Sunday, May 10, 2026

HUKUM MERAYAKAN HARI IBU

Soalan: 

Apakah pendirian Islam terhadap apa yang disebut sebagai “Hari Ibu”, yang disambut oleh sebahagian masyarakat Arab pada 21 Mac setiap tahun? Adakah sambutan hari tersebut haram?

Jawapan Fadhilah Syeikh Dr Yasuf al-Qaradhawi:

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga baginda, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti mereka.

Saya tidak mengatakan bahawa mengadakan sambutan Hari Ibu itu haram, kerana pengharaman sesuatu perkara tidak boleh diputuskan oleh seorang alim melainkan dengan nas yang jelas. Asal hukum bagi perkara dan adat kebiasaan adalah harus. Namun begitu, saya tidak melihat adanya keperluan kepada sambutan seperti ini dalam masyarakat kita.

Jika mahu juga diraikan, maka lebih baik dinamakan “Hari Ibu” dan bukan “Hari Raya Ibu”, kerana konsep عيد (hari raya/perayaan) dalam Islam berkait rapat dengan agama. Kita tidak mahu mempunyai hari raya selain Aidilfitri yang diraikan selepas menyempurnakan puasa Ramadan, dan Aidiladha yang kita rayakan bersama para jemaah haji pada hari haji terbesar mereka.

Saya juga menyeru masyarakat supaya pada hari seperti ini mereka tidak melupakan perasaan anak-anak yang telah kehilangan ibu mereka, sehingga hari itu menjadi hari kesedihan dan kedukaan buat mereka. Demikian juga hendaklah dijaga perasaan anak-anak yang terpisah daripada ibu mereka akibat perceraian, lalu mereka kehilangan kasih sayang ibu dan digantikan dengan ibu tiri yang kadangkala melayani mereka dengan kekerasan dan kekasaran.

Saya juga ingin menegaskan bahawa sejarah tidak mengenal agama atau sistem yang memuliakan wanita sebagai ibu dan mengangkat kedudukannya seperti Islam. Islam menekankan wasiat supaya berbuat baik kepada ibu, malah ia disebut selepas perintah mentauhidkan Allah dan beribadah kepada-Nya. Berbakti kepada ibu dijadikan antara asas akhlak yang mulia, dan hak ibu ditegaskan lebih besar daripada hak ayah kerana kesusahan yang ditanggungnya ketika mengandung, melahirkan, menyusukan dan mendidik anak.

Allah Taala berfirman:

“Dan Kami wasiatkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan tempoh menceraikan susu ialah dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, kepada-Kulah tempat kembali.”
(Surah Luqman: 14)

Dan firman-Nya:

“Dan Kami wasiatkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah. Tempoh mengandung dan menyusukannya ialah tiga puluh bulan.”
(Surah al-Ahqaf: 15)

Nabi ﷺ juga menjelaskan keutamaan ibu apabila seorang lelaki bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak mendapat layanan baik daripadaku?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayahmu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan juga bahawa seorang lelaki sedang tawaf sambil mendukung ibunya. Dia bertanya kepada Nabi ﷺ: “Adakah aku telah menunaikan haknya?” Baginda menjawab: “Belum, walaupun satu keluhan ketika melahirkanmu.”
(Riwayat al-Tabarani)

Berbakti kepada ibu dalam Islam bermaksud melayannya dengan baik, menghormatinya, merendahkan diri kepadanya, mentaatinya dalam perkara yang bukan maksiat, dan mencari keredaannya dalam setiap urusan. Bahkan jihad yang hukumnya fardu kifayah tidak boleh dilakukan tanpa izinnya, kerana berbakti kepadanya juga adalah satu bentuk jihad.

Sebahagian syariat terdahulu tidak memberi perhatian kepada hubungan kekeluargaan sebelah ibu, namun Islam datang dengan menekankan hubungan dengan pak cik dan mak cik sebelah ibu sebagaimana hubungan dengan sebelah ayah.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: “Aku telah melakukan dosa, adakah masih ada peluang taubat untukku?” Baginda bertanya: “Adakah engkau masih mempunyai ibu?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Baginda bertanya: “Adakah engkau mempunyai ibu saudara sebelah ibu?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda: “Berbuat baiklah kepadanya.”
(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Antara keindahan ajaran Islam ialah ia memerintahkan supaya berbuat baik kepada ibu walaupun ibu itu seorang musyrik. Asma’ binti Abu Bakar رضي الله عنها pernah bertanya kepada Nabi ﷺ tentang ibunya yang musyrik yang datang menziarahinya. Baginda bersabda: “Ya, hubungilah ibumu.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Islam juga menjaga hak keibuan dan perasaan ibu sehingga menetapkan bahawa ibu yang diceraikan lebih berhak menjaga anak-anaknya berbanding ayah.

Ibu yang diberikan perhatian besar oleh Islam ini juga mempunyai tanggungjawab untuk mendidik anak-anaknya dengan baik, menanamkan nilai-nilai mulia dalam diri mereka, membenci akhlak buruk, membiasakan mereka taat kepada Allah, menggalakkan mereka menegakkan kebenaran, dan tidak menghalang mereka berjihad hanya kerana dorongan kasih sayang keibuan.

Kita melihat contoh seorang ibu mukminah seperti al-Khansa’ sebelum peperangan al-Qadisiyyah, yang memberi semangat kepada keempat-empat anak lelakinya supaya berani dan teguh. Setelah peperangan selesai dan semua anaknya gugur syahid, dia tidak meratap atau menjerit, bahkan berkata dengan penuh reda dan yakin: “Segala puji bagi Allah yang memuliakanku dengan syahidnya mereka di jalan-Nya.”

Barat menjadikan satu hari dalam setahun sebagai “Hari Ibu” kerana kebiasaan masyarakat Barat apabila anak lelaki atau perempuan meningkat dewasa, masing-masing membawa haluan sendiri. Mereka jarang mengenali atau berhubung dengan keluarga, ayah dan ibu, bahkan sibuk dengan kehidupan sendiri. Anak lelaki sibuk mencari teman wanita, anak perempuan sibuk mencari teman lelaki, dan mereka lupa kepada kasih sayang serta pelukan yang membesarkan mereka.

Berbakti kepada ibu bapa bukanlah nilai yang kuat dalam masyarakat Barat. Kita bukan begitu. Anak lelaki dan perempuan dalam masyarakat kita tetap terikat dengan keluarga mereka, dan semua hari bagi ibu kita sebenarnya adalah hari istimewa, bukan hanya satu hari dalam setahun.

Berbeza dengan keadaan mereka yang jarang bertemu ibu bapa, maka mereka merasakan perlu menetapkan Hari Bapa dan Hari Ibu setiap tahun. Jadi, apakah keperluan kita untuk meniru mereka secara membuta tuli?

Jika benar mahu meraikan Hari Ibu, maka raikanlah ibu pada Aidilfitri dan Aidiladha. Jika seseorang berada jauh daripada ibunya, hendaklah dia menziarahi ibunya pada dua hari raya tersebut. Selain itu, tiada makna khusus baginya.


Petikan daripada laman:

https://www.al-qaradawi.net/node/3790

Sunday, May 3, 2026

HUKUM WANITA MENJADI MODEL MEMPERAGAKAN PAKAIAN MUSLIMAH

Soalan:

Saya seorang peniaga yang bekerja melalui aplikasi Instagram. Saya menjual pakaian wanita, dan saya ingin mengetahui: adakah dibolehkan untuk mempromosikan pakaian dengan menyiarkan gambar wanita yang memakainya?

Sekiranya akaun tersebut ditutup (private), dan saya hanya menerima permintaan mengikuti daripada wanita sahaja, dengan wajah ditutup (dikaburkan), serta menjaga batas aurat antara wanita dengan Wanita, adakah perkara ini dibolehkan?

Dan jika salah seorang wanita membuka akaun tersebut di hadapan suaminya, adakah saya menanggung dosa kerana suaminya melihat gambar-gambar tersebut?

Bagaimana pula jika saya meletakkan peringatan dan penjelasan bahawa tidak dibenarkan menunjukkan gambar-gambar ini kepada mana-mana lelaki; adakah dengan itu saya terlepas daripada dosa?

Semoga Allah membalas kalian dengan kebaikan.

Jawapan:

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, serta ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda. أما بعد:

Sesungguhnya hukum asalnya adalah tidak dibolehkan menyiarkan gambar wanita yang boleh dilihat oleh orang yang tidak halal melihatnya. Namun, jika wajah dalam gambar tersebut ditutup (dikaburkan) serta tidak menampakkan perkara yang boleh membangkitkan syahwat, maka tidak mengapa untuk memaparkannya.

Begitu juga, jika gambar-gambar tersebut diletakkan dalam akaun khas untuk wanita sahaja, sehingga lelaki tidak boleh mengaksesnya, maka tidak mengapa untuk menyiarkan gambar yang tidak menampakkan aurat wanita di hadapan wanita lain.

Dan tidak ada dosa ke atas kamu — insya-Allah — jika selepas itu gambar tersebut dilihat oleh orang yang tidak sepatutnya tanpa pengetahuan kamu (contohnya, seorang wanita membuka akaun tersebut di hadapan suaminya).

Namun, adalah satu perkara yang baik, sebagai langkah melepaskan tanggungjawab, untuk memberi peringatan kepada para wanita dalam akaun tersebut agar tidak menunjukkan gambar-gambar itu kepada mana-mana lelaki.


Daripada halaman:

https://www.islamweb.net/amp/ar/fatwa/278338/


Wednesday, February 25, 2026

BOLEHKAH QASAR SOLAT KETIKA BALIK KAMPUNG BERAYA DI RUMAH ORANG TUA?

SOALAN:

Assalamu’alaikum Ustazah Maznah, 

Izinkan saya bertanya mengenai solat jama’. Saya dan suami sekarang bermastautin di Ipoh dan suami saya kata nak settle down Ipoh. Sesekali pulang ke kampung di Selangor (rumah mentua). Di sebelah rumah mentua pula ada rumah kami yang dibina semasa awal perkahwinan (kerana belum pasti akan ke mana pada waktu itu) yang dibiarkan kosong, kiranya rumah singgah kalau kami balik sekejap2.

Persoalannya, bolehkah kami jama’ solat di Selangor sedangkan kami ada rumah tapi tidak berniat lagi utk menetap di Selangor?

itu saja. Jazaakillaah khair😊


JAWAPAN:

Wa’alaikumussalam wrwb.

Menurut pandangan majoriti ulama, sekiranya seseorang itu berniat untuk tinggal selama empat hari atau kurang ketika mengunjungi ibu bapa, saudara-mara di kampungnya yang asal, dia harus mengqasar solat jika dia telah menetap di tempat lain yang jauh daripada tempat asal itu sama atau melebihi jarak yang memenuhi syarat qasar. Para sahabat Nabi SAW, apabila mereka datang ke Mekah selepas hijrah, mereka mengqasar solat walaupun ada saudara-mara mereka di sana, dan ini tidak menghalang mereka daripada mengqasar solat dan memanfaatkan kelonggaran yang diberikan kepada musafir. 

Imam al-Syafi’i rahimahullah berkata dalam Al-Umm mengenai seorang musafir yang melalui sebuah tempat yang mempunyai saudara-mara di sana: "Begitu juga jika dia mempunyai saudara-mara atau ipar di suatu tempat, dan tidak berniat untuk tinggal lebih daripada empat hari, maka dia boleh mengqasar solat jika dia mahu. Para sahabat Rasulullah SAW pun mengqasar solat ketika mereka datang ke Mekah pada tahun pembukaan dan dalam haji mereka, walaupun mereka mempunyai rumah atau saudara-mara di sana. Abu Bakr mempunyai rumah dan saudara di Mekah, Umar juga mempunyai banyak rumah di sana, dan Uthman pun mempunyai rumah dan saudara di Mekah. Saya tidak mengetahui ada seorang pun di antara mereka yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk menunaikan solat secara penuh, atau ada yang melakukannya setelah Rasulullah SAW wafat, sebaliknya mereka mengqasar solat ketika sampai di Mekah, dan ini telah dipelihara oleh mereka yang memahaminya."

