Tuesday, June 22, 2021

TANGGUNGJAWAB WANITA DALAM DAKWAH

SOALAN:

Assalamu’alaikum.

Puan,
Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Telah lama persoalan ini berligar di dalam fikiran saya. Beberapa kali cuba berbincang dengan teman-teman, namun kesimpulan tetap tidak memuaskan hati. Oleh itu saya harap puan dapat memberikan penjelasan yang sebaik mungkin. Soalan saya ialah sejauh mana kewajipan wanita di dalam dakwah? Apakah sama dengan kaum lelaki? Terima kasih.

Lina,
Shah Alam.

JAWAPAN:

Wa'alaikumus-salam wrwb.

Peranan wanita di dalam dakwah

Sebagai sebuah agama fitrah, Islam telah mengatur hidup para penganutnya kearah kesejahteraan, keharmonian dan kedamaian. Islam datang dengan prinsip-prinsip serta asas-asas yang menjadi tiang kepada tamadun. Ia merupakan penutup kepada segala tamadun terdahulu. Ia menjadikan manusia sebagai unsur asasi di dalam proses pembinaan tamadun.

Manhaj rabbaniy ini menyelaraskan antara kegiatan kaum wanita dan lelaki dalam membangunkan masyarakat dan membina tamadun. Ia menjadikan kegiatan ini wujud dalam bentuk yang pelbagai. Ada yang khusus untuk kaum lelaki, ada yang khusus untuk kaum wanita dan ada yang dikongsi bersama.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya wanita adalah saudara kandung (seibu sebapa) bagi lelaki” ( Diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada ‘Aisyah r.a.)


Maksud saudara kandung ialah dari sudut penciptaan,taklif dan kemuliaan yang diberikan sebagai seorang manusia.

Allah s.w.t. berfirman maksudnya: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) sesetengah kamu (adalah keturunan) dari sesetengah yang lain.” Aali ‘Imran : 195

Tidak syak lagi wanita Islam mempunyai peranan istimewa dalam melaksanakan amal bagi melengkapkan peranan kaum lelaki. Bahkan peranan mereka mengatasi peranan lelaki dalam sesetengah bidang yang didominasi oleh kaum wanita. Ini kerana kaum wnaita mempunyai beberapa keistimewaan dari sudut kesediaan, kemampuan, sifat-sifat keperibadian, kejiwaan dan perasaan yang berbeza daripada kaum lelaki.

Dakwah kepada Allah merupakan kerjaya paling agong dan mulia. Kerja yang diwariskan oleh Rasulullah s.a.w. kepada seluruh umatnya tidak kira lelaki atau perempuan. Di dalam surah at-Taubah ayat 71 Allah s.w.t.menyatakan dengan terang dan jelas bahawa tugas dakwah yang mulia, penting lagi berat ini tidak harus dipikul oleh kaum lelaki secara bersendirian, malah tugas ini mesti dikongsi dan dipikul secara bersama oleh kaum wanita.

Masyarakat Islam terawal memberikan contoh yang praktikal mengenai peranan wanita di dalam dakwah. Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah umpamanya menjadikan rumahnya tempat tumpuan kaum lelaki di dalm menimba ilmu. Beliau begitu terkenal kerana keaktifannya di dalam memberi nasihat dan menyampaikan ajaran Islam di kalangan pelbagai qabilah pada zaman Nabi s.a.w.Baliau pernah disiksa dan dipenjara. Namun semangatnya tidak patah.

Menurut Zainab al-Ghazali di dalam bukunya yang berjodol Ila Ibnati, keadaan umat masa kini sangat memerlukan kaum wanita memainkan peranan yang aktif di dalam dakwah. Ini disebabkan penjajah Barat mengeksploitasi wanita di dalam menabur benih-benih kejahatan dan keruntuhan nilai-nilai akhlak dan kemanusiaan. Wanita Islam yang lemah pegangan agamanya serta cetek ilmunya akan terus menjadi alat propaganda syaitan di dalam melariskan kemungkaran yang ditajanya melalui media massa, sama ada media cetak maupun media elektronik.

