Monday, September 27, 2021

ISTERI TIDAK BOLEH KE MASJID UNTUK SOLAT JENAZAH SUAMI?



Sedia maklum bahawa sekarang ini sering berlaku suami meninggal di hospital kerana covid, kemalangan jalan raya dan lain-lain. Jenazahnya dimandikan di hospital atau di masjid. 

Ada pihak yang mengatakan isteri tak boleh keluar rumah untuk ke masjid melihat wajah suami buat kali terakhir dan untuk solat jenazah ke atas mayatnya. 

Mereka berkata, haram bagi wanita yang dalam iddah kematian suami pergi ke masjid walaupun untuk solat jenazah suami sendiri kerana katanya isteri tidak boleh lagi keluar rumah kerana iddahnya telah bermula dan wanita yang beriddah tidak boleh keluar dari rumah. 
Alasanya adalah sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Ali RA yang menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW keluar dari rumahnya. Baginda terjumpa sekumpulan wanita sedang duduk. Baginda bertanya:
“Apa hal kalian duduk di sini?”
“Kami sedang menunggu jenazah,” jawab mereka.
“Adakah kalian akan memandikannya?” tanya baginda lagi.
“Tidak,” jawab mereka.
“Adakah kalian akan mengusungnya?” tanya baginda.
“Tidak,” jawab mereka.
“Adakah kalian akan menghantarnya ke dalam kuburnya?” tanya baginda seterusnya.
“Tidak,” jawab mereka.
“Kalau begitu, hendaklah kalian pulang. Kalian menanggung dosa, bukan mendapat pahala.”

Ini menyebabkan ramai wanita yang rasa tertekan dan sukar untuk mengikutinya.

Betulkah begitu? 
Adakah Islam tidak mengambil kira langsung perasaan cinta dan kesedihan yang dialami oleh seorang isteri. 
Sudahlah diuji dengan kematian yang tidak diduga, dihalang pula untuk solat dan menatap wajah suami tercinta buat kali terakhir di dunia ini. 
Bukankah Islam ini agama rahmah? 
Bukankah Allah sendiri yang menanamkan dalam hati suami dan isteri perasaan rahmah dan mawaddah terhadap satu sama lain?

Untuk menjawabnya dikemukakan di sini pandangan Syeikh Abdul Rahman bin Abdullah bin Soleh Assuhaim. Beliau berkata:

Wanita yang berada dalam iddah kematian suami harus keluar pada waktu siang kerana sesuatu keperluan.  Dan harus baginya keluar untuk menunaikan solat jenazah suaminya yang meninggal itu atau keluar untuk solat jenazah ibu bapanya yang meninggal semasa dia berada dalam iddah.

Begitu juga harus bagi wanita keluar ke masjid untuk tunaikan solat jenazah, lebih-lebih jika jenazah itu tiba berbetulan dengan solat fardhu sebagaimana yang berlaku di Masjidil-Haram dan Masjid Nabawi.

Hadis yang disebut di atas adalah dhaif. Syeikh al-Albani memasukkannya dalam “Dhaif al-Jami’”. 
Hadis itu juga bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ummu Atiyyah RA. Beliau berkata: “Kami dilarang mengiringi jenazah, tetapi tidak ditegaskan larangannya (yakni tidak diharamkan)”.
Imam al-Nawawi berkata, larangan di sini berupa tanzih (lebih baik dijauhi) bukan tahrim (mengharamkan)

Allahu A’lam.

Sumber:
http://www.saaid.net/Doat/assuhaim/fatwa/152.htm

No comments: