Friday, April 12, 2019

WANITA TUA TIDAK WAJIB MENUTUP AURAT?

Soalan:

Ustazah, minta jasa baik ustazah terangkan apa maksud ayat 60 surah an-Nur? Saya dengar dari seorang penceramah mengatakan bahawa wanita tua dan sudah tidak memberahikan tidak wajib memakai tudung. Betulkah begitu?

Terima kasih ustazah.

Jawapan:

Allah Ta’ala berfirman:


Terjemahannya:
“Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (An-Nuur 24:60

Saya merujuk beberapa tafsir tentang maksud “menanggalkan pakaian (ath-thiab)” di dalam ayat tersebut.
1.     Ar-Razi (wafat 606H) – beliau berkata ahli-ahli tafsir berpendapat maksud thiab (pakaian) di dalam ayat ini ialah jilbab, kain seperti selimut dan purdah yang biasa diletakkan di atas tudung.
2.     Al-Qurtubi (wafat 671H) – beliau menyebut juga pendapat yang mengatakan maksud thiab adalah tudung. Tetapi beliau membuat kesimpulan bahawa yang sahih adalah wanita tua juga seperti wanita muda dari segi wajib menutup aurat. Cumanya wanita tua boleh menanggalkan jilbab yang biasa diletakkan di atas khimar (tudung). Dan beliau berkata, ini merupakan pendapat Ibn Masud, Ibn Jubair dan lain-lain.
3.     Ibn Kathir (wafat 774) – maksud thiab ialah jilbab dan ridaa’ (selendang). Abu Soleh berkata: wanita tua boleh menanggalkan (tak pakai) jilbab dan berdiri di hadapan (berjumpa dengan) lelaki (ajnabi) dengan memakai khimar, iaitu tudung.
4.     Tantawi (wafat 1431H) – wanita yang telah tua, yang telah putus haid, tidak dapat melahirkan anak dan tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin lagi tidak berdosa ke atas mereka untuk menanggalkan pakaian luar yang tidak membawa kepada pendedahan aurat atau menampakkan perhiasan yang Allah perintahkan supaya di tutup.

Daripada apa yang dihuraikan oleh mufassirin di atas, dapat difahami bahawa wanita tua juga tidak terkecuali daripada kewajipan menutup aurat. Atau dengan kata lain, hukum aurat tidak berubah dengan perubahan usia.

Maksud “menanggalkan pakaian” yang disebut di dalam ayat itu bukan menanggalkan tudung yang dipanggil khimar di dalam Bahasa Arab. Sebaliknya ia bermaksud kain yang diletakkan di atas khimar. Itulah keringanan yang diberikan kepada wanita tua yang tidak lagi mempunyai keinginan untuk berkahwin. Namun, bertudung dan menutup aurat tetap diwajibkan ke atas mereka.