Thursday, April 9, 2009

Kelebihan Surah al-Waqi'ah

Soalan:

Apa kelebihan baca surah al-Waqiah?
kenapa kalau diamalkn takkan papa di dunia?

Jawapan:

Salam.
Ada beberapa riwayat mengenai surah al-Waqi'ah.
1. Abu Zhibyah berkata: Abdullah bin Mas'ud RA telah jatuh sakit, sakit yang membawa kepada berakhir hayatnya di dunia. Usman bin 'Affan datang menziarahinya. Usman bertanya: Apa yang membuat kamu mengaduh? Abdullah menjawab: Dosa-dosaku. Usman berkata: Apakah yang kamu teringin? Abdullah menjawab: Rahmat Tuhanku. Usman berkata lagi: Mahukah aku perintahkan seorang doktor datang merawatmu? Abdullah menjawab: Sudah ada doktor yang merawatku. Usman berkata lagi: Mahukah aku perintahkan agar dibawa hadiah (berupa harta) untukmu? Abdullah menjawab: Aku tidak perlu lagi kepada harta. Usman berkata: Ia untuk kegunaan puteri-puterimu selepas ketiadaanmu. Abdullah menjawab: Adakah engkau bimbang puteri-puteriku akan ditimpa kefakiran? Sesungguhnya aku telah menyuruh mereka membaca surah al-Waqi'ah setiap malam. Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang membaca surah al-Waqi'ah setiap malam dia tidak akan ditimpa kefakiran selama-lamanya". Riwayat Ibn 'Asakir dan Abu Ya'la.
2. Jabir bin Samurah RA berkata: Rasulullah SAW solat lima waktu seperti kamu (tabi'in) solat hari ini, tetapi baginda meringankan solatnya. Solat baginda lebih ringan daripada solat kamu. Baginda membaca surah al-Waqi'ah di dalam solat subuh dan surah-surah (yang pendek) sepertinya. Riwayat Imam Ahmad.

Sunday, April 5, 2009

Berkahwin Dengan Pengikut Syi'ah

Soalan:
Assalamualaikum.........
Ustazah saya ada beberapa persoalan. Di harap dapat membantu....

1)Saya ingin mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan fahaman syiah sebagaimana yg diikuti oleh ramai orang2 islam di timur tengah.Adakah ia bertentangan dgn ajaran Islam sebenar.Adakah sbg seorang pengikut Imam Syafie kita boleh mengahwini seorang yang berfahaman Syiah?

2)Mengikut apa yang saya fahami penerangan Ustazah di radio. Jika kita ingin melakukan puasa qhada' dan sunat (Syawal contohnya) bersekali. Kita hanya perlu meniatkan puasa qadha' itu sahaja.Tetapi, apa yang pernah saya dan ibu lakukan sebelum ini kami meniatkan kedua2 dan kadangkala dalam niat tersebut puasa sunat trlebih dahulu disebut barulah puasa qadha.Adakah puasa itu boleh dikira sah.Dan adakah ia dikira sbg puasa sunat atau qadha'.Perlukah kami mengkada' kembali puasa kami yang lalu.

3)Apakah batas aurat perempuan dengan adik ipar lelaki atau abg ipar dan juga dengan suami ibu saudara.

Jawapan:
wa'alaikumus-salam wr.wb.

1. kumpulan syi'ah berasal drpd orang yang menyokong Sayyidina Ali dan mendakwa beliaulah yang berhak dilantik menjadi khalifah selepas kewafatan Nabi SAW atas wasiat baginda. mereka mendakwa para sahabat telah menyelewengkan wasiat itu dan menghukum para sahabat sebagai kafir atau fasiq. banyak masalah pokok dan cabang bercanggah antara syiah dan ahli sunnah. meskipun ahli sunnah tidak pernah menganggap mereka kafir, namun sebolehnya elakkan berkahwin dengan mereka.

2. mensekalikan puasa qada' dan sunat, harus. niatnya (dalam hati) perlu disebut qada' terlebih dahulu atau sebut qada' sahaja. kalau sebut sunat dulu hanya sah untuk sunat sahaja. ertinya yang sunat boleh menumpang pada yang wajib tapi yang wajib tidak boleh menumpang pada yang sunat.

3. aurat wanita dengan adik/abg ipar dan suami emak saudara sama dengan lelaki ajnabi (bukan mahram)

Onani

Soalan:
Assalamu'alaikum...

