Friday, April 3, 2015

Berdakwah tidak perlu menyampai?

Soalan:

assalamualaikum wbt ustzh
sy nak mintak tolong sebab ada akhawat mintak saya beri pendapat..jadi saya rasa perlu rujuk pada yang lebih pakar dalam bidang ni. harap ustzh dapat bantu.
kalau ustzh ada masa, boleh x nak mintak ustzh terangkan sikit tentang menjadi daie. Ada yang berkata keutamaan kita adalah menjadi muslim dan kena balance.
tapi saya kurang faham tentang ada pilihan untuk tidak buat dakwah dan cukup sekadar menunjukkan qudwah dengan menjadi muslim yg balance tapi ini juga dikira dakwah kan?
dan cukupkah tuntutan berdakwah seseorang sekadar melalui qudwah tanpa menyampaikan dengan perkataan?

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wrwb.

Pertama saya akan cuba hurai makna dakwah

Dari segi bahasa dakwah yang mana akar katanya daripada huruf dal, ain dan waw bermakna menjadikan seseorang condong atau cederong kepada kita dengan suara atau kata-kata daripada kita (mu'jam maqayis al-lughah)

Perkataan dakwah di dalam al-Quran membawa beberapa maksud:
1.    Meminta atau memohon (Al-Furqan:14)
2.    Seruan (Al-Kahf:52)
3.    Bertanya (Al-Baqarah:69)
4.    Menggalak atau menggesa (Ghafir:41)
5.    Meminta tolong (Al-An'am: 40)
6.    Menyuruh atau memerintah (Al-Hadid:8)
7.    Doa (Al-A'raf:55)

Kesemua makna di atas merujuk kepada satu maksud, iaitu meminta atau memohon. Seruan, minta supaya datang. Tanya atau soal, minta maklumat. Galak atau gesa, minta supaya seseorang melakukan apa yang dia tidak suka. Minta tolong, mohon supaya dihilangkan kemudaratan yang dialami oleh orang yang meminta. Perintah, minta supaya dilaksanakan sesuatu perkara. Doa, minta daripada Allah sesuatu hajat.

Dakwah dari segi istilah, para salaf tidak begitu menekankan tentang pentakrifan dakwah secara jelas. Apa yang difahami adalah berdasarkan petikan-petikan daripada percakapan mereka sahaja.
Ada yang menganggap bahawa takrif dakwah adalah apa yang diungkapkan oleh sahabat yang bernama Rab'ei bin 'Aamir r.a. di hadapan Rustum panglima angkatan tentera Farsi dalam peperangan al-Qadisiah: Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah tuhan manusia, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.
Ahmad ar-Rasyid, penulis buku al-Muntalaq berkata menurut Ibn Taimiah: Dakwah kepada Allah ialah menyeru ke arah iman kepadaNya dan kepada apa yang dibawa oleh rasul-rasulNya, dengan membenarkan apa yang disampaikan dan mentaati apa yang diperintahkan.
Ada juga di kalangan ulamak kini yang mengemukakan takrif dakwah dengan berkata:

ü Dakwah ialah mengenalkan manusia akan Tuhan mereka, nama-namaNya dan sifat-sifatNya, serta cara bagaimana untuk sampai kepadaNya dan apa yang mereka akan perolehi jika mereka sampai kepadaNya.
ü Menggalakkan manusia melakukan kebaikan, mengikuti petunjuk Tuhan, menyuruh makruf dan mencegah mungkar supaya mereka mencapai kejayaan dengan memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat
ü Menyampaikan Islam kepada manusia, mengajar mereka ajarannya dan melaksanakannya dalam kehidupan.

Melihat kepada takrif dari sudut bahasa sudah dinyatakan dengan jelas bahawa dakwah itu dengan suara atau kata-kata. Dan itulah yang dilakukan oleh rasul-rasul alaihimus-solatu was-salam termasuk Nabi Muhammad s.a.w.
Sebagai perbandingan, katakan kita hendak buat kenduri. Kita pasang khemah, susun kerusi, meja dan hidang makanan di atas meja, adakah orang akan berduyun-duyun datang bila mereka nampak makanan terhidang tanpa kita mengundang mereka? Tentu tidak. Begitu jugalah halnya dengan dakwah kepada Islam. Sekadar menunjukkan teladan tidak bermakna kita telah mengajak mereka kepada Islam.
Al-Quran memerintahkan Nabi s.a.w. serta umatnya agar berdakwah dengan menyampaikan. "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (An-Nahl:125)
Allah Ta'ala juga menceritakan semua Rasul-rasul mengajak dan menyeru kaumnya agar menyembah Allah Yang Esa. Mereka bukan setakat menyembah supaya dilihat oleh kaumnya. "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.” (An-Nahl:36)
Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w. Malah baginda bukan hanya menyampai, sebaliknya di samping menyampai baginda mentazkiah dan mengajar. “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumu’ah:2)
Perhatikan ayat berikut, Allah memuji orang yang menyampaikan dakwah sebagai orang yang paling baik kata-katanya. “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Fussilat:33)

Kesimpulannya, teladan yang baik bukan dakwah. Tetapi ia merupakan pra syarat untuk berdakwah, kewajipan pendakwah agar memperbaiki diri, menjadi contoh kepada mad’unya dalam melakukan apa yang didakwah atau yang diserukannya. “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al-Baqarah:44) Allahu A’lam.










Sunday, March 29, 2015

Motivasi Menghafal al-Quran

Soalan:

Salam ustazah, ana nak minta nasihat atau tips bagaimana nak memberi motivasi dan dorongan kepada anak usrah untuk menghafal al-Quran sebab dalam syllabus usrah kita kena hafal ayat-ayat tertentu. Tapi di kalangan anak-anak usrah, termasuk diri ana sendiri, rasa macam susah sangat nak hafal. Jzkl

Jawapan:

Wassalam. Bagi diri ana secara peribadi, tiga perkara yang menjadi dorongan untuk menghafal al-Quran sedaya mampu.

Pertama: Dengan mentadabur dan memerhatikan firman Allah yang bermaksud: Dan sesungguhnya Al-Quran adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. (192) Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. (193) Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (194) (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata. (195) – Surah 26 Asy-Syu’araa’
Perhatikan ayat di atas “Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu”! jadi al-Quran tempatnya di dalam hati. Bukan hanya tersimpan di dalam mushaf. Jibril tidak bawa al-Quran dalam bentuk lembaran-lembaran kertas, tetapi dibawa turun ke dalam hati Nabi s.a.w. Maka wajarlah kita berusaha untuk memasukkannya ke dalam hati kita.
Bagaimana caranya? Tak lain kecuali dengan berusaha menghafal.

Kedua: Ingat ketika masuk kubur nanti. Saat kita mati, siapa yang menghantar kita dan memasukkan kita ke dalam kubur? Tak lain dan tak bukan, mereka adalah orang-orang yang paling kita sayang dan paling menyayangi kita. Namun selepas mereka letakkan kita di dalam lubang yang sempit itu, adakah mereka masuk bersama menemani kita? Tidak. Jadi siapakah yang akan menemi kita di tempat yang sempit dan sepi itu? Al-Quran. Kalau al-Quran tidak ada di dalam hati kita? Siapa lagi yang hendak kita harapkan?

