Sunday, April 1, 2018

PERSOALAN TENTANG SUNNAH

PERSOALAN TENTANG SUNNAH

Saya menerima satu soalan mengenai sejauh mana kewajipan mengikut Sunnah. Saya kongsikan jawapan di sini, mudah-mudahan bermanfaat kepada orang lain juga yang mungkin mempunyai persoalan yang sama.

SOALAN:

Salam ustazah, saya ada satu kemusykilan. Harap ustazah dpt jelaskan. Mungkin ianya remeh bg setengah org. tp bg saya yg tidak mempunyai latar blkg pengajian islam ni, susah jg nak faham. Saya musykil ttg makna Sunnah sbb kadang2 saya dengar org kata, kita wajib ikut Sunnah, tp org lain pula kata Sunnah tak wajib ikut, kita boleh pilih. Kalau ikut dapat pahala, kalau tak ikut tak berdosa. Mana yg betul sebenarnya?

JAWAPAN:

Wassalam.

In syaa Allah saya cuba huraikan makna Sunnah terlebih dahulu, kemudian saya akan jelaskan hukum mengikutinya sama ada wajib atau sebaliknya.

Sunnah mempunyai makna yang berbeza di sisi ahli Bahasa, ulamak fiqh dan ulamak usul fiqh.

Menurut ahli Bahasa, Sunnah bermaksud jalan yang selalu diikuti dan dijagai yang dilakukan secara berulang-ulang. Contoh penggunaan perkataan Sunnah yang membawa maksud ini ialah firman Allah maksudnya: “Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah yang telah lalu; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu.”

Menurut ulamak fiqh, Sunnah ialah ibadah-ibadah tambahan yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. selain daripada ibadah yang wajib. Para fuqahak mentakrifkannya dengan: “Apa yang dituntut oleh syarak supaya dilakukan tetapi tidak memastikannya. Orang yang melakukannya dipuji dan diberikan ganjaran pahala. Orang yang tidak melakukannya tidak dikeji dan tidak dibalas dengan siksa.
Selain istilah Sunnah, istilah-istilah lain yang digunakan adalah mandub, mustahab, nafilah, tatowwu’, ihsan dan fadhilah. Istilah-istilah itu mempunyai makna yang hampir sama, iaitu sesuatu yang baik, disukai dan digalakkan. Di dalam Bahasa Melayu ia dikenali dengan istilah sunat.
Kadang-kadang fuqahak menggunakan istilah Sunnah sebagai lawan kepada istilah bid’ah. Melakukan sesuatu yang diamalkan oleh Rasulullah disebut mengikut Sunnah, manakala perbuatan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah disebut bid’ah.

Menurut ulamak usul fiqh, Sunnah ialah “apa yang lahir daripada Nabi s.a.w. selain daripada al-Quran, sama ada perkataan, perbuatan dan perakuan”. Maka dipandang dari aspek ini, Sunnah merupakan satu daripada sumber serta dalil hukum syarak. Sebahagian ulamak berpendapat ia sama maksudnya dengan hadis. Sebahagian yang lain pula berpendapat hadis adalah kata-kata baginda s.a.w. atau diistilahkan sebagai Sunnah qauliyyah. Maka Sunnah lebih umum daripada hadis kerana ia merangkumi perbuatan (fi’liyyah), perkataan (qauliyyah) dan perakuan (taqririyyah).

Terdapat dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran, Sunnah, Ijmak juga dalil dari sudut akal yang menunjukkan bahawa Sunnah adalah sumber hukum syarak selepas al-Quran.

Kesimpulannya, jika disebut “kita wajib ikut Sunnah” maka itu merujuk kepada makna Sunnah di sisi ulamak usul fiqh di mana Sunnah adalah satu daripada sumber hukum. Kata-kata “Sunnah tidak wajib, tidak mesti dibuat”, ini merujuk kepada makna Sunnah di sisi ulamak fiqh yang disebut di dalam Bahasa Melayu, sunat.

Sebagai contoh, al-Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat!”. Ini merupakan perintah yang wajib diikuti. Kita wajib mendirikan solat sebagaimana yang diajar oleh baginda dengan perbuatannya. Tidak boleh solat ikut suka hati. Namun di dalam amalan solat itu ada yang wajib dan ada yang sunat. Tetapi kedua-duanya berdasarkan kepada Sunnah.


Allahu A’lam. Diharap membantu