Sunday, May 25, 2008

Keluar Darah Ketika Mengandung

Soalan

Assalamualaikum Ustazah,
Saya sedang mengandung 3 bulan dan baru-baru ni pada 15/5 yg lepas berlaku kejadian tumpah darah tetapi kandungan masih selamat. Hingga hari ini, saya masih mengalami turunan darah sedikit demi sedikit macam pengakhir datang bulan (warna coklat) sehingga terpaksa pakai pad wanita. Persoalannya, saya was-was samada dibolehkan solat waktu ini atau perlu menunggu sehingga hari kelima belas, mandi wajib dan boleh solat. Kalau saya boleh solat waktu begini, perlukah saya mandi wajib sebelum mengerjakan solat fardhu.
Semoga ustazah dapat membalas email saya ini secepat mungkin.
Sekian, terima kasih.

Jawapan

Wa'alaikumus-salam,

Dari apa yang saya faham, darah itu bukan haid kerana puan mengandung. Bukan juga nifas kerana puan belum bersalin dan tidak gugur. Jadi puan tak perlu mandi wajib. Puan wajib solat seperti biasa. Setiap kali masuk waktu solat, puan kena basuh kemaluan, pakai pad yang baru, ambil wuduk dan terus solat. Semoga kandungan puan dipelihara oleh Allah.

Maksud ILAH

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Ustazah,
Saya dari Melaka. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ustazah kerana sudi memberikan penerangan tentang isu menyentuh al-Quran yang telah saya ajukan tempoh hari. Panduan itu sangat bermanfaat untuk saya seisi keluarga.
Kali ini,ingin saya minta pandangan daripada Ustazah serta hujah yang jelas tentang isu ketauhidan yang saya forwardkan ini. Kami perlukan rujukan dan sumber yang jelas untuk dihujahkan kerana ia berkisar persoalan pokok kepada aqidah diri dan umat Islam. Harap ustazah dapat mengikuti perbincangan di bawah.
Assalammu'alaikum waramatuhllahi wabarakahtuh. ..
Worth reading.....
Hidup di kalangan masyarakat majmuk kebanyakan kita akan berjiran dengan Keluarga yang bukan Islam.
Bagi kaum Tionghua dan Hindu mereka selalu mempunyai tempat penyembahan masing-masing, kaum Cina mungkin di luar rumah manakala Hindu di dalam rumah.
Bila kaum Cina yang beragama Taoisme atau Buddha sering melakukan upacara penyembahan mereka di luar, anak-anak kita yang masih kecil akan lihat, dan mungkin pernah bertanya kepada kita....
"Uncle sebelah buat apa tu Abah?"
Dan secara amnya, kita akan menjawab..... "dia org tgh sembahyang atau tengah sembah tuhan dia"
jawaban itu tuan-tuan, nauzubillah sebenarnya syirik....
Kerana ia bercanggah dengan prinsip dua kalimah syahadah kita.. "tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH" tetapi apabila kita memberikan jawaban ... "dia tengah sembah tuhan dia"
kita menggambarkan pada anak kitra bahawa ada tuhan yang lain dari ALLAH, kita memberi gambaran pada anak kita, bahawa, kaum Cina punya satu tuhan,
India s! atu tuhan, Kristian satu tuhan...dan cara mereka menyembah tuhan mereka lain dr kita.
Sedangkan kita mengucap kalimah kita "tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH"
Jadi mana datangnya konsep atau pengertian " dia sedang sembah tuhan dia"
Sekiranya jawaban ini diteruskan.. ...maka anak kita akan terus keliru dengan konsep dan prinsip syahadah kita " tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH"
Jawaban yang sebenarnya, " Anak, pertamanya perlu faham, tuhan kita dengan tuhan uncle sebelah sama, kerana ada hanya satu tuhan sahaja iaitu ALLAH, tapi cara dia menyembah tuhan itu salah"
Jangan ambil mudah jawaban yang diberikan kepada anak, kerana jawaban yang salah akan hanya merosakkan atau setidak-tidaknya akan kelirukan mereka.
Sekadar mengamalkan "sampai dan menyampaikan" . Sekiranya apa yang disampaikan di sini atas kelemahan diri sendiri dan yang baik datang dari ALLAH.
Apa yang disampaikan di sini ialah pemahaman sendiri ,sekiranya ada pihak yang mempunyai idea dan jawapan yang lebih baik.....
Jika sekiranya ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW
"Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat"Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
1) Sedekah amal jariahnya
2) Doa anak-anaknya yang soleh
3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain
Sekian, terima kasih.