Ketiga: Pahala membaca al-Quran sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu hasanah (kebaikan). Dan setiap satu hasanah itu 10 kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” Riwayat at-Tirmizi dan al-Baihaqi.
Bayangkan kalau kita al-Quran satu muka surat, satu juzuk atau seberapa banyak yang kita mampu dalam sehari, berapa banyak pahala yang Allah sediakan? Kemudian apabila kita mendorong anak usrah kita hafal, untuk hafal tentulah kena abaca berulang-ulang, kita mendapat pahala setiap huruf yang dia baca. Kemudian bila dia pula ada bawa usrah dia dorongkan anak usrah baca dan hafal al-Quran, kita akan dapat pahala lagi seperti yang dia dapat, tidak kurang walau sedikitpun. Ma Syaa Allah
Dan apabila pada saat ini kita mula beniat dan berazam dengan sungguh-sungguh untuk hafal al-Quran, lalu kita memulakan langkah menghafal satu ayat sehari atau sebagainya, kemudian ditakdirkan kita mati sebelum sempat menghabiskan hafalan, Allah catat kita telah menghafalnya.


Wednesday, March 11, 2015

Solat Sunat Selepas Aqad Nikah

Soalan:

Assalamualaikum, Ustazah.

Saya nak tanya, adakah terdapat solat sunat selepas aqad nikah? Kalau ada, itu dikira sunat apa dan nak niat macamana?

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wrwb.

Merujuk kepada kitab "Al-Fiqh Al-Islami WaAdillatuh" tulisan Dr Wahbah Az-Zuhaili, juzuk 7, disebut perkara-perkara yang disunatkan ketika aqad nikah serta dalil-dalilnya:
1.     Khutbah sebelum aqad dengan memuji Allah, melafazkan syahadah, berselawat ke atas Nabi s.a.w., mengingatkan supaya bertaqwa dan peringatan-peringatan lain yang berkaitan dengan pembinaan keluarga yang sejahtera dan diredhai Allah 'Azza wa Jalla.
2.     Berdoa untuk kedua-dua pengantin dengan doa yang diajar oleh Nabi s.a.w. seperti yang diriwayatkanoleh Abu Daud dan at-Tirmizi
"بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما فى خير"
3.     Aqad dilakukan pada petang jumaat. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi bersabda maksudnya: "Hendaklah kamu menikahkan pada waktu petang kerana ia lebih besar keberkatannya." Riwayat Abu Hafs. Maka disunatkan pada semulia-mulia hari demi mencari keberkatannya. Di samping itu pada akhir waktu siang hari jumaat merupakan waktu mustajab.
4.     Mengisytiharkan pernikahan dengan paluan kompang. Harus juga diiringi dengan nyanyian yang mengandungi maksud yang baik-baik
5.     Menyebut mas kahwin ketika aqad. Ini untuk mengelakkan perselisihan di kemudian hari serta menenangkan hati kedua-dua belah pihak
6.     Mengadakan walimah atau kenduri, menjamu kaum keluarga, sahabat handai serta kenalan-kenalan.
Kita dapati, tidak disebut tentang disunatkan solat selepas aqad.

Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya "Al-Mufassol fi Ahkam Al-Mar'ah wal-Baitil-Muslim fi Asy-Syari'ah Al-Islamiyyah" juzuk 6, menambah ke atas apa yang telah dinyatakan di atas, beberapa perkara lain yang disunatkan. Antaranya:
1.     Aqad dilakukan di masjid. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Isytiharkan pernikahan, lakukannya di masjid dan palulah kompang." Riwayat at-Tirmizi
2.     Dilakukan pada bulan Syawwal. Aisyah r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w. menikahiku pada bulan Syawwal, dan mula bersama denganku pada bulan Syawwal. Maka manakah di antara isteri-isteri baginda yang lebih beruntung daripadaku?" Riwayat Muslim
3.     Solat dua rakaat ketika kali pertama suami masuk ke bilik isteri dan berdua-duaan dengannya. Abu Soleh meriwayatkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi s.w.a. hadir ke majlis pernikahan Abi Sa'eid Maula kepada Abi Usid. Mereka berkata kepada Abi Sa'eid: "Apabila kamu masuk ke bilik isterimu, maka solatlah dua rakaat. Kemudian pegang kepalanya sambil berdoa: "Ya Allah, berkatilah untukku pada isteriku dan berkatilah untuk isteriku padaku. Kurniakan aku rezeki (anak) daripadanya dan kurniakan dia rezeki (anak) daripadaku." Kemudian selepas itu urusan kamu dengan isterimu!" 
Al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Apabila salah seorang daripada kamu memperolehi isteri, maka peganglah ubun-ubunnya seraya menyebut bismillah dan hendaklah dia berdoa: "Ya Allah, aku memohon daripadaMu kebaikannya dan kebaikan sifatnya, dan aku berlindung denganMu daripada kejahatannya dan kejahatan sifatnya."
4. Majlis aqad dihadiri oleh orang-orang yang baik dan bertaqwa supaya mereka turut menjadi saksi pernikahan itu.

