Thursday, April 18, 2013

Hukum menggugurkan kandungan



Soalan:

Assalamualaikum Ustazah,

Saya ada persoalan. Rakan pejabat saya kini ada 2 org anak. Abang umur 1 thun 1/2. Adik umur 6 bln. Skrg ni mamanye sudah lewat period dan merasakan yg dia nya sudah mengandung. Dia rasa blm bersedia. Sbb anak2 yg dua tu masih kecik. Bimbang kurang kasih syg. Blh atau tidak jika dia x nk kandungan yg baru ni @gugur kn. Apa hukumnye? Minta ustazah jawab kn.

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Menggugurkan kandungan boleh dibahagikan kepada tiga peringkat berdasarkan usia kandungan tersebut:

Pertama – selepas kandungan berusia 120 hari. Pada peringkat ini ulama sepakat bahawa haram  menggugurkan dan boleh dikategorikan sebagai membunuh satu nyawa yang diharamkan oleh Allah Ta’ala kecuali dalam dua keadaan, iaitu jika nyawa ibubenar-benar berada  di dalam bahaya sekiranya janin tidak digugurkan, dan sekiranya janin telah meninggal dunia di dalam kandungan dengan pasti.

Kedua – kandungan belum mencapai usia 120 hari tetapi telah melebihi  40 hari. Menggugurkan kandungan pada tahap ini adalah haram tetapi tidak dikategorikan sebagai membunuh. Perbuatan ini dianggap sebagai merosakkan keturunan yang dikutuk oleh Allah Ta’ala. FirmanNya bermaksud: “Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (Al-Baqarah:205)

Ketiga – usia kandungan belum genap 40 hari. Menurut pendapat yang rajih (yang paling kuat dalilnya), hukum menggugurkan kandungan pada peringkat ini adalah haram kecuali jika terdapat maslahah atau keperluan yang dibenarkan oleh syarak atau untuk mengelak kemudaratan yang diyakini akan berlaku sekiranya tidak digugurkan.

Kesimpulannya tidak harus menggugurkan kandungan dalam semua peringkat usia kandungan kecuali dengan sebab-sebab tertentu yang dibenarkan oleh syarak dan dalam batas-batas yang amat sempit.
Menggugurkan  dengan sebab takut akan menghadapi kesukaran dalam menjaga dan mendidik anak, atau kerana sudah berasa cukup dengan bilangan anak yang telah sedia ada adalah tidak harus.

Wednesday, April 17, 2013

Ada tempat antara syurga dan neraka?


Soalan:

Assalamu'alaikum wbt..

Ustazah, semoga sihat sentiasa..saya ada soalan ustazah.. kali ini tentang tafsir surah al-A'raf ayat 44-49..
ketika sharing dgn kawan ttg pengakhiran kita hanya dua, iaitu syurga atau neraka.. dan tiba2 kawan itu kata, dia pernah dgr seorg ustaz kata, yang nanti di akhirat kelak akan ada satu tempat antara syurga dan neraka yang dinamakan a'raf..
lalu dia menyebut ayat 44-49 surah al-a'raf.. mohon ustazah tolong beri pencerahan.. jazakillahu khairan katheera ustazah.. maaf jika email saya kurang baik bahasanya..

Jawapan:

Wa’alaikmuus-salam wr.wb.

Terjemahan surah al-A’raf ayat 44 – 49:
Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli Neraka dengan berkata: Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?. Mereka menjawab: Benar ada. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim. (44)
Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat. (45)
Dan di antara keduanya (Syurga dan Neraka) ada tembok "Al-A`raaf "(yang menjadi) pendinding dan di atas tembok Al-A`raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan Neraka) itu, dengan tanda masing-masing dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): "Salaamun Alaikum" (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya. (46)
Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli Neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim. (47)
Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A`raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu tidak dapat menolong kamu. (48)
(Mereka bertanya pula kepada ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu dan kamu pula tidak akan berdukacita. (49)

Kita dapati perkataan (al-A’raf) telah disebut sebanyak 2 kali, iaitu pada ayat ke 46 dan 48. Menurut Ibn Kathir dan para mufassir lain, (al-A’raf) ialah tembok atau dinding yang menghalang ahli neraka sampai ke syurga.

