...Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. An-Nur : 35
Saturday, August 28, 2010
Amalan Ketika Haid di Bulan Puasa
Assalamualaikum ustazah,
Selamat menjalani ibadah puasa dan ibadah lain sepanjang bulan ramadan.
Saya ingin bertanya kepada ustazah tentang amalan bagi wanita yang kedatangan haid. Apakah amalan yang dapat dilakukan pada bulan mulia ini agar tidak ketinggalan meraih barakah dan rahmah dari Allah.
Mohon ustazah menjelaskannya.
Terima kasih.
JAWAPAN:
Wa'alaikumus-salam wr.wb.
Wanita haid hanya dilarang solat, puasa, tilawah al-Qurandan menyentuhnya, iktikaf dan bersetubuh dengan suami.
Selain itu tidak dilarang.
Jadi dari segi ibadah khusus mereka boleh berzikir, beristighfar, berselawat dan seumpamanya. Selain itu terdapat banyak ruang-ruang kebajikan yang boleh dilakukan seperti bersedekah, ziarah orang sakit, berdakwah, hubung silatul rahim, tulung orang susah dan lain-lain. Paling baik sekali ialah sediakan makanan untuk orang berbuka puasa, pahalanya adalah sama dengan orang berpuasa. Bayangkan haid 7 hari, setiap hari sediakan untuk 3 org berbuka, maka anda dapat pahala puasa 21 hari. Untung tak? Perlu diingat, makanan yg disediakan adalah sekurang2nya sebiji kurma dan sekelas airpun sudah memadai.
AllahuA'lam.
Monday, July 5, 2010
Rasuah untuk dapatkan hak
assalamualaikum ustazah,
saya ada sedikt kemusykilan....saya telah memohon untuk masuk 'tender' kantin sebuah sekolah.
untuk berjaya, saya dikehendaki 'membayar' sejumlah wang kepada pihak yang berkenaan.
kalau tak bayar, memang tak dapat sedangkan kita nak mencari rezeki halal. Jadi soalannya:
1. adakah dikira saya memberi rasuah walaupun saya tidak bermaksud demikian? (saya terpaksa bagi sebab mereka yang meminta)
2. adakah segala wang yang diterima dari urusan jualan kantin ini halal, memandangkan keadaan ini berlaku di luar kuasa kita?
terima kasih dan jazakillah..
wassalam.
Jawapan:
Wa’alaikumus-salam wr.wb.
Perlu diingatkan bahawa mengamalkan rasuah dengan cara begitu adalah haram. Seseorang yang mempunyai jawatan yang mana dia telah dibayar gaji berdasarkan jawatannya itu, tidak halal menggunakan jawatan itu utk mengambil sesuatu pemberian dari orang ramai berhubung dengan sesuatu pekerjaan yang dilakukan. Rasulullah s.a.w. pernah melantik seseorang utk memungut harta zakat dari satu qabilah. bila dia pulang dari melaksanakan tugasnya, dia menyerahkan sebahagian harta yang dipungutnya kepada Nabi s.a.w. dan memegang sebahagian yang lain sambil berkata: ini hadiah mereka untuk saya. baginda sangat marah dan bersabda (maksudnya): "adakah jika kamu duduk di rumah ayah kamu dan rumah emak kamu, hadiah ini akan datang kepadamu?" (riwayat Abu Daud)
Dan jika kita memberi atas pilihan kita sendiri, bererti kita menyokongnya dan sama-sama menanggung dosa.
Dalam kes puan ini, saya bawakan satu peristiwa yg berlaku pada zaman Nabi s.a.w. terdapat satu golongan merengek-rengek meminta habuan daripada harta sedekah/zakat sedangkan mereka tidak termasuk golongan yang berhak menerimanya. akhirnya Rasulullah s.a.w. terpaksa memberinya. Setelah mereka keluar, baginda bersabda maksudnya: "mereka keluar dari tempatku dengan mengelek sedekah. Sesungguhnya yang mereka kelek itu adalah api neraka untuk mereka!" Umar bertanya: "kenapa Rasulullah berikan kepada mereka sedangkan Rasulullah tahu itu adalah api neraka?". Baginda menjawab maksudnya: "apa yang dapat aku lakukan? mereka terus meminta sedangkan Allah s.w.t. tidak mahu aku jadi seorang yang bakhil!" (riwayat Abu Ya'la dan Ahmad)
Berdasarkan hadis ini, Yusuf al-Qardhawi di dalam kitabnya halal dan haram di dalam islam telah menulis: sekiranya seseorang itu mempunyai hak ke atas sesuatu, dan dia tidak dapat mengambil hak tersebut tanpa memberi rasuah, atau dia dizalimi, dan dia tidak dapat mengelak kezaliman itu kecuali dengan rasuah, maka afdhal baginya bersabar sehingga Allah memudahkan jalan yang lebih baik untuk mengelak kezaliman itu atau mengambil haknya.