Menurut penelitian beliau, wanita adalah orang yang paling layak diketengahkan untuk menjalankan opereasi dakwah di kalangan kaum sejenis mereka. Mereka lebih memahami tabiat, kedudukan dan permasalahan yang dihadapi kaum sejenis mereka. Dengan itu mereka lebih berupaya menembusi hati-hati mad’u dengan pendekatan yang bersesuaian serta lebih serasi dengan fitrah mereka.

Medan-medan Dakwah

Dakwah bukan terbatas pada menyampaikan ceramah di masjid-masjid, memberi tazkirah di dalam liqa’ mingguan atau memberi syarahan di dalam suatu perhimpunan. Sebaliknya dakwah merangkumi keseluruhan tingkah laku dan gaya hidup seseorang; memiliki akhlak yang mulia, tuturkata yang baik, kasih sayang yang mendalam, persaudaraan yang jujur, kegigihan dalam bekerja, sabar ketika bencana, teguh setia menanggung suka dan derita.

Jelas kepada kita, medan dakwah cukup luas dan pelbagai. Setiap orang boleh memainkan peranan mengikut kemampuan dan kesesuaian masa, tempat, kebolehan serta kelebihan yang dimiliki. Seseorang wanita tidak harus memenjarakan dirinya di dalam permasalahan keluarga dan rumahtangganya yang sempit, sehinggakan seolah-olah rumah itulah sahaja dunianya, suami dan anak-anaknya sahajalah segala-galanya dalam hidup ini. Akhirnya dia menjadi seorang muslimah yang tidak mempunyai wawasan, tidak mengendahkan masa depan agama dan dakwahnya. Lama kelamaan dia menjadi wanita biasa yang larut di dalam masyarakat, lupa pada tanggungjawab serta cita-cita untuk membangunkan rumahtangga muslim yang soleh.

Jadi, perseimbangan antara tanggungjawab dakwah dengan urusan rumahtangga amatlah dituntut. Sebagai muslimah yang memiliki kesedaran yang mendalam tentang tanggungjawab, anda mestilah mengatur kehidupan secara seimbang. Rumah tangga tidak harus diabaikan kerana dakwah. Begitu juga sebaliknya dakwah tidak harus dikorbankan kerana sibuk melayani suami serta kerenah anak-anak. Anda mesti memahami keutamaan bagi setiap perkara, masa dan keadaan. Ketika anak-anak masih kecil, tumpuan mesti diberikan kepada mereka,didik mereka supaya menjadi pelapis yang bakal meneruskan risalah. Namun pada masa yang sama anda tidak boleh meninggalkan medan dakwah sepenuhnya atas alasan mendidik anak. Tindakan ini akan membawa kerugian kepada anda dari segi pendedahan, pengalaman dan pahala.

Sesungguhnya kita sangat berhajat kepada muslimat da’iah yang memahami betapa umat ini amat memerlukan dakwahnya, sumbangan tenaga serta kepakaran yang ada padanya bagi membimbing wanita-wanita Islam dan mendidik mereka agar beriltizam dengan ajaran Islam. kita sangat berhajat kepada muslimat da’iah yang prihatin terhadap hal ehwal masyarakat dan umat Islam, yang memahami tugas yang diamanahkan kepadanya, yang bercita-cita untuk mengangkat dirinya ke martabat du’at yang berjuang dan berjihad mendaulat serta mempertahankan din yang agong ini.

Tuesday, June 1, 2021

KELEBIHAN SOLAT 4 RAKAAT SELEPAS ISYA’

SOALAN:

Ustazah, benarkah solat sunat 4 rakaat selepas Isya' menyamai pahala solat pada lailatul-qadar?

JAWAPAN:

