Monday, January 4, 2016

ISTERI PEMALAS?

Soalan:

Assalam. Ustazah, sy nak minta komen sikit tentang suami yg cop isterinya yg xmampu buat kerja2 rumah tu sebagai pemalas dan menganggap kerja rumah seperti membasuh dan mengemas adalah tugas wajib seorang isteri...mohon pencerahan sedikit...t.kasih...

Jawapan:

Wassalam. Sedia maklum bahawa rumahtangga dibina untuk tujuan mendapat sakinah, ketenangan dan kedamaian hati kedua-dua belah pihak. Ikatan yang suci murni itu diperkuatkan lagi dengan perasaan mawaddah dan rahmah yang dikurniakan Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.
Sebagai ketua di dalam rumahtangga, suami disarankan agar menggauli dan melayani isteri dengan baik, sehinggakan Nabi s.a.w. meletakkan kayu pengukur untuk menilai kebaikan seorang suami pada cara mana dia melayan isterinya.
Begitulah sebaliknya. Isteri yang baik itu ialah yang menyenangkan hati suami, yang taat dan sentiasa berusaha untuk membuatkan suaminya bahagia.

Jadi, berbalik kepada soalan yang ditanyakan di atas, isteri tidak mampu membuat kerja rumah. Apakah sebab tidak mampu itu? Sakit atau terlalu banyak tugasan di luar? Apakah isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa atau seorang wanita yang berkerjaya?

Dari sudut hukum memang tidak diperincikan tugas isteri selain taat kepada suami. Namun dari sudut matlamat perkahwinan yang dinyatakan di atas, mampukah ketenangan dicapai sekiranya rumah dibiarkan kotor dan berselerak dengan alasan kita tidak wajib berkemas?

Kesimpulannya, pada pendapat saya kedua-duanya perlu kembali kepada tujuan asal perkahwinan, untuk mewujudkan perasaan saling menyayangi dan membahagiakan hati masing-masing yang mana dengannya lahirlah ketenangan yang dicari-cari.

Jika isteri tidak mampu, suami sepatutnya memahami sebab tidak mampu dan cuba berbincang untuk mencari jalan menyelesaikannya. Kalau hanya tahu cop pemalas atau sebagainya, adakah dengan itu dapat selesai masalah?


Moga-moga jawapan ini dapat membantu.

Friday, January 1, 2016

TA'ADDUD JAMAAH

Soalan:

Salam'alaiyk ustazah...ana nk mntk pndgn dr ustzh..apa pndgn ustzh terhadap ta'dud jamaah??

Jawapan:

Wa’alaikis-salam wrwb
Sebelum saya beri pandangan, cuba kita imbau suasana di mana dan bagaimana keadaan umat kita sekarang.
Sejak jatuhnya Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924, umat Islam dipecah-belahkan menjadi negara-negara kecil berasaskan bangsa dan sempadan geography yang sempit. Mereka membawa halatuju masing-masing, bertebaran dan bercakaran bagaikan anak ayam kehilangan ibu.

Dalam suasana sedemikian, muncul beberapa buah gerakan Islam di beberapa negara yang mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama walau pendekatan dan cara kerja berbeza.

Jadi sejak mula, umat Islam mempunyai pelbagai jamaah yang mendukung hasrat dan matlamat yang sama, iaitu untuk mengembalikan Islam serta umatnya kepada landasan yang benar, bersatu di bawah payung khilafah islamiah merentasi sempadan bangsa dan benua. Sekiranya satu jamaah sahaja yang  dibolehkan, maka bila telah tertubuh sebuah jamaah di mana-mana tempat umpamanya di Mesir, tempat-tempat lain tidak boleh lagi tubuh jamaah. Logikkah begitu?

