Wednesday, May 21, 2008

Mencari Keredhaan Allah

Soalan

salam ustazah...

saya ingin bertanya soalan pada ustazah, bagaimanakah melakukan sesuatu hanya kerana mengharapkan redha Allah? adakah kalu kita buat sesuatu dan kita buat kerana mengharapkan redha ibu bapa boleh dikatakan buat kerana mengharapkan redha Allah sebab kita tahu bahawa redha Allah bergantung kepada redha ibu bapa.

bagaimanakah kita nak mengaitkan kehidupan seharian kita ini dengan agama sebab fahaman sekarang ini memisahkan agama dengan dunia???

apakah yang dikatakan amalan soleh??? adakah hanya berzikir sahaja yang dikira sebagai amalan soleh??dalam al-quran dikatakan syurga hanya untuk orang yang melakukan amalan soleh... bagaimana nak melakukan amalan soleh yang diredhai Allah???

Jawapan

Salam,

Allah mencipta manusia supaya beribadah kepadaNya seperti dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia malainkan supaya mereka beribadah kepadaKu (dengan menyembah dan mentaatiKu)" Surah al-Dzariat:56.

Ibadah boleh dibahagikan kepada 2 kategori: ibadah khusus dan ibadah umum.
ibadah khusus ialah upacara atau amalan tertentu yang kita lakukan semata-mata untuk mendekatkan diri kepadaNya. Ini mesti dilakukan dengan cara tertentu seperti mana yang diajar oleh Rasulullah SAW. Contohnya solat, puasa, haji dan lain-lain.
ibadah umum ialah semua urusan dalam kehidupan kita di dunia ini. Apa jua yang kita lakukan dikira ibadah dengan syarat:

1. dilakukan dengan niat yang baik, contohnya berniaga untuk menyara keluarga, membantu manusia mendapat keperluan mereka, menziarahi ibu bapa supaya mereka gembira dan seterusnya
2. perkara yang dilakukan itu harus pada asalnya serta tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Jika berbuatan itu haram atau bercanggah dengan prinsip Islam, tidak dikira ibadah walaupun niatnya baik.
3. tidak lalai dari melakukan ibadah yang lebih utama atau ibadah khusus, umpamanya berniaga sampai lupa solat.

Jadi dalam mencari keredhaan manusia, termasuk ibu bapa mestilah tidak lari atau tidak bercanggah dengan tiga syarat di atas. Amalan yang memenuhi syarat tersebut itulah yang dikatakan amal soleh.
Semoga kita dibimbing untuk melakukan amal yang terbaik di sisiNya.

Monday, May 5, 2008

Pejam Mata Ketika Solat

Soalan

Asalamualaikum Ustazah Maznah,

Saya ingin bertanya apakah solat itu sah apabila
semasa solat saya memejamkan mata kerana untuk
mendapatkan kekusyukkan.

Terima kasih.

Jawapan

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Nabi SAW tidak memejamkan mata ketika solat.
Lantaran itu sebahagian ulamak mengatakan makruh pejamkan mata.
Menurut Ibn al-Qayyim, sekiranya membuka mata menghalang khusyu', maka harus, bahkan sunat baginya pejam. namun jika tidak menghalang dari khusyu', maka tidak pejam lebih afdhal.

Sunday, May 4, 2008

Kencing Tidak Lawas

Soalan

Assalamualaikum Ustazah Maznah,

Saya ingin meminta penjelasan dari pihak Ustazah tentang masalah pembuangan air kecil yang tidak lawas ('tus') atau kesukaran mengawal ketika batuk/bersin dalam beribadah.

Jawapan

Assalamualaikum

Orang yang tidak boleh kawal kencing atau penyakit salas al-bawl, hukumnya sama dengan wanita istihadhah. setiap kali hendak solat (masuk waktu), hendaklah dibersih kemaluan, pakai alas atau pad supaya tidak menitis, ambil wudhuk dan terus solat. air kencing dan darah yang keluar selepas itu dimaafkan. bila masuk waktu solat berikutnya ulang balik seperti di atas.
Kedua-dua penyakit di atas tidak boleh dibiarkan, perlu dirawat segera. sesungguhnya setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati.

Sambung Rambut

Soalan

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarahkatuh,

Ustazah, Apakah yang dimaksudkan dengan Menyambung rambut ?

Jawapan

Wa'alaikumus-slam wr.wb.

Menyambung rambut maksudnya menghubungkan rambut sedia ada di kepala dengan rambut orang lain atau rambut sendiri yang telah dipotong atau dengan rambut palsu (mungkin dibuat daripada bulu, plastik dan sebagainya) supaya kelihatan lebat dan cantik.
Hukumnya adalah haram berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan meminta supaya disambung rambutnya...." (Sebahagian daripada Hadis riwayat al-Bukhari dari Abu Hurairah RA.
Mengikat rambut dengan sesuatu yang tidak kelihatan seperti rambut seperti benang sutera atau sebagainya dengan tujuan berhias untuk suami adalah harus kerana tidak terdapat unsur menipuan di sini.

Thursday, May 1, 2008

Aurat di dalam dan di luar Solat

Soalan

Assalamu'alaikum wm.wb.

Ustzh Maznah yg dihormati,

Saya mengikuti ruangan fiqh wanita - ustzh - pg tadi di radio ikim.

Mohon penjelasan lanjut berkenaan solat wanita yg telekongnya jarang yg menampakkan bentuk /bayang bentuk badan.
Jawapan Ustzh sebentar td yg saya faham - Solatnya SAH kerana ada perbezaan di segi aurat wanita dalam solat dan diluar solat. Selagi tak nampak KULIT, solat wanita tersbt adalah SAH.