Kalau kita perhatikan apa yang disebut oleh Dr Abdul Karim Zaidan, No 3 di atas dalam riwayat al-Baihaqi, Nabi s.a.w. hanya mengajar doa yang patut dibaca ketika memperoleh isteri tetapi tidak menganjurkan solat. Solat dianjurkan oleh sahabat r.a. Waktunya adalah ketika mula masuk bilik berduaan, bukan selepas aqad.

Niat solat adalah solat sunat sahaja atau solat hajat memohon keberkatan dalam perkahwinan yang baru terbina.


Allahu A'lam.

Saturday, January 31, 2015

Hukum Menerima Sumbangan Non Muslim Untuk Membina Masjid

Soalan:

Assalamualaikum ustazah.. sy ingin btnya.. apakah hukum jika seseorg bkn islam seperti seorng cina misalnya ingin memberi sumbangan berupa sejumlah wang utk pembinaan sebuah masjid misalnya.. dan sumber duit tersebut tidak diketahui sumbernya.. adkah kita boleh menerima duit tersebut? jika cina tersebut ingin memberikn wang sumbngan tersebut secara ikhlas.. apakah hukumnya? dan bagaimana pula jika kita tahu sumbernya dr yg tidak halal seperti dr hasil jualan prniagaan arak misalnya.. adkh kita boleh menerima duit tersebut? apakh hukumnya juga? sy hrp ustazah dpt memberikn pnjelasan.. terima kasih ustazah. syukran jazillan.

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Harus menerima sumabangan kewangan daripada orang bukan Islam untuk membina masjid, tidak kira sama ada harta itu daripada sumber yang halal atau haram kerana membangungkan masjid atau lain-lain kegunaan awam tidak disyaratkan daripada sumber yang halal. Menurut riwayat yang sahih, Nabi s.a.w. menerima hadiah daripada orang kafir seperti Caesar dan Cyrus.
Nabi s.a.w. juga pernah makan apa yang dihadiahkan  kepadanya oleh orang Yahudi, padahal orang Yahudi merupakan bangsa yang mengamalkan riba dan mereka tidak mengambil kira dari mana datangnya sumber pendapatan mereka. Jika kita harus menerima dan memiliki hadiah daripada mereka, maka tidak ada halangan untuk digunakan untuk membina masjis atau sebarang pembangunan untuk kepentingan umat Islam keseluruhannya.
Menurut Imam an-Nawawi di dalam kitab Syarh al-Muhazzab, Imam al-Ghazali berkata: "sekiranya seseorang mempunyai harta yang haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada hartanya yang haram itu, maka sekiranya harta itu milik seseorang yang tertentu, dia wajib mengembalikan harta itu kepada tuannya atau wakilnya. Sekiranya tuannya telah meninggal dunia, wajib diserahkan kepada warisnya. Tetapi sekiranya pemilik harta itu tidak diketahui dan tidak ada harapan untuk mencarinya, maka hendaklah dibelanjakan harta itu untuk kepentingan awam sepeti membina empangan, kawalan keselamatan, masjid-masjid, membaiki jalan ke Mekah dan lain-lain seumpamanya yang mana kegunaannya boleh dimanfaatkan bersama oleh umat Islam."
Allahu A'lam