Jawapan

Assalamualaikum wr.wb.

Pertama,
Saya cuba terangkan makna ILAH yang terkandung dalam kalimah syahadah.
ILAH maksudnya tuhan yang disembah. Dalam kontek syahadah, ia bermaksud Tuhan yang sebenarnya berhak dan layak disembah itu TIDAK ada melainkan ALLAH. Ini tidak menafikan wujudnya tuhan-tuhan palsu, tuhan-tuhan yang tidak benar, tidak layak dan tidak berhak disembah, tetapi disembah oleh manusia. Di dalam surah Ya Sin Allah berfirman maksudnya:
"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata terhadap kamu!" (Ya Sin:60)

Ayat di atas dengan jelas menggambarkan ada manusia yang sembah syaitan.

Di dalam ayat lain, Allah berfirman Maksudnya:
"Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka." (Maryam:81)

Bukankah di dalam ayat di atas Allah menyebut ada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh manusia?

Jadi, jawapan si ayah dalam cerita itu, mungkin kita tidak bersetuju sebagai jawapan yang terbaik, namun tidaklah dengan senang boleh kita katakan telah terkeluar dari aqidah.

Syahadah akan terbatal dengan salah satu daripada 3 cara:

I'tiqad - kita benar-benar meyakini wujudnya tuhan selain Allah atau yakin kepada sesuatu yang bertentangan dengan salah satu daripada rukun iman

Perkataan - kita mengeluarkan kata-kata yang JELAS menunjukkan penafian kita akan keesaan Allah, kerasulan nabi dan lain-lain yang wajib diimani

Perbuatan - melakukan perbuatan yang tidak boleh ditafsirkan lain daripada kafir, atau perbuatan menghina kebenaran dan kesucian agama Islam.

Kedua,
Saya perlu ulas sedikit ayat terakhir dalam artikel itu ("Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

1) Sedekah amal jariahnya

2) Doa anak-anaknya yang soleh

3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain)

Ini yang nyata salah. Kalau hanya 3 perkara ini yang kita bawa bersama, ke mana amalan-amalan fardhu yang lain seperti solat, puasa, berbakti kepada ibu bapa, didik anak dan lain-lain?
Yang sebenarnya, apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya (ertinya dia sudah tidak boleh beramal lagi untuk menambah bekalan pahalanya) kecuali daripada 3 perkara (yang disebut di atas, di mana 3 perkara di atas; sedekad jariah, bukan sedekah amal jariah, anak soleh yang berdoa untuknya dan ilmu yang dimanfaatkan; tidak putus pahalanya daripada kita walaupun selepas kita mati)

Allahu A'lam.

Friday, May 23, 2008

Cukur Bulu Kaki

Soalan

Assalamualaikum ustazah

1) Saya ingin bertanya adakah boleh kita mencukur bulu kaki yang lebat kerana kelihatan seperti lelaki?

2) Jika saya mempunyai janggut & misai yg nipis adakah boleh mencabutnya kerana saya tidak pernah mencabutnya sepanjang hidup saya, tetapi telah ditegur oleh seorang ustaz supaya saya mencukur atau mencabutnya kerana menyimpannya dikatakan serupa dengan lelaki.

Harap ustazah dapat meleraikan segala kemusykilan saya.

Terima kasih yang tidak terhingga diatas segala penjelasan ustazah.

Jawapan

Wa'alaikumus-salam wr.wb
1. Tiada larangan mencukur bulu kaki yang lebat.
2. Kata Imam al-Nawawi, jika perempuan ditumbuhi misai atau janggut, sunat baginya mencukurnya (atau buang dengan cara yang sesuai)

Wednesday, May 21, 2008

Solat Witir

Soalan

Assalam'mualaikum wr.wb

Saya harap ustazah tak bosan dalam membaca setiap e-mail yg saya hantar, disini ada beberapa soalan yg ingin saya tanyakan mengenai :

-Sholat Witir :Disini bukannya saya tak faham, cuma ragu dan bingung mana yg lebih baik untuk diikuti (mungkin yg salah tak melaksanakannya kan ustazah ? )
Witir adalah ganjil yg biasa dilaksanakan 1,3,5 dan seterusnya, dan saya melihat kebanyakat orang melaksanakannya dengan 3 raka'at, 2 raka'at salam ditambah 1 raka'at salam.
Sewaktu saya masih belajar guru saya memberitahu bahwa witir tidak dilaksanakan seperti itu melainkan 3 raka'at sekaligus. Dengan alasan 2 raka'at sebelumnya adalah dilafazkan dengan niat ra'ataini (genap) jadi kita tak perlu melaksanakannya dgn 2 raka'at salam kemudian tambah 1 raka'at salam lagi. Bolehkah ustazah menerangkan mana sebenarnya yg harus diikuti ? dan slama ini saya melaksakannya dgn 3 raka'at satu salam skaligus.

