Friday, October 4, 2019

MERTUA DAN MENANTU


Di dalam satu kuliah fiqh kekeluargaan, seorang peserta bertanya: “Ustazah, apa nak buat dengan mak mertua yang jealous dengan menantu? Dia selalu tak puas hati kononnya anaknya melebihkan isteri daripada dia, sama ada dari segi layanan, pemberian hadiah dan sebagainya? Bolehkah dia berperasaan begitu?”

Ma syaa Allah! Apakah itu satu soalan yang real atau sekadar andaian semata-mata?

Mari kita kembali kepada persoalan yang lebih asas. Bukankah seorang ibu sentiasa bercita-cita dan berdoa supaya anak-anaknya hidup senang, tenang dan bahagia?
Ibu sentiasa berharap dan berdoa supaya anak-anaknya dianugerahi pasangan hidup yang baik, penyayang dan bertangungjawab?

Justeru, apabila Allah telah mendatangkan seseorang sebagai pasangan hidup yang serasi dengan anaknya, ibu sepatutnya rasa bahagia dan bersyukur. Ibu sepatutnya menerima kehadiran menantu dengan penuh kasih sayang dan berterima kasih kerana menantunya itu sudi menjadi pendamping dan membawa kebahagiaan kepada anaknya. Dengan kehadiran menantu, fitrah anaknya terisi dengan hakiki.

Jadi, apa yang hendak diceburui? Ibu sendiri, bukankah dahulu telah diambil oleh ayah daripada ibu dan bapa yang menyayanginya. Dan kini gilirannya melepaskan anak yang dikasihi untuk membina kehidupan, mengembangkan zuriat dan menyambung generasi.

Namun pada masa yang sama, anak-anak mestilah berusaha untuk menjaga hati dan perasaan ibu. Berbakti dan menghurmati ayah dan ibu adalah kewajipan yang paling utama. Allah perintahkan supaya berbuat baik kepada ibu ayah selepas perintah mentauhid dan menyembahNya.


Sayangilah ibu dan ayah serta berdoalah selalu untuk kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat

No comments: