Thursday, January 29, 2015

Selawat Ke Atas Nabi S.A.W.

Soalan:

Salam Ustazah,

Anak saudara saya bertanya kenapa hanya Nabi Muhamad disebut sebagai Rasulullah s.a.w tetapi nabi lain hanya a.s.

Diharap ustazah dapat memberi penjelasan dan jika ada beserta ayat-ayat Al-Quran.

Sekian, terimakasih.


Jawapan:

Wassalam.

Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat  kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Al-Ahzab:56)

Menurut al-Qurtubi, Allah berselawat ke atas Nabi bermaksud Allah melimpahkan rahmat dan keredhaanNya ke atas baginda.
Malaikat berselawat bermaksud berdoa dan memohon keampunan untuk baginda.
Umat berselawat maksudnya berdoa, memuliakan dan membesarkannya.

Dan firmanNya “wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya” membawa maksud Allah perintahkan hamba-hambaNya agar berselawat ke atas NabiNya, Muhammad s.a.w., tidak kepada para nabi yang lain sebagai satu penghormatan kepada baginda dan tanda kemuliaannya.
Justeru, tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa selawat ke atas Nabi Muhammad  adalah fardhu sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Az-Zamakhsyari ditanya, selawat ke atas Nabi wajib atau sunat? Beliau menjawab: “Bukan sunat. Bahkan wajib!”

Namun ulamak berbeza pendapat tentang keadaan dan waktu bilakah selawat itu wajib.
Pertama – ada yang berpendapat wajib setiap kali nama baginda disebut. Ini berdasarkan Hadis “Sesiapa yang namaku disebut di sisinya, maka dia tidak berselawat ke atasku dia masuk neraka lalu Allah menjauhkannya.” Dan diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang ayat ini (al-Ahzab:56). Maka baginda menjawab: “Ini daripada ilmu Allah yang tersimpan. Kalaulah kamu tidak bertanya, aku tidak akan memberitahunya. Sesungguhnya Allah Ta’ala mewakilkan untukku dua malaikat. Apabila aku disebut di sisi seseorang muslim dan diapun berselawat ke atasku, dua malaikat itu terus berkata: “Allah mengampunimu”. Lantas Allah Ta’ala serta para malaikatnya berkata sebagai menyahut doa dua malaikat itu: “Aamiin”. Dan jika aku disebut di sisi seseorang muslim tetapi dia tidak berselawat ke atasku, dua malaikat itu terus berkata: “Allah tidak akan mengampunimu!”. Lantas Allah Ta’ala dan para malaikatNya berkata sebagai menyahut doa dua malaikat itu: “Aamiin”.

Kedua – ada yang berpendapat wajib satu kali sahaja dalam satu majlis walaupun nama baginda disebut berulangkali.

Kesimpulannya, Allah perintahkan berselawat kepada Nabi s.a.w. secara khusus. Jadi hukumnya wajib.
Di samping itu terdapat hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan berselawat ke atas nabi s.a.w. Antaranya baginda bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berselawat ke atasku satu selawat, Allah selawat ke atasnya dengan satu selawat itu sepuluh kali.”
Sahl bin Abdullah berkata: “Selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w. merupakan ibadah yang paling afdhal kerana Allah sendiri berselawat ke atasnya serta para malaikatNya, kemudian Dia perintahkan orang-orang beriman supaya berselawat. Padahal ibadah-lain tidak begitu.”


(Jawapan berdasarkan al-Jami’ li-Ahkam al-Quran oleh al-Qurtubi rahimahullah. Wafat 671 hijriah)

Sunday, January 11, 2015

Jawapan Istikharah

Soalan:

Ustazah, macaman nak tahu istikharah kita berjawab? Syukran ya Ustazah kerana sudi jawab soalan saya.

Jawapan:

Istikharah merupakan satu sunnah yang diajar oleh Nabi kita s.a.w.
Jabir r.a. berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w. mengajar kami istikharah dalam semua perkara sebagaimana baginda mengajar kami  surah daripada al-Quran." Hadis Riwayat al-Bukhari.
Istikharah bermaksud memohon kebaikan. Melakukan solat istikharah bermakna kita memohon kepada Allah supaya memilih yang baik untuk kita dan menyerahkan urusan kita kepada ilmuNya serta kebijaksanaanNya sepenuhnya.

Terdapat beberapa tanda yang nyata dan tidak nyata tentang natijah istikharah atau jawapan selepas istikharah.