Ustazah, ada beberapa soalan ingin saya tanyakan iaitu:

1) Apakah hukumnya dalam Islam seseorang lelaki atau perempuan yang melakukan onani

2) Apakah yang dimaksudkan dengan onani secara terperinci

Syukran Jazilan ya ustazah

Jawapan:
Wa'alaikumus-salam wr.wb.

untuk mengetahui maksud onani, saudari boleh merujuk website:
http://www.megasutra.com/modules.php?name=AvantGo&op=ReadStory&sid=2302
atau lain-lain.

Menurut Dr. Abd Karim Zaidan di dalam kitabnya (al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ah), perbuatan itu adalah haram berdasarkan ayat 5-7 surah al-Mu'minun yang maksudnya:
"Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas".
Di dalam ayat di atas Allah hanya menyebut satu cara saja yang halal, iaitu hubungan dengan isteri dan hamba. selain itu adalah dicela dan melampaui batas.
Namun terdapat pengecualian bagi seseorang yang tidak dapat mengawal nafsu, di mana jika tidak melancap, dia akan berzina. Maka harus baginya sekadar mengelakkan diri dari zina asalkan ia tidak menjadikannya sebagai kebiasaan.
Sebaik-baik penyelesaian untuk mengelakkan zina ialah kahwin atau puasa.

(jld 5 m.s. 52-53)

PAKAI INAI SELEPAS IHRAM

Soalan:
Apakah hukumnya jemaah haji wanita memakai inai ketika berada di dalam ihram?

Jawapan:

Antara sunat-sunat ihram bagi wanita (yang bukan di dalam iddah kematian suami) menginaikan tapak tangan (depan dan belakang) hingga ke pergelangan dan menyapu sedikit di muka untuk melindungi kulit wajahnya kerana pada asalnya wanita disuruh menutupnya. Namun makruh ke atas mereka mengukir, menghitam dan memakai di hujung-hujung jari sahaja (kecuali bagi isteri yang mendapat keizinan suami). Makruh juga bagi wanita memakai inai selepas berihram.

Kitab al-Idah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, ms: 129 – 130

Wednesday, August 20, 2008

Menanam Mayat Dalam Kawasan Rumah

Soalan

Assallamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ustazah, semasa saya berkerja di pedalaman Sabah, saya dapati kaum Kadazan/Dusun menanam mayat ahli keluarga mereka diserambi rumah mereka atau dalam kawasan rumah mereka. Saya bertanya kepada ahli keluarga mereka tentang perkara itu. Mereka menceritakan dengan berbuat demikian maka ahli keluarga tidak akan menjual tanah itu kelak sebab Ada kuburan ahli keluarga mereka ditanam disitu.

Saya telah menceritakan perkara tersebut kepada kawan-kawan. Ada diantara mereka ingin berbuat demikian supaya anak-anak mereka tidak akan menjual tanah mereka sewenang-wenangnya selepas kematian meraka.

Soalan saya : Apakah hukum Islam dalam perkara ini ?

Jawapan

wa'alaikumus-salam wr.wb.

Syaikh Muhammad al-Syarbini al-Khatib di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menulis: tanam mayat di tanah perkuburan lebih afdhal kerana ada doa para pengunjung dan orang lalu lalang. Nabi SAW sendiri menanam mayat ahli keluarga dan para sahabat di tanah perkuburan al-Baqi'. Menurut fatwa al-Qaffal, menanam mayat di rumah adalah makruh. Manakala pendapat yang masyhur, perbuatan itu dianggap berlawanan dengan yang afdhal. Adapun jenazah Rasulullah SAW ditanam di dalam rumah baginda, kerana seseorang Nabi, Allah tidak mengambil nyawanya kecuali di tempat yang Dia suka jasad Nabi itu disemadikan. Adapun orang-orang yang syahid, maka sunat dikebumikan di tempat mereka terbunuh. (jilid 1, m.s.362, 1958)

Kenduri Arwah

Soalan

Assallamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh,

Ustazah, Arwah bapa meninggal dunia pada 30/8/2006. Setiap tahun keluarga kami mengadakan kenduri Arwah untuknya. Oleh kerana bulan Ogos bertepatan dengan bulan Syaaban. Kenduri tersebut juga diadakan sempena menyambut bulan Ramadan.

