Saturday, January 16, 2021

PANDANGAN FUQAHAK TENTANG KENAJISAN ANJING

 

Ada di kalangan umat Islam yang bekerja di klinik haiwan. Mereka berasa risau kerana setiap hari terpaksa pegang anjing. Timbul persoalan apakah setiap kali hendak solat, perlu samak?

 

Sebagai menjawab persoalan di atas, di sini dibawakan beberapa pandangan fuqahak dalam masalah kenajisan anjing ni.

 

1. Mazhab Maliki : Seluruh badan anjing tidak najis termasuk air liurnya. Menurut mereka, hanya jika anjing minum dari satu bekas air, maka air itu tidak suci dan perlu dibuang dan bekas itu dibasuh 7 kali termasuk sekali dengan menggunakan air tanah kerana taabbudi bukan kerana najis.

 

2. Mazhab Abu Hanifah dan Ahmad dalam salah satu riwayat:  badan anjing tidak najis, tetapi air liurnya najis

 

3. Mazhab Syafie dan Ahmad dalam satu riwayat: seluruh badan anjing termasuk air liurnya adalah najis yang perlu disamak jika disentuh dalam keadaan basah

 

Jadi semua ulama sepakat, jika disentuh badan atau bulu anjing saja dalam keadaan kering, maka bahagian badan atau pakaian itu tidak najis, dan tidak perlu dibasuh apatah lagi disamak. 

 

jika disentuh dalam keadaan basah atau lembab, wajib disamak mengikut Mazhab Syafie dan Hanbali.

 

Jika terkena jilatannya, maka wajib disamak mengikut mazhab Syafie, Hanbali dan Abu Hanifah

 

Mengikut mazhab Maliki, tidak perlu disamak langsung walau pegang apa-apa pun bahagian badan anjing  sama ada dalam keadaan basah atau kering. Cuma bekas air jilatan anjing itu sahaja yang kena samak sebagai tuntutan ibadah (taabbudi).

 

Antara hujah Maliki ialah:

Pertama - Ayat Quran yang membenarkan kita makan binatang buruan yg digigit dan dibunuh oleh anjing pemburu, tiada arahan pun supaya basuh atau samak terlebih dahulu.  Allah Ta’ala berfirman maksudnya:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya"

(Al-Maaidah 5:4)

 

Kedua -  Hadis ibnu Umar yang dibawa oleh Bukhari yang cerita bahawa di zaman nabi anjing lalu lalang dalam masjid tetapi tidak ada sesiapapun yang menyiramkan air di tempat laluannya.

 

Dalil fuqahak yang mengatakan anjing itu najis, hadis riwayat Muslim yang Rasulullah s.a.w. memerintahkan apabila anjing menjilat air di dalam satu bekas, air itu hendak dibuang dan bekasnya dibasuh sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya dengan air tanah.”

 

Maka, bagi yang bekerja di klinik haiwan yang terpaksa memegang anjing setiap hari, untuk elakkan keraguan dan was-was, bolehlah pakai apron pakaibuang. Jika tidak, kalau hendak samak pun bukanlah sesuatu yang sukar kerana ia hanya melibatkan bahagian tangan sahaja, dan mengikut Mazhab Syafie pun boleh guna sabun samak yang ada dijual sekarang. Tidak perlu menggunakan air tanah.

 

Jika hendak mengikut mazhab Maliki dalam isu ini pun tiada masalah. Islam itu mudah dan sesuai dipraktikkan di semua tempat, dalam semua keadaan asalkan tidak terkeluar dari prinsip serta pandangan ulamak yang muktabar.

 

Allahu A’lam.