Sunday, January 30, 2022

HUKUM SOLAT DENGAN PAKAIAN YANG ADA NAJIS

SOALAN:

Salam Ustazah,

Apakah hukum solat kita apabila kita menyedari adanya najis di kain telekung kita selepasa selesai solat? Perlu disolat semula atau tak ya? 


JAWAPAN

Wassalam.

Menurut kebanyakan ulamak, jika kita solat dalam keadaan kita tidak tahu ada najis pada pakaian kita, maka solat kita sah. Jika kita sedari selepas itu, solat tidak perlu diulang. 

Daripada Abu Sa’eid al-Khudri RA daripada Nabi SAW, bahawa baginda SAW sedang menunaikan solat dengan memakai kasut. Tiba-tiba baginda menanggalkan kasutnya. Maka semua jamaah meninggalkan kasut mereka. 

Selesai solat, baginda bertanya, “kenapakah kalian tanggalkan kasut kalian?” 

Mereka menjawab, “kami melihat anda menanggalkan kasut anda, lalu kamipun tanggalkan kasut kami”.

Baginda SAW menjelaskan, “Sesungguhnya Jibril datang memberitahuku bahawa pada kedua-dua kasutku terdapat najis. Maka apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, hendaklah dia melihat kedua tapak kasutnya. Jika terdapat najis, hendaklah dia menggeselnya di tanah kemudian hendaklah dia solat.” Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Baihaqi, al-Hakim dan lain-lain. 

Dalam Riwayat di atas, tidak dinyatakan bahawa Nabi SAW mengulangi solatnya selepas menanggalkan kasut yang terdapat najis padanya. Sebaliknya baginda meneruskan solat sehingga selesai.