Justeru, pada pendapat saya kemunculan pelbagai jamaah atau apa yang diistilahkan sebagai taaddud jamaah adalah sesuatu yang tabii, yang lahir dari kesedaran bahawa umat Islam wajib berusaha, berdakwah dan berjihad untuk menegakkan Islam secara syumul dan menyeluruh. Kewajipan ini bukan terletak di atas bahu individu tertentu, malah ia wajib dipikul oleh semua lapisan masyarakat yang mengaku diri mereka sebagai muslim.
Selagi tidak tertegak khilafah islamiah, maka selama itu tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa jamaah tertentu itu sahaja merupakan jamaah Islam yang sah, jamaah lain adalah salah, sesat, menyeleweng dan sebagainya dan orang yang tidak menjadi ahli kepada jamaah tertentu dianggap sebagai pengkhianat dan tidak ikhlas di dalam perjuangannya.
Wujudnya beberapa jamaah yang mempunyai matlamat yang sama dengan membawa pendekatan yang berbeza membuka ruang dan peluang kepada lebih ramai umat Islam menggabungkan diri di dalam gerakan Islam kerana mereka mempunyai pilihan. Kalau mereka kurang selesa dengan pendekatan yang dibawa oleh jamaah A, mungkin mereka boleh terima pendekatan yang diperkenalkan oleh jamaah B.

Apa yang penting, setiap jamaah tidak boleh mendakwa bahawa dia sahaja yang sempurna dan tidak boleh menganggap kewujudan jamaah lain sebagai saingan kepadanya. Sebaliknya setiap jamaah mesti berusaha mencari titik-titik persamaan untuk berkerjasama. Manakala perbezaan pula dijadikan sebagai jambatan untuk saling lengkap melengkapi. Allahu A’lam.

Yang baik itu daripada Allah. Yang buruk adalah daripada kelemahan diri saya sendiri. Mohon keampunan daripadaNya jua.


Wednesday, December 2, 2015

SOLAT TAHAJJUD

Soalan:

Assalamualaikum Ustazah.. saya ada soalan mengenai solat tahajud. Adakah harus kita tidur dahulu sebelum solat tahuajud. Bagaimana dengan orang yg ada masalah susah nak tidur ye ustazah?

Melalui pembacaan di Internet, ada perbezaan pendapat ye ustazah..

Boleh ustazah terangkan lebih lanjut? Kalau usatazah boleh beri link yg ada penjelasan yg baik pun ok ustazah
smile emoticon

Jzkk ustazah

Jawapan:

Wa’alaikukumussalam wrwb.

Perintah supaya melakukan solat tahajjud terdapat di dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Al-Isra’:79)

Menurut ar-Razi di dalam kitabnya Mafatih al-Ghaib, tahajjud membawa maksud solat malam atau qiamullail sebagaimana yang disebut di dalam ayat: “Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".” (Al-Muzammil:1-4)
Tahajjud berasal daripada perkataan hajada bermakna tidur dan berjaga malam (perkataan yang mempunyai dua makna yang berlawanan, iaitu makna tidur dan juga makna jaga). Dikatakan juga bahawa makna tahajjud adalah bangkit daripada tidur untuk mengerjakan solat. Maka solat itu dinamakan solat tahajjud. Ada yang berkata, tahajjud adalah berjaga malam dengan meninggalkan tidur. Orang yang berjaga malam itu disebut mutahajjid kerana dia melemparkan atau mencampakkan tidur dari dirinya.


Namun untuk melakukan solat malam atau qiamullail tidak disyaratkan tidur terlebih dahulu. Waktu solat malam bermula daripada selepas solat isya’ hingga masuk waktu subuh. Waktu yang paling afdhal adalah pada akhir malam. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang takut dia tidak akan bangun di akhir malam, hendaklah dia witir di awalnya. Dan sesiapa yang sangat ingin bangun di akhir malam, hendaklah dia witir di akhirnya kerana sesungguhnya solat di akhir malam itu disaksikan. Dan itu lebih afdhal.” Riwayat Muslim.

Wednesday, November 11, 2015

HUKUM SENTUH KEMALUAN

Soalan:

Salam. Ustazah, saya mohon penjelasan tentang hukum menyentuh kemaluan, adakah membatalkan wudhuk atau tidak? Ada yang mengatakan tidak batal wudhuk kalau kita basuh dan gosok kemaluan anak yang kencing atau berak. Betul ke ustazah? Terima kasih.

