Sunday, April 5, 2009

Onani

Soalan:
Assalamu'alaikum...

Ustazah, ada beberapa soalan ingin saya tanyakan iaitu:

1) Apakah hukumnya dalam Islam seseorang lelaki atau perempuan yang melakukan onani

2) Apakah yang dimaksudkan dengan onani secara terperinci

Syukran Jazilan ya ustazah

Jawapan:
Wa'alaikumus-salam wr.wb.

untuk mengetahui maksud onani, saudari boleh merujuk website:
http://www.megasutra.com/modules.php?name=AvantGo&op=ReadStory&sid=2302
atau lain-lain.

Menurut Dr. Abd Karim Zaidan di dalam kitabnya (al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ah), perbuatan itu adalah haram berdasarkan ayat 5-7 surah al-Mu'minun yang maksudnya:
"Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas".
Di dalam ayat di atas Allah hanya menyebut satu cara saja yang halal, iaitu hubungan dengan isteri dan hamba. selain itu adalah dicela dan melampaui batas.
Namun terdapat pengecualian bagi seseorang yang tidak dapat mengawal nafsu, di mana jika tidak melancap, dia akan berzina. Maka harus baginya sekadar mengelakkan diri dari zina asalkan ia tidak menjadikannya sebagai kebiasaan.
Sebaik-baik penyelesaian untuk mengelakkan zina ialah kahwin atau puasa.

(jld 5 m.s. 52-53)

PAKAI INAI SELEPAS IHRAM

Soalan:
Apakah hukumnya jemaah haji wanita memakai inai ketika berada di dalam ihram?

Jawapan:

Antara sunat-sunat ihram bagi wanita (yang bukan di dalam iddah kematian suami) menginaikan tapak tangan (depan dan belakang) hingga ke pergelangan dan menyapu sedikit di muka untuk melindungi kulit wajahnya kerana pada asalnya wanita disuruh menutupnya. Namun makruh ke atas mereka mengukir, menghitam dan memakai di hujung-hujung jari sahaja (kecuali bagi isteri yang mendapat keizinan suami). Makruh juga bagi wanita memakai inai selepas berihram.

Kitab al-Idah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, ms: 129 – 130

Wednesday, August 20, 2008

Menanam Mayat Dalam Kawasan Rumah

Soalan

Assallamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ustazah, semasa saya berkerja di pedalaman Sabah, saya dapati kaum Kadazan/Dusun menanam mayat ahli keluarga mereka diserambi rumah mereka atau dalam kawasan rumah mereka. Saya bertanya kepada ahli keluarga mereka tentang perkara itu. Mereka menceritakan dengan berbuat demikian maka ahli keluarga tidak akan menjual tanah itu kelak sebab Ada kuburan ahli keluarga mereka ditanam disitu.

Saya telah menceritakan perkara tersebut kepada kawan-kawan. Ada diantara mereka ingin berbuat demikian supaya anak-anak mereka tidak akan menjual tanah mereka sewenang-wenangnya selepas kematian meraka.

Soalan saya : Apakah hukum Islam dalam perkara ini ?

Jawapan

wa'alaikumus-salam wr.wb.

Syaikh Muhammad al-Syarbini al-Khatib di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menulis: tanam mayat di tanah perkuburan lebih afdhal kerana ada doa para pengunjung dan orang lalu lalang. Nabi SAW sendiri menanam mayat ahli keluarga dan para sahabat di tanah perkuburan al-Baqi'. Menurut fatwa al-Qaffal, menanam mayat di rumah adalah makruh. Manakala pendapat yang masyhur, perbuatan itu dianggap berlawanan dengan yang afdhal. Adapun jenazah Rasulullah SAW ditanam di dalam rumah baginda, kerana seseorang Nabi, Allah tidak mengambil nyawanya kecuali di tempat yang Dia suka jasad Nabi itu disemadikan. Adapun orang-orang yang syahid, maka sunat dikebumikan di tempat mereka terbunuh. (jilid 1, m.s.362, 1958)

Kenduri Arwah

Soalan

Assallamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh,

Ustazah, Arwah bapa meninggal dunia pada 30/8/2006. Setiap tahun keluarga kami mengadakan kenduri Arwah untuknya. Oleh kerana bulan Ogos bertepatan dengan bulan Syaaban. Kenduri tersebut juga diadakan sempena menyambut bulan Ramadan.

Soalan saya : Apakah kenduri Arwah bapa dan kenduri menyambut bulan Ramadan ini bertentangan dengan syariat Islam.

Kaki abang sulong saya akan di potong sebab komplikasi penyakit kencing manis.

Soalan saya : Bagaimanakah hendak menguruskan kaki yang telah dipotong itu ?

Jawapan

wa'alaikumus-salam wr.wb

kenduri arwah adalah perkara khilafiah. doa yang dibaca oleh tetamu yang hadir itu setengah pendapat kata tak sampai kepada ayah kita, setengah pendapat kata sampai. masing-masing ada hujjah dan dalil. kalau ingin kebaikan yang maksimum utk orang tua kita, saya berpendapat buatlah perkara yg memang jelas dinyatakan di dalam al-quran dan hadis akan sampai kepada roh mereka seperti doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang diamnfaatkan. dalam hal ini, jika saudara dan adik beradik ingin ibu ayah mendapat pahala yang berterusan, laburkan wang itu kepada sedekah jariah, jihad fi sabilillah, wakafkan buku di perpustakaan, sumbang kpd pembinaan institusi pengajian dan sebagainya.

2. kaki yang dipotong kerana sakit tidak wajib diurus seperti mayat, hanya ditanam begitu saja. Allahu A'lam.

Menonton Wayang Bersama Kekasih

Soalan

Saya merupakan remaja yang selalu di belenggu keraguan terutama berkaitan hal agama. Disini saya ingin mengajukan beberapa soalan yang saya rasa prof dapat menjawabnya.

Seperti yang kita ketahui, jika kaum hawa dan kaum adam duduk berdua-duaan di tempat gelap hukumya berdosa.hukum itu adakah sama dengan kita masuk ke panggung wayang.

saya harap prof dapat menjawabnya.

JAWAPAN

Assalamu’alaikum wr.wb.

Sebelum menjawab ya atau tidak soalan yang ditanyakan di atas, beberapa perkara asas perlu dijelaskan terlebih dahulu. Sebagai muslim, asas ini mesti difahami, diyakini dan dipegang sekuat-kuatnya.

Pertama: Allah s.w.t. tidak mengharamkan perkara yang baik dan bermanfaat kepada manusia. Yang diharamkan adalah perkara yang tidak berfaedah, keji, buruk serta mendatangkan mudarat kepada hambaNya sama ada dalam jangka masa yang cepat atau lambat.

Kedua: Perkara yang haram terbahagi kepada dua jenis: haram li dzatihi dan haram li ghayrihi. Haram li dzatihi ialah sesuatu yang diharamkan Allah lantaran keburukan dan kemudaratannya seperti mencuri, berzina, minum arak dan seterusnya. Manakala haram li ghayrihi diharamkan bukan kerana keburukan atau kemudaratannya tetapi kerana kaitannya dengan perkara yang haram atau ia boleh menjadi punca berlakunya perkara yang haram. Contohnya makan buah rambutan yang dicuri; makan buah rambutan bukanlah sesuatu yang memudaratkan tetapi haram dimakan kerana diperolehi dengan cara mencuri. Lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan di tempat sunyi tidak berbahaya kalau hanya sekadar duduk tetapi, boleh menjadi punca kepada berlakunya zina. Maka duduk berdua-duaan di tempat sunyi adalah haram.

Berdasarkan dua prinsip di atas, cuba fikirkan; tidakkah masuk ke dalam panggung wayang juga boleh mendorong kepada zina? Secara fizikalnya pasangan tidak duduk berduaan tetapi dalam keadaan suasana yang gelap, setiap orang yang masuk membawa hal sendiri-sendiri, masing-masing tidak ambil pusing antara satu sama lain. Dalam keadaan demikian kesempatan untuk meraba, berpegang tangan, malah berpelukan tidak ada siapa yang akan mencegahnya. Ditambah pula dengan adegan-adegan menggairahkan yang terpampang di layar di hadapan membangkitkan lagi keinginan yang berkemungkinan besar mengheret pasangan mencari tempat lebih exclusive bagi memenuhi keinginan yang telah memuncak dan sukar dibendung. Maka masuk ke dalam panggung wayang dengan pasangan yang belum dikahwini boleh dikatakan termasuk dalam kategori mendekati zina yang secara jelas dilarang keras oleh Allah s.w.t. di dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” Al-Isra’ :32

Wednesday, July 2, 2008

Solat Sunat Taubat dan Sunat Wudhuk

Soalan

a'kum ustazah,
semoga sihat dan sentiasa diberkati Allah S.W.T.

saya ingin bertanya tentang solat sunat taubat. saya ada merujuk sebuah buku, namun ianya kurang dpt membantu saya dlm hal2 ini..

1. jika seseorang itu telah bertaubat akan dosa besarnya yg lalu, wajibkah disertakan dgn melakukan solat sunat taubat supaya dosa2nya diampuni Allah S.W.T? selain menyesal, membencinya dan tidak akan mengulanginya lagi?

2. tentang waktu utk mengerjakannya, adakah boleh dilakukan pada waktu pagi? secara tepatnya lebih kurang pd pukul 7.00pg hingga 12.00tgh?

3. menurut buku, surah/ayat Al-Quran dibaca selepas Al-Fatihah ialah,
- rakaat pertama, ayat Al-Kursi (seeloknya 11 kali)
- rakaat kedua, surah Al-Ikhlas (seeloknya 11 kali)
soalan saya, bolehkah setiap kedua2nya saya baca hanya 1 kali shj?

