Saturday, April 18, 2015

NASAB ANAK ZINA

Soalan:

Assalam.. nak tnya.. ada satu kes dia mngandung 3 bln..blm berkawin.. n bakal berkawin dgn lelaki tu... apa status ank dia..
boleh bin atau bintikan pd bapa nya tak kalau clear anak itu hasil zina sebelum kahwin? walaupun pasangan itu adalah ayah kepada anak?

Jawapan:

Wasalam

Anak hasil zina tidak dinasabkan atau dibinkan/dibintikan kepada lelaki yang berzina dengan wanita yang melahirkan anak itu. Ini merupakan pendapat semua fuqahak berdasarkan hadis yang bermaksud: “Anak untuk firasy (hubungan melalui perkahwinan yang sah). Dan untuk pezina adalah batu.” Riwayat Muslim.
Kata Imam an-Nawawi, maksud “untuk pezina adalah batu” adalah dia tidak berhak apa-apa ke atas anak itu. Anak itu tidak boleh dinasabkan kepadanya, tidak boleh mewarisi dan diwarisi.

Sekiranya lelaki yang berzina itu bernikah dengan wanita yang telah dizinainya, apakah kesan ke atas anak yang dikandung sebelum bernikah?

Di dalam “Al-Fatawa al-Hindiah”, fiqh Mazhab Hanafi menyebut: “Sekiranya dia berzina dengan seorang perempuan, maka perempuan itu mengandung hasil zina, kemudian dia berkahwin dengan perempuan itu, lalu perempuan itu bersalin selepas enam bulan berkahwin atau lebih daripada enam bulan, sabit nasab kepadanya. Jika perempuan itu bersalin kurang daripada enam bulan selepas berkahwin, tidak sabit nasab kepadanya, kecuali dia mengaku bahawa anak itu anak dia tanpa dia menyebut hasil zina. adapun jika dia berkata bahawa anak itu hasil zina, maka tidak sabit nasab kepadanya dan tidak boleh mewarisi hartanya.”

di dalam kitab “Al-Mughni” Ibn Qudamah Mazhab al-Hanbali: “Anak zina tidak dinasabkan kepada pezina, iaitu jika dia mengaku anak itu anaknya (hasil zina) tidak dinasabkan kepadanya. Ini adalah pendapat jumhur, iaitu majority fuqahak.”

Ali bin Aasim meriwayatkan daripada Abu Hanifah, bahawa dia berkata: “Pada pendapat aku, tidak mengapa sekiranya seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan, maka perempuan itu mengandung, dia berkahwin dengannya dan menutup aibnya, dan anak itu adalah anaknya.”

Kata-kata Ibn Taimiah rahimahullah: “Sekiranya seseorang mengaku anaknya daripada zina, bukan daripada perkahwinan, maka dinasabkan kepadanya. Ini merupakan pendapat al-Hasan, Ibn Sirin, an-Nakha’ei dan Ishaq.

Kesimpulan yang dibuat oleh Dr Abdul Karim Zaidan, fuqahak yang mengatakan dinasabkan kepadanya jika dia mengaku anak itu anaknya adalah jika dia tidak mengatakan bahawa dia berzina dengan perempuan itu. Jika dia sendiri mengatakan anak itu adalah hasil zinanya, maka tidak boleh dinasabkan kepadanya.
Dan jika seorang perempuan berkahwin, kemudian dia melahirkan anak kurang daripada enam bulan, dan suaminya diam (tidak menuduh isterinya telah berzina sebelum kahwin), atau dia sendiri mengaku anak yang dilahirkan itu anaknya tanpa dia menyebut bahawa dia telah berzina sebelum kahwin, maka anak itu dinasabkan kepadanya secara sah di dunia.

Maka, berdasarkan fatwa-fatwa yang dikemukakan, jawapan kepada soalan di atas adalah tidak boleh dibinkan / dibintikan kepada lelaki itu kerana dia sendiri telah mengaku berzina. Allahu A’lam.

