Tuesday, June 9, 2015

HUKUM SENTUH MAHRAM


Soalan:
adakah batasan pergaulan sesama pakck sedara dan anak sedara sama seperti adik beradik kandung? Ana punya seorang pakck sedara yg hampir sebaya dgn ana dan kami sgt rapat mcm adik beradik sndri. Adakah salah utk ana berpegang tgn dgnnya? 
Apakah hukumnya pula apabila adik beradik perempuan laki bercium pipi tanda kasih syg?
Ana perlukn2 sgt2 jawapan dr ustazah. Jzkk.

Jawapan:
Bapa suadara adalah adik beradik kepada ibu atau ayah kita. Bapa sauadara juga dikira sebagai mahram, iaitu orang yang haram dinikahi.
Hukum melihat dan menyentuh mahram adalah seperti berikut:

a.    Hukum Melihat Anggota Aurat
Mahram bagi wanita tidak harus sama sekali melihat anggota aurat, iaitu di antara pusat hingga lutut sama ada dengan syahwat atau tanpa syahwat.

b.    Hukum Melihat Bahagian Badan yang Bukan Aurat
Bahagian yang bukan aurat walaupun pada asalnya harus dilihat namun ada pengecualiannya. Pada keadaan tertentu bahagian yang bukan aurat juga haram dipandang.
Harus atau haram melihat anggota seseorang adalah bergantung kepada sama ada boleh mendatangkan fitnah, membangkitkan syahwat atau tidak.
Justeru lelaki yang tidak dapat mengawal syahwatnya tidak harus memandang muka wanita yang bukan mahramnya sekalipun muka itu bukan aurat. Dia juga haram melihat wajah lelaki tampan atau lelaki lembut sekiranya pandangan itu meransang syahwatnya.

c.    Bahagian yang Harus Dilihat dan Disentuh Oleh Mahram
Jumhur ulama’ berpendapat bahawa bahagian yang boleh dilihat ialah anggota yang biasa terdedah ketika bekerja atau pakaian yang biasa dipakai ketika berada di dalam rumah. Mereka menyebut beberapa anggota seperti muka, kepala, leher, dua tangan hingga ke siku dan dua kaki hingga ke lutut. Selain daripada anggota tersebut tidak boleh dilihat kerana tidak ada keperluan untuk membukanya.

d.    Hukum Menyentuh Mahram
Anggota yang harus dilihat, maka harus disentuh.

عَنْ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ عَائِشَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ : مَا رَأَيْتُ أَحَدًا كَانَ أَشْبَهَ كَلاَمًا وَحَدِيثًا مِنْ فَاطِمَةَ بِرَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَكَانَتْ إِذَا دَخَلَتْ عَلَيْهِ رَحَّبَ بِهَا وَقَامَ إِلَيْهَا فَأَخَذَ بِيَدِهَا فَقَبَّلَهَا وَأَجْلَسَهَا فِى مَجْلِسِهِ وَكَانَ إِذَا دَخَلَ عَلَيْهَا رَحَّبَتْ بِهِ وَقَامَتْ فَأَخَذَتْ بِيَدِهِ فَقَبَّلَتْهُ.

Daripada Sayidatina Aisyah r.a. katanya: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang paling mirip dengan Nabi s.a.w. dari segi percakapan dan pertuturannya selain daripada Fatimah r.a. Apabila dia datang, Nabi s.a.w. akan mengalu-ngalukannya. Baginda bangun menyambutnya, memegang tangannya, lalu mengucupnya dan didudukkannya di tempat duduk Baginda. Dan apabila Baginda pergi ke rumah Fatimah, Fatimah memegang tangan Baginda, lalu mengucupnya”. (Riwayat al-Baihaqi)

Dalam riwayat lain ada menyebut bahawa Rasulullah SAW mencium kepala puterinya Fatimah r.a. dan Abu Bakar as-Siddiq r.a. mencium kepala puterinya Aisyah r.a.
Riwayat-riwayat yang dinyatakan di atas menunjukkan harus menyentuh dan mencium mahram dengan ciuman kasih sayang selagi mana tidak mendatangkan fitnah dan dapat mengawal diri dari syahwah.



