Monday, July 23, 2018

HUKUM MEMEGANG ATAU MENDUKUNG BAYI KETIKA SOLAT


SOALAN:

Saya menerima soalan kira-kira begini:

Dulu selalu dukung anak semasa solat. Tapi, masa solat kat RnR, ade makcik tegur..

Makcik: awak solat dukung anak, dah tukar pampers ke belum tu?
Aku: baru tukar makcik.
Makcik: kalau anak kencing masa awak solat,sah ke solat?!

Makcik tu meninggalkan aku terpinga pinga keseorangan.daaah...was2 aku...solat la aku skali lg.

From that moment, jarang dah solat dukung anak. Kadang masyarakat kita terlalu banyak persoalan, bukan persoalan yg memudahkan...tapi sebaliknya. Sesiapa yg ada pengetahuan mengenai fiqh solat, boleh share ye...tq.

Minta pencerahan ustazah. Jazakillahukhair

JAWAPAN:

Seringkali terjadi anak-anak menangis ketika ayah atau ibu sedang menunaikan solat. Untuk meredakan tangisan si anak, ayah atau ibu mendukungnya.
Apakah hukumnya solat sambil mendukung anak?
Bagaimana sekiranya anak itu memakai lampin?

Terdapat dua persoalan di situ.

Persoalan pertama: mendukung anak ketika solat. Dalam hal ini, terdapat sepotong hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. mendukung cucu baginda, Umamah puteri kepada Zainab binti Rasulullah s.a.w. dengan suaminya yang bernama Abu al-‘Aas bin ar-Rabie’ ketika baginda menunaikan solat. Apabila hendak sujud. Baginda meletakannya. Dan apabila hendak berdiri, baginda mendukungnya. Abu Qatadah berkata: “Aku melihat Nabi s.a.w. mengimamai solat bersama orang ramai, sedangkan Umamah beradah di atas tengguknya”

Imam an-Nawawi berkata, hadis ini menunjukkan sah solat orang yang mendukung seorang manusia atau haiwan yang suci seperti burung, kambing dan lain-lain. Ia juga menunjukkan bahawa pakaian kanak-kanak serta tubuh badannya adalah suci kecuali telah terbukti dengan yakin kenajisannya (terkena najis)
Hadis ini juga menunjukkan bahawa perbuatan yang sedikit tidak membatalkan solat. Dan perbuatan yang banyak yang dilakukan tidak secara berturut-turut juga tidak membatalkan.
Di samping itu, hadis ini mengajar sifat tawaduk atau merendah diri kepada kanak-kanak dan orang-orang-orang yang lemah, serta mengasihi dan membelai mereka.

Imam an-Nawawi berkata lagi: perkataan “Aku melihat Nabi s.a.w. mengimamai solat bersama orang ramai”, menjadi dalil bagi Mazhab asy-Syafie rahimahullah yang berpendapat harus mendukung kanak-kanak lelaki dan perempuan juga haiwan yang suci di dalam solat, sama ada solat fardhu atau sunah, menjadi imam atau makmum atau solat bersebdirian.

Persoalan kedua: sekiranya bayi atau kanak-kanak yang didukung itu memaki lampin yang mengandungi najis, hal ini dihuraikan oleh Imam an-Nawawi seperti berikut:
Terdapat beberapa pendapat ulamak mengenai orang yang  solat dalam keadaan ada najis padanya sedangkan dia lupa atau tidak mengetahuinya:

Pertama: pendapat yana asoh (paling sahih) dalam Mazhab kita (Asy-Syafie) wajib ulang solat tersebut. Begitu juga pendapat Abu Qallabah dan Ahmad.

Kedua: jumhur (majority) ulamak berpendapat tidak wajib ulang. Pendapat ini diriwayatkan oleh Ibn al-Munzir daripada Ibn Umar, Ibn al-Musayyab, Towus, ‘Atoo’, Salim bin Abdullah, Mujahid, asy-Sya’bi, an-Nakha’ei, az-Zuhri, Yahya al-Ansori, al-Auza’ei, Ishaq dan Abu Thur. ibn Munzir berkata: aku juga berpendapat demikian. Dan ia juga merupakan pendapat Rabi’ah dan Malik. Ini adalah pendapat yang kuat dari segi dalilnya dan inilah yang dipilih.

Al-Mardawi berkata: sekiranya seseorang itu lupa atau tidak tahu ada najis semasa dia solat, maka terdapat dua riwayat:
Pertama, solatnya sah.inilah pendapat kebanyakan ulamak mutaakhirin, juga pendapat yang dipilih oleh Ibn Qudamah, juga merupakan pendapat Ibn Taimiah.
Kedua, tidak sah solatnya dan wajib ulang. Ini merupakan pendapat Mazhab Hanbali

Sheikh Ibn Uthaimin berkata: sekiranya seseorang itu menunaikan solat sedangkan badannya, atau pakaiannya atau tempatnya terkena najis dan dia tidak membasuhnya maka solatnya tidak sah di sisi jumhur ulamak.
Tetapi sekiranya dia tidak mengetahui atau dia mengetahui tetapi dia lupa untuk membasuhnya sehinggalah dia telah selesai daripada solatnya, maka solatnya sah dan tidak wajib ke atasnya mengulanginya.
Dalilnya ialah Nabi s.a.w. sedang solat bersama para sahabat r.a.. tiba-tiba baginda menanggalkan kasutnya. Maka makmumpun ikut menanggalkan kasut mereka. selesaI solat, baginda bertanya: “kenapa kalian menanggalkan kasut?” Mereka menjawab: “Kami melihat  anda menanggalkan kasut, lalu kamipun ikut menanggalkannya.”
Baginda menjelaskan: “Sesungguhnya Jibril telah datang memberitahuku bahawa terdapat najis pada kedua-dua kasutku. Lantas akupun menanggalkannya.” (Riwayat Abu Daud)

Ini menunjukkan bahawa solat dalam keadaan tidak mengetahui adanyanya najsi tidak batal dan tidak wajib diulang.

Kesimpulannya, ibu dan ayah yang hendak atau yang terpaksa mendukung anak ketika solat, hendaklah sedaya upaya mempastikan terlebih dahulu tidak ada najis padanya. Tetapi sekiranya anak terkencing sedangkan kita tidak mengetahuinya, maka mudah-mudahan solat kita sah. Allahu A’lam.