Antara alamat yang nyata ialah perasaan lapang dada pada kebaikan. Maksud lapang dada di sini ialah kita rasa cenderung kepada sesuatu tanpa didorong oleh kepentingan diri atau hawa nafsu dan berasa tenang dengannya. Sebab itu ulamak berkata, sebelum menunaikan solat istikharah kita mesti kosongkan hati, serah kepada Allah semata-mata dan berniat untuk melakukan apa yang ditunjukkan sama ada perasaan lapang atau sebaliknya. Inilah tanda nyata yang disepakati oleh jumhur ulamak.
Lawan kepada lapang dada ialah perasaan sempit dan menolak jika perkara itu tidak baik untuk kita. Datangnya perasaan sempit dada dan ingin menolak selepas solat istikharah merupakan satu jawapan, lebih-lebih lagi sekiranya sebelum istikharah kita rasa cenderung kepada perkara itu. Ini bersesuaian dengan doa yang kita baca, antara lainnya kita sebut: "elakkannya daripadaku dan elakkan aku daripadanya. Dan taqdirkanlah kebaikan kepadaku di mana jua dan jadikanlah aku redha dengannya". Jadi bila kita rasa tidak mahu, itu bermakna Allah hendak mengelakkannya daripada kita.

Ada juga yang berpendapat bahawa tidak syarat lahirnya perasaan lapang dada. Malah, selepas istikharah boleh laksanakan apa yang kita rasa baik tanpa menunggu perasaan lapang dada atau sebaliknya.

Dengan itu, jawapan istikharah tidak semestinya datang berupa mimpi. Mungkin kadang-kadang berlaku mimpi. Untuk mentakbir mimpi perlu kepada orang yang mempunyai kebolehan. Ia membantu dalam memberikan jawapan yang betul. Sesungguhnya mimpi yang baik itu dari Allah sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong Hadis bermaksud: "Tidak tinggal lagi daripada kenabian kecuali mubasysyirat", mereka bertanya: "apakah mubasysyirat itu?" Baginda menjawab: "mimpi yang baik." Riwayat al-Bukhari. Namun begitu, seperti yang dinyatakan tidak semestinya semua jawapan melalui mimpi.

Maka dapat disimpulkan, selepas istikharah berlaku salah satu daripada tiga keadaan:
Pertama – mengalami perasaan lapang dada dan tenang atau sebaliknya.
Kedua – tidak ada ketentuan dan tidak mengetahui sama ada rasa lapang atau sebaliknya. Keadaan seperti ini, elok diulang istikharah sehingga jelas perasaannya.
Ketiga – masih tiada kepastian, tidak mengetahui baik atau tidak. Ketika itu, dia boleh pilih salah satu daripada dua perkara: teruskan atau tidak teruskan. Seeloknya sebelum membuat keputusan sama ada hendak teruskan atau tidak, berbincang dan minta pandangan orang yang berilmu dan berpengalaman. Apa yang penting, jaga niat. Seboleh-bolehnya kosongkan hati dari sebarang perasaan sebelum istikharah dan serahkan bulat-bulat kepada Allah.




Wednesday, January 7, 2015

Penaklukan Kostantin

Soalan:
Ustazah.. Saya ada persoalan nak tanya.. Berkenaan dengan hadis Rasulullah semasa perang khandaq yang "kota konstantinopel akan ditawan semula, dengan rajanya sebaik-baik raja, tenteranya sebaik-baik tentera."
Tadi, kawan saya ada cakap yang hadis tu bukan merujuk kepada al fateh tetapi imam mahdi..
Tapi, seperti yang saya tahu dan belajar sebelum ni, hadis itu merujuk kepada al fateh..
Dia mengaitkan isu hadia ini dengan keluarnya dajjal..
Mohon pencerahan ustazah..
Jazakillah..

Jawapan:
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Demi sesungguhnya akan ditakluk kostantin. Maka sebaik-baik amir adalah amirnya, dan sebaik-baik tentera adalah tentera itu."

Ahli Hadis berselisih pendapat tentang Hadis ini, sama ada sahih atau tidak. Sekiranya Hadis ini sahih, kita tidak boleh putuskan bahawa maksud penaklukan itu ialah apa yang telah dilakukan oleh tentera pimpinan Muhammad al-Fateh pada 29 Mac 1453. Ada pendapat yang mengatakan bahawa penaklukan kostantin yang dimaksudkan di dalam hadis-hadis yang berkaitan dengannya ialah yang akan berlaku pada akhir zaman sebelum keluar Dajjal.

Terdapat Hadis sahih tentang penaklukan kostantin diriwayatkan oleh Muslim. Namun di dalam hadis itu tidak ada pujian kepada pemimpin dan tenteranya.

Kesimpulannya, ada perbezaan pendapat dari segi pentafsiran serta kesahihan Hadis riwayat Ahmad itu.

Saturday, January 3, 2015

Kuda Rasulullah s.a.w.

 Soalan:

Boleh ustazah jelaskan nama-nama kuda Rasulullah s.a.w.? jazakillah.