Wednesday, June 3, 2015

HUKUM MENGULANGI SOLAT YANG TIDAK KHUSYUK

Soalan:

Salam ustazah,

Saya ada persoalan yang memerlukan penjelasan dari ustazah, ada rakan yang menunaikan solat fardhu 2 kali kerana katanya waktu solat kali pertama dia tak khusyuk. Jadi persoalannya bolehkah menunaikan solat fardhu sebanyak 2 kali.

Jawapan:

Wassalam.

Khusyuk di dalam solat adalah sesuatu yang amat dituntut. Malah Allah Ta’ala menjamin kejayaan bagi mereka yang khusyuk di dalam solatnya sebagaimana dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Al-Mu’minun : 1-2)
Namun, tidak khusyuk semasa solat tidaklah menjadikan solat itu batal. Solat tetap sah jika sempurna rukun serta syarat-syaratnya.
Di dalam Syarah al-Muhazzab, Imam an-Nawawi berkata: disunatkan khusyuk di dalam solat dengan mentadabur bacaan ayat-ayat, zikir-zikir dan yang berkaitan dengannya serta jauhi dari berfikir atau mengingati perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengannya. Sekiranya dia banya berfikir tentang perkara lain tidak batal solatnya tetapi makruh… Sesungguhnya telah dinaqalkan bahawa ijmak tidak batal. Dan telah disepakati bahawa ia adalah makruh. Antara dalil yang menunjukkan tidak batal solat dengan sebab berfikir tentang sesuatu yang lain ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengira dosa ke atas umatku perkara yang berligar di dalam dirinya selama dia tidak melakukan atau bercakap tentangnya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Dan daripada Uqbah bin al-Harith r.a. katanya: “Aku menunaikan solat Asar bersama Nabi s.a.w. Selepas memberi salam, Baginda bangun dengan segera dan terus memasuki salah satu rumah isteri-isterinya. Kamudian Baginda keluar dan Baginda melihat di wajah kami tanda keheranan di atas kelakuannya bersegera tadi. Lalu Baginda menjelaskan: “Aku teringat ketika aku sedang solat tadi terdapat seketul emas di rumah kami. Maka aku tidak suka ia ada sampai petang atau satu malam di rumah kami. Lantas aku perintahkan supaya emas itu dibahagi-bahagikan.” Riawayat al-Bukhari.
Selain itu terdapat beberapa hadis lagi yang menunjukkan mengingati perkara lain di dalam solat tidak membatalkannya.
Ulamak berbeza pendapat dari segi hukum mengulangi solat yang tidak khusyuk. Setengah mereka berkata sunat dan setengah yang lain berkata tidak sunat.

Pada pendapat saya, jangan jadikan kebisaan mengulanginya kerana solat yang diulanginya itu tidak dapat dijamin tidak berlaku apa yang dikatakan tidak khusyuk itu. Ertinya tidak dapat dijamin bahawa solat kali ke dua dia tidak diganggu dengan ingatan kepada perkara-perkara lain. Ini pastinya akan mendatangkan kesusahan kepadanya dan mungkin membawa kepada penyakit waswas. Tambahan pula, Nabi s.a.w. sendiri tidak menyuruh orang yang tidak khusyuk mengulangi solatnya.
Apa yang wajib dilakukan ialah berusaha sedaya mampu menyempurnakan syarat dan rukun, kemudian cuba sedaya upaya untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap amalan dan bacaan di dalam solat. Selain itu, banyakkan solat-solat sunat kerana terdapat hadis (riwayat at-Tirmizi, an-Nasae dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah r.a.) yang menunjukkan bahawa solat-solat sunat dapat menampung solat fardhu jika terdapat kekurangan. Allahu A’lam.