Jika dia memberi rasuah atas alasan itu, maka dosa ke atas pihak yang mengambil tetapi yang memberi tidak berdosa selama mana dia telah mencuba dengan berbagai-bagai cara tetapi tidak berjaya dan selagimana dengan memberi rasuah itu tidak menyebabkan dia menzalimi pihak lain atau mengambil sesuatu yang dia tidak berhak mendapatnya.
Harap penjelasan ini membantu puan untuk membuat keputusan. AllahuA'lam.
Wednesday, April 7, 2010
Amalan Harian
assalamulaikum ustazah,
Saya ingin bertanya beberapa soalan:
1. selain surah al-mulk surah apa lagi untuk amalan harian.
2. dalam amalan qiam solat apa yang disunatkan buat?
3. apa pendapat yang kuat mengenai solat sunat tasbih & waktunya?
Jawapan:
Wa'alaikumus-salam wr.wb.
1. Surah/ayat yang elok dijadikan amalan harian:
a. Al-Ikhlas, pahalanya menyamai 1/3 al-Quran (al-Bukhari)
b. Al-Falaq dan an-Nas, pelindung gannguan makhluk jahat (at-Tirmizi)…
c. Surah al-Baqarah, supaya rumah tidak jadi seperti kubur dan menghalau syaitan (Muslim)
d. Surah al-Kahfi, khususnya malam/hari jumaat terpelihara dari fitnah dajjal (Muslim)
e. Lain-lain surah, setiap satu huruf dapat 10 kebajikan (at-Tirmizi)
2. Asasnya solat tahajjud dan witir. Tiada halangan nak buat solat hajat, istikharah dan lain-lain.
3. Jawapannya sila lihat arkib, Sunday, October 11, 2009
Wednesday, March 24, 2010
BERKAHWIN DENGAN PEREMPUAN YANG BERZINA
Salam Ustazah,
Hari ini banyaK berlaku apabila seseorang didapati mengandung, dan pihak keluarga dapat tahu anaknya pregnant luar nikah, cepat cepat dikahwinkan untuk menutup malu.
Apa hukumnya perkahwinan itu? Sah atau tidak?
Mohon penjelasan. Terima kasih.
Jawapan:
Salam'alaik.
Fuqahak berbeza pendapat mengenai persoalan ini berdasarkan perbezaan kefahaman dan pentafsiran firman Allah yang bermaksud: “Lelaki yang berzina tidak berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula tidak berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. (An-Nur:3)
Apakah ‘tidak berkahwin’ di dalam ayat di atas bermaksud aqad nikah atau maksudnya bersetubuh? Menurut Ibn Abbas r.a. sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Kathir bahawa maksud berkahwin atau bernikah di dalam ayat tersebut ialah bersetubuh. Ertinya seorang lelaki tidak melakukan persetubuhan diluar nikah atau berzina kecuali dengan wanita yang rela melakukannya. Jadi kedua-duanya berzina, atau dengan perempuan musyrik yang memang tidak mengganggap zina itu haram! (Mukhtasor Tafsir Ibn Kathir, jld 2, m.s. 582)
Pandangan-pandangan yang diberi oleh fuqahak mengenai hukum berkahwin dengan perempuan hamil hasil zina adalah seperti berikut:
Mazhab Hanafi:
Imamnya Abu Hanifah dan muridnya Muhammad berkata wanita hamil hasil zina harus dinikahi kerana kandungan itu tidak sabit nasab kepada sesiapa. Tetapi tidak boleh disetubuhi sehinggalah dia melahirkan kandungannya berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, janganlah dia menyiram airnya ke atas tanaman orang lain!”
Selain itu, haram bersetubuh adalah kerana sebab mendatang seperti haram bersetubuh masa haid dan nifas. Maka ia tidak menghalang sahnya aqad.
Menurut Abu Yusuf, seorang murid Imam Abu Hanifah juga, mengahwini wanita yang hamil hasil zina tidak sah kerana satu daripada tujuan perkahwinan ialah jimak. Jika jimak tidak harus, maka tiada guna pernikahan.