Kata Ibn Jarir, (al-A’raf) adalah kata jamak (plural) bagi ‘urf. ‘Urf bermaksud tempat yang tinggi atau tanah tinggi. Apa-apa yang lebih tinggi daripada yang lain dipanggil ‘urf.

Dinyatakan di dalam ayat-ayat di atas bahawa di atas (al-A’raf) terdapat rijal, iaitu beberapa orang lelaki (secara tidak langsung termasuk juga perempuan). Mereka dipanggil ashab al-A’raf. Siapakah pula ashab al-A’raf itu?

Al-Hafidz Ibn Mardawaih meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah ditanya mengenai orang-orang yang kebaikan dan kejahatannya sama berat. Baginda s.a.w. menjawab: “Mereka itu adalah ashab al-A’raf. Mereka belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.”

Ibn Jarir berkata, Huzaifah r.a. juga meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. ditanya tentang ashab al-A’raf. Maha Baginda menjelaskan: “Mereka adalah kaum atau golongan yang kebaikan dan kejahatannya sama berat. Kejahatan mereka menjadi penghalang bagi mereka masuk syurga. Kebaikan mereka pula menjauhkan mereka dari neraka. Maka mereka terhenti di atas tembok itu sehingga Allah memutuskan kesudahan buat mereka.”

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. ditanya tentang ashab al-A’raf. Baginda bersabda (maksudnya): “Mereka adalah orang terakhir dari kalangan hamba yang dibicarakan. Apabila Tuhan Rabb al-‘alamin selesai memutuskan kesudahan hamba-hambaNya, Dia berfirman kepada mereka (ashab al-A’raf): “Kamu adalah kaum yang dikeluarkan dari neraka oleh hasanahmu, dan kamu belum masuk ke dalam syurga. Maka sekarang kamu adalah orang-orang yang Aku merdekakan (‘utaqa-i). Maka masuklah kamu ke dalam syurga dari (pintu) mana yang kamu mahu.”

Friday, November 16, 2012

Permasalahan keluar angin dari faraj

Soalan:

salam..saye mohon maaf sekirenye mengganggu ustazah...saye nak tanye ttg masalah fiqh wanita..ustzh, batal tak solat kite sekirenye ade angin keluar melalui lubang faraj ?..angin tu bukan kentut dan ia tak dpat dikawal..mohon jawapannya segera..terima kasih

Jawapan:

Salam.

Menurut seorang doktor pakar sakit puan, angin dalam faraj adalah udara disekeliling yang masuk ke dalam faraj. Keadaan ini lazimnya berlaku semasa atau sejurus selepas melakukan hubungan kelamin atau apabila seseorang wanita sudah menopos. Lazimnya kedua bibir pada permukaan faraj bertemu rapat di antara satu sama lain menyebabkan permukaan faraj tertutup dan menghalang udara masuk ke dalamnya. Selepas melahirkan anak, faraj akan mengembang dan akan menjadi lebih teruk apabila menopos.
Apabila wanita memasuki alam menopos, kekenduran tisu pada faraj dan bibir di permukaan faraj berlaku kerana hormone kewanitaan (estrogen dan progesterone) sudah tidak lagi dikeluarkan oleh kedua kilang ovari. Ini akan menyebabkan bibir di permukaan faraj rengang dan udara dapat memasukki ke dalam faraj terutama dalam posisi sujud. Keadaan ini boleh diatasi dengan melakukan senaman bagi menguatkan otot-otot yang terdapat pada pelvis (senaman kemutan).
Oleh kerana angin itu adalah udara di sekeliling, maka ia tidak mempunyai bau, walaupun kadang-kadang berbunyi macam “kentut”.
Kentut adalah gas yang terhasil daripada proses pencernaan makanan di dalam usus manusia. Lazimnya kentut berbau busuk disebabkan oleh gas seperti sulphur. Untuk mengurangkan masalah kentut yang terlalu kerap, elakkan makanan yang mengandungi protin yang tinggi seperti kekacang, makanan hasil daripada tenusu, daging serta minuman bergas (carbonated drinks).
Jika angin yang keluar daripada faraj itu berbau busuk, masalah ini perlu dirujuk kepada doktor kerana ini menunjukan terdapat saluran (fistula) yang menyambung antara usus dan faraj. Terdapat juga kemungkinan jangkitan kuman pada faraj yang memerlukan kepada rawatan antibiotic.

Adakah angin yang keluar daripada faraj membatalkan wuduk?
Di dalam sepotong Hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendapati sesuatu di dalam perutnya, maka dia berasa ragu adakah telah keluar sesuatu daripadanya atau tidak? Janganlah dia keluar (iaitu keluar untuk mengambil wuduk) sehingga dia mendengar suara atau terhidu bau.” Riwayat Muslim.
Berdasarkan Hadis ini, fuqahak Mazhab Syafi’ei dan Hanbali berpendapat angin yang keluar daripada salah satu daripada dua jalan, iaitu qubul dan dubur membatalkan wuduk. Manakala fuqahak Mazhab Hanafi dan Maliki berpendapat tidak batal kerana keluar angin daripada qubul bukanlah perkara yang biasa dan tidak ada dalil yang jelas menunjukkan ia membatalkan wuduk. Oleh kerana tiada dalil yang jelas maka mereka berpegang kepada kaedah fiqhiyyah “asal sesuatu perkara itu kekal kecuali ada yang merubahnya”.

Kalau kita teliti huraian yang diberikan oleh doktor perubatan mengenai angin daripada faraj dan angin daripada dubur, jelas kedua-duanya ada perbezaan. Angin daripada faraj adalah udara yang berligar di sekitarnya, sedangkan angin daripada dubur adalah yang keluar daripada dalam usus. Dan Hadis di atas adalah merujuk kepada angin yang keluar daripada dalam usus di mana Nabi s.a.w. menyebut “Apabila seseorang kamu mendapati sesuatu di dalam perutnya,...”
Justeru, penulis secara peribadi lebih cenderung kepada pendapat fuqahak Mazhab Hanafi dan Maliki. AllahuA’lam.





Tuesday, October 23, 2012

Solat Wanita Istihadhah

Soalan:

Salam Ustazah,

Saya ingin bertanya, kalau semasa temph istihadhoh, boleh jamak solat tak kalau ade kesusahan untuk tukar pad/tuala wanita pada waktu itu? contoh belajar di europe country dan ade klas..air sgt terhad untuk cuci tuala wanita..jadi boleh ke nak jamak solat?

Jawapan:

Salam.

Solat wanita istihadhah

Istihadhah ialah darah yang keluar dari kemaluan wanita melebihi maksimum tempoh haid atau nifas.

Wanita yang istihadhah wajib solat tidak seperti wanita haid.

Setiap kali masuk waktu solat, atau apabila dia hendak mendirikan solat fardhu, dia hendaklah membersihkan darah di kemaluan dan memakai tuala wanita yang bersih. Selepas itu, ambil wudhuk dan terus solat. Wudhuk yang diambil itu sah untuk menunaikan satu solat fardhu sahaja, di samping boleh melakukan solat-solat sunat. Inilah pendapat jumhur.

Terdapat pandangan setengah ulamak bahawa wanita istihadhah harus menjamakkan solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isya’. Pendapat ini dikemukan oleh Ibn Taimiah di dalam kitabnya, “Majmu’ Fatawa”. Katanya:
“Dan harus jamak bagi orang sakit dan wanita istihadhah.” (24/14)
Beliau juga menyebut: “Dan harus jamak mereka yang tidak dapat menyempurnakan taharah dalam dua waktu kecuali dengan susah payah seperti wanita istihadhah dan orang yang seumpama dengannya.” (24/48)
Pendapat ini didasarkan kepada rukhsah yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana terkandung di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi.

