Wednesday, July 3, 2019

HUKUM MENYAMBUNG DAN MENANAM RAMBUT

SOALAN:

Ustazah, adakah dibenarkan seorang wanita untuk menyambung atau menanam rambut bagi tujuan perubatan?

JAWAPAN:
Soalan mengandungi dua perkara : 
pertama menyambung rambut,
kedua menanam rambut.

Menanam (transplan) rambut bagi tujuan perubatan adalah harus.
Akademi Fiqh Islam di bawah naungan Pertubuhan Persidangan Islam yang berlangsung pada 9 hingga 14 July 2007 di Malaysia memutuskan bahawa harus membaik pulih kecacatan yang mendatang seperti kesan kebakaran, kemalangan, penyakit dan lain-lain. Antaranya ialah menampal kulit, menanam rambut dan sebagainya.
Sheikh Muhammad bin ‘Uthaimin berkata: menanam rambut untuk merawat botak adalah harus kerana ia termasuk bab mengembalikan sesuatu kepada keadaan asal ciptaan Allah dan menghilangkan kecacatan. Ia tidak termasuk dalam bab menambah atau mengubah ciptaan Allah. Beliau juga bersandar kepada Hadis yang mengisahkan  tentang lelaki botak yang meminta dikembalikan rambutnya. Sebahagian teks Hadis adalah seperti berikut:
“Sesungguhnya 3 orang dari kalangan bani Israel yang tediri dari si sopak, si botak dan si buta. Allah hendak menguji mereka. Lalu Dia mengutuskan satu malaikat …. (diringkaskan) … Malaikat datang menemui si botak dan bertanya “Apa yang paling engkau sukai?” Si botak menjawab “Rambut yang cantik dan hilang botak yang menyebabkan manusia memandang jijik kepadaku.” Lalu malaikat menyapu kepalanya, maka hilanglah botak pada kepalanya dan diberikan rambut yang cantik…”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menyambung rambut dengan rambut lain biasanya dengan tujuan supaya kelihatan lebih lebat dan panjang.  Ia dilakukan dengan cara:
1.    Menyambung rambut yang pendek dengan rambut orang lain.
2.    Menyambung rambut yang pendek dengan rambut sendiri yang telah digunting
3.    Menyambung rambut yang pendek dengan rambut palsu
4.    Memakai rambut palsu
Ulama sepakat bahawa menyambung rambut dengan rambut, sama ada rambut orang lain atau rambut sendiri yang telah dipotong adalah haram berdasarkan nas-nas berikut:
i.               daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang meminta disambung, yang membuat tatu dan yang minta dibuatkan.” Al-Bukhari dan Muslim.
ii.              Daripada Aisyah r.a., beliau menceritakan bahawa seorang gadis Ansar telah berkahwin. Maka dia jatuh sakit sehingga rambutnya gugur dengan banyaknya. Keluarganya bertanya Rasulullah s.a.w. tentang hasrat mereka untuk menyambung rambut gadis tersebut. Baginda bersabda maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan.” Al-Bukhari dan Muslim
Menyambung rambut dengan sesuatu yang bukan rambut seperti tali, benang, bulu, sutera dan sebagainya tidak haram kerana ia tidak menyerupai rambut. Ia dipakai bukan untuk tujuan memanjangkan rambut, sebaliknya sebagai satu bentuk perhiasan dan mencantikkan.

Memakai rambut palsu yang direka benar-benar menyerupai rambut adalah haram sama ada dengan menyambung pada rambut sedia ada atau disarungkan di atas kepala melindungi rambut yang asal.

ISTERI TIDAK BOLEH MELAKUKAN IBADAH KORBAN JIKA SUAMI BELUM MELAKUKANNYA?

SOALAN:

Adik saya mahu membuat ibadah korban. Namun memandangkan suaminya belum pernah melakukannya, maka adik saya membatalkan niatnya itu, walaupun telah menyerahkan nama kepada pihak pengurusan korban. Betulkah tindakan adik saya itu?

JAWAPAN:

Korban merupakan satu ibadah, satu syiar daripada syiar Islam yang dituntut ke atas umat Islam melakukannya. Hukumnya adalah sunat muakkad ke atas mereka yang mempunyai kemampuan. Kelebihannya dinyatakan di dalam sepotong hadis sahih riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah daripada Aishah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada amalan anak Adam pada hari Nahar, iaitu Hari Raya Haji yang paling disukai Allah selain daripada menyembelih binatang ternakan. Sesungguhnya binatang yang disembelih itu akan dibangkitkan pada hari qiamat nanti beserta dengan tanduk, bulu dan kulitnya. Dan sesungguhnya darahnya itu sampai kepada Allah (diterima sebagai amal soleh di sisi Allah) sebelum ia menitis ke bumi. Maka ikhlaskan hatimu dalam melakukannnya.”