Jawapan:

Para perawi berselisih pendapat tentang kuda Rasulullah s.a.w. bilangan, nama dan warnanya. Namun yang paling masyhur dan disepakati adalah enam ekor.
1.     Sakb (  السكب  ). Ia bermakna ringan, pantas berlari
2.     Murtajiz ( المرتجز ). Maksudnya guruh. Dinamakan demikian kerana suaranya nyaring dan sedap
3.     Lizaz ( لزاز  ), iaitu kuat dan mantap tubuh badannya
4.     Luhaif ( اللحيف ). Yang mempunyai ekor panjang seolah-olah ekor itu menutupi bumi,
5.     Sabhah (  سبحة ). Maksudnya kelihatan cantik ketika memanjangkan kedua kaki depan sewaktu berlari.
6.     Dzirab (  الظرب ). Bukit kecil. Dinamakan demikian kerana kekuatannya seolah-olah menyamai bukit kecil.


Enam ini disepakati. Terdapat sembilan nama-nama kuda baginda yang tidak disepakati, iaitu: dzul-'uqqal, syahaa', dzul-limmah, sirhan, murtajil, adham, ward, ya'sub dan bahr.
(ذوالعقال) (الشحاء) (ذواللمة) (السرحان) (المرتجل) (الأدهم) (الورد) (اليعسوب) (البحر)

Monday, November 17, 2014

Hukum Menghitamkan Rambut

Soalan:
Salam Ustazah, saya nak tahu apa hukum mewarnakan rambut dengan inai yang berwarna hitam? Terima kasih, Ustazah.

Jawapan:
Salam.
Umumnya mewarnakan rambut adalah harus berdasarkan Hadis sahih daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya:
“Pada hari pembukaan Mekah, Abu Qahafah, ayah kepada Abu Bakar r.a. dibawa berjumpa Nabi s.a.w. sedang rambut dan janggutnya putih seperti thaghamah. Maka baginda bersabda: “Ubahlah uban ini dengan sesuatu, tetapi jauhi warna hitam.” Riwayat Muslim.
Hadis di atas jelas menunjukkan Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya diwarnakan rambut yang putih disebabkan uban dengan apa-apa warna selain daripada hitam.
Penggunaan warna hitam adalah haram di sisi sebahagian ulamak, manakala sebahagian yang lain mengatakan makruh.
Ulamak yang mengatakan haram, adalah merujuk kepada sebab kemungkinan wujud penipuan tentang usia yang sebenarnya.
Kata Imam an-Nawawi: Mazhab kita (Syafiei), disunatkan mewarnakan uban bagi lelaki dan perempuan dengan warna kuning atau merah. Manakala warna hitam, terdapat dua pandangan, iaitu haram dan makruh.
Daripada perbahasan-perbahasan yang dikemukakan dapat disimpulkan hukum wanita mewarnakan rambut uban dengan warna hitam adalah seperti berikut:
Wanita yang mempunyai suami harus menggunakan warna hitam sama ada untuk melindungi uban atau melindungi warna asal rambut. Ini dikira sebagai cara berhias supaya kelihatan cantik dan menarik di hadapan suami yang memang disunatkan dan digalakkan. Dalam keadaan ini tidak boleh dikatakan wujud penipuan kerana suami mengenali dan mengetahui keadaan serta usia isterinya yang sebenar.
Wanita yang tidak bersuami tidak harus menghitamkan rambutnya kerana kemungkinan orang yang akan masuk meminangnya akan terpedaya dan tertipu. Disangkanya masih muda tetapi sebenarnya telah berusia.


Tuesday, July 22, 2014

HAID DI BULAN RAMADAN

Soalan:

Salam ustazah maznah.

Apakah amalan2 yg boleh dilakukan oleh perempuan2 yang tidak boleh berpuasa kerana datang bulan supaya dapat juga memperoleh pahala2 sepertimana mereka yg berpuasa?
Jzzkhair:)










           
Jawapan:

Salam.

Perlu diketahui bahawa amalan yang dilarang ke atas wanita haid adalah solat, puasa, tawaf, jimak, tilawah dan sentuh mushaf. Selain daripada itu tidak dilarang. Oleh itu wanita haid berpeluang meraih peluang-peluang melakukan amal kebaikan yang tidak terkira banyaknya seperti bersedekah, menyediakan makanan berbuka puasa, menulung orang yang susah, berzikir, beristighfar, berselawat ke atas Nabi s.a.w., menuntut ilmu dengan membaca atau menghadiri kuliah, berbakti kepada ibu bapa dan orang tua dan lain-lain. Semua itu tidak kurang pahala seperti yang diberikan kepada orang yang berpuasa yang melakukan amalan yang sama. Menyediakan makanan berbuka puasa, akan mendapat pahala orang berpuasa.

Harus diingat juga bahawa, tidak berpuasa bagi wanita haid itu bukan satu dosa kerana Allah yang mengharuskannya. Dan ini tidak bermakna peluang untuknya meraih pahala telah tertutup.