Tuesday, August 28, 2012

Hukum Menggunakan Kulit dan Bulu Babi

Soalan:

Salam, Ustazah

Sy ada beberapa soalan tentang kulit & bulu babi. sy harap ustazah dpt membantu sy.

Setelah 3 thn memakai 1 seluar jeans ni, baru sy sedar, dia punya label dekat blakng seluar tu diperbuat dr kulit. kulit tu titik2 smcm. sy x rasa tu kulit lembu.
sy rasa tu kulit babi.. bila google2 kulit babi, sy ada jumpa gmbr yg lebih kurang dgn label leather dekat seluar sy. so sy rasa tu kulit babi..kuat sangkaan tu mmg kulit babi.

Sy fhm kalau sentuh semasa kering, x perlu samak kn ustazah?

Masalahnya ustazah, sy dh basuh seluar tu dgn bnyk baju.. boleh jadi dh 2 almari..pakaian sy dh bersentuhan dgn kulit babi tu dlm keadaan basah.
bukan tu sj, baldi, tmpt penyidai baju, hanger, mesin basuh dan lain2 tmpt yg pernah kena seluar tu mcm mn ustzah? adakah semua dikira najis berat? dh 3 tahun.. mesti mcm semua tmpt kena.. itu amat merisaukan sy..

soalan sy,

1. adakah sy perlu samak SEMUA pakaian sy yg pernah terbasuh dgn seluar jeans tersebut? ( ada yg sy ingat, ada yg tak)
Mcm mana ya?

2. kalau mesin basuh tu sy x samak, sy basuh pulak telekung dn sejadah, perlukah sy menyamak telekung dan sejadah sy?

3. bagaimana pula dgn pakaian2 rakan2 sy yg pernah menggunakan mesin basuh tersebut? adakah pakaian mereka dikira bersih?

4. Smlm sy telah menyamak mesin basuh di rumah sy. tp sy bancuh air tanah dlm baldi yg belum disamak. sbb x ingat pun pasal baldi tu. sy khuatir baldi tu sy pernah guna utk letak seluar jeans tersebut semasa basah. myb ja pernah letak atau tak. sy x ingat sngt sbb dh 3 bulan x guna baldi tu.

adakah sy perlu menyamak semula mesin basuh? ke x perlu?

Lepas tu, ms saya tgh google2 sy terbaca pulak pasal berus drpd bulu babi utk teknik rebonding.

sy pernah melakukan teknik reboding 1 thn yang lalu.. tp sy x pasti berus dia guna bulu apa. boleh jadi berus bulu babi...perlukah sy ke kedai tu dan tny? sbb dh setahun berlaku. mak sy ckp, jgn tny. sbb nnti sy lg susah hati. n benda dh lama jd jd bila sy ke kedai tu nk tny mesti dia tutup.. so smpai hr ni sy x tny.

kalau bulu babi, sy kena samak seluruh badan ka ustzah?
tudung? telekung? apa2 yg telah terkena rambut sama ada basah/ kering sy perlu di samak? rambut yg gugur di lantai lg..

1. apa yg perlu di samak? cukup tak jika sy sekadar samak rambut sy?

2. barang2 lain seperti tudung tidak perlu samak x apa kan?

Ustazah, masalah ni amat menggangu kehidupan harian sy sngt... rasa susah hati 24 jam. sy rs nak nangis setiap masa sbb rasa semua barang sy dh kena najis mughallazah. dh 2 bulan sy susah hati. mula nk jadi penyakit waswas.. semua benda kotor.
Nk solat pun terganggu..apatah lg nk baca buku..
sy berharap sngt ustzah dpt membantu sy..

Jawapan:

Salam,

Diharap saudari dapat bertenang dalam menghadapi masalah ini. Saya cuba beri pandangan sekadar termampu, mudah-mudahan dapat membantu. Apa yang perlu saudari lakukan ialah:

1. Tanggalkan label daripada seluar. Basuh seluar, kemudian boleh pakai seperti biasa.

2. Segala perkakas seperti baldi, mesen basuh dan pakaian-pakaian semua tak perlu disamak kerana:

i. Ia berlaku dengan cara tidak sengaja, saudari ketika itu tidak tahu dan tidak sedar kewujudan sesuatu yang najis. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah memaafkan umatku daripada apa yang silap, lupa dan dipaksa." Riwayat Ibn Majah.