-Bila kita sedang melaksanakan sembahyang, kemudian di tengah-tengah sajadah kita ada seorang kanak-kanak bermain atau tidur-tiduran, bolehkah kita bergerak sedikit untuk menghindari kanak tersebut ?

-Zakat : Bila seseorang itu berada di luar negara untuk jangka waktu beberapa tahun, menjelang Aidil Fitri dia kena membayar zakat fitrahnya. Saya agak keliru apakah zakat tersebut di bayar tempat negara Ia tinggal atau Ia menyuruh orang di kampungnya (negara asal) tuk membayarkan zakat fitrahnya ?

Jawapan

Wa'laikumus-salam wr.wb.

Solat Witir sekurang-kurangnya 1 rakaat dan sebanyak-banyaknya 11 rakaat. Ada pendapat mengatakan sebanyak-banyaknya 13 rakaat.
Jika seseorang melakukan lebih daripada 1 rakaat, maka menurut Mazhab Syafi'iy afdhal dilakukan secara terpisah, iaitu 2, 2 dan 1. Niatnya, aku solat witir 3 rakaat 2 salam, atau 5 rakaat 3 salam dan seterusnya.
Tetapi harus juga dilakukan secara terus 3, 5 dan seterusnya.

Boleh bergerak. Rasulullah SAW pernah solat malam, kaki 'Aisyah yang sedang tidur terlunjur di tempat sujud baginda. Bila hendak sujud, baginda mengalihkan kaki 'Aisyah kemudian sujud.

Kebanyakan fuqaha' berpendapat, afdhal sekiranya zakat diberi kepada faqir miskin ditempat pengeluar itu berada, tetapi sah jika diberikan kepada mereka yang berhajat di tempat lain.

Haid Ketika Mengerjakan Umrah

Soalan

Salam Uztazah,

Semasa dalam perjalanan tadi saya membuka siaran radio IKIM. Dari siaran itulah alamat e-mel Uztazah dapat saya rakam untuk membuat pertanyaan ini.

Anak perempuan saya yang berumur 18 tahun akan mengerjakan Umrah pada 24hb Mei, 2008. Dijangka darah haid akan keluar pada waktu tersebut, patutkah saya mengambil pil penahan darah haid dari keluar atau biarkan darah haid keluar seperti biasa.

Jawapan segera dari Uztazah amat saya harapkan memandangkan masa yang agak suntuk. Terima kasih.

Wassalam.

Jawapan

Salam,

Pertama, tahniah kerana terpilih untuk menjadi tetamu Allah Yang Maha Agung.
Harus mengambil ubat untuk menahan darah haid daripada keluar dengan syarat ubat itu berkesan dan tidak mendatangkan mudarat. Dinasihatkan rujuk doktor yang boleh dipercayai.
Kalau tidak mengambil ubat dan dibimbangi haid akan keluar, dan mungkin tidak sempat menyempurnakan umrah, harus ihram bersyarat, umpamanya ketika berihram, niatkan: saya berihram umrah dengan syarat jika datang haid, maka saya menjadi halal.
Dengan itu, jika ditakdirkan haid datang, maka dengan sendirinya puan terlepas dari ikatan ihram.
Allahu A'lam.

Melintas di Hadapan Orang Sedang Solat

Soalam

salam ustazah..
sila jelaskan hukum tersebut..adakah benar.?
jika benar bagaimana sekiranya org tgh solat tp kita ingin melintas dihadapannya disebabkan pintu masuk ruang solat itu di hadapan org solat dan ruang agak sempit terhad untuk satu saf sahaja contoh di pasaraya dan kompleks?
terima kasih ustazah..
(LARANGAN MELINTAS DI HADAPAN ORANG YANG SEDANG SEMBAHYANG

Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda .......
"Apabila salah seorang dari kamu menghadap sesuatu yang dapat menutupinya dari orang, kemudian ada orang yang LALU di hadapannya, maka hendaklah ia MENOLAKNYA dari tubuh sebelah atas badannya. Jika orang yang lalu itu MEMBANGKANG, maka PERANGILAH ia kerana sesungguhnya ia adalah SYAITAN ..........."

dan menurut hadis yang lain ......