Walaubagaimanapun, tiada perselisihan di kalangan ulamak Mazhab Hanafi tentang keharusan wanita hamil dikahwini oleh lelaki yang berzina dengannya, yang menyebabkan kehamilan itu dan harus baginya melakukan jimak sebelum bersalin dan dia (perempuan itu) berhak mendapat nafkah. (Al-Fatawa al-Hindiyyah, jld 1, m.s.280)
Mazhab Maliki
Bila seorang wanita berzina, tidak halal bagi orang yang mengetahui menikahinya kecuali setelah tamat idahnya; iaitu jika dia hamil, idahnya ialah melahirkan kandungannya. Jika tidak hamil, idahnya adalah tiga kali suci. (Al-Mughni, jil 6, m.s.601 dan al-Muhalla jil 10, m.s.28)
Mazhab Syafi’ei
Apabila seorang wanita berzina, tidak wajib ke atasnya beridah sama ada ia hamil atau tidak. Sekiranya dia tidak hamil, harus bagi lelaki yang berzina dengannya atau lelaki lain bernikah dengannya. Sekiranya dia hamil, maka makruh menikahinya sebelum dia bersalin. (Al-Majmuk, jil 15, m.s.398)
Mazhab Hanbali
Menurut fuqahak Mazhab Hanbali, tidak harus menikahi wanita yang telah berzina kecuali dengan dua syarat, iaitu dia telah bertaubat dan telah habis idahnya. Jika mengandung. Maka idahnya ialah bersalin. Jika tidak mengandung, maka idahnya tiga kali suci sama ada orang yang ingin menikahinya itu lelaki yang telah berzina dengannya atau lelaki lain.
Antara dalil yang menjadi sandaran pendapat mereka ialah:
1. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, jangan dia menyiram airnya ke atas tanaman orang lain!”. Maksud Hadis ini menyetubuhi wanita yang sedang hamil.
2. Diriwayatkan daripada Sa’eid bin al-Musayyab, seorang lelaki telah menikahi seorang perempuan. Apabila dia menyetubuhinya didapati perempuan itu sedang hamil. Dia mengadu kepada Nabi s.a.w. Maka baginda memisahkan mereka berdua. Perempuan itu diberikan maskahwinnya dan dikenakan hukuman sebata 100 kali. ((Al-Mughni, jil 6, m.s.601)
Mengenai syarat taubat, ia merupakan pandangan Mazhab Hanbali sahaja. Mazhab-mazhab lain tidak mensyaratkan taubat.
Fuqahak yang tidak mensyaratkan taubat berpegang kepada apa yang berlaku pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab di mana seorang lelaki dan seorang perempuan sama-sama dikenakan hukuman hudud, 100 kali sebatan. Umar berusaha untuk menyatukan keduanya tetapi lelaki itu enggan. Dan diriwayatkan juga bahawa seorang lelaki bertanya Ibn Abbas r.a. tentang hukum menikahi perempuan yang berzina. Beliau menjawab: “Harus. Bandingkan sekiranya dia mencuri buah kurma, kemudian dia membelinya. Tidakkah itu harus?”
Antara dalil Mazhab Hanbali ialah:
1. Firman Allah di dalam ayat 3 surah an-Nur yang telah disebut di atas. Dengan jelas dinyatakan bahawa pernikahan itu dilarang ke atas orang yang beriman. Jadi sebelum bertaubat, dia adalah seorang pezina. Tetapi jika telah bertaubat, hilanglah sifat itu sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Orang yang bertaubat dari dosa seperti orang yang tiada dosa”.
2. Abu Daud meriwayatkan bahawa Mirthad bin Abi Mirthad al-Ghanawi meminta izin dengan Nabi s.a.w. untuk menikahi seorang pelacur di Mekah bernama ‘Unaq. Nabi s.a.w. membacakan kepada Mirthad ayat ini (An-Nur:3) kemudian bersabda: “Jangan nikahinya!”
Saya secara peribadi cenderung kepada pendapat Mazhab Hanbali. Namun pihak yang lebih berkuasa seperti para mufti dan qadhi perlu berbincang dengan serius dan mengeluarkan fatwa yang benar-benar mantap bagi menangani gejala zina yang amat parah sekarang ini.
ALLAHU A'LAM.
