Monday, August 13, 2018

HUKUM MEMETIK BUAH DI TEPI JALAN UNTUK DIMAKAN


Semasa menyampaikan kuliah hadis minggu lepas, saya ditanya tentang hukum memetik buah-buahan yang ditanam di tepi-tepi jalan atau di taman-taman awam. Ia bukan milik perseorangan. Sebaliknya milik kerajaan atau majlis perbandaran. Adakah halal atau haram? Kalau perlu meminta izin, kepada siapa harus diminta izin?

Saya menangguhkan jawapan sehingga saya menemui dalil sahih yang boleh dijadikan sandaran.

Berikut adalah jawapannya, in syaa Allah.

i.               Mengambil buah-buahan dari taman milik persendirian

Ulamak berbeza pendapat dari segi hukumnya; sebahagian mereka berkata harus dan sebahagian lain, iaitu jumhur berkata tidak harus bagi mereka yang tidak memerlukan. Adapun mereka yang memerlukan seperti dalam kelaparan, maka harus mengambilnya untuk dimakan sahaja.
Dalilnya adalah Rasulullah s.a.w. telah ditanya tentang mengambil buah-buahan yang tergantung dipokoknya. Baginda s.a.w. menjawab (maksudnya): “Sesiapa yang ditimpa keperluan (kelaparan), dia mengambilnya bukan untuk dibawa pulang tidak ada dosa ke atasnya. Sesiapa yang membawa keluar sesuatu daripadanya, maka dia hendaklah membayar dua kali gandanya  dan dikenakan hukuman. Dan sesiapa yang mencuri sesuatu daripadanya selepas ia dipetik dan diletakkan di tempat simpanannya, sekiranya nilai yang dicuri mencukupi kadarnya maka dipotong tangannya.” Riwayat Abu Daud dan dikategorikan sebagai hasan oleh al-Albani.

Dalil yang menunjukkan harus makan buah-buahan di kebun orang lain ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila seseorang kamu datang ke sebuah kebun, dan hendak makan (apa yang ada di dalam kebun itu), hendaklah dia memanggil pemilik kebun itu sebanyak tiga kali. Jika dia menjawab, (mintalah izin). Jika tidak, hendaklah dia makan. Dan apabila seseorang kamu bertemu dengan seekor unta dan dia hendak minum daripada susunya, maka hendaklah dia menyeru: wahai tuan unta, atau wahai pengembala unta. Jika dia menjawab (mintalah izin), jika tidak, hendaklah dia meminumnya.”

Kesimpulannya harus bagi mereka yang memerlukan mengambil buah-buahan dari kebun seseorang dengan beberapa syarat:
Pertama – tuan kebun tidak ada dan telah dipanggil untuk meminta izin sebanyak tiga kali tetapi tiada jawapan.
Kedua – ambil untuk makan sahaja. Tidak harus diambil untuk disimpan atau dibawa pulang.
Ada yang menambah syarat ketiga, iaitu kebun itu tidak berpagar. Jika berpagar tidak harus diambil kerana ia boleh disamakan ia diletakkan di tempat simpanannya.

ii.              Mengambil buah-buahan dari taman awam

Hukum mengambil buah-buahan, bunga-bunga atau apa saja hasil tanaman di tepi  jalan atau di tanah milik kerajaan adalah harus kerana ia milik semua orang. Tambahan pula ia ditanam dan dibiarkan tanpa pengawal, tanpa dipagar memberi maksud keizinan untuk semua.
Selain itu, terdapat hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w. membenarkan kita mengambil untuk makan buah dari kebun milik perseorangan, maka mengambil daripada kebun awam lebih harus lagi. At-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn Umar r.anhuma, Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Sesiapa yang memasuki satu kebun, makanlah daripadanya dan jangan ambil untuk dibawa pulang.”
Ibn Majah meriwayatkan dengan lafaz: “Sesiapa yang lalu di sebuah kebun, maka makanlah daripadanya dan jangan diambil untuk dibawa pulang.”

Allahu A’lam.

http://fatwa.islamweb.net

https://islamqa.info/ar

Wednesday, August 1, 2018

ADAKAH SAYA PERLU MENJADI AHLI PARTI POLITIK?


