Thursday, September 3, 2020

HUKUM MENULIS ALQURAN DENGAN HURUF RUMI

SOALAN:

 

Salam ustazah..

Tulis kalimat inna lillah dlm tulisan rumi, jatuh haram ke?

 

JAWAPAN:

 

Wassalam.

 

Kalimah itu adalah sebahagian daripada ayat al-Quran. Dan ulamak sepakat bahawa menulis al-Quran dengan huruf selain Arab adalah haram.

 

Di bawah adalah huraian terperinci di website mufti wp. Walaupun ia menghuraikan tentang penulisan basmalah, penulisan inna lillah adalah sama dengannya kerana kedua-duanya ayat al-Quran.

 

Ada juga ulamak yang berkata, menulis perkataan-perkataan yang dimuliakan di sisi syarak seperti “alhamdulillh” dan seumpamanya tidak sampai ke peringkata haram jika tidak terdapat padanya unsur-unsur penghinaan atau mempermain-mainkan, lebih-lebih bagi mereka yang menggunakan alat seperti komputer atau telefon bimbit yang tiada kemudahan untuk menulis huruf arab.

 

Jadi kesimpulannya setiap orang berusaha sedaya mungkin untuk mengelak dari menulis kalimah-kalimah al-Quran atau kalimah-kalimah yang ada nilai kebesaran di sisi Islam dengan huruf selain Arab.

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 426 (4 NOVEMBER 2016 M / 4 SAFAR 1438H)

 

SOALAN:

Hukum menulis بسم الله الرحمن الرحيم di dalam tulisan rumi?

 

JAWAPAN:

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kami melihat persoalan di atas boleh ditafsirkan dengan beberapa keadaan:

1. Jika yang dimaksudkan dengan menulis بسم الله الرحمن الرحيم itu adalah dengan menulis secara transliterasi iaitu “Bismillahirahmanirrahim” maka pada asalnya ianya tidak dibenarkan dan ianya juga tidak dikira sebagai Al-Quran. Ini kerana terdapat sebahagian huruf Bahasa Arab yang tiada di dalam huruf rumi dan ini boleh menyebabkan berlakunya kesalahan dalam bacaan yang mana boleh membawa kepada perubahan makna Al-Quran itu sendiri.[1]

Sekiranya disertakan sekali dengan ayat Al-Quran tersebut, maka ianya dibenarkan dalam sesetengah pendapat yang mana bertujuan untuk pembelajaran. Ini selalunya bagi memudahkan mereka yang bukan Arab untuk membaca Al-Quran namun perlulah dari semasa ke semasa untuk memperbaiki bacaan mereka agar bertepatan dengan sebutan serta makhraj.

Al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya Fatwa Kontemporari turut menjelaskan perkara yang sama iaitu pada asalnya tidak dibenarkan namun dibolehkan untuk ayat Al-Quran ditulis dari selain bahasa Arab dalam konteks penulisan akademik dan juga pembelajaran.[2]

2. Sekiranya yang dimaksudkan dengan menulis بسم الله الرحمن الرحيم itu dengan terjemahannya iaitu “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang” maka ia dibenarkan dan ianya termasuk di dalam kategori terjemahan Al-Quran. Namun, terjemahan itu perlulah bertepatan dengan kaedah Bahasa Arab yang telah ditetapkan.

Kesimpulan

Kami lebih cenderung untuk mengatakan tidak boleh untuk menulis ayat Al-Quran dengan tulisan rumi untuk menutup ruang penyelewengan yang boleh berlaku dari sudut perubahan makna dan juga lafaz.

Seterusnya, sudah pasti ianya juga tidak menepati tajwid dan menyalahi apa yang telah ditulis oleh para ulama’ berkenaan dengan rasm al-Quran itu sendiri. Allah SWT telah menyebutkan berkenaan al-Quran di dalam Bahasa Arab maka begitulah juga mafhumnya tulisan hendaklah juga di dalam Bahasa Arab.

Adalah sangat perlu bagi mereka yang ingin membaca al-Quran berguru, bertalaqqi dan bersyafawi melalui tuan-tuan guru sepertimana yang dipelajari oleh nenek moyang kita secara bersilsilah sejak dahulu lagi. Ini juga melihat bagaimana para Sahabat mengambil bacaan al-Quran itu sendiri daripada Nabi SAW dan seterusnya sampai kepada kita dengan cara bersanad.

Wallahu a’lam.

---------------------------------------
[1] Lihat Manahil al-‘Irfan oleh Syeikh al-Zurqani (2/134) yang mana beliau memetik dari Lajnah Fatwa Al-Azhar mengenai isu ini.
[2] Fatwa Kontemporari. PTS Publication. Jilid 2. Hlm. 7-12.

Wednesday, July 22, 2020

BERBEKAM PADA 1 HINGGA 10 ZULHIJJAH

SOALAN:

Assalamualaikum Ustazah
Saya ada soalan nak tanya, Saya masuk program korban pd thn ni. Saya nak buat bekam malam ni. Boleh ke ustazah..sebab kalau potong kuku dan rambut pd hari ini tak digalakkan.Mohon pencerahan..

JAWAPAN:

Wa'alaikumus-salam wrwb.
Kalau boleh ditangguh bekam, elok ditangguhkan. Kalau tak boleh tangguh sebab sakit atau akan menyebabkan  bertambah sakit atau akan lambat sembuh, atau tidak ada caa lain untuk merawat, buatlah. Gunting rambut tu makruh. Bukan haram. Dan tak jejaskan pahala korban InsyaaAllah

Wednesday, February 26, 2020

KELEBIHAN BULAN REJAB

Soalan

Salam.

Ustazah, boleh tlg jelaskan kelebihan bulan Rejab serta kelebihan beramal di dlmnya? 
Trm kasih.

Jawapan 

Wassalam. Rejab adalah satu daripada bulan haram, iaitu bulan yang dimuliakan. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (At-Taubah 9:36

At-Tabari berkata, empat bulan haram ini sangat diagungkan dan dimuliakan oleh orang-orang Arab sejak zaman jahiliah. Mereka mengharamkan peperangan dan pembunuhan pada bulan-bulan tersebut sehinggakan jika seseorang lelaki terserempak dengan orang yang telah membunuh ayahnya sekalipun, dia tidak akan menyerangnya. Bulan-bulan itu ialah Rejab, Zul-Qaedah, Zul-Hijjah dan Muharram.

Adapun kelebihan beramal seperti puasa, solat, qiam pada hari-hari tertentu di dalam bulan tersebut, Kata al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah: “Tidak terdapat tentang kelebihan bulan Rejab, tentang puasanya, tentang puasa pada hari tertentu daripadanya, tentang qiam pada malam tertentu di dalamnya satu hadis sahihpun yang layak dipegang sebagai hujjah. Hadis-hadis yang secara jelas menunjukkan kelebihan bulan Rejab atau kelebihan puasanya atau puasa hari tertentu daripadanya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu satu bahagian dhaif (lemah) dan satu bahagian lagi maudhu’ (palsu)

قال الحافظ ابن حجر رحمة الله: "لم يرد في فضل شهر رجب، ولا في صيامه، ولا في صيام شئ منه معين، ولا في قيام ليلة مخصوصة فيه حديث صحيح يصلح للحجة". و قال أيضا: "الأحاديث الصريحة الواردة في فضل رجب أو فضل صيامه أو صيام شئ منه تنقسم إلى قسمين: قسم ضعيف، وقسم موضوع" !!

رابط المادة: http://iswy.co/e49b5