Thursday, February 10, 2022

NAFKAH BALU SEMASA IDDAH

SOALAN:

Salam. Ustazah, saya terbaca satu posting di fb bahawa dalam Islam, nafkah balu kematian suami sepanjang tempoh edah selama 4 bulan 10 hari wajib ditanggung oleh bapa kepada arwah suaminya. Jika bapa tidak mampu atau sudah meninggal atau tidak peduli, maka tanggungjawab memberi nafkah jatuh kepada adik beradik lelaki arwah suami.

Betulkah begitu? Mohon pencerahan. Terima kasih. 


JAWAPAN:

Wassalam. Untuk menjawap persoalan yang dikemukakan, saya bawakan pandangan fuqahak empat mazhab tentang nafkah wanita yang kematian suami semasa iddah yang dipetik oleh Dr Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya “Al-Mufassol fi Ahkamil Mar’ati wal Baitil Muslim” jilid 9.

Mazhab Hanafi 

Wanita yang berada dalam iddah kematian TIADA nafkah untuknya termasuk tempat tinggal daripada harta peninggalan suaminya, sama ada dia hamil atau tidak. Ini kerana semua harta peninggalan suaminya telah menjadi pusaka. Maka tidak boleh digunakan untuk nafkah dirinya serta tempat tinggalnya daripada harta pusaka itu. Hukum ini sama saja sama ada wanita itu telah tua, masih muda, masih kecil, sudah dewasa, muslimah atau kitabiah.

Mazhab Maliki 

Wanita yang berada dalam iddah kematian TIDAK ADA nafkah untuknya. Tetapi dia berhak mendapat tempat tinggal jika dia telah disetubuhi dan ada kemampuan untuk disetubuhi. Jika dia tidak ada kemampuan untuk disetubuhi, maka dia tidak berhak mendapat tempat tinggal kecuali suaminya telah menempatkannya di rumah itu sebelum kematiannya, sama ada dia telah menyetubuhinya atau belum. Dan syarat rumah yang dia berhak duduki itu ialah milik suaminya atau rumah sewa yang dia telah membayar sewanya sebelum kematiannya. Jika dia belum membayar sewanya, maka hak tuan rumah untuk menyuruh wanita itu keluar daripada rumah itu. 

Mazhab Syafi’e 

Wanita yang berada dalam iddah kematian berhak mendapat tempat tinggal. Adapun nafkah makanan dan pakaian tidak wajib diberikan. 

Dalil dia berhak mendapat tempat tinggal ialah Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan lain-lain bahawa Nabi SAW menyuruh Furai’ah binti Malik RA tinggal di rumahnya sehingga habis iddah selepas suami mati dibunuh. Maka dia menghabiskan iddah di rumah itu selama 4 bulan 10 hari. 

Dan dalil tidak wajib nafkah makanan dan pakaian untuknya ialah sebab wajib nafkah ialah kehidupan bersama sebagai suami isteri. Hal ini tidak mungkin lagi dengan sebab berlakunya kematian.

Mazhab Hanbali 

Wanita yang berada dalam iddah kematian tidak berhak mendapat tempat tinggal serta nafkah sekiranya dia tidak mengandung. Jika dia mengandung, maka terdapat dua Riwayat:

Pertama: Dia berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal kerana dia mengandungkan anak suaminya yang meninggal itu. Dia berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal samalah seperti sekiranya dia diceraikan dalam keadaan dia hamil.

Kedua: Dia tidak berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal kerana harta peninggalan si mati telah berpindah menjadi harta pusaka. Nafkah dan tempat tinggal untuknya tidak boleh diberikan daripada harta milik waris. Sebaliknya jika si mati mempunyai harta yang boleh diwarisi maka nafkah untuk isteri yang hamil itu adalah daripada bahagian harta yang diwarisinya. Jika suami tidak mempunyai harta peninggalan yang boleh diwarisi, tidak diwajibkan ke atas waris si mati memberikan nafkah untuk isteri yang hamil itu. Al-Qadhi Al-Hanbali berkata, riwayat inilah yang lebih sahih.

Jika diperthatikan pandangan empat mazhab yang dikemukan, tidak ada satu mazhabpun yang berkata nafkah balu semasa edah wajib ditanggung oleh bapa suaminya atau adik-beradik lelakinya, termasuk pendapat Mazhab Syafi'ei.

Dia berhak mendapat pusaka 1/4 daripada harta peninggalan jika dia tidak mempunyai anak. Jika mempunyai anak, haknya 1/8 daripada peninggalan. Kalua bagi nafkah iddah daripada harta suami maka bahagian pusakanya sudah jadi lebih daripada apa yang diperuntukkan dalam al-Quran. 

Walau bagaimanapun terdapat sesetengah undang-undang keluarga negara-negara Islam memperuntukkan nafkah iddah mati daripada harta suami tanpa mengira dia hamil atau tidak.

Kalau suami tidak ada harta, qadhi kena perintah keluarkan nafkah daripada baitulmal atau daripada mana-mana tabung kebajikan. 

Tetapi tidak ada peruntukan diwajibkan nafkah ke atas bapa mertua.


Allahu A’lam.