SOALAN:

Salam.

Ustazah, saya ingin meminta pandangan dari sudut hukum Islam, sejauh manakah keperluan kita melibatkan diri di dalam politik, tuntutan menjadi ahli sesebuah parti politik dan bergiat aktif di dalamnya?

Baru-baru seorang sahabat mengajak saya menjadi ahli sebuah parti politik yang terdapat di tanah air kita ni. Tetapi saya masih keliru dan teragak-agak untuk menerimanya.

Persoalan saya ialah mestikah setiap orang rakyat Malaysia menjadi ahli parti politik dan sejauh manakah keperluannya? Tidak cukupkah kita terlibat sebagai pengundi sahaja apabila diadakan pilihanraya?

Mohon penjelasan. Trm kasih.


JAWAPAN:

Wassalam.

Saya memilih untuk tidak menjawab secara langsung. Tetapi cuba mengemukakan beberapa perkara untuk renungan bersama.

Pertama – Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap dan menyeluruh. Ia merangkumi semua aspek kehidupan sama ada yang berkaitan dengan urusan peribadi, keluarga, masyarakat, negara, hubungan antara bangsa serta pengurusan alam sekitar. Rangkuman kesyumulan ini dinukilkan oleh Hasan al-Banna di dalam Usul 20nya seperti berikut:

“Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan.
Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan ummah.
Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan.
Kebudayaan dan undang - undang atau ilmu dan kehakiman.

Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan.
Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah.
Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sohih.”

Kedua – Islam diturunkan untuk membawa dan menjamin kesejahteraan, kedamaian, keadilan dan kesaksamaan kepada seluruh alam. “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa' 21:107)

Ketiga – menegakkan dan melaksanakan semua ajaran Islam serta hukum-hukumnya adalah wajib ke atas seluruh umat Islam tanpa kecuali. Firman Allah Ta’ala bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”

Keempat – kewajipan melaksanakan ajaran Islam, hukum-hukum serta sistem-sistemnya ada yang bersifat peribadi (fardhu ‘ain) yang dituntut ke atas setiap individu dan ada yang bersifat jama’ei (fardhu kifayah) yang dituntut ke atas anggota masyarakat berdasarkan kebolehan serta kepakaran masing-masing.

Kelima – sebahagian hukum Islam serta sistem-sistemnya tidak boleh dilaksanakan jika tidak ada kuasa pemerintahan. Contohnya pengagihan yang adil kepada semua asnaf yang berhak menerima zakat, mengadili pertelingkahan dan perbalahan di kalangan masyarakat, menjatuhkan hukuman ke atas penjenayah dan lain-lain.

Keenam – di dalam sistem demokrasi seperti yang diamalkan di Malaysia, untuk mendapat kuasa pemerintahan, parti-parti politik yang bertanding di dalam pilihanraya mestilah mencapai kemenangan majority, sama ada secara persendirian atau penggabungan.

Ketujuh – perlu ditekankan bahawa untuk mencapai kemenangan di dalam pilihanraya, sesebuah parti bukan hanya sekadar menamakan dan meletakkan calon-calon. Parti-parti politik mestilah menyusun strategi yang kemas dan rapi, membina kader-kader yang layak untuk memikul tanggungjawab, mencari dana, mengadakan latihan-latihan kepakaran dalam pelbagai bidang dan lain-lain. Apa lagi, parti yang berusaha ke arah perlaksanaan Islam yang syumul, ahli-ahlinya bukan sahaja wajib menguasai ilmu yang berteraskan Islam malah akhlak serta keperibadian Islam yang murni juga mesti dihayati. Dan ini tidak syak lagi memerlukan latihan dan pentarbiahan yang sewajarnya.

Kelapan – berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, maka setiap individu yang mempunyai kemampuan dan kepakaran yang diperlukan ke arah tercapainya kemenangan yang membolehkan hukum Islam ditegakkan seharusnya tidak memencilkan diri dari terlibat memberikan sumbangan sedaya mampu, sama ada secara langsung atau tidak langsung, sama ada dengan mendaftarkan diri sebagai ahli atau sebaliknya. Jika memilih untuk menggabungkan diri di dalam parti politik, maka pastikan parti yang dipilih itu mempunyai matlamat yang jelas untuk mendaulatkan Islam. Di samping itu ia hendaklah berpegang kepada manhaj serta wasilah yang selari dengan tuntutan Islam, dan pada masa yang sama tidak mengabaikan perkembangan masa, suasana dan persekitaran.

Kesembilan – sekiranya ada yang merasakan bahawa dia tidak mempunyai sebarang kebolehan dan kepakaran untuk menyumbang, tidak bermakna dia tidak perlu terlibat. Mendaftar sebagai ahli juga merupakan satu sumbangan, iaitu menambah bilangan. Bilangan yang ramai juga merupakan satu kekuatan. Anas bin Malik r.a. menceritakan: “Aku melihat Abdullah bin Ummi Maktum yang buta memakai perisai, sedang tangannya memegang panji-panji berwarna hitam di dalam peperangan al-Qadisiah. Maka seseorang bertanya kepadanya: “tidakkah Allah telah menurunkan ayat memberi izin kepadamu untuk tidak ikut serta berperang?” Dia menjawab: “memang benar. Tetapi aku ingin membanyakkan bilangan muslimin dengan penggabungan diriku.”

Kesepuluh – justeru, sebagai muslim kita mesti memahami tanggungjawab dan mengetahui di manakah medan serta ruang untuk dia beramal dan menyumbang demi mencapai matlamat yang dituntut, iaitu tertegaknya syariat Allah dan terlaksananya hukum Islam yang membawa rahmah serta kebaikan untuk seluruh alam.


Mudah-mudahan apa yang dibentangkan di atas dapat membantu anda membuat keputusan yang terbaik di dalam mancari keredhaan Yang Maha Esa

Monday, July 23, 2018

HUKUM MEMEGANG ATAU MENDUKUNG BAYI KETIKA SOLAT


SOALAN:

Saya menerima soalan kira-kira begini:

Dulu selalu dukung anak semasa solat. Tapi, masa solat kat RnR, ade makcik tegur..

Makcik: awak solat dukung anak, dah tukar pampers ke belum tu?
Aku: baru tukar makcik.
Makcik: kalau anak kencing masa awak solat,sah ke solat?!

Makcik tu meninggalkan aku terpinga pinga keseorangan.daaah...was2 aku...solat la aku skali lg.

From that moment, jarang dah solat dukung anak. Kadang masyarakat kita terlalu banyak persoalan, bukan persoalan yg memudahkan...tapi sebaliknya. Sesiapa yg ada pengetahuan mengenai fiqh solat, boleh share ye...tq.

Minta pencerahan ustazah. Jazakillahukhair

JAWAPAN:

Seringkali terjadi anak-anak menangis ketika ayah atau ibu sedang menunaikan solat. Untuk meredakan tangisan si anak, ayah atau ibu mendukungnya.
Apakah hukumnya solat sambil mendukung anak?
Bagaimana sekiranya anak itu memakai lampin?

Terdapat dua persoalan di situ.

Persoalan pertama: mendukung anak ketika solat. Dalam hal ini, terdapat sepotong hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. mendukung cucu baginda, Umamah puteri kepada Zainab binti Rasulullah s.a.w. dengan suaminya yang bernama Abu al-‘Aas bin ar-Rabie’ ketika baginda menunaikan solat. Apabila hendak sujud. Baginda meletakannya. Dan apabila hendak berdiri, baginda mendukungnya. Abu Qatadah berkata: “Aku melihat Nabi s.a.w. mengimamai solat bersama orang ramai, sedangkan Umamah beradah di atas tengguknya”

Imam an-Nawawi berkata, hadis ini menunjukkan sah solat orang yang mendukung seorang manusia atau haiwan yang suci seperti burung, kambing dan lain-lain. Ia juga menunjukkan bahawa pakaian kanak-kanak serta tubuh badannya adalah suci kecuali telah terbukti dengan yakin kenajisannya (terkena najis)
Hadis ini juga menunjukkan bahawa perbuatan yang sedikit tidak membatalkan solat. Dan perbuatan yang banyak yang dilakukan tidak secara berturut-turut juga tidak membatalkan.
Di samping itu, hadis ini mengajar sifat tawaduk atau merendah diri kepada kanak-kanak dan orang-orang-orang yang lemah, serta mengasihi dan membelai mereka.