Tuesday, February 23, 2010
Masuk Masjid Ketika Haid
Asssalamualaikum Ustazah,
Adakah dibolehkankan syarak untuk wanita dalam haid duduk di mesjid bagi tujuan mendengar kuliah maghrib atau ceramah jika tidak ditakuti berlaku kebocoran/darah menitik.
Jawapan:
Wa'alaikumus-salam wr.wb
Boleh masuk dan lalu jika perlu seperti mengambil barang atau masjid merupakan laluan baginya tetapi tidak boleh duduk.
Ini merupakan pandangan majoriti ulamak. Antara dalil yang menjadi sandaran ialah:
1. Rasulullah s.a.w. berkata kepada Aisyah r.a. (maksudnya): "Tolong ambil kain saya di dalam masjid!" Aisyah menjawab: "Saya sedang haid". Baginda bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya haidmu bukan di tanganmu". Riwayat Muslim, Ibn Majah, Baihaqiy.
2. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Tidak dihalalkan masjid untuk orang haid dan junub". Riwayat Abu Daud.
3. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya masjid tidak dihalalkan untuk orang haid dan junub". Riwayat Ibn Majah.
Berdasarkan Hadis-hadis di atas, jelas bahawa 'illah atau sebab larangan adalah hadas, bukan sebab takut bocor atau menitik kerana kalau sebabnya takut bocor atau menitik, orang yang berjunub tidak dilarang.
Monday, February 8, 2010
Masalah Mandi Wajib
Assalamualaikum.
Ustazah,
Semoga ustazah di dalam keadaan sihat sejahtera.
Saya ada persoalan tentang mandi junub. Baru-baru ini seorang sahabat memberitahu dia ada menonton siaran di TV 9, Tanyalah Ustaz. Ustaz yang bersiaran mengatakan sudah perlu mandi wajib sekiranya kemaluan suami bertemu kemaluan isteri tanpa terjadinya "penetration". Saya keliru kerana sebelum ini apa yang saya faham mandi junub wajib apabila berlaku persetubuhan.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Wa'alaikumus-salam wr.wb.
Imam Muslim meriwayatkan satu Hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Dan apabila khitan menyentuh khitan, maka wajib mandi"
Syaikh Ibn Hajar di dalam kitab Fath al-Bari berkata sentuh di sini adalah sindiran kepada persetubuhan kerana sentuh sahaja tanpa memasukkan zakar ke dalam kemaluan ijmak ulamak mengatakan tidak wajib mandi berdasarkan beberapa Hadis sahih yang lain. Bila dimasukkan, wajib mandi walaupun tidak keluar mani.
Allahu A'lam.
Monday, January 18, 2010
PERIHAL NAFKAH DAN HUBUNGAN SUAMI ISTERI
Saya nak tanya ustazah beberapa persoalan :-
1. Apabila seorang suami sudah punya niat untuk melepaskan isteri dia apa hukumnya kalau dia masih bersama ( bersetubuh dgn isteri dia )
2. Kalau suami tak langsung beri nafkah pada isteri dia sama ada tempat tinggal dengan kata lain isteri menanggung diri sendiri ada kah berdosa isteri tersebut keluar tanpa izin suaminya? Perlukah isteri memaklumkan kepada suami urusan perniagaannya? .
3. Kalau bekas suami tak bayar nafkah anak2 selama beberapa lama adakah ia boleh di kira sebagai nafkah yang tertangguh. Boleh kah bekas isteri tuntut nafkah yang tertangguh itu . Apa kedudukan bekas suami yang tak bayar nafkah ini .
Jawapan:
1. niat nak cerai tidak dianggap cerai, jadi mereka masih halal sebagai suami isteri selagi tak lafaz cerai.
2. pada pendapat saya, isteri wajib taat, kalau tidak, suami akan jadikan itu alasan kenapa dia tak bagi nafkah. perniagaan jika libatkan wang atau modal suami, atau diluar rumah hingga menjejaskan hak suami wajib bagi tahu. tetapi kalau tidak melibatkan harta dia dan tidak keluar rumah seperti melabur atau buat urusan di rumah serta tidak menjejaskan tanggungjawab terhadap suami, tak wajib bagi tau.
3. kalau dia tak bayar dengan senagaja sedangkan dia mampu, maka dia berdosa dan memang dikira hutang yang boleh dituntut, tapi kalau pihak isteri dan anak-anak maafkan disebabkan si ayah tidak berkemampuan maka terlepaslah bebanannya.
Allahu A'lam.