ii. Ulama berselisih pendapat tentang cara menyucikan najis babi. Sebahagian ulama berpendapat wajib dibasuh 7 kali dan salah satunya dengan tanah qias kepada cara membasuh bekas yang dijilat anjing. Sebahagian lain berpendapat cukup basuh sekali sahaja. Kata Imam an-Nawawi di dalam kitab 'Syarah Muslim': Kebanyakan ulama berpendapat najis babi tidak perlu dibasuh 7 kali. Ini merupakan kata-kata asy-Syafi'ei, dan ia merupakan kata-kata yang kuat dari segi dalilnya.

iii. Ulama juga berbeza pendapat dari segi adakah kulit binatang yang mati itu (bangkai) najis atau tidak setelah dibersihkan atau disertu? Ada tujuh pendapat, saya akan sebut dua sahaja. Pendapat pertama: semua kulit bangkai suci kecuali kulit anjing dan babi. Ini merupakan pendapat asy-Syafi'ei dan lain-lain. Pendapat kedua: semuanya suci termasuk kulit anjing dan babi. Kata an-Nawawi, ini merupakan pendapat Daud az-Zohiri juga Abu Yusuf. Kata Imam asy-Syaukani, inilah pendapat yang rajih (yang menepati dalil) kerana Hadis tidak membezakan antara semua binatang. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Mana-mana kulit bangkai yang disertu, maka sesungguhnya ia telah suci." Riwayat Muslim, Ahmad, Ibn Majah dan at-Tirmizi daripada Ibn Abbas r.a.

iv. Jadi, oleh kerana masalah ini ada perbezaan pendapat, tidak salah kita ambil pendapat yang paling mudah dan praktikal serta tidak membebankan. Aisyah r.a. berkata maksudnya: "Rasulullah s.a.w. tidak diberi pilih antara dua perkara kecuali baginda akan memilih yang paling mudah antara keduanya selama mana ia bukan dosa. Jika ia dosa, baginda adalah manusia yang paling jauh darinya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

3. Berkaitan dengan bulu yang digunakan untuk rebonding, tidak wajiblah diusul periksa lagi apa yang telah lepas. Namun pada masa hadapan eloklah berhati-hati. Masalah penggunaan bulu babi juga ada khilaf di kalangan ulama. Majoriti berpendapat najis dan haram digunakan kecuali dalam keadaan darurat. Sebahgian ulama berpendapat harus digunakan. Jadi, yang sudah lepas itu insya Allah dimaafkan, lagipun kita tidak pasti. Untuk masa-masa akan datang, perlulah berhati-hati.

Allahu A'lam.

Monday, July 16, 2012

Wanita hamil tidak wajib puasa?

Soalan:

Assalamualaikum Ustazah,

Saya sedang mengandung 5 bulan dan ini adalah kandungan ke tiga saya. Kandungan pertama dan kedua telah gugur kerna jantung bayi terhenti dan bayi meninggal dunia dalam kandungan. Doktor mengatakan bahawa keadaan janin dan kromosom yang lemah atau bayi tidak dapat bekalan darah secukupnya.

Untuk kali ketiga ini, saya perlu mengambil beberapa ubat-ubatan salah satu daripadanya ubat mencairkan darah supaya bayi dapat bekalan darah secukupnya.

Persoalan saya adalah , adakah keadaan saya ini boleh dikategorikan dalam pengecualian berpuasa. Saya ada membaca beberapa artikel yanga mengatakan ibu yang risau akan janin dan bayi boleh dikecualikan berpuasa.
Saya inginkan kepastian sebelum saya meninggalkan puasa memandangkan ini adalah puasa wajib dan sangat berat hukumya jika diambil ringan.

Tolong usatazah , saya harap ustazah dapat menjawab soalan ini sebelum tibanya bulan puasa. Terima kasih . Assalamualaikum.

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Tahniah kerana diberi peluang mengandung, semoga kandungan puan lahir dengan selamat dan bila besar menjadi anak yang soleh/solehah.

Wanita menganadung dan menyusukan anak diharuskan berbuka (tidak berpuasa pada bulan Ramadhan) dalam dua keadaan:

1. Dia tidak mampu untuk berpuasa. Keadaan kesihatannya tidak mengizinkan seperti tidak berupaya menahan lapar, dahaga, tidak bertenaga dan sebagainya.
2. Kesihatan dirinya tidak terjejas. Dia mampu untuk berpuasa tanpa rasa susah menahan lapar, dahaga dan seumpamanya. Tetapi dibimbangi anak dalam kandungan akan terjejas, perkembangannya akan terbantut disebabkan kekurangan zat makanan atau sebagainya. Bagi ibu yang menyusukan pula, dengan sebab puasa air susunya akan kering dan bayinya akan kelaparan kerana tidak cukup susu.