HUKUM BERPUASA SELEPAS 15 SYA'BAN

Soalan:

Salam ustazah,

Saya ada persoalan yang memerlukan penjelasan dari ustazah berkaitan dengan puasa ganti, saya telah diberitahu bahawa jika seseorang tidak sempat mengganti puasa sebelum Nisfu Syaaban, dia tidak boleh mengganti puasanya pada tahun ini       perlu membayar fidyah dan hanya boleh mengganti selepas Awal Muharram. Setahu saya, seseorang boleh mengganti puasanya sehingga sehari sebelum 1 Ramadhan.

Sekian, terimakasih.

Jawapan:

Wassalam.

Saya kemukakan terlebih dahulu beberapa hadis yang berkaitan dengan puasa pada bulan Sya'ban.

Pertama: Aisyah r.a. berkata: "Nabi s.a.w. tidak pernah berpuasa dalam sebulan lebih banyak daripada apa yang baginda berpuasa dalam bulan Sya'ban. Sesungguhnya kadang-kadang baginda berpuasa dalam bulan Sya'ban satu bulan sepenuhnya." Al-Bukhari dan Muslim.
Kedua: Dalam riwayat lain, Aisyah r.a. berkata: "Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa penuh satu bulan kecuali Ramadhan. Dan aku tidak pernah melihat baginda paling banyak berpuasa seperti mana baginda berpuasa pada bulan Sya'ban." Al-Bukhari dan Muslim

Kedua-dua hadis di atas menunjukkan Rasulullah s.a.w. banyak berpuasa pada bulan Sya'ban. Secara tidak langsung menunjukkan baginda juga berpuasa selepas nisfu Sya'ban.

Ketiga: Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Jangan kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa satu hari atau dua hari kecuali seseorang yang hari tersebut menepati hari dia berpuasa, maka hendaklah dia berpuasa." Riwayat Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasae dan Ibn Majah.
Hadis ini menunjukkan larangan berpuasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan. Hikmahnya ialah supaya tidak bercampur antara yang sunat dengan yang wajib. Selain itu, dikatakan juga bahawa hikmah larangan berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan ialah kerana puasa Ramadhan wajib apabila nampak anak bulan. Jika mendahului puasa sebelum nampak anak bulan seolah-olah dia mempertikaikan hukum tersebut.

Keempat: Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Apabila tiba pertengahan Sya'ban, maka jangan kamu puasa sehingga datangnya Ramadhan." Riwayat Ibn Majah. Abu Daud meriwyatkan dengan lafaz: "Apabila sampai separuh Sya'ban, maka jangan kamu puasa."

Berdasarkan hadis ini, sekumpulan ahli ilmu berpendapat makruh berpuasa selepas separuh Sya'ban.

Kesimpulan daripada hadis-hadis di atas:

Pertama: Rasulullah s.a.w. banyak berpuasa sunat pada bulan Sya'ban
Kedua: Puasa yang dilarang selepas separuh atau selepas 15 Sya'ban  adalah puasa sunat, tiada kaitan dengan puasa wajib sama ada puasa qadha atau puasa nazar
Ketiga: Makruh berpuasa sunat selepas 15  Sya'ban adalah bagi mereka yang tidak berpuasa dari awal, atau tidak menjadi kebiasaannya berpuasa sunat. Bagi mereka yang telah berpuasa dari awal, atau menjadi kebiasaannya berpuasa sunat seperti puasa hari Isnin dan Khamis, atau puasa selang sehari, tiada halangan dan tidak makruh untuknya meneruskan kebiasaan itu walaupun selepas 15 Sya'ban.

Dengan itu tidak ada halangan untuk yang bertanya melaksanakan puasa gantinya selepas 15 Sya'ban. Malah wajib ke atasnya menyegerakannya jika dia mampu. Allahu A'lam.


Sumber: Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-Muslim fi asy-Syari'ah al-Islamiyyah, Dr. Abdul Karim Zaidan, juzuk 2, hal 135-136.