah" juzuk 6, menambah ke atas apa yang telah dinyatakan di atas, beberapa perkara lain yang disunatkan. Antaranya:
1.     Aqad dilakukan di masjid. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Isytiharkan pernikahan, lakukannya di masjid dan palulah kompang." Riwayat at-Tirmizi
2.     Dilakukan pada bulan Syawwal. Aisyah r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w. menikahiku pada bulan Syawwal, dan mula bersama denganku pada bulan Syawwal. Maka manakah di antara isteri-isteri baginda yang lebih beruntung daripadaku?" Riwayat Muslim
3.     Solat dua rakaat ketika kali pertama suami masuk ke bilik isteri dan berdua-duaan dengannya. Abu Soleh meriwayatkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi s.w.a. hadir ke majlis pernikahan Abi Sa'eid Maula kepada Abi Usid. Mereka berkata kepada Abi Sa'eid: "Apabila kamu masuk ke bilik isterimu, maka solatlah dua rakaat. Kemudian pegang kepalanya sambil berdoa: "Ya Allah, berkatilah untukku pada isteriku dan berkatilah untuk isteriku padaku. Kurniakan aku rezeki (anak) daripadanya dan kurniakan dia rezeki (anak) daripadaku." Kemudian selepas itu urusan kamu dengan isterimu!" 
Al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Apabila salah seorang daripada kamu memperolehi isteri, maka peganglah ubun-ubunnya seraya menyebut bismillah dan hendaklah dia berdoa: "Ya Allah, aku memohon daripadaMu kebaikannya dan kebaikan sifatnya, dan aku berlindung denganMu daripada kejahatannya dan kejahatan sifatnya."
4. Majlis aqad dihadiri oleh orang-orang yang baik dan bertaqwa supaya mereka turut menjadi saksi pernikahan itu.

Kalau kita perhatikan apa yang disebut oleh Dr Abdul Karim Zaidan, No 3 di atas dalam riwayat al-Baihaqi, Nabi s.a.w. hanya mengajar doa yang patut dibaca ketika memperoleh isteri tetapi tidak menganjurkan solat. Solat dianjurkan oleh sahabat r.a. Waktunya adalah ketika mula masuk bilik berduaan, bukan selepas aqad.

Niat solat adalah solat sunat sahaja atau solat hajat memohon keberkatan dalam perkahwinan yang baru terbina.


Allahu A'lam.