Sunday, October 11, 2015

SOLAT HAJAT, TASBIH DAN TAUBAT

SOALAN:

Assalamualaikum ustazah. Nk tanya, solat hajat,solat tasbih,solat taubat tu mmg ada ya ustazah?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wrwb.

Solat Hajat:
Daripada Abdullah bin Abi Aufa r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai hajat daripada Allah atau daripada seseorang anak Adam, hendaklah dia berwuduk, maka perelokkanlah wuduknya, kemudian hendaklah dia menunaikan solat dua rakaat. Kemudian hendaklah dia memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi s.a.w. kemudian hendaklah dia berdoa … (lafaz doa seperti yang terdapat di dalam buku-buku doa)..” Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain.
Ulamak menamakan solat ini sebagai solat hajat.
Di kalangan ulamak terdapat perselisihan pendapat dari segi keharusan beramal dengan hadis ini disebabkan perselisihan mereka dari segi statusnya sama ada sahih atau sebaliknya.
Sebahagian berpendapat tidak harus diamalkan dan sebahagian berpendapat harus beramal dengannya kerana dua sebab:
i.                Hadis ini diriwayatkan melalui beberapa jalur yang boleh menjadi penguat antara satu sama lain
ii.               Dalam hal-hal yang berkaitan dengan fadhilat atau kelebihan amal, boleh beramal dengan hadis dhaif selagi mana tidak bercanggah dengan nas yang lebih sahih. Inilah yang dipegang oleh majority ulamak.

Solat Tasbih:
Fuqahak berbeza pendapat dari segi hukum solat tasbih sama ada ia disunatkan atau tidak. Jumhur berpendapat ia disunatkan kerana banyak riwayat mengenainya, walaupun terdapat beberapa kelemahan dari segi sanad periwayatannya namun ia menjadi penguat antara satu sama lain. Majority ulamak dari kalangan salaf melakukannya dan ia diikuti oleh umat Islam generasi demi generasi sehingga kini.

Solat Taubat:

Ali r.a. berkata: “Abu Bakar menceritakan kepadaku, dan telah benarlah Abu Bakar r.a. yang berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersaba (maksudnya): “Tiada seorang hambapun yang melakukan dosa, lalu dia bersuci dengan sebaiknya kemudian dia melakukan solat dua rakaat, kemudian dia beristighfar memohon ampun daripada Allah, kecuali Allah akan mengampunkannya.” Kemudian baginda s.a.w. membaca ayat ini yang bermaksud: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Aali ‘Imran:135) Riwayat Ahmad dan lain-lain.

Saturday, September 19, 2015

SOLAT - ANTARA BERJAMAAH DENGAN AWAL WAKTU

SOALAN:

Assalamualaikum ustazah,

Saya ingin bertanya tentang solat.
Solat di awal waktu dan solat berjemaah
yang mana perlu diutamakan?
Saya hendak solat berjemaah tetapi kawan2 macam lengah2kan atau kadanga2 buat kerja lain dulu baru nak solat
kdg2, saya solat ja dulu...kdg2 saya tunggu mereka...pernah tu, saya solat sendiri dulu then solat jemaah apabila kwn2 dah nak berjemaah..

JAWAPAN:

Wa’alaikumussalam wrwb.

Ulamak berbeza pendapat dari segi yang mana lebih afdhal, solat di awal waktu sendirian atau solat di akhir waktu berjamaah.
Ada yang mengatakan sekiranya seseorang itu mampu solat di awal waktu sendirian dan mengulanginya di akhir waktu secara berjamaah, itulah yang paling afdhal. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Dzar r.a. bahawa Nabi s.a.w. berkata kepadanya: “Bagaimana keadaanmu sekiranya engkau berada di dalam kalangan satu kaum yang melewatkan solat mereka?” Abu Dzar bertanya Nabi s.a.w.: “Apa yang anda perintahkan supaya saya lakukan?” Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Solatlah di dalam waktunya kemudian pergilah tunaikan hajatmu. Sekiranya solat jamaah didirikan dan engkau pada waktu itu berada di dalam masjid, solatlah bersama mereka pula.”
Ketika mensyarah hadis ini, Imam an-Nawawi berkata: “Maka apa yang kami pilih ialah, buat seperti yang disuruh oleh Nabi s.a.w., iaitu solat dua kali; sekali di awal waktu untuk mendapat fadhilat awal waktu dan sekali lagi di akhir waktu berjamaah untuk mendapat fadhilat jamaah.”
Namun sekiranya seseorang itu memilih untuk solat sekali sahaja maka melewatkannya lebih afdhal sekiranya dia yakin akan dapat berjamaah. Dalam konteks ini, Imam an-Nawawi berkata: “Sekiranya seseorang itu mahu menunaikan sekali sahaja, sekiranya dia yakin dapat berjamaah di akhir waktu, maka melewatkan lebih afdhal untuk memperoleh syi’arnya yang zahir kerana berjamaah, mengikut mazhab kita yang sahih adalah fardhu kifayah.