Namun, sekiranya seseorang itu berniat untuk tinggal selama empat hari atau kurang, dan dia mempunyai isteri di tempat tersebut, maka dia wajib menunaikan solat secara sempurna, bukan mengqasar.

Dalam Al-Raudh al-Murbi' disebutkan: "... Dan seorang musafir wajib menunaikan solat jika dia melintasi negerinya atau jika dia mempunyai isteri di sana atau pernah menikah di sana."

Menurut Al-Najdi dalam Hasyiyah al-Raudh: "Dia wajib menunaikan solat secara sempurna, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad daripada Uthman bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Apabila seorang lelaki menetap di sebuah tempat, maka dia hendaklah solat seperti orang yang bermukim.' Hadis ini diriwayatkan oleh al-Humaydi dan al-Bukhari dalam Tarikh mereka, dan menurut Ahmad serta Ibn Abbas, apabila seorang musafir berkahwin di suatu tempat, dia wajib menunaikan solat dengan sempurna."

Namun, jika dia tidak mempunyai isteri di tempat tersebut dan tidak berniat untuk tinggal lebih daripada empat hari, maka dia boleh mengqasar solat, walaupun dia mempunyai ibu bapa, saudara atau harta di tempat tersebut, selagi dia telah menetap di tempat lain dan tidak menjadikan tempat tersebut sebagai tempat tinggal tetapnya.

Dalam Hasyiyah al-Raudh oleh al-Najdi disebutkan: "... Dalam Al-Mustaw'ib disebutkan bahawa jika seseorang masuk ke sebuah bandar yang mempunyai ibu bapa, anak-anak, atau mempunyai harta atau rumah, atau suatu tempat yang dahulu menjadi tempat tinggalnya tetapi telah berpindah dan menetap di tempat lain, maka hal ini tidak menghalangnya untuk mengqasar solat."

Sumber:

https://www.islamweb.net/ar/fatwa/147291


Saturday, February 7, 2026

HUKUM WANITA DI DALAM IDDAH KEMATIAN SUAMI MENGHADIRI MAJLIS ILMU

Soalan:


Adakah harus bagi wanita yang sedang beriddah dan berkabung kerana kematian suami keluar ke pasar untuk memenuhi keperluannya?

Jawapan:

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah.
“Diharuskan bagi wanita yang sedang dalam tempoh ihdad (berkabung kerana kematian suami) untuk keluar ke pasar bagi memenuhi keperluannya, dan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Begitu juga diharuskan baginya keluar untuk mengajar dan menuntut ilmu, kerana perkara tersebut termasuk keperluan yang penting, dengan syarat menjauhi perhiasan, wangian, serta perhiasan daripada emas, perak, berlian dan seumpamanya.
Wanita yang sedang dalam ihdad hendaklah menjaga lima perkara:
1. Dia hendaklah tetap tinggal di rumah tempat suaminya meninggal dunia, iaitu rumah yang didiaminya, jika hal itu memungkinkan.
2. Menjauhi pakaian yang cantik atau menarik perhatian.
3. Menjauhi pemakaian wangian, kecuali jika dia sedang haid, maka dibolehkan baginya menggunakan bau-bauan (seperti kemenyan) ketika telah suci daripada haid.
4. Tidak memakai perhiasan daripada emas, perak, berlian dan seumpamanya.
5. Tidak memakai celak dan inai, kerana telah sabit daripada Nabi ﷺ dalil yang menunjukkan perkara-perkara yang disebutkan ini.
Dan Allah-lah sebaik-baik Pemberi taufik.”

Sumber:
"مجموع فتاوى ابن باز" (22/200) .

https://islamqa.info/ar/answers/128010