Dalil keharusan berbuka ialah qias kepada orang sakit dan sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla melepaskan dari orang musafir kewajipan puasa dan separuh daripada solat (harus solat qasar) dan dari wanita hamil dan menusukan bayi kewajipan puasa.” (Rujuk Nail al-Autor 4/230).

Walau bagaimanapun, puasa yang ditinggalkannya wajiblah diqadha pada hari-hari lain. Bagi keadaan pertama wanita berkenaan wajib qadha sahaja sebanyak hari yang ditinggalkan. Manakala keadaan kedua dia wajib qadha serta membayar fidyah anggaran satu cupak beras (lebih kurang satu kilogram) untuk satu hari. Jika tidak berpuasa selama 30 hari, dia wajib qadha 30 hari beserta fidyah sebanyak 30 cupak (30 kg) beras. Fidyah hendaklah dibayar kepada faqir dan miskin.

Perlu diingat, walaupun dia dibenarkan tidak berpuasa, janganlah sia-siakan peluang beramal soleh sepanjang Ramadhan yang berkat ini. Gunakan masa untuk solat tarawih, tilawah serta tadarus al-Quran, menginfaq atau menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa, membanyakkan sedekah, berzikir, beristighfar, berselawat ke atas Nabi, berbuat baik kepada ibu bapa, jiran tetangga, saudara mara, berdakwah, menghadiri majlis ilmu dan bermacam-macam lagi. Mudah-mudahan limpahan cahaya Ramadhan akan menerangi perjalanan hidup kita selama-lamanya insya Allah.

Sunday, June 10, 2012

Umur 40 tahun tak boleh berubah?

Soalan:

Assalamualaikum Ustazah,sy nak tny,ada hadis Rasulullah S.A.W yg mengatakan hidup manusia klu tak berubah bila umur 40thn,dia takkan berubah sampai bila2 kan?blh ustazah bg hadis penuh tu pd sy?sbb sy tgk berdiskusi dgn sahabat2 ttg umur dan kehidupan belia.terima kasih ya

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Umur 40 tahun disebut di dalam al-Quran di dalam ayat yang bermaksud:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu). Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli Syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.” (Al-Ahqaf: 15-16)

Ketika mentafsirkan ayat ini, Ibn Kathir berkata, 40 tahun merupakan peringkat umur kuat, cergas dan matang. Pada usia ini, akalnya sampai ke syilingnya, kefahaman dan kematangannya cukup sempurna. Dan dikatakan bahawa ghalibnya seseorang itu tidak akan berubah daripada kebiasaannya atau perangainya apabila telah mencapai usia 40 tahun.
Daripada kata-kata Ibn Kathir di atas, kita faham bahawa manusia tidak berubah selepas mencapai usia 40 tahun itu merupakan pendapat sebahagian manusia. Beliau tidak mengatakan itu adalah sabda Nabi s.a.w.
Mungkin ada Hadis tetapi tidak sahih, atau ada Hadis tetapi tidak sampai ke pengetahuan beliau, AllahuA’lam.

Namun beliau ada membawakan Hadis mengenai usia 40 tahun, tetapi maksudnya tidak ada kena mengena dengan perubahan cara hidup. Hadis itu bermaksud:
“Seseorang hamba yang muslim itu, apabila sampai 40 tahun Allah ringankan hisabnya, apabila sampai 60 tahun Allah anugerahkan kepadanya rezeki suka kembali kepadaNya (banyak bertaubat), apabila sampai 70 tahun Allah jadikan dia dikasihi oleh ahli langit, apabila sampai 80 tahun Allah teguhkan hasanahnya dan Allah hapuskan sayyi’ahnya (kejahatannya), dan apabila sampai 90 tahun Allah ampunkan apa yang terdahulu dan yang terkemudian daripada dosa-dosanya, Allah izinkan dia memberi syafa’at kepada ahli rumahnya dan dituliskan namanya di langit sebagai tawanan Allah yang berada di bumi”. Riwayat al-Hafidz al-Musili

Al-Alusi, pengarang kitab tafsir Ruh al-Ma’ani berkata, telah disebut oleh bukan seorang bahawa manusia itu apabila telah mencapai umur ini, akhlaknya telah begitu kuat bertapak pada dirinya, hampir-hampir tidak akan dapat dihilangkan lagi selepas itu. Beliau membawakan sepotong hadis tanpa menyebut perawinya. Hadis itu bermaksud: “Sesungguhnya syaitan mengheretkan tangannya di atas muka orang yang mencapai umur 40 tahun dan tidak bertaubat sambil berkata, “demi bapaku, wajah yang tidak akan berjaya.”