Ibn Abbas RA menceritakan bahawa beliau bermalam di rumah ibu saudaranya Maimunah binti Harith RA, isteri Rasulullah SAW. Kebetulan pada malam itu giliran Rasulullah SAW tidur di rumah Maimunah RA.
Selepas baginda menunaikan solat Isya’ di masjid, baginda pulang ke rumah. Maka baginda melaksanakan solat 4 rakaat. Kemudian baginda tidur. Kemudian baginda bangun. Kemudian baginda berkata: “Telah tidur budak kecil ini”. Kemudian baginda bangun. Aku turut bangun dan berdiri di sebelah kiri baginda. Lalu baginda menarikku ke sebelah kanannya. Maka baginda melaksanakan solat 5 rakaat. Selepas itu baginda solat 2 rakaat. Kemudian baginda tidur sehingga aku mendengar dengkurannya. Kemudian baginda keluar untuk solat (Subuh)” Al-Bukhari (117)
Hadis ini menunjukkan solat sunat 4 rakaat selepas Isya’ adalah satu sunnah yang diamalkan oleh Nabi SAW.
Fuqahak Mazhab Hanafi berpendapat solat ini termasuk sunat rawatib, iaitu sunat ba’diah selepas.
Namun yang zahirnya, solat ini dikira termasuk dalam qiamul-lail sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Qudamah.
KELEBIHAN
Terdapat 5 hadis marfu’ tentang kelebihan atau fadhilat solat ini dan 10 athar daripada perbuatan serta perkataan sahabat dan tabi’in.
5 hadis marfu’ yang diriwayatkan tentang kelebihan solat 4 rakaat itu semuanya dhaif. Hadis-hadis tersebut diriwayatkan oleh Al-Tabrani daripada Ibn Umar RA, Al-Tabrani dan Al-Baihaqi daripada Ibn Abbas RA, Al-Tabrani daripada Anas RA, Al-Tabrani daripada Al-Barraa’ bin ‘Aazib RA dan Abdul Razzaq daripada Yahya bin Abi Kathir.
10 athar mauquf, ringkasannya:
1, 2, 3: Athar yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Abdullah bin Masud RA, Abdullah bin Amru RA dan Aisyah RA. Ketiga-tiga mereka berkata: “Sesiapa yang menunaikan solat 4 rakaat selepas isya’, tidak diselangi dengan salam, menyamai 4 rakaat seumpamanya yang ditunaikan pada malam al-qadar.” Isnadnya jayyid (bagus) dan bersambung serta thiqah (boleh dipercayai)
Athar ke 4, diriwayatkan oleh Muhammad bin Hasan al-Syaibani. Isnadnya dhaif.
Athar ke 5, dirwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dariapada Kaab al-Ahbar RA. Isnadnya terputus dan terhenti setakat Kaab sahaja, tidak bersambung kepada Nabi SAW.
Athar ke 6, diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Maisarah dan Zadan. Namun dalam athar ini tidak menyebut tentang fadhilat seperti lailatul-qadar.
Athar ke 7, diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Abdul Rahman bin Aswad. Tiada ulasan tentang sanadnya.
Athar ke 8, diriwayatkan oleh Abu Na’eim daripada Imran bin Khalid
Athar ke 9, diriwayatkan oleh AlMarwazi daripada Qasim bin Abi Ayyub
Athar ke 10, diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Mujahid.
Kesimpulan
Thabit dengan sahih bahawa Rasulullah SAW menunaikan solat 4 rakaat selepas Isya’. Namun hadis-hadis marfu’ yang menyebut tentang kelebihannya sama dengan qiam pada lailatul-qadar semuanya sangat dhaif.
Athar-athar yang diriwayatkan daripada sahabat dan tabi’in menunjukkan mereka umumnya beramal dengan sunnah ini (solat 4 rakaat) selepas isya’. Solat ini merupakan sebahagian daripada qiamul-lail yang kelebihannya banyak diperkatakan di dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Adapun kelebihannya yang dikatakan menyamai solat pada malam lailatul-qadar itu tidak dapat dipastikan. Lebih-lebih lagi hal itu diambil daripada Kaab al-Ahbar. Dan Kaab diketahui sering mengaitkan Syariah ini dengan kandungan kitab yang ada pada Ahli Kitab.
Justeru, dibimbangi kelebihan yang dikatakan itu (sama dengan qiam pada lailatul-qadar) sumbernya adalah Kaab al-Ahbar. Dan sahabat-sahabat yang mengambilnya kerana tertarik dengan fadhilat serta mengharap pahala yang besar, di samping pada pandangan mereka tidak ada mudarat untuk beramal dengannya.
Maka, sebagai hamba yang sentiasa mengharap rahmat dan redha Allah SWT teruslah beramal dengannya sebagai mengikuti satu sunnah daripada sunnah-sunnah Nabi SAW. Adapun fadhilat serta ganjarannya, terserahlah kepada Allah SWT semata-mata.

Allahu A’lam.