Oleh itu, adik puan tidak perlu dan tidak patut membatalkan niatnya untuk berkorban dengan sebab suami belum melakukannya kerana ibadah itu tidak ada kaitan dengan suami sekiranya dia lakukan dengan hartanya sendiri.

Friday, April 12, 2019

WANITA TUA TIDAK WAJIB MENUTUP AURAT?

Soalan:

Ustazah, minta jasa baik ustazah terangkan apa maksud ayat 60 surah an-Nur? Saya dengar dari seorang penceramah mengatakan bahawa wanita tua dan sudah tidak memberahikan tidak wajib memakai tudung. Betulkah begitu?

Terima kasih ustazah.

Jawapan:

Allah Ta’ala berfirman:


Terjemahannya:
“Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (An-Nuur 24:60

Saya merujuk beberapa tafsir tentang maksud “menanggalkan pakaian (ath-thiab)” di dalam ayat tersebut.
1.     Ar-Razi (wafat 606H) – beliau berkata ahli-ahli tafsir berpendapat maksud thiab (pakaian) di dalam ayat ini ialah jilbab, kain seperti selimut dan purdah yang biasa diletakkan di atas tudung.
2.     Al-Qurtubi (wafat 671H) – beliau menyebut juga pendapat yang mengatakan maksud thiab adalah tudung. Tetapi beliau membuat kesimpulan bahawa yang sahih adalah wanita tua juga seperti wanita muda dari segi wajib menutup aurat. Cumanya wanita tua boleh menanggalkan jilbab yang biasa diletakkan di atas khimar (tudung). Dan beliau berkata, ini merupakan pendapat Ibn Masud, Ibn Jubair dan lain-lain.
3.     Ibn Kathir (wafat 774) – maksud thiab ialah jilbab dan ridaa’ (selendang). Abu Soleh berkata: wanita tua boleh menanggalkan (tak pakai) jilbab dan berdiri di hadapan (berjumpa dengan) lelaki (ajnabi) dengan memakai khimar, iaitu tudung.
4.     Tantawi (wafat 1431H) – wanita yang telah tua, yang telah putus haid, tidak dapat melahirkan anak dan tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin lagi tidak berdosa ke atas mereka untuk menanggalkan pakaian luar yang tidak membawa kepada pendedahan aurat atau menampakkan perhiasan yang Allah perintahkan supaya di tutup.

Daripada apa yang dihuraikan oleh mufassirin di atas, dapat difahami bahawa wanita tua juga tidak terkecuali daripada kewajipan menutup aurat. Atau dengan kata lain, hukum aurat tidak berubah dengan perubahan usia.

Maksud “menanggalkan pakaian” yang disebut di dalam ayat itu bukan menanggalkan tudung yang dipanggil khimar di dalam Bahasa Arab. Sebaliknya ia bermaksud kain yang diletakkan di atas khimar. Itulah keringanan yang diberikan kepada wanita tua yang tidak lagi mempunyai keinginan untuk berkahwin. Namun, bertudung dan menutup aurat tetap diwajibkan ke atas mereka.

Friday, January 4, 2019

BACAAN ATTAHIYYAT ADALAH DIALOG ANTARA RASULULLAH SAW. DENGAN ALLAH SWT?

Soalan:

Saya ingin mendapat penjelasan tentang kisah yang sering ditularkan di dalam media social bahawa "BACAAN ATTAHIYYAT ADALAH DIALOG ANTARA RASULULLAH SAW. DENGAN ALLAH SWT.''
Di dalam mesej yang tular itu dikatakan bahawa pada malam isra’ mi’raj itu:

Jibril As. mengantarkan Rasulullah Saw naik ke Sidratul Muntaha. Namun karena Jibril As tidak diperkenankan untuk mencapai Sidratul Muntaha, maka Jibril As pun mengatakan kepada Rasulullah SAW untuk melanjutkan perjalanannya sendiri tanpa dirinya...

Rasulullah Saw melanjutkan perjalanan perlahan sambil terkagum-kagum melihat indahnya istana Allah Swt hingga tiba di Arsy...
Setelah sekian lama menjadi seorang Rasul, inilah pertama kalinya Muhammad Saw berhadapan dan berbincang secara langsung dengan Allah Azza wa Jalla...
Bayangkanlah betapa indah dan luar biasa dahsyatnya moment ini, Masya Allah..