Selain itu beliau membawakan satu Hadis yang dikeluarkan oleh Abu al-Fath al-Azadi daripada Ibn Abbas r.a. bermaksud: “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”

Tuesday, June 5, 2012

Kenapa orang mati dipanggil arwah?

Soalan:

Salam Ustazah, saya nak tanya kenapa bila org yg sudah mati sering disebut arwah? Apa makna arwah tu?
Trm kasih, ustazah.

Jawapan:

Salam. Arwah adalah jamak atau plural bagi perkataan roh. Jadi arwah bermakna roh-roh. Mereka yang memanggil orang yang dah meninggal itu arwah, mungkin disebabkan kefahaman bahawa orang yang mati itu sudah tidak ada di dunia ini, tidak hidup di alam yang zahir. Sebaliknya mereka hidup di alam ghaib atau alam roh.

Pada pendapat saya memanggil mereka dengan panggilan arwah tidak memberi apa-apa makna, malah tidak betul kalau orang yang meninggal itu seorang sahaja kerana arwah itu untuk ramai, sekurang-kurangnya tiga orang.
Lebih bermanfaat kalau disebut al-marhum bagi si mati lelaki dan al-marhumah bagi si mati perempuan yang bermaksud orang yang dirahmati. Jadi secara tidak langsung kita telah mendoakan untuk si mati tersebut.

Atau boleh juga disebut Allah Yarhamuhu ( الله يرحمه )untuk lelaki dan Allah Yarhamuha ) الله برحمها ) untuk perempuan.

Ataupun rahimahullah ( رحمه الله ) bagi lelaki dan rahimahallah ( رحمها الله ) bagi perempuan.

Sunday, May 27, 2012

Mandi Wiladah

Soalan:

Salam Ustazah,

Saya ada 2 soalan nak tanya:
1. bilakah waktu seorg wanita yg lepas bersalin perlu mandi wiladah?
2. adakah sah bg seorg yg berhadas besar (waktu haid) mandi sunat hari raya?

Jawapan:

Salam.

1. Mandi wiladah dilakukan selepas keluar anak kalau tidak diikuti oleh darah nifas. Kalau ada darah nifas, tidak ada mandi wiladah. Tunggu darah nifas kering baru mandi.

2. Seorang yang berhadas besar atau dalam haid, sah mandi sunat. Dalilnya Nabi s.a.w. berkata kepada Aisyah r.a. ketika beliau didatangi haid semasa hendak menunaikan haji, “lakukan semua amalan yang dilakukan oleh orang yang mengerjakan haji, kecuali tawaf di Baitillah”. Antara amalan yang dilakukan oleh orang yang menunaikan haji ialah mandi sunat ihram. Ini menunjukkan bahawa wanita yang haid boleh dan sah mandi sunat.

Wednesday, February 15, 2012

Soalan tentang solat

Soalan:

Assalamua'alaikum wrb ustazah,

1. Apa yang lebih baik buat wanita yng belum kahwin? Pergi sembahyang kat masjid/surau untuk berjemaah (seperti surau on campus) atau sembahyang sendiri dalam bilik?
2. Semasa tahiyat, bila kita kena naikkan dan turunkan jari telunjuk?
3. kalau wanita sembahyang jemaah berimamkan wanita, dimanakah kedudukan imam? sebaris dengan ma'mum lain atau depan sedikit?
4. Apa perlu kita buat sekiranya ada orang lain terus smbhyng ditepi hendak berjemaah, sdgkan kita sedang sembhyng sunat?
5. apakah yang lebih baik? kita terus masbuk jemaah yng sudah hendak habis sembahyang atau, menunggu jemaah yang seterusnya supaya dapat jemaah sembahyang penuh?
6. Adakah dibolehkan untuk mengikut sembahyang jemaah berkali2 dgn jemaah yang lain (kemungkinan kerana imam seterusnya mempunyai bacaan yang mantap?)