Jawapan ini dipetik daripada kitab, “Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim fi asy-Syari’ah al-Islamiyyah”, Dr Abdul Karim Zaidan, jilid 9, hal 381 - 384


Friday, April 10, 2015

Fadhilat Surah al-Kahf

Soalan:

Salam Ustazah. Maaf nak tanya sikit, apa kelebihan baca surah al-Kahf? Akhir-akhir ni banyak dapat mesej supaya baca surah al-Kahf terutama malam jumaat. Sebelum ni saya selalu baca Ya Siin.


Jawapan:

Wassalam. Terdapat beberapa riwayat yang sahih tentang kelebihan membaca surah al-Kahf.
1.     Daripada Abu Dardaa' r.a. daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang menghafaz 10 ayat daripada awal surah al-Kahf, dia dipelihara dari fitnah Dajjal." Di dalam riwayat lain: "Sesiapa yang membaca 10 ayat terakhir daripada surah al-Kahf, dia dipelihara daripada fitnah Dajjal." Riwayat Muslim dan lain-lain.
2.     "Sesiapa yang membaca 10 ayat daripada akhirnya (surah al-Kahf) kemudian keluar Dajjal, ia (Dajjal) tidak akan memudaratkannya." Dikeluarkan oleh al-Hakim dan dia mengatakan ia sahih
Masa untuk membaca surah al-Kahf, dinyatakan di dalam hadis-hadis berikut:
1.     Daripada Abu Sa'eid al-Khudri r.a. dia berkata: "Sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada malam Jumaat, diterangi untuknya dengan cahaya antara dia (tempat dia berada) dengan rumah yang 'ateeq (Baitillah)" Riwayat ad-Darami, menurut al-Albani adalah sahih.
2.     "Sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, diterangi untuknya dengan cahaya antara dua Jumaat." Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi.  Menurut Ibn Hajar, hadis hasan. Manakala  al-Albani, sahih
3.     Daripada Ibn Umar r.a.  Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, terpancar baginya cahaya dari bawah tapak kakinya menjulang hingga ke langit meneranginya hingga ke hari qiamat. Dan diampunkan dosanya antara dua Jumaat." Al-Munziri berkata, hadis ini diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawaih di dalam tafsirnya dengan sanad yang tidak mengapa, yakni boleh diterima.

Allahu A'lam.

Friday, April 3, 2015

Berdakwah tidak perlu menyampai?

Soalan:

assalamualaikum wbt ustzh
sy nak mintak tolong sebab ada akhawat mintak saya beri pendapat..jadi saya rasa perlu rujuk pada yang lebih pakar dalam bidang ni. harap ustzh dapat bantu.
kalau ustzh ada masa, boleh x nak mintak ustzh terangkan sikit tentang menjadi daie. Ada yang berkata keutamaan kita adalah menjadi muslim dan kena balance.
tapi saya kurang faham tentang ada pilihan untuk tidak buat dakwah dan cukup sekadar menunjukkan qudwah dengan menjadi muslim yg balance tapi ini juga dikira dakwah kan?
dan cukupkah tuntutan berdakwah seseorang sekadar melalui qudwah tanpa menyampaikan dengan perkataan?

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wrwb.

Pertama saya akan cuba hurai makna dakwah

Dari segi bahasa dakwah yang mana akar katanya daripada huruf dal, ain dan waw bermakna menjadikan seseorang condong atau cederong kepada kita dengan suara atau kata-kata daripada kita (mu'jam maqayis al-lughah)

Perkataan dakwah di dalam al-Quran membawa beberapa maksud:
1.    Meminta atau memohon (Al-Furqan:14)
2.    Seruan (Al-Kahf:52)
3.    Bertanya (Al-Baqarah:69)
4.    Menggalak atau menggesa (Ghafir:41)
5.    Meminta tolong (Al-An'am: 40)
6.    Menyuruh atau memerintah (Al-Hadid:8)
7.    Doa (Al-A'raf:55)

