Wednesday, November 23, 2016

HUKUM TAK IKUT KEHENDAK SUAMI

SOALAN: 

“Salam ustazah...sy ingin bertanya, apa hukumnya seorang isteri menolak ajakan suami utk bersama kerana keletihan yg amat sangat dan kerana juga ingin menjaga waktu solat? Contoh, suami ajak bersama lewat mlm tp isteri takut tlajak subuh kalau tidur lewat. Mohon pencerahan mengenai 2 alasan ini. Jzkk”

JAWAPAN:

Soalan yang dimajukan oleh seorang sahabat kepada saya.
Saya percaya soalan itu lahir dari jiwa yang beriman, yang takutkan dosa dan rindukan pahala.

Mungkin ada pihak yang dengan mudah akan menjawab soalan itu dengan mengatakan hukumnya haram bagi seorang isteri menolak ajakan suami kerana kewajipan isteri adalah taat kepada suami. Dalilnya, Nabi s.a.w. pernah bersabda maksudnya: “Kalau aku boleh perintahkan manusia sujud kepada manusia nescaya aku akan perintahkan isteri sujud kepada suami…” (At-Tirmizi) dan sabdanya yang bermaksud: “Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi dia tidak datang, lantas suami tidur dalam keadaan marah, dia dilaknat oleh malaikat sehingga ke pagi.” (Muttafaq ‘Alaih)

Kalau begitulah jawapannya, Islam akan dilihat sebagai agama yang hanya tahu menghukum. Dan yang kena hukum selalunya wanita. Wanita wajib taat kepada suami. Jika tidak taat, berdosa.

Bagi saya, soalan yang patut ditanya ialah “apakah hukumnya suami yang  mengajak isterinya untuk bersama sedangkan isterinya sakit dan terlalu penat, atau apakah hukumnya suami yang mengajak isterinya bersama di tengah malam sehingga terlepas solat fardhu subuh?”

Beranikah kita menjawab bahawa hukumnya adalah haram kerana suami diperintahkan agar menggauli isteri dengan cara yang makruf (An-Nisaa’:19). Adakah dikira makruf jika mengajak isteri bersama walhal dia sedang sakit atau penat? Suami juga diperintahkan supaya memelihara diri dan ahli keluarga dari disambar api neraka (At-Tahrim:6). Maka melayan nafsu sehingga terabai solat, adakah akan selamat dari neraka? Suami juga diamanahkan sebagai pemimpin atau qawwam. Menurut ahli tafsir qawwam membawa maksud orang yang terlalu menjaga urusan seseorang dan sangat mengambil berat tentangnya, orang yang menjaga kepentingan orang lain tanpa mengira penat, tanpa menuntut rehat. Dan lelaki ditaklifkan menjaga kepentingan wanita dan mempastikan mereka memperolehi apa yang diperlukan
Di situlah letaknya kelebihan lelaki, iaitu mereka memerah tenaga demi menjamin kehidupan yang sejahtera bagi wanita. Jelas bahawa qawwam bukan bermakna ketua atau boss yang boleh perintah sesuka hati dan setiap perintahnya wajib ditaati.

Kesimpulannya, apa yang saya ingin cuba sampaikan di sini, Islam adalah agama rahmah, rahmah kepada semua. Baik lelaki maupun wanita. Malah rahmahnya Islam meliputi alam seluruhnya. Oleh itu, para isteri khususnya yang bertanyakan soalan di atas tidak perlu risau atau rasa tertekan apabila tidak dapat memenuhi semua kehendak suami jika terdapat alasan yang syar’ei. Ini kerana Tuhan yang memerintahkan isteri taat kepada suami Tuhan itulah juga yang memerintahkan suami agar berbuat baik kepada isteri.




Monday, August 29, 2016

MENDIDIK ANAK MENGHARAP BALASAN?


Soalan:

Salam ustazah, saya nak Tanya,
Apabila kita membesarkan anak. Adakah apabila anak dah besar, kita boleh expect anak dapat membalas jasa kita atau sepatutnya kita membesarkan anak kita dengan ikhlas mengharapkan pahala drpd Allah dan bukan mengharap jasa kita dibalas oleh anak?

Jawapan:

Wassalam.
Membesarkan dan mendidik anak adalah tanggungjawab yang diamanahkan Allah kepada ibu bapa. Ibu bapa tidak boleh mengharap apa-apa selain daripada ganjaran dan redha Allah. Sentiasalah berdoa agar Allah kurniakan anak yang soleh sebagaimana doa Nabi Ibrahim alaihis-salam “Ya Allah, kurniakanlah aku anak dari kalangan orang yang soleh”.

Anak  yang soleh pasti akan berbuat baik kepada ibu bapanya walaupun tidak diminta. Kalau kita mengharap balasan dari mereka maka kita akan keciwa. Sebab  jika mereka tidak membalas jasa kita akan rasa marah, kesal dan mungkin dendam. Pahalapun  tak dapat sebab dari awal kita tidak mengharap pahala, sebaliknya mengharap pembelasan dari anak. Alangkah ruginya kita.

Thursday, August 25, 2016

QURBAN UNTUK IBU DAN AYAH

SOALAN :

Salam. Ustazah, saya nak tanya, bolehkah saya buat qurban untuk ayah dan ibu yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia?

JAWAPAN:

Wassalam.