Tuesday, June 9, 2015

HUKUM SENTUH MAHRAM


Soalan:
adakah batasan pergaulan sesama pakck sedara dan anak sedara sama seperti adik beradik kandung? Ana punya seorang pakck sedara yg hampir sebaya dgn ana dan kami sgt rapat mcm adik beradik sndri. Adakah salah utk ana berpegang tgn dgnnya? 
Apakah hukumnya pula apabila adik beradik perempuan laki bercium pipi tanda kasih syg?
Ana perlukn2 sgt2 jawapan dr ustazah. Jzkk.

Jawapan:
Bapa suadara adalah adik beradik kepada ibu atau ayah kita. Bapa sauadara juga dikira sebagai mahram, iaitu orang yang haram dinikahi.
Hukum melihat dan menyentuh mahram adalah seperti berikut:

a.    Hukum Melihat Anggota Aurat
Mahram bagi wanita tidak harus sama sekali melihat anggota aurat, iaitu di antara pusat hingga lutut sama ada dengan syahwat atau tanpa syahwat.

b.    Hukum Melihat Bahagian Badan yang Bukan Aurat
Bahagian yang bukan aurat walaupun pada asalnya harus dilihat namun ada pengecualiannya. Pada keadaan tertentu bahagian yang bukan aurat juga haram dipandang.
Harus atau haram melihat anggota seseorang adalah bergantung kepada sama ada boleh mendatangkan fitnah, membangkitkan syahwat atau tidak.
Justeru lelaki yang tidak dapat mengawal syahwatnya tidak harus memandang muka wanita yang bukan mahramnya sekalipun muka itu bukan aurat. Dia juga haram melihat wajah lelaki tampan atau lelaki lembut sekiranya pandangan itu meransang syahwatnya.

c.    Bahagian yang Harus Dilihat dan Disentuh Oleh Mahram
Jumhur ulama’ berpendapat bahawa bahagian yang boleh dilihat ialah anggota yang biasa terdedah ketika bekerja atau pakaian yang biasa dipakai ketika berada di dalam rumah. Mereka menyebut beberapa anggota seperti muka, kepala, leher, dua tangan hingga ke siku dan dua kaki hingga ke lutut. Selain daripada anggota tersebut tidak boleh dilihat kerana tidak ada keperluan untuk membukanya.

d.    Hukum Menyentuh Mahram
Anggota yang harus dilihat, maka harus disentuh.

عَنْ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ عَائِشَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ : مَا رَأَيْتُ أَحَدًا كَانَ أَشْبَهَ كَلاَمًا وَحَدِيثًا مِنْ فَاطِمَةَ بِرَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَكَانَتْ إِذَا دَخَلَتْ عَلَيْهِ رَحَّبَ بِهَا وَقَامَ إِلَيْهَا فَأَخَذَ بِيَدِهَا فَقَبَّلَهَا وَأَجْلَسَهَا فِى مَجْلِسِهِ وَكَانَ إِذَا دَخَلَ عَلَيْهَا رَحَّبَتْ بِهِ وَقَامَتْ فَأَخَذَتْ بِيَدِهِ فَقَبَّلَتْهُ.