Pertanyaan saya adalah:

(1) Mohon ustzh jelaskan dalil yg menerangkan/menyokong - kenyataan bahawa aurat wanita diluar dan didlm solat adalah berbeza sedikit.

(2) Perkara aurat diluar dan dlm solat ini adakah bersamaan / boleh diapplikasikan juga kpd Lelaki? (Maksudnya , sbg contoh: jika lelaki memakai kain / jubah pjg yg jarang- ketika solat?)


Terimakasih Ustzh di atas bantuan /penjelasan ini.

Jawapan

salam,
Apa yang saya fahami daripada perbahasan dan penulisan para fuqahak, perbezaan antara menutup aurat di dalam dan di luar solat adalah dari segi tujuannya.
Disyaratkan menutup aurat di dalam solat (walaupun bersendirian di dalam bilik) adalah kerana beradab atau tuntutan akhlak mulia, tidak layak dan tidak patut mengadap Allah dalam keadaan tidak berpakaian. sebab itu, solat dikira sah bila kita memakai pakaian yang dikira menutup aurat.
Berbeza dengan menutup aurat di hadapan ajnabiy, tujuannya ialah mengelak fitnah, menjaga maruah dan mengawal syahwah. Sebab itu mereka (fuqahak) menggariskan syarat yang lebih ketat, tidak jarang/nipis, tidak ketat, tidak keterlaluan hiasannya, tiada wangian-wangian dan seumpamanya.

Dalam kontek lelaki, bab aurat ni lebih longgar berbanding wanita, sebab itu kita tidak temui syarat-syarat seperti yang dituntut ke atas wanita. yang penting tutup dan tidak nampak kulit (badan yang perlu ditutup). Allahu A'lam.
Harap menjawab soalan saudari.

Bayar Zakat

Soalan

Aslamualaikum Ustazah,
terlebih dahulu terima kasih di
atas penjelasan yg ustazah berikan kepada saya
trdahulu.

Soalan 1
Apakah saya dibenarkan membayar zakat terus kepada
penerima? Kategori penerima yg bagaimana? Apakah perlu
akad ketika memberi zakat tersebut?

Soalan 2
Apakah ertinya sembahyang sunat duha, apakah hikmah yg
terselindung disebaliknya, adakah sebab junjungan
besar Rasulullah saw melakukannya.

Wasalam

Jawapan

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Terima kasih atas kepercayaan.
Soalan 1
Harta zakat terbahagi kepada 2 jenis: zahir dan batin.
Harta zahir adalah binatang ternakan, tanaman dan buah-buahan
Harta batin adalah emas, perak, barang-barang perniagaan dan rikaz (orang melayu panggil harta qarun)
Menurut Mazhab Syafi'iy, harus tuan harta membahagikan sendiri zakat kepada mereka yang berhak menerimanya atau mewakilkan kepada orang lain. Tetapi jika pemerintah menuntutnya wajib dibayar kepada pemerintah zakat harta zahir untuk dibahagikan kepada mereka yang berhak, kecuali jika pemerintah zalim, maka afdhal bahagi sendiri kepada yang berhak.
Orang yang berhak terdiri dari 8 golongan: faqir, miskin, amil, muallaf, membebaskan hamba, orang yang berhutang, fi sabillah dan ibn sabil (musafir). Setiap asnaf ada syarat-syaratnya boleh dirujuk dalam kitab fiqh.
Penunai zakat wajib niat kerana zakat adalah ibadah fardhu, tidak sah tanpa niat tetapi tidak wajib diberitahu kepada penerima bahawa yang diberi itu adalah zakat. jadi tidak perlu akad.

Soalan 2
Daripada Abu Hurairah RA katanya: "Kekasihku (Nabi SAW) berpesan kepadaku 3 perkara, aku tidak pernah tinggalkannya sehingga mati: berpuasa 3 hari setiap bulan, solat dhuha, dan solat witir sebelum tidur". Riwayat al-Bukhari.
Minimum solat dhuha 2 rakaat dan maximum 12.
Waktunya adalah selepas terbit matahari sehingga gelincir atau seeloknya sehingga matahari tegak.
Fadhilatnya, Abu Zar RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: "Setiap pagi setiap sendi-sendi kamu perlu memberi sedekah. Bertasbih adalah satu sedekah, bertahmid satu sedekah, bertahlil satu sedekah, bertakbir satu sedekah, menyuruh makruf satu sedekah, mencegah munkar satu sedekah. Dan mencukupi semua itu ialah dua rakaat sunat dhuha yang kamu lakukan". Riwayat Muslim.
Allahu A'lam.

Baca al-Quran Ketika haid

Solan

Dari sekian banyaknya kesimpulan yg saya perolehi tentang larangan wanita haid menyentuh dan membaca qur'an saya masih ragu, sebab sewaktu saya masih belajar dulu guru saya pernah memberitahu bahwa wanita yg dalam keadaan haid boleh menyentuh dan membaca al-qur'an.
Sedangkan ayat qur'an yg menyatakan tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yg suci, adalah al-qur'an yg ada di ARASY (Lauh Mahfus) sana. Dan al-qur'an yg ada di dunia sekarang ini adalah barang yg di cetak oleh mesin, yg di buat manusia dan pekerja itu sendiri belum tentu juga dalam keadaan suci dan dengan alasan yg sama juga bahwa kita semua tahu dalam kehidupan seharian banyak berdzikir dgn membaca al-qur'an.
Bolehkah kita terima alasan itu? berdasarkan hadits-hadits yg ustazah pernah uraikan sebelum ini.

Jawapan

Salam,

Adakah saudari membaca penjelasan saya di dalam blog: http://zaadut-taqwa.blogspot.com?
Kalau belum harap saudari dapat membacanya, saya rasa agak jelas.
Allahu A'lam.