Jawapan:

Wassalam.

Menyentuh kemaluan tidak membatalkan wudhuk di sisi Mazhab Hanafi. Mereka berpegang kepada hadis yang diriwayatkan daripada Tolq bin Ali r.a. bahawa seseorang bertanya Nabi s.a.w. "Seorang lelaki menyentuh kemaluannya, adakah dia wajib mengambil wudhuk?" Baginda menjawab: "Sesungguhnya ia (kemaluan) adalah sebahagian daripada anggota kamu." Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasae, Ibn Majah.
Diriwayatkan juga daripada Umar, Ali, Ibn Masud, Ibn Abbas, Zaid bin Thabit, 'Imran bin Husoin, Huzaifah bin al-Yaman, Abu Darda' dan Abu Hurairah r.'anhum ajma'ein bahawa mereka tidak menjadikan sentuh kemaluan itu sebagai hadas. Ertinya menyentuh kemaluan tidak menjadikan mereka wajib mengambil wudhuk.

Mazhab-mazhab selain Hanafi semuanya berpendapat menyentuh kemaluan membatalkan wudhuk. Namun, terdapat perbezaan dari segi pecahan ditilnya seperti berikut:

1.     Mazhab Maliki – lelaki menyentuh zakarnya batal wudhuk tetapi tidak batal jika dia menyentuh dubur sama ada dengan sengaja atau tidak. Syarat batal adalah sentuh atau pegang dengan tapak tangan bahagian depan termasuk jari-jari. Tidak batal jika sentuh dengan tapak tangan bahagian belakang. Kanak-kanak menyentuh zakarnya tidak batal. Begitu juga tidak batal perempuan yang menyentuh farajnya walaupun dia memasukkan jari ke dalam faraj. Tidak batal juga seseorang (lelaki atau perempuan) yang menyentuh kemaluan orang lain; kanak-kanak atau dewasa.
Dalil mereka ialah hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang menyentuh zakarnya, maka janganlah dia solat sehingga dia berwudhuk." Riwayat kebanyakan ahli hadis. Juga hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang memegang zakar dengan tangannya tanpa beralas, maka wajib ke atasnya wudhuk." Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban
Hadis-hadis di atas menyebut sentuh atau pegang zakar sendiri. Maka mereka menghadkan kepada apa yang disebutkan di dalam hadis itu sahaja.
2.     Mazhab Syafi'ei – batal wudhuk dengan menyentuh kemaluan anak Adam, sama ada qubul atau dubur, kemaluan sendiri atau orang lain, lelaki atau perempuan, orang yang hidup atau mati dengan syarat sentuh dengan tapak tangan bahagian depan termasuk jari-jari.
3.     Mazhab Hanbali – sama seperti Mazhab Syafi'ei. Namun mereka tidak mensyaratkan sentuh dengan tapak tangan bahagian depan, batal wudhuk walaupun sentuh dengan tapak tangan bahagian belakang.
Dalil bagi Mazhab Syafi'ei dan Hanbali adalah kedua-dua Hadis yang disebut di atas, yang diriwayatkan daripada Busrah binti Sofwan dan Ummu Habibah r.'anhuma: "Sesiapa yang menyentuh zakarnya, maka hendaklah dia berwudhuk." Dan ada yang meriwayatkan dengan lafaz "Sesiapa yang menyentuh farajnya, maka hendaklah dia berwudhuk." Dan terdapat hadis yang diriwayatkan daripada 'Amru bin Syu'aib daripada ayahnya dan daripada datuknya: "Mana-mana lelaki yang menyentuh kemaluannya, hendaklah dia berwudhuk. Dan mana-mana perempuan yang menyentuh kemaluan, hendaklah dia berwudhuk." Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi.

Dr. Wahbah az-Zuhaili berkata, pada saya pendapat yang rajih adalah pendapat jumhur kerana hadis Tolq bin Ali adalah dhaif di sisi beberapa orang ahli hadis. Sebahagian mereka berkata hadis itu mansukh.


Petikan daripada kitab, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaili, j 1, hal 370 - 372