Daripada Sayidatina Aisyah r.a. katanya: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang paling mirip dengan Nabi s.a.w. dari segi percakapan dan pertuturannya selain daripada Fatimah r.a. Apabila dia datang, Nabi s.a.w. akan mengalu-ngalukannya. Baginda bangun menyambutnya, memegang tangannya, lalu mengucupnya dan didudukkannya di tempat duduk Baginda. Dan apabila Baginda pergi ke rumah Fatimah, Fatimah memegang tangan Baginda, lalu mengucupnya”. (Riwayat al-Baihaqi)

Dalam riwayat lain ada menyebut bahawa Rasulullah SAW mencium kepala puterinya Fatimah r.a. dan Abu Bakar as-Siddiq r.a. mencium kepala puterinya Aisyah r.a.
Riwayat-riwayat yang dinyatakan di atas menunjukkan harus menyentuh dan mencium mahram dengan ciuman kasih sayang selagi mana tidak mendatangkan fitnah dan dapat mengawal diri dari syahwah.



Wednesday, June 3, 2015

HUKUM MENGULANGI SOLAT YANG TIDAK KHUSYUK

Soalan:

Salam ustazah,

Saya ada persoalan yang memerlukan penjelasan dari ustazah, ada rakan yang menunaikan solat fardhu 2 kali kerana katanya waktu solat kali pertama dia tak khusyuk. Jadi persoalannya bolehkah menunaikan solat fardhu sebanyak 2 kali.

Jawapan:

Wassalam.

Khusyuk di dalam solat adalah sesuatu yang amat dituntut. Malah Allah Ta’ala menjamin kejayaan bagi mereka yang khusyuk di dalam solatnya sebagaimana dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Al-Mu’minun : 1-2)
Namun, tidak khusyuk semasa solat tidaklah menjadikan solat itu batal. Solat tetap sah jika sempurna rukun serta syarat-syaratnya.
Di dalam Syarah al-Muhazzab, Imam an-Nawawi berkata: disunatkan khusyuk di dalam solat dengan mentadabur bacaan ayat-ayat, zikir-zikir dan yang berkaitan dengannya serta jauhi dari berfikir atau mengingati perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengannya. Sekiranya dia banya berfikir tentang perkara lain tidak batal solatnya tetapi makruh… Sesungguhnya telah dinaqalkan bahawa ijmak tidak batal. Dan telah disepakati bahawa ia adalah makruh. Antara dalil yang menunjukkan tidak batal solat dengan sebab berfikir tentang sesuatu yang lain ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengira dosa ke atas umatku perkara yang berligar di dalam dirinya selama dia tidak melakukan atau bercakap tentangnya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Dan daripada Uqbah bin al-Harith r.a. katanya: “Aku menunaikan solat Asar bersama Nabi s.a.w. Selepas memberi salam, Baginda bangun dengan segera dan terus memasuki salah satu rumah isteri-isterinya. Kamudian Baginda keluar dan Baginda melihat di wajah kami tanda keheranan di atas kelakuannya bersegera tadi. Lalu Baginda menjelaskan: “Aku teringat ketika aku sedang solat tadi terdapat seketul emas di rumah kami. Maka aku tidak suka ia ada sampai petang atau satu malam di rumah kami. Lantas aku perintahkan supaya emas itu dibahagi-bahagikan.” Riawayat al-Bukhari.
Selain itu terdapat beberapa hadis lagi yang menunjukkan mengingati perkara lain di dalam solat tidak membatalkannya.
Ulamak berbeza pendapat dari segi hukum mengulangi solat yang tidak khusyuk. Setengah mereka berkata sunat dan setengah yang lain berkata tidak sunat.

Pada pendapat saya, jangan jadikan kebisaan mengulanginya kerana solat yang diulanginya itu tidak dapat dijamin tidak berlaku apa yang dikatakan tidak khusyuk itu. Ertinya tidak dapat dijamin bahawa solat kali ke dua dia tidak diganggu dengan ingatan kepada perkara-perkara lain. Ini pastinya akan mendatangkan kesusahan kepadanya dan mungkin membawa kepada penyakit waswas. Tambahan pula, Nabi s.a.w. sendiri tidak menyuruh orang yang tidak khusyuk mengulangi solatnya.
Apa yang wajib dilakukan ialah berusaha sedaya mampu menyempurnakan syarat dan rukun, kemudian cuba sedaya upaya untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap amalan dan bacaan di dalam solat. Selain itu, banyakkan solat-solat sunat kerana terdapat hadis (riwayat at-Tirmizi, an-Nasae dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah r.a.) yang menunjukkan bahawa solat-solat sunat dapat menampung solat fardhu jika terdapat kekurangan. Allahu A’lam.