Soalan:
Apakah pendirian Islam terhadap apa yang disebut sebagai “Hari Ibu”, yang disambut oleh sebahagian masyarakat Arab pada 21 Mac setiap tahun? Adakah sambutan hari tersebut haram?
Jawapan Fadhilah Syeikh Dr Yasuf al-Qaradhawi:
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga baginda, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti mereka.
Saya tidak mengatakan bahawa mengadakan sambutan Hari Ibu itu haram, kerana pengharaman sesuatu perkara tidak boleh diputuskan oleh seorang alim melainkan dengan nas yang jelas. Asal hukum bagi perkara dan adat kebiasaan adalah harus. Namun begitu, saya tidak melihat adanya keperluan kepada sambutan seperti ini dalam masyarakat kita.
Jika mahu juga diraikan, maka lebih baik dinamakan “Hari Ibu” dan bukan “Hari Raya Ibu”, kerana konsep عيد (hari raya/perayaan) dalam Islam berkait rapat dengan agama. Kita tidak mahu mempunyai hari raya selain Aidilfitri yang diraikan selepas menyempurnakan puasa Ramadan, dan Aidiladha yang kita rayakan bersama para jemaah haji pada hari haji terbesar mereka.
Saya juga menyeru masyarakat supaya pada hari seperti ini mereka tidak melupakan perasaan anak-anak yang telah kehilangan ibu mereka, sehingga hari itu menjadi hari kesedihan dan kedukaan buat mereka. Demikian juga hendaklah dijaga perasaan anak-anak yang terpisah daripada ibu mereka akibat perceraian, lalu mereka kehilangan kasih sayang ibu dan digantikan dengan ibu tiri yang kadangkala melayani mereka dengan kekerasan dan kekasaran.
Saya juga ingin menegaskan bahawa sejarah tidak mengenal agama atau sistem yang memuliakan wanita sebagai ibu dan mengangkat kedudukannya seperti Islam. Islam menekankan wasiat supaya berbuat baik kepada ibu, malah ia disebut selepas perintah mentauhidkan Allah dan beribadah kepada-Nya. Berbakti kepada ibu dijadikan antara asas akhlak yang mulia, dan hak ibu ditegaskan lebih besar daripada hak ayah kerana kesusahan yang ditanggungnya ketika mengandung, melahirkan, menyusukan dan mendidik anak.
Allah Taala berfirman:
“Dan Kami wasiatkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan tempoh menceraikan susu ialah dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, kepada-Kulah tempat kembali.”
(Surah Luqman: 14)
Dan firman-Nya:
“Dan Kami wasiatkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah. Tempoh mengandung dan menyusukannya ialah tiga puluh bulan.”
(Surah al-Ahqaf: 15)
Nabi ﷺ juga menjelaskan keutamaan ibu apabila seorang lelaki bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak mendapat layanan baik daripadaku?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayahmu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan juga bahawa seorang lelaki sedang tawaf sambil mendukung ibunya. Dia bertanya kepada Nabi ﷺ: “Adakah aku telah menunaikan haknya?” Baginda menjawab: “Belum, walaupun satu keluhan ketika melahirkanmu.”
(Riwayat al-Tabarani)
Berbakti kepada ibu dalam Islam bermaksud melayannya dengan baik, menghormatinya, merendahkan diri kepadanya, mentaatinya dalam perkara yang bukan maksiat, dan mencari keredaannya dalam setiap urusan. Bahkan jihad yang hukumnya fardu kifayah tidak boleh dilakukan tanpa izinnya, kerana berbakti kepadanya juga adalah satu bentuk jihad.
Sebahagian syariat terdahulu tidak memberi perhatian kepada hubungan kekeluargaan sebelah ibu, namun Islam datang dengan menekankan hubungan dengan pak cik dan mak cik sebelah ibu sebagaimana hubungan dengan sebelah ayah.
Diriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: “Aku telah melakukan dosa, adakah masih ada peluang taubat untukku?” Baginda bertanya: “Adakah engkau masih mempunyai ibu?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Baginda bertanya: “Adakah engkau mempunyai ibu saudara sebelah ibu?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda: “Berbuat baiklah kepadanya.”
(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi)
Antara keindahan ajaran Islam ialah ia memerintahkan supaya berbuat baik kepada ibu walaupun ibu itu seorang musyrik. Asma’ binti Abu Bakar رضي الله عنها pernah bertanya kepada Nabi ﷺ tentang ibunya yang musyrik yang datang menziarahinya. Baginda bersabda: “Ya, hubungilah ibumu.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Islam juga menjaga hak keibuan dan perasaan ibu sehingga menetapkan bahawa ibu yang diceraikan lebih berhak menjaga anak-anaknya berbanding ayah.
Ibu yang diberikan perhatian besar oleh Islam ini juga mempunyai tanggungjawab untuk mendidik anak-anaknya dengan baik, menanamkan nilai-nilai mulia dalam diri mereka, membenci akhlak buruk, membiasakan mereka taat kepada Allah, menggalakkan mereka menegakkan kebenaran, dan tidak menghalang mereka berjihad hanya kerana dorongan kasih sayang keibuan.
Kita melihat contoh seorang ibu mukminah seperti al-Khansa’ sebelum peperangan al-Qadisiyyah, yang memberi semangat kepada keempat-empat anak lelakinya supaya berani dan teguh. Setelah peperangan selesai dan semua anaknya gugur syahid, dia tidak meratap atau menjerit, bahkan berkata dengan penuh reda dan yakin: “Segala puji bagi Allah yang memuliakanku dengan syahidnya mereka di jalan-Nya.”
Barat menjadikan satu hari dalam setahun sebagai “Hari Ibu” kerana kebiasaan masyarakat Barat apabila anak lelaki atau perempuan meningkat dewasa, masing-masing membawa haluan sendiri. Mereka jarang mengenali atau berhubung dengan keluarga, ayah dan ibu, bahkan sibuk dengan kehidupan sendiri. Anak lelaki sibuk mencari teman wanita, anak perempuan sibuk mencari teman lelaki, dan mereka lupa kepada kasih sayang serta pelukan yang membesarkan mereka.
Berbakti kepada ibu bapa bukanlah nilai yang kuat dalam masyarakat Barat. Kita bukan begitu. Anak lelaki dan perempuan dalam masyarakat kita tetap terikat dengan keluarga mereka, dan semua hari bagi ibu kita sebenarnya adalah hari istimewa, bukan hanya satu hari dalam setahun.
Berbeza dengan keadaan mereka yang jarang bertemu ibu bapa, maka mereka merasakan perlu menetapkan Hari Bapa dan Hari Ibu setiap tahun. Jadi, apakah keperluan kita untuk meniru mereka secara membuta tuli?
Jika benar mahu meraikan Hari Ibu, maka raikanlah ibu pada Aidilfitri dan Aidiladha. Jika seseorang berada jauh daripada ibunya, hendaklah dia menziarahi ibunya pada dua hari raya tersebut. Selain itu, tiada makna khusus baginya.
Petikan daripada laman:
https://www.al-qaradawi.net/node/3790
No comments:
Post a Comment