Friday, August 9, 2019

ADAKAH KELEBIHAN HARI ARAFAH UNTUK MEREKA YANG SEDANG BERWUQUF SAHAJA?

 SOALAN:

Ustazah, Adakah kelebihan Hari Arafah khusus untuk mereka yang mengerjakan haji dan sedang berwuquf di Arafah sahaja atau merangkumi seluruh pelusuk bumi?

JAWAPAN:

Ulamak berbeza pendapat tentang hal itu.

Menurut Sheikh Muhammad Soleh Al-Munajjid, yang arjah (lebih rajih) ianya menyeluruh. Kelebihan itu terletak pada harinya. Namun tidak diragui bahawa orang yang sedang berwuquf itu memperolehi semua kelebihan, iaitu kelebihan tempat dan kelebihan masa.

Sheikh al-Baji berkata: “Doa paling afdhal adalah hari Arafah” bermaksud zikir yang paling berkat, paling besar ganjarannya dan paling hampir perkenannya. Kemungkinan ianya khusus untuk mereka yang sedang mengerjakan haji sahaja kerana maksud doa Hari Arafah itu menepati mereka dan dikhususkan untuk mereka. Dan sesungguhnya disifatkan hari itu sebagai Hari Arafah adalah semata-mata kerana berkaitan dengan amalan mereka yang mengerjakan haji padanya.” Al-Muntaqa Syarah al-Muwatto’ (358/1)

Terdapat riwayat yang sahih daripada sebahagian salaf bahawa mereka mengharuskan “ta’rif” iaitu berkumpul di masjid-masjid untuk berdoa dan berzikir pada Hari Arafah. Antara mereka yang berbuat demikian ialah Ibn Abbas r.a.

Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan ianya harus walaupun beliau sendiri tidak berbuat demikian.

Al-Qadhi berkata: “Tidak mengapa melakukan “ta’rif” (beramal seperti sedang wuquf di Arafah) di waktu petang Hari Arafah di bandar-bandar lain daripada Arafah. Al-Athram berkata: “Aku bertanya Abu Abdullah (Imam Ahmad) tentang “ta’rif” di bandar-bandar, di mana mereka berkumpul di masjid-masjid pada Hari Arafah.”
Beliau menjawab: “Aku berharap ianya tidak mengapa. Dan ia telah dilakukan oleh bukan seorang (ramai orang)”. Dan Al-Athram meriwayatkan daripada Hasan bahawa dia berkata: “Orang pertama melakukan “ta’rif” di Basrah adalah Ibn Abbas r.a.

Ini menunjukkan bahawa mereka berpendapat kelebihan Hari Arafah tidak dikhususkan untuk mereka yang mengerjakan haji sahaja sekalipun tidak ada sebarang riwayat daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda berkumpul di masjid-masjid pada Hari Arafah untuk berzikir dan berdoa. Lantaran itu Imam Ahmad tidak melakukannya. Namun beliau tidak melarangnya kerana terdapat riwayat ada sahabat yang melakukannya seperti Ibn Abbas dan ‘Amru bin Harith r.a.


Dipetik daripada:

https://islamqa.info/ar/70282