Imam an-Nawawi berkata lagi: perkataan “Aku melihat Nabi s.a.w. mengimamai solat bersama orang ramai”, menjadi dalil bagi Mazhab asy-Syafie rahimahullah yang berpendapat harus mendukung kanak-kanak lelaki dan perempuan juga haiwan yang suci di dalam solat, sama ada solat fardhu atau sunah, menjadi imam atau makmum atau solat bersebdirian.

Persoalan kedua: sekiranya bayi atau kanak-kanak yang didukung itu memaki lampin yang mengandungi najis, hal ini dihuraikan oleh Imam an-Nawawi seperti berikut:
Terdapat beberapa pendapat ulamak mengenai orang yang  solat dalam keadaan ada najis padanya sedangkan dia lupa atau tidak mengetahuinya:

Pertama: pendapat yana asoh (paling sahih) dalam Mazhab kita (Asy-Syafie) wajib ulang solat tersebut. Begitu juga pendapat Abu Qallabah dan Ahmad.

Kedua: jumhur (majority) ulamak berpendapat tidak wajib ulang. Pendapat ini diriwayatkan oleh Ibn al-Munzir daripada Ibn Umar, Ibn al-Musayyab, Towus, ‘Atoo’, Salim bin Abdullah, Mujahid, asy-Sya’bi, an-Nakha’ei, az-Zuhri, Yahya al-Ansori, al-Auza’ei, Ishaq dan Abu Thur. ibn Munzir berkata: aku juga berpendapat demikian. Dan ia juga merupakan pendapat Rabi’ah dan Malik. Ini adalah pendapat yang kuat dari segi dalilnya dan inilah yang dipilih.

Al-Mardawi berkata: sekiranya seseorang itu lupa atau tidak tahu ada najis semasa dia solat, maka terdapat dua riwayat:
Pertama, solatnya sah.inilah pendapat kebanyakan ulamak mutaakhirin, juga pendapat yang dipilih oleh Ibn Qudamah, juga merupakan pendapat Ibn Taimiah.
Kedua, tidak sah solatnya dan wajib ulang. Ini merupakan pendapat Mazhab Hanbali

Sheikh Ibn Uthaimin berkata: sekiranya seseorang itu menunaikan solat sedangkan badannya, atau pakaiannya atau tempatnya terkena najis dan dia tidak membasuhnya maka solatnya tidak sah di sisi jumhur ulamak.
Tetapi sekiranya dia tidak mengetahui atau dia mengetahui tetapi dia lupa untuk membasuhnya sehinggalah dia telah selesai daripada solatnya, maka solatnya sah dan tidak wajib ke atasnya mengulanginya.
Dalilnya ialah Nabi s.a.w. sedang solat bersama para sahabat r.a.. tiba-tiba baginda menanggalkan kasutnya. Maka makmumpun ikut menanggalkan kasut mereka. selesaI solat, baginda bertanya: “kenapa kalian menanggalkan kasut?” Mereka menjawab: “Kami melihat  anda menanggalkan kasut, lalu kamipun ikut menanggalkannya.”
Baginda menjelaskan: “Sesungguhnya Jibril telah datang memberitahuku bahawa terdapat najis pada kedua-dua kasutku. Lantas akupun menanggalkannya.” (Riwayat Abu Daud)

Ini menunjukkan bahawa solat dalam keadaan tidak mengetahui adanyanya najsi tidak batal dan tidak wajib diulang.

Kesimpulannya, ibu dan ayah yang hendak atau yang terpaksa mendukung anak ketika solat, hendaklah sedaya upaya mempastikan terlebih dahulu tidak ada najis padanya. Tetapi sekiranya anak terkencing sedangkan kita tidak mengetahuinya, maka mudah-mudahan solat kita sah. Allahu A’lam.