4. tentang solat sunat wudhu pula, bolehkah dilakukan pd sejurus sebelum masuk waktu solat fardhu?

5. boleh ustazah terangkan secara ringkas waktu2 yg ditegah solat?

harap ustazah dpt membantu saya, hamba Allah yg hina lagi daif ilmu ini..

Wassalam.

Jawapan

Salam,

1. Namanya solat Sunat Taubat, jadi hukumnya adalah sunat, tidak wajib

2. Tidak ada waktu khusus untuk melakukannya, pada bila-bila masa selain waktu yang ditegah (selepas solat subuh, selepas solat asar, ketika matahari sedang naik, sedang tenggelam dan sedang tegak di atas kepala)

3. Surah-surah selain al-Fatihah adalah tidak wajib, boleh baca apa-apa surah sebanyak mana yang kita mampu.

4. Solat sunat wudhuk dilakukan selepas selesai berwudkuk, sama ada masuk waktu atau belum. Tiada waktu larangan untuknya. Jika tidak dilakukan selepas berwudhuk, maka luputlah waktunya, tidak disunatkan lagi.

5. Waktu yang ditegah, lihat jawapan no. 2.

Allahu A'lam, moga membantu.

Pelbagai Masalah

Soalan

Salam..
Ustazah, di sini sy ada beberapa persoalan mengenai ibadah.

1- Sahkah solat sy jika semasa sujud, telapak tangan sy dilapik dengan telekung scr tidak sengaja? ( tapak tangan tidak menyentuh sejadah scr langsung?)
Apakah ada hukum dan hadith yang sahih mengenai hal ini?

2- Adakah terbatal wuduk seseorang PEREMPUAN itu jika keputihan keluar? Blhkah Ustazah berikan sumber yang sahih mengenai hal ini?

3- Andainya seseorng itu tidak pasti dia masih lg mpunyai wuduk atau tidak, apakah harus baginya mengmbil wuduk semula? Ada mengatakan bhw jika mengmbil wuduk
semula, perbuatan itu mewarisi pembaziran..

4- Mengikut mazhab imam Syafie, tempoh maksimum keluar darah haid ialah selama 15 hari 15 malam. Bagaimana sekiranya tempoh haid seseorang itu sudah melebihi tempoh
tersebut tetapi darah masih ada dan mpunyai sifat darah haid seperti bwarna coklat kemerahan, msh mengalir dan berbau. Untuk pengetahuan Ustazah, pada tempoh awl haid,
(hari pertama, kedua dan ketiga...)darah tsebut msh belum mengalir dan hanya bertompok coklat shj.

Jawapan

Salam.
1. Sah solat berdasarkan Hadis riwayat Ibn Majah, Rasulullah SAW solat di Masjid Bani al-Asyhal, baginda mengalas dua tapak tangan dengan kain yang menyelimuti badannya supaya tidak terkena anak-anak batu. Walau bagaimanapun sunat tidak dilapik, supaya tidak bercanggah dengan pendapat yang mengatakan wajib dibuka.
2. Keluar keputihan batal wuduk. Banyak dalil yang menunjukkan, keluar sesuatu dari salah satu daripada dua jalan (qubul dan dubur) membatalkan wudhuk. boleh dikatakan semua ulamak sepakat dalam hal ini. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim baginda bersabda kepada Orang yang keluar mazi, maksudnya: "hendaklah kamu basuh kemaluanmu dan berwudhuk".
3. Jika seseorang ragu-ragu sama ada wudhuknya telah batal atau tidak, maka hukumnya tidak batal. Namun membaharui wudhuk adalah sunat. Anas bin Maik RA berkata, Rasulullah SAW berwudhuk setiap kali hendak solat. Seseorang bertanya kepadanya (Anas): "Kamu pula bagaimana?" Anas menjawab: "Kami solat beberapa kali dengan satu wudhuk selagi mana kami tidak berhadas". Riwayat Ahmad dan al-Bukhari.
4. Tidak ada nas, al-Quran atau Hadis yang secara jelas menetapkan tempoh minimum dan maksimum haid. Lantaran itu ijtihad dilakukan berdasarkan kebiasaan kebanyakan wanita. Mengikut pendapat yang dikeluarkan hasil daripada ijtihad yang sahih adalah tidak salah, malah kadang-kadang ia merupakan satu keperluan. Kalau tidak, kita akan berada dalam keadaan keraguan dan ketidakpastian. Jadi selagi mana tidak ada bukti yang lebih kukuh, saya berpendapat, kita pegang apa yang telah diijtihadkan oleh ulamak terdahulu. Jadi jika sudah melebihi 15 hari, mandi dan solat walaupun darah masih keluar.

Allahu A'lam.