"Maka janganlah MEMBIARKAN seseorang lalu di hadapannya. Jika orang yang lalu itu MEMBANGKANG , maka hendaklah ia MEMERANGINYA, kerana sesungguhnya BERSAMA orang yang lalu itu adalah SYAITAN..... .." hadis riwayat Bukhari & Muslim.....

penjelasannya ?..
DISUNATKAN kepada setiap orang yang hendak sembahyang untuk membuat batas tempat sembahyangnya dengan menghadap pada tembok atau kayu yang panjangnya sekitar tiga suku hasta. Selain itu boleh juga meletakkan sesuatu atau membentang sejadah malah boleh juga dengan membuat batas atau garis pembatas sebagai tempat sembahyang. Maksudnya supaya ketika sembahyang tidak ada orang yang lalu dihadapannya kerana lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang hukumnya HARAM. Orang itu harus DITOLAK .

dan ?..
Bagi orang yang mengetahui atau orang yang sedang sembahyang itu sendiri, disunatkan MENOLAKNYA dengan gerakan yang tidak sampai MEMBATALKAN sembahyangnya? .
dan ?..
Dalam sembahyang BERJEMAAH, setiap BARISAN adalah pembatas bagi yang ada di belakang ??)

Jawapan

Salam,

Memang betul apa yang terkandung dalam tulisan itu.
Haram melintas di hadapan orang sedang solat, iaitu dalam garisan atau ruangannya (disebut sutrah), contohnya jika dia membentang sejadah, maka haram melintas di atas sejadah itu, di luar sejadah tidak haram.
Jika dia tidak meletak sutrah, atau dia solat di tempat orang lalu lalang, maka tidak haram dan tidak makruh melintas di hadapannya. Begitu juga jika seseorang ternampak ada ruang kosong di saf hadapannya (dalam solat berjamaah), dia harus melintas untuk memenuhi ruang kosong itu. (Kitab Mughni al-Muhtaj, j.1, m.s. 200)

Mencari Keredhaan Allah

Soalan

salam ustazah...

saya ingin bertanya soalan pada ustazah, bagaimanakah melakukan sesuatu hanya kerana mengharapkan redha Allah? adakah kalu kita buat sesuatu dan kita buat kerana mengharapkan redha ibu bapa boleh dikatakan buat kerana mengharapkan redha Allah sebab kita tahu bahawa redha Allah bergantung kepada redha ibu bapa.

bagaimanakah kita nak mengaitkan kehidupan seharian kita ini dengan agama sebab fahaman sekarang ini memisahkan agama dengan dunia???

apakah yang dikatakan amalan soleh??? adakah hanya berzikir sahaja yang dikira sebagai amalan soleh??dalam al-quran dikatakan syurga hanya untuk orang yang melakukan amalan soleh... bagaimana nak melakukan amalan soleh yang diredhai Allah???

Jawapan

Salam,

Allah mencipta manusia supaya beribadah kepadaNya seperti dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia malainkan supaya mereka beribadah kepadaKu (dengan menyembah dan mentaatiKu)" Surah al-Dzariat:56.

Ibadah boleh dibahagikan kepada 2 kategori: ibadah khusus dan ibadah umum.
ibadah khusus ialah upacara atau amalan tertentu yang kita lakukan semata-mata untuk mendekatkan diri kepadaNya. Ini mesti dilakukan dengan cara tertentu seperti mana yang diajar oleh Rasulullah SAW. Contohnya solat, puasa, haji dan lain-lain.
ibadah umum ialah semua urusan dalam kehidupan kita di dunia ini. Apa jua yang kita lakukan dikira ibadah dengan syarat:

1. dilakukan dengan niat yang baik, contohnya berniaga untuk menyara keluarga, membantu manusia mendapat keperluan mereka, menziarahi ibu bapa supaya mereka gembira dan seterusnya
2. perkara yang dilakukan itu harus pada asalnya serta tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Jika berbuatan itu haram atau bercanggah dengan prinsip Islam, tidak dikira ibadah walaupun niatnya baik.
3. tidak lalai dari melakukan ibadah yang lebih utama atau ibadah khusus, umpamanya berniaga sampai lupa solat.

Jadi dalam mencari keredhaan manusia, termasuk ibu bapa mestilah tidak lari atau tidak bercanggah dengan tiga syarat di atas. Amalan yang memenuhi syarat tersebut itulah yang dikatakan amal soleh.
Semoga kita dibimbing untuk melakukan amal yang terbaik di sisiNya.