Soalan saya : Apakah kenduri Arwah bapa dan kenduri menyambut bulan Ramadan ini bertentangan dengan syariat Islam.

Kaki abang sulong saya akan di potong sebab komplikasi penyakit kencing manis.

Soalan saya : Bagaimanakah hendak menguruskan kaki yang telah dipotong itu ?

Jawapan

wa'alaikumus-salam wr.wb

kenduri arwah adalah perkara khilafiah. doa yang dibaca oleh tetamu yang hadir itu setengah pendapat kata tak sampai kepada ayah kita, setengah pendapat kata sampai. masing-masing ada hujjah dan dalil. kalau ingin kebaikan yang maksimum utk orang tua kita, saya berpendapat buatlah perkara yg memang jelas dinyatakan di dalam al-quran dan hadis akan sampai kepada roh mereka seperti doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang diamnfaatkan. dalam hal ini, jika saudara dan adik beradik ingin ibu ayah mendapat pahala yang berterusan, laburkan wang itu kepada sedekah jariah, jihad fi sabilillah, wakafkan buku di perpustakaan, sumbang kpd pembinaan institusi pengajian dan sebagainya.

2. kaki yang dipotong kerana sakit tidak wajib diurus seperti mayat, hanya ditanam begitu saja. Allahu A'lam.

Menonton Wayang Bersama Kekasih

Soalan

Saya merupakan remaja yang selalu di belenggu keraguan terutama berkaitan hal agama. Disini saya ingin mengajukan beberapa soalan yang saya rasa prof dapat menjawabnya.

Seperti yang kita ketahui, jika kaum hawa dan kaum adam duduk berdua-duaan di tempat gelap hukumya berdosa.hukum itu adakah sama dengan kita masuk ke panggung wayang.

saya harap prof dapat menjawabnya.

JAWAPAN

Assalamu’alaikum wr.wb.

Sebelum menjawab ya atau tidak soalan yang ditanyakan di atas, beberapa perkara asas perlu dijelaskan terlebih dahulu. Sebagai muslim, asas ini mesti difahami, diyakini dan dipegang sekuat-kuatnya.

Pertama: Allah s.w.t. tidak mengharamkan perkara yang baik dan bermanfaat kepada manusia. Yang diharamkan adalah perkara yang tidak berfaedah, keji, buruk serta mendatangkan mudarat kepada hambaNya sama ada dalam jangka masa yang cepat atau lambat.

Kedua: Perkara yang haram terbahagi kepada dua jenis: haram li dzatihi dan haram li ghayrihi. Haram li dzatihi ialah sesuatu yang diharamkan Allah lantaran keburukan dan kemudaratannya seperti mencuri, berzina, minum arak dan seterusnya. Manakala haram li ghayrihi diharamkan bukan kerana keburukan atau kemudaratannya tetapi kerana kaitannya dengan perkara yang haram atau ia boleh menjadi punca berlakunya perkara yang haram. Contohnya makan buah rambutan yang dicuri; makan buah rambutan bukanlah sesuatu yang memudaratkan tetapi haram dimakan kerana diperolehi dengan cara mencuri. Lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan di tempat sunyi tidak berbahaya kalau hanya sekadar duduk tetapi, boleh menjadi punca kepada berlakunya zina. Maka duduk berdua-duaan di tempat sunyi adalah haram.

Berdasarkan dua prinsip di atas, cuba fikirkan; tidakkah masuk ke dalam panggung wayang juga boleh mendorong kepada zina? Secara fizikalnya pasangan tidak duduk berduaan tetapi dalam keadaan suasana yang gelap, setiap orang yang masuk membawa hal sendiri-sendiri, masing-masing tidak ambil pusing antara satu sama lain. Dalam keadaan demikian kesempatan untuk meraba, berpegang tangan, malah berpelukan tidak ada siapa yang akan mencegahnya. Ditambah pula dengan adegan-adegan menggairahkan yang terpampang di layar di hadapan membangkitkan lagi keinginan yang berkemungkinan besar mengheret pasangan mencari tempat lebih exclusive bagi memenuhi keinginan yang telah memuncak dan sukar dibendung. Maka masuk ke dalam panggung wayang dengan pasangan yang belum dikahwini boleh dikatakan termasuk dalam kategori mendekati zina yang secara jelas dilarang keras oleh Allah s.w.t. di dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” Al-Isra’ :32