Kesemua makna di atas merujuk kepada satu maksud, iaitu meminta atau memohon. Seruan, minta supaya datang. Tanya atau soal, minta maklumat. Galak atau gesa, minta supaya seseorang melakukan apa yang dia tidak suka. Minta tolong, mohon supaya dihilangkan kemudaratan yang dialami oleh orang yang meminta. Perintah, minta supaya dilaksanakan sesuatu perkara. Doa, minta daripada Allah sesuatu hajat.

Dakwah dari segi istilah, para salaf tidak begitu menekankan tentang pentakrifan dakwah secara jelas. Apa yang difahami adalah berdasarkan petikan-petikan daripada percakapan mereka sahaja.
Ada yang menganggap bahawa takrif dakwah adalah apa yang diungkapkan oleh sahabat yang bernama Rab'ei bin 'Aamir r.a. di hadapan Rustum panglima angkatan tentera Farsi dalam peperangan al-Qadisiah: Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah tuhan manusia, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.
Ahmad ar-Rasyid, penulis buku al-Muntalaq berkata menurut Ibn Taimiah: Dakwah kepada Allah ialah menyeru ke arah iman kepadaNya dan kepada apa yang dibawa oleh rasul-rasulNya, dengan membenarkan apa yang disampaikan dan mentaati apa yang diperintahkan.
Ada juga di kalangan ulamak kini yang mengemukakan takrif dakwah dengan berkata:

ü Dakwah ialah mengenalkan manusia akan Tuhan mereka, nama-namaNya dan sifat-sifatNya, serta cara bagaimana untuk sampai kepadaNya dan apa yang mereka akan perolehi jika mereka sampai kepadaNya.
ü Menggalakkan manusia melakukan kebaikan, mengikuti petunjuk Tuhan, menyuruh makruf dan mencegah mungkar supaya mereka mencapai kejayaan dengan memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat
ü Menyampaikan Islam kepada manusia, mengajar mereka ajarannya dan melaksanakannya dalam kehidupan.

Melihat kepada takrif dari sudut bahasa sudah dinyatakan dengan jelas bahawa dakwah itu dengan suara atau kata-kata. Dan itulah yang dilakukan oleh rasul-rasul alaihimus-solatu was-salam termasuk Nabi Muhammad s.a.w.
Sebagai perbandingan, katakan kita hendak buat kenduri. Kita pasang khemah, susun kerusi, meja dan hidang makanan di atas meja, adakah orang akan berduyun-duyun datang bila mereka nampak makanan terhidang tanpa kita mengundang mereka? Tentu tidak. Begitu jugalah halnya dengan dakwah kepada Islam. Sekadar menunjukkan teladan tidak bermakna kita telah mengajak mereka kepada Islam.
Al-Quran memerintahkan Nabi s.a.w. serta umatnya agar berdakwah dengan menyampaikan. "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (An-Nahl:125)
Allah Ta'ala juga menceritakan semua Rasul-rasul mengajak dan menyeru kaumnya agar menyembah Allah Yang Esa. Mereka bukan setakat menyembah supaya dilihat oleh kaumnya. "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.” (An-Nahl:36)
Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w. Malah baginda bukan hanya menyampai, sebaliknya di samping menyampai baginda mentazkiah dan mengajar. “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumu’ah:2)
Perhatikan ayat berikut, Allah memuji orang yang menyampaikan dakwah sebagai orang yang paling baik kata-katanya. “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Fussilat:33)

Kesimpulannya, teladan yang baik bukan dakwah. Tetapi ia merupakan pra syarat untuk berdakwah, kewajipan pendakwah agar memperbaiki diri, menjadi contoh kepada mad’unya dalam melakukan apa yang didakwah atau yang diserukannya. “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al-Baqarah:44) Allahu A’lam.