Percakapan antara Muhammad Rasulullah Saw dengan Allah Subhanahu Wata'ala :
(1). Rasulullah Saw-pun mendekat dan memberi salam penghormatan kepada Allah Swt :
"Attahiyyatul mubarokastus-solawatut- thayyibaatulillah = Semua ucapan penghormatan, pengagungan dan pujian hanyalah milik Allah".
(2). Kemudian Allah Swt menjawab sapaannya :
"Assalamu 'alaika ayyuhan Nabiyyu warahmatullahiwa barakaatuh =
Segala pemeliharaan dan pertolongan Allah untukmu wahai Nabi, begitu pula rahmat Allah dan segala karunia-Nya".
(3). Mendapatkan jawaban seperti ini, Rasulullah Saw tidak merasa jumawa atau berbesar diri, justru beliau tidak lupa dengan umatnya, ini yang membuat kita sangat terharu.
Beliau menjawab dengan ucapan :
Assalaamu 'alaina wa 'alaa 'ibadillahis  shalihiin"= Semoga perlindungan dan pemeliharaan diberikan kepada kami dan semua hamba Allah yang shalih"
Bacalah percakapan mulia itu sekali lagi, itu adalah percakapan Sang Khaliq dan hamba-NYA, Sang Pencipta dan ciptaan-NYA dan beliau saling menghormati satu sama lain, menghargai satu sama lain, dan lihat betapa Rasulullah Saw mencintai kita umatnya, bahkan beliau tidak lupa dengan kita ketika beliau di hadapan Allah Swt..."
Melihat peristiwa ini, para Malaikat yang menyaksikan dari luar Sidratul Muntaha tergetar dan terkagum-kagum betapa Rahman dan Rahimnya Allah Swt, betapa mulianya Muhammad Saw...
Kemudian para Malaikat-pun mengucap dengan penuh keyakinan :
Asyhadu Allaa ilaaha illallah, wa asy hadu anna Muhammadarrasulullah = Kami bersaksi bahwa tiada Tuhan selain Allah dan kami bersaksi bahwa Muhammad itu adalah hamba Allah dan Rasul Allah".

Jadilah rangkaian percakapan dalam peristiwa ini menjadi suatu bacaan dalam shalat yaitu pada posisi Tahiyat Awal dan Akhir, yang kita ikuti dengan shalawat kepada Nabi sebagai sanjungan seorang individu yang menyayangi umatnya.
Mungkin sebelumnya kita tidak terpikirkan arti dan makna kalimat dalam bacaan ini.
Semoga dengan penjelasan singkat ini kita dapat lebih meresapi makna shalat kita. Sehingga kita dapat merasakan getaran yang dirasakan oleh para Malaikat disaat peristiwa itu...

Adakah cerita itu sahih? Trm kasih, ustazah.

Jawapan:

Kisah itu tidak diketahui sumber serta sanadnya. Tidak dijumpai di dalam kitab-kitab hadis yang sahih.
Sesungguhnya kisah isra’ dan mi’raj diriwayatkan secara jelas dan terperinci di dalam kitab-kitab sahih Bukhari, Muslim dan lain-lain. Namun tidak terdapat langsung kisah tentang memberi dan menjawab salam antara Nabi s.a.w. dengan Allah Rabb Al-Jalil seperti yang diceritaka itu.

Begitu juga ketika baginda s.a.w. mengajar tahiyyat kepada sahabat r’anhum baginda tidak pernah mengaitkannya dengan perinstiwa mi’raj baginda. Antara hadis sahih mengenai cara membaca tahiyyat di dalam solat ialah yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a.

Beliau berkata: “Kami berkata di dalam solat di belakang Rasulullah s.a.w. “as-salam ‘ala-Allah, as-salam ‘ala fulan”, maka Rasulullah s.a.w. mengur kami pada suatu hari: “Sesungguhnya Allah, Dialah as-Salam. Maka apabila salah seorang daripada kamu duduk di dalam solat, hendaklah dia berkata: “at-tahiyyatu lillah was-solawatu wat-toyyibatu. As-salamu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu warahmatullahi wabarakatuh. As-salamu ‘alaina wa’ala ‘ibadillahis-solohin”. Apabila dia berkata demikian, salamnya sampai kepada seluruh hamba Allah yang soleh di langit dan di bumi. (Sambungan seterusnya): “Asyhadu an la ilaha illa Allah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluh.” Kemudian dia pilih apa-apa permintaan (doa) yang dia kehendaki.”
Riwayat al-Bukhari (6328) dan Muslim (402)

Dan banyak lagi hadis-hadis sahih yang berkaitan dengan Nabi s.a.w. mengajar sahabat cara membaca tahiyyat. Tidak terdapat satupun yang baginda kaitkan dengan peristiwa isra’ dan mi’raj.


Allahu A’lam.