Saturday, December 10, 2022

KENAJISAN BULU KUCING

SOALAN:

Salam. Ustazah, Betulkah dalam fiqh syafie, bulu kucing dikatakan najis?


JAWAPAN: 

Wassalam. Ya betul. Menurut Mazhab al-Syafie bulu kucing adalah najis. Ini antara perkara yang tidak diketahui ramai walaupun dia mengaku mengikut Mazhab al-Syafie.

Hujjah Imam al-Syafie bahawa semua perkara daripada benda hidup yang tidak halal dimakan adalah najis sekiranya terpisah daripada badannya. Contohnya: bulu, kuku, kulit dan lain-lain. 

Walau bagaimanapun, di sana terdapat hadis yang menunjukkan sebaliknya.

Kabsyah binti Kaab bin Malik menceritakan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah datang ke rumahnya. 

Kabsyah menyediakan air untuk Abu Qatadah berwudhuk. 

Kucing datang dan minum air tersebut. 

Abu Qatadah menghulurkan bekas itu sehingga kucing selesai minum. 

Kabsyah memerhatikannya. 

“Adakah engkau hairan wahai sepupuku?” tanya Abu Qatadah.

“Ya,” jawab Kabsyah.

“Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kucing tidak najis kerana ia daripada tawwafin dan tawwafat atas kamu.” Abu Daud, Tirmizi, Nasae dan Ibn Majah.

Tawwafin dan tawwafat bermaksud haiwan jinak yang berligar dalam rumah bersama tuannya. 


Wednesday, December 7, 2022

ADAKAH CICAK NAJIS

SOALAN:

Salam. Ustazah, adakah bangkai cicak itu najis? Saya pernah dengar orang kata bunuh cicak itu dapat pahala. Betul tak?


JAWAPAN:

Wassalam. Fuqahak membahagikan haiwan kepada dua kategori. Jika haiwan itu mempunyai darah yang mengalir, maka bangkainya najis.

Jika haiwan itu tidak mempunyai darah yang mengalir, maka bangkainya tidak najis.

Berkenaan cicak, fuqahak khilaf apakah ia termasuk dalam kategori mempunyai darah mengalir atau sebaliknya.

Imam al-Nawawi berkata dalam kitab “al-Majmu’”: “Adapun cicak maka jumhur atau majoriti fuqahak memutuskan ia tidak ada darah mengalir.

Begitu juga al-Ramli. Beliau berkata dalam kitab “al-Nihayah”: Dan dikecualikan daripada najis bangkai yang tiada darah mengalir sepeti cicak, kumbang, lalat dan lipas.

Berdasarkan pandangan ini, maka apabila ia jatuh dalam air atau cecair, maka ia tidak menajiskan.


Tentang hukum membunuh cicak, terdapat beberapa hadis yang sahih mengenainya.

Daripada Ummu Syarik RA bahawa Rasulullah SAW memerintahkan kami supaya membunuh cicak. Dan baginda SAW bersabdda: “Ia meniupkan api (yanfukhu) ke atas Ibrahim.” Muttafaq ‘alaih.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membunuh cicak dengan pukulan pertama, ditulis untuknya 100 hasanah (kebaikan atau pahala), pukulan kedua, kurang daripada itu dan pukulan ketiga kurang daripada itu.” Riwayat Muslim

Daripada Aisyah RA: “Manakala Ibrahim dicampak ke dalam api, tidak ada haiwan di bumi kecuali berusaha memadamkannya melainkan cicak. Ia meniup api ke arahnya. Maka Rasulullah SAW menyuruh supaya membunuhnya.” Riwayat Ibn Majah dengan sanad yang sahih