Pendapat ini disokong oleh Syaikh Ibn ‘Uthaimin. Beliau berkata: “Harus bagi wanita istihadhah menjamakkan solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isya’ kerana sukar ke atasnya berwudhuk setiap kali solat.”

Allahu A’lam.

Monday, September 17, 2012

Rumah Kediaman Keluarga Hindu

Soalan:

salam
ustazah, saya bakal mendiami rumah yang sebelum ini dihuni oleh keluarga Hindu. saya juga pernah nampak mereka mempunyai bilik yang diletakkan patung berhala mereka. kini mereka akan berpindah ke tempat lain dan keluarga saya yang akan mendiami rumah tersebut.apakah cara untuk membersihkan rumah tersebut?

Jawapan:

Salam.

Di dalam sepotong ayat, Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidilharam sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:28)

Di dalam ayat di atas, Allah menyatakan bahawa orang-orang musyrik itu najis. Menurut jumhur (majority) ulama, selari dengan pendapat Ibn ‘Abbas r.a. bukan tubuh badan mereka yang najis. Sebaliknya yang najis itu adalah aqidah mereka, kesyirikan yang mereka anuti itulah yang kotor dan najis. Dalil bahawa tubuh badan mereka tidak najis, Allah Ta’ala menghalalkan umat Islam makan sembelihan ahli kitab, lelaki Islam halal berkahwin dengan wanita Ahli kitab, Ummu Habibah, salah seorang isteri Nabi s.a.w. menerima kunjungan ayahnya, Abu Sufyan yang masih kafir. Dan banyak lagi dalil-dalil yang boleh diambil daripada cara Rasulullah s.a.w. bergaul dan berinteraksi dengan kaum musyrikin di zamannya.

Begitu juga berhala-berhala yang mereka sembah itu tidak najis. Ketika Nabi s.a.w. Berjaya menawan kota Makkah yang sebelumnya dikuasai kaum musyrikin Quraisy, baginda memasuki Baitillah dan menghancurkan berhala-berhala yang terletak di sekitar Kaabah; di atas, di dalam dan di sekelilingnya yang berjumlah kira-kira 360 berhala. Setelah berhala-berhala tersebut dimusnahkan, tidak ada pula operasi membasuh rumah Allah yang mulia itu. Jika berhala-hala itu najis, sudah tentu Baginda akan membasuh Kaabah selepas berhala-berhala itu dimusnahkan.

Maka rumah yang puan akan duduki itu, jika terdapat berhala atau patung di dalamnya, hendaklah dibuang patung tersebut. Jika terdapat sebarang najis, sucikanlah najis tersebut dengan cara-cara penyucian yang sepatutnya sama ada najis mukhaffafah, mutawassitah atau mughallazhah. Jika tidak terdapat sebarang najis, tidak wajiblah disucikan. Allahu A’lam.

Wednesday, September 5, 2012

WANG UNTUK MENGERJAKAN HAJI

Soalan:

Assalammualaikum ustazah.

Disini saya ingin bertanyakan soalan berkenaan wang yang digunakan untuk mengerjakan haji.

Ibu saya teringin untuk menunaikan haji. Saya telah membuat potongan gaji di Tabung haji. Memandangkan ibu saya telah berusia 67 tahun, saya kuathir beliau tidak akan merasa untuk ke Mekah, bolehkan saya membuat pinjaman peribadi untuk menghantar beliau mengerjakan haji.

Saya harap ustazah dapat mengulas soalan saya.

Sekian, terima kasih.


Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Haji hanya wajib ke atas orang yang mampu sebagaimana firman Allah Ta’ala bermaksud: “… dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Aali ’Imran:97).

Orang yang tidak mampu hingga ke akhir hayatnya, tidak wajib ke atasnya dan tidak berdosa jika dia tidak menunaikan haji.