wassalam

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

1. Mana yang lebih baik, tidak diukur pada solat itu sahaja. Ada perkara lain yang perlu dipertimbangkan seperti kekhusyukan dalam solat, niat pergi ke masjid dan sbeagainya. Kalau niat pergi masjid kerana ria’ atau menunjuk-nunjuk, tentulah tidak ada kebaikan padanya. Sebaliknya kalau niat untuk mendekatkan diri dengan masyarakat, bertaaruf dan bersilatul rahim, mengenali mereka dengan lebih dekat dengan tujuan mengambil apa yang baik, membantu siapa yang memerlukan, sudah tentu ganjarannya berlipat ganda daripada solat di rumah.
2. Semasa syahadah tiada tuhan melainkan Allah dan biarkan terus dalam keadaan terangkat sehingga akhir. Apapun perlu diingat hal ini bukan perkara pokok, mungkin ada pandangan lain yang berbeza, jangan jadikan ianya isu untuk berselisih dan berbahas.
3. Di tengah-tengah saf, sebaris dengan makmum.
4. Teruskan solat. Orang solat sunat sah jadi imam kepada makmum yang solat fardhu.
5. Ikut imam yang ada, kemudian yang lain sambung selepas makmum yang masbuk tadi bangun. Dengan itu jamaah tak putus.
6. Harus. Solat kedua dan seterusnya itu dikira sebagai solat sunat.

Saturday, January 28, 2012

Hukum Wanita Haid Duduk Dalam Masjid

Soalan:

Salam ustazah,

Ana nak tanya sikit tentang hukum orang perempuan yang haid duduk dalam masjid, boleh ke nak mintak ustzh huraikan lagi? Ana nak clarify maksud perempuan haid tak dibenarkan duduk tu adakah spesifik di ruang solat (musolla) atau pun keseluruhan masjid? Mungkin ustzh boleh terangkan sikit tentang maqasid disebalik hukum tersebut.

Jawapan:

Salam,

Perbincangan mengenai isu ini terbahagi kepada dua, hukum duduk untuk tujuan I’tikaf atau sebagainya dan hukum lalu atau melintas di dalam masjid.

Hukum duduk, di dalam kitab ‘Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh’ karangan Dr. Wahbah az-Zuhaliy menyebut: perkara ke 5 yang diharamkan ke atas wanita haid ialah I’tikaf di dalam masjid. Ini disepakati oleh semua mazhab.

Antara dalilnya
1. Hadis riwayat Abu Daud dan lain-lain daripada Aisyah r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. datang ke masjid, baginda mendapati kebanyakan pintu rumah para sahabat r.a. menghala terus ke dalam masjid (maksudnya untuk ke mana-mana mereka kena lalu dalam masjid). Lalu baginda mengarahkan agar diubah kedudukan pintu rumah mereka supaya tidak menghala ke masjid. Baginda menyatakan alasannya (maksudnya): “Kerana sesungguhnya aku tidak halalkan masjid (untuk dimasuki oleh) wanita haid dan orang yang berjunub”.
2. Daripada Umm Salamah r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam masjid lalu menyeru dengan suara yang nyaring (maksudnya): “Sesungguhnya masjid tidak halal (dimasuki oleh) wanita haid dan orang yang berjunub”.

Manakala hukum lalu atau melintas di dalam masjid, ulamak Mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan haram sama sekali masuk ke dalam masjid walaupun sekadar lalu. Namun sebahagian besar ulamak berpendapat harus bagi wanita haid lalu atau melintas di dalam masjid kerana sesuatu hajat atau ada keperluan jika tidak dibimbangi darah akan menitis. Jika dibimbangi darah akan menitis, maka tidak harus bagi mereka lalu di dalam masjid.

Dalilnya ialah Nabi s.a.w. menyuruh Aisyah r.a. mengambil serban banginda yang terletak di dalam masjid. Aisyah r.a. berkata beliau sedang haid. Lalu baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya haidmu bukan di tanganmu”. Riwayat Muslim, Ibn Majah dan Baihaqiy.

Sebilangan kecil ulamak seperti Daud az-Zohoriy dan al-Mazaniy berpendapat, harus bagi wanita haid masuk dan duduk di dalam masjid kerana bagi mereka Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh mereka yang mengatakan haram itu tidak sahih. Namun Imam asy-Syaukani di dalam kitabnya “Nail al-Autor’ telah menolak dakwaan mereka. Beliau berkata bahawa Hadis-hadis itu statusnya Hasan atau Sahih. Maka tiada alasan untuk menolaknya.

Perlu disebut bahawa maksud masjid adalah tempat atau ruang yang dikhususkan untuk solat. Mengenai maqasid, ia merupakan perkara ta’abudi, iaitu bab ibadah mahdhah (semata-mata ibadah). Bila telah ada nas, kita taat walaupun tidak jelas maqasidnya. Allahu A’lam.