Tidak sah qurban bagi pihak orang lain yang masih hidup tanpa izinnya kerana ia merupakan ibadah. Ibadah pada asalnya tidak harus dilakukan untuk orang lain kecuali apa yang telah jelas dalilnya, lebih-labih lagi pihak yang dibuat untuknya itu tidak menyatakan keizinannya. Namun terdapat pengecualian, iaitu salah seorang daripada ahli keluarga membuat qurban, terhasil untuk semua ahli keluarga tersebut sebagai satu sunat kifayah sekalipun tidak mendapat keizinan daripada semua ahli keluarga itu.

Dan tidak sah juga dibuat qurban bagi pihak orang yang telah meninggal dunia sekiranya dia tidak mewasiatkannya.
Jika orang yang meninggal dunia itu berwasiat supaya dibuat qurban bagi pihaknya, maka sah dilakukan. Pengarang juga menyatakan ada pendapat - tanpa menyebut siapa - yang mengatakan sah dibuat qurban bagi pihak orang yang telah meninggal dunia sekalipun dia tidak mewasiatkannya kerana qurban merupakan satu bentuk sedekah. Dan sedekah boleh dibuat untuk orang yang telah mati serta bermanfaat untuknya.
Sekiranya dibuat qurban bagi pihak orang lain termasuk orang yang telah mati, wajib disedekahkan semua dagingnya.

"Mughni al-Muhtaj", jilid 4, cetakan Mesir 1958 


Sunday, June 5, 2016

RAMADHAN KAREEM


Soalan:

Salam Ustazah, minta maaf ustazah, saya cuma ingin tahu ucapan “ramadhan kareem” yang sering diucapkan apabila tiba bulan ramadhan adakah ianya sunat?


Jawapan:

Wassalam. Ramadhan Kareem adalah satu ungkapan berupa statement atau “jumlah khabariah” yang bermaksud ramadhan mulia atau ramadhan pemurah. Pada zahirnya orang yang mengucapkan itu memberitahu kepada orang yang di hadapannya bahawa ramadhan adalah satu bulan mulia. Tetapi mungkin di sebalik itu maksud yang hendak disampaikan ialah dia berdoa supaya orang yang ditujukan ungkapan itu mendapat kemuliaan dan keberkatan di bulan ramadhan.

Sebahagian ulamak berpendapat ungkapan ramadhan kareem yang bermakna ramadhan mulia atau ramadhan pemurah tidak tepat kerana ramadhan tidak memberi apa-apa kepada kita. Allah yang menjadikannya bulan yang mulia, yang melimpahkan banyak kelebihan-kelebihan di dalamnya serta menjadikannya waktu untuk kita menunaikan satu daripada rukun Islam yang lima. Lebih tepat jika disebuat Ramadhan al-Mubarak, iaitu Ramadhan yang diberkati.


Dari segi hukum, ia bukan sunat dan bukan juga sunnah kerana (setakat yang saya ketahui) Nabi s.a.w. tidak pernah mengucapkannya. Pada pendapat saya, ucapkanlah ucapan yang jelas makna dan maksudnya dalam bahasa pertuturan kita. Tambahan pula jika kita gunakan ucapan tertentu tanpa kefahaman yang jelas dan dengan i’tiqad atau anggapan bahawa ianya sunnah akan membuatkan kita melakukan kesalahan secara sengaja atau tidak sengaja kerana kejahilan. Allahu A’lam.

Monday, January 4, 2016

ISTERI PEMALAS?

Soalan:

Assalam. Ustazah, sy nak minta komen sikit tentang suami yg cop isterinya yg xmampu buat kerja2 rumah tu sebagai pemalas dan menganggap kerja rumah seperti membasuh dan mengemas adalah tugas wajib seorang isteri...mohon pencerahan sedikit...t.kasih...

Jawapan:

Wassalam. Sedia maklum bahawa rumahtangga dibina untuk tujuan mendapat sakinah, ketenangan dan kedamaian hati kedua-dua belah pihak. Ikatan yang suci murni itu diperkuatkan lagi dengan perasaan mawaddah dan rahmah yang dikurniakan Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.
Sebagai ketua di dalam rumahtangga, suami disarankan agar menggauli dan melayani isteri dengan baik, sehinggakan Nabi s.a.w. meletakkan kayu pengukur untuk menilai kebaikan seorang suami pada cara mana dia melayan isterinya.
Begitulah sebaliknya. Isteri yang baik itu ialah yang menyenangkan hati suami, yang taat dan sentiasa berusaha untuk membuatkan suaminya bahagia.

Jadi, berbalik kepada soalan yang ditanyakan di atas, isteri tidak mampu membuat kerja rumah. Apakah sebab tidak mampu itu? Sakit atau terlalu banyak tugasan di luar? Apakah isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa atau seorang wanita yang berkerjaya?

Dari sudut hukum memang tidak diperincikan tugas isteri selain taat kepada suami. Namun dari sudut matlamat perkahwinan yang dinyatakan di atas, mampukah ketenangan dicapai sekiranya rumah dibiarkan kotor dan berselerak dengan alasan kita tidak wajib berkemas?

Kesimpulannya, pada pendapat saya kedua-duanya perlu kembali kepada tujuan asal perkahwinan, untuk mewujudkan perasaan saling menyayangi dan membahagiakan hati masing-masing yang mana dengannya lahirlah ketenangan yang dicari-cari.

Jika isteri tidak mampu, suami sepatutnya memahami sebab tidak mampu dan cuba berbincang untuk mencari jalan menyelesaikannya. Kalau hanya tahu cop pemalas atau sebagainya, adakah dengan itu dapat selesai masalah?


Moga-moga jawapan ini dapat membantu.