Walaupun harus dan tidak berdosa berhutang jika kita mampu bayar (rujuk: http://zaadut-taqwa.blogspot.com/2007/05/menunaikan-haji-dengan-pembiayaan.html), tetapi Islam tidak menuntut kita berbuat demikian kerana itu membebankan diri melakukan sesuatu yang tidak diwajibkan ke atas kita.

Puasa Hari Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum Ustazah...

Saya ingin bertanya, jika saya berpuasa qadha pada hari khamis (last day qadha puasa) dan ingin memulakan puasa 6 pada hari jumaat, adakah saya perlu berpuasa pada hari sabtu?( kerana niat puasa yg berbeza, qadha dan sunat)

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.


Terdapat beberapa Hadis yang membawa maksud larangan berpuasa pada hari Jumaat secara sendirian, iaitu tanpa berpuasa pada hari sebelum atau selepasnya.

Daripada 'Ubbad bin Jaafar, dia berkata: Saya telah bertanya Jabir bin Abdullah r.a. ketika dia sedang bertawaf di Baitillah, "Adakah Rasulullah s.a.w. melarang berpuasa pada hari Jumaat?" Jabir menjawab: "Ya, Demi Tuhan Rumah ini!"
Di dalam riwayat Abu Hurairah r.a., beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Janganlah salah seorang kamu puasa pada hari Jumaat melainkan dia hendaklah berpuasa sebelumnya atau selepasnya." Di dalam riwayat lain, Baginda bersabda maksudnya: "Jangan kamu khususkan qiam pada malam Jumaat tanpa malam-malam lain dan jangan kamu khususkan puasa pada hari Jumaat tanpa hari-hari lain." (Muslim)

Daripada Juwairiah binti al-Harith r.a., isteri Rasulullah s.a.w. Beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. masuk ke rumahnya pada hari Jumaat dan beliau berpuasa pada hari tersebut. Baginda bertanya: "Adakah kamu berpuasa semalam?" Juwairiah menjawab: "Tidak." Baginda bertanya lagi: "Adakah kamu hendak berpuasa esok?" Juwairiah menjawab: "Tidak." Baginda bersabda: "Maka berukalah!" (Al-Bukhari)

Hadis-hadis di atas dengan jelas menunjukkan larangan (makruh tanzih) mengkhususkan puasa pada hari Jumaat tanpa digandingkan dengan hari yang lain.

Namun tidak makruh sekiranya seseorang itu:
i. berpuasa pada hari sebelum atau selepasnya,
ii. berbetulan dengan hari yang dia biasa berpuasa, umpamanya dia bernazar hendak berpuasa pada hari dia sembuh daripada sakit sepanjang hayatnya. Kebetulan dia sembuh pada hari Jumaat. Maka dia berpuasa setiap hari Jumaat sepanjang hayatnya sebagai memenuhi nazarnya. Atau menjadi kebiasaannya berpuasa sunat selanga sehari, maka kebetulan hari Jumaat merupakan hari puasa baginya. Hari Khamis dan Sabtu dia berbuka. Kemudian hari Ahad, hari Selasa dia berpuasa. Begitulah seterusnya.
iii. berpuasa qadha. Mungkin pada hari selain Jumaat dia bekerja dan tidak mampu untuk berpuasa. Hanya pada hari Jumaat sahaja dia boleh menunaikan puasa qadhanya.

Begitu juga, tidak makruh sekiranya hari Jumaat berbetulan dengan hari disunatkan berpuasa seperti Hari Arafah dan Hari 'Asyura.

Berbalik kepada soalan di atas, jawapannya tidak mesti puasa pada hari Sabtu kerana anda telah berpuasa pada hari Khamis. Di samping itu dalam kes ini tidak bermakna anda mengkhususkan puasa pada hari Jumaat secara sendirian, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada puasa enam yang akan anda tunaikan. Jadi ia tidak